20 October, 2012

Pelajar UKM Jangan Khianat...

Setiap manusia mempunyai berbagai perbezaan antara satu sama lain. Manusia berbeza minat, kecenderungan, bakat, kebolehan, kemahiran dan sebagainya. Kepelbagaian ini sangat luas skopnya. Setakat yang telah dikaji, Howard Gardener (1990) telah mengkategorikan keupayaan manusia kepada tujuh yang utama. Misalnya ada manusia yang punyai keupayaan bahasa dan komunikasi, kemahiran kinesthetic, kemahiran personaliti dan sosial, kemahiran matematik dan sebagainya.

Kepelbagaian ini bukan sahaja berbentuk horizontal tetapi juga vertikal. Maksudnya jika secara horizontal ada manusia punyai keupayaan berbahasa, dan yang lain tidak. Secara vertikal pula bermaksud dua orang yang dalam kumpulan keupayaan berbahasa boleh mempunyai tahap kemahiran yang berbeza-beza. Semua peguam mungkin punyai kemahiran berbahasa yang baik, tetapi antara kumpulan peguam itu pasti akan ada peguam yang lebih mahir berbahasa dari peguam yang lain. Semua pemain bola sepak dalam English Premier Leugue (EPL) sudah pasti mempunyai kebolehan kinesthetic yang baik tetapi pasti akan ada di antara mereka yang bakat kinesthetic beliau lebih baik dari pemain yang lain.

Saya bawakan persoalan ini untuk pelajar UKM teliti dan muhasabah diri mereka. Pertama, tanya secara bersungguh sungguh untuk dapatkan jawapan yang benar, "apakah kekuatan diri aku? Apa yang aku sebenarnya berbakat? Apakah potensi dan keupayaan yang Allah swt telah anugerahkan pada aku?" tentu kalau bersungguh sungguh bertanya pada diri, anda akan dapat jawapannya.

Mungkin sekurang kurangnya ada tiga jawapan.

Jawapan pertama, "aku SUDAH TAHU apa kekuatan aku".

Jawapan kedua, "aku TIDAK PASTI apa kekuatan aku",

Jawapan ketiga, "aku benar benar TIDAK TAHU LANGSUNG apa kekuatan diri aku. Aku memang TAK TAHU apakah potensi, bakat dan kelebihan yang telah Allah anugerahkan pada aku".

Bagi kumpulan yang pertama, mereka pasti akan cemerlang kalau mereka secara bersungguh sungguh membangunkan potensi yang telah mereka ketahui ada dalam diri mereka. Sebagai contoh, jika mereka sedar dan tahu bahawa mereka mahir dalam berbahasa, pasti mereka akan kembangkan samada sebagai pemidato, pendebat, penulis, editor majalah, pembangun laman web dan sebagainya sepanjang berada di UKM.

Bagi kumpulan kedua yang tak pasti apakah kekuatan dan potensi diri mereka, mereka harus segera mencuba semua perkara yang akhirnya mereka akan berjumpa apakah yang sebenarnya kekuatan diri mereka. Mereka harus mencuba dalam sukan, kesenian (alatan muzik, lukisan, fotografi, ukiran, tarian, vokal etc), kepimpinan dalam persatuan, perucapan (debat, ceramah, syarahan, pidato etc). Sepatutnya semua pelajar sepatutnya sudah tahu apa keupayaan sebaik sahaja tamat alam persekolahan. Di universiti mereka seharusnya sudah tahu apakah kekuatan diri mereka.

Bagi kumpulan ketiga, di mana mereka sendiri benar benar tak tahu apakah kekuatan diri mereka, Samada mereka setuju atau tidak, hakikatnya mereka sedang 'mengkhianati' anugerah bakat dan potensi yang telah Allah swt berikan pada mereka. Mereka seharusnya 'segera' bangun dan berurusan dengan tenaga akademik di fakulti, kepengetuaan kolej, felo felo kolej, senior yang cemerlang, rakan rakan yang rapat untuk menyelesaikan 'pengkhianatan' ini.

Mereka harus segera bangun dan mencari kekuatan bakat diri mereka sendiri. Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi telah memberikan kepada kita semua (tidak terkecuali) anugerah besar iaitu bakat dan potensi diri. Malah bukan satu tetapi berbagai bentuk potensi diri. Sejarah menunjukkan bagaimana sarjana Islam seperti Ibnu Sina dan sebagainya boleh menjadi apa sahaja dari seorang ahli falsafah kepada seorang ahli sains. Ini bukti kepada kekuasaan Allah. Tetapi jika seseorang tidak mencari atau ingin tahu apa kekuatan yang ada dalam diri sendiri, bukankah itu satu pengkhianatan?

Isu berkaitan kepelbagaian potensi pelajar UKM (secara horizontal dan vertikal) ini jarang disentuh secara mendalam oleh mana mana pihak termasuklah tenaga pengajar di fakulti. Malah dalam pembangunan kurikulum di fakulti pun biasanya hal seperti ini terlepas pandang. Pengajar terlalu sibuk dengan isikandungan kurikulum. Tentang apa yang hendak di kuliahkan, tentang bagaimana hendak di kuliahkan? Sebagai pengajar, mereka jarang benar benar bertanya kepada siapakah (secara instrinsik) pengajaran yang hendak diberikan? Apakah mereka bertanya apakah bakat dan kekuatan pelajar secara individu? Jika semua soalan itu mereka timbulkan sebelum pengajaran bermula maka pengajaran mereka pasti tidak homogenous. Mereka pasti meraikan kepelbagaian pelajar di dalam kelas mereka, dan menguruskan dengan cara dan kaedah yang berbagai juga.

Sebab itu saya menyokong idea memperkenalkan pembelajaran berasaskan kontrak pembelajaran (LC) di UKM. Sebagai contoh bila pengurusan UKM menyediakan platform untuk para pelajar beraktiviti, dipecahkan aktiviti pelajar kepada teras teras tertentu seperti keusahawanan, keseniaan, sukan, kepimpinan, inovasi dan sebagainya. harapannya supaya pelajar mula meneroka apakah kekuatan, minat dan kecenderungan untuk mereka mengenali potensi diri mereka. Kemudian pihak pengurusan UKM menyediakan konsep pembelajaran berasaskan LC di mana pelajar boleh memilih apa sahaja aktiviti yang dirasakan mereka berminat supaya potensi mereka dapat dibangunkan.

Malangnya pelajar (kepimpinan pelajar khususnya) tidak dapat menterjemah usaha ini dalam mereka beraktiviti. Budaya 'angguk', budaya 'ikut kawan' masih kukuh menyelaputi pemikiran pelajar UKM di dalam memilih aktiviti. Idea LC sudah baik tetapi penerimaannyayang  tidak jelas pasti akan mengagalkan usaha ini.

Pelajar harus sedar bahawa usaha mengenali kekuatan dan kecenderungan diri adalah asas dalam beraktiviti di UKM. Ini juga sebenarnya asas kepada pembentukan idealisme dalam diri mahasiswa. Mereka akan percaya kepada diri sendiri. Harga diri (self esteem dan self concept)) juga akan meningkat bila seseoranag kenal kekuatan diri mereka. Sehubungan dengan itu, pelajar yang masuk di tahun pertama pengajian harus segera dibangunkan kesedaran ini seawal mungkin sebelum mereka beraktiviti di tahun tahun pengajian yang seterusnya. Jika semua pelajar sudah tahu apakah kekuatan dan potensi diri mereka dan mula memilih aktiviti yang selari dengan keupayaan tersebut, isu menguruskan kepelbagaian potensi secara horizontal boleh dikatakan selesai.

Bagi isu kepelbagaian potensi secara vertikal (maksudnya dalam satu teras aktiviti ada berbagai tahap kemahiran), satu mekanisme harus dibangunkan oleh PAP untuk membantu pelajar. Sebagai contoh pelajar tahun satu yang sudah menguasai bahasa Inggeris dengan baik sepatutnya tidak perlu lagi ikuti program/aktiviti bahasa Inggeris asas bersama pelajar yang masih lemah bahasa Inggeris. Sepatutnya ada pilihan lain samada mereka diberikan peluang tingkatkan tahap aktiviti Bahasa Inggeris (perniagaan) atau memilih kemahiran yang lain atau diberikan peluang sebagai 'mentor' pada kumpulan bahasa Inggeris yang lemah.

Pelajar tahun satu yang sudah wakili negeri dalam bolasepak, tentunya tidak lagi perlu ikuti kursus asas bolasepak tetapi bertindak sebagai mentor atau jurulatih pada kumpulan yang baru ingin bermula. Ini bermaksud pihak universiti mengiktiraf potensi pelajar secara vertikal. Kita harus berhenti dari menyamakan semua pelajar mempunyai potensi diri yang sama. Sepatutnya pelaksanaan aktiviti pelajar secara LC membuka ruang baru untuk kita segera merealisasikan tujuan murni ini dalam membangunkan potensi dan bakat pelajar UKM.

Unit Pengurusan dan Penyelidikan Bakat Pelajar adalah sangat perlu dibangunkan di UKM. Unit ini bukan sahaja berperanan membuka peluang pelajar mengenali potensi dan bakat masing masing, tetapi juga melatih pegawai, pensyarah dan kepimpinan pelajar UKM untuk mengutamakan bakat pelajar.

Abad ke 21 adalah abad inovasi dan pembangunan bakat. Pelajar UKM seawal mungkin perlu mengenalpasti keupayaan dan bakat mereka. Pada pelajar yang sudah tahu keupayaan diri, unit ini berperanan menyalurkan bimbingan untuk mencemerlangkan bakat tersebut.

Pada pelajar yang tidak pasti apakah bakat mereka, unit ini berfungsi menyediakan kauseling dan khidmat bimbingan bakat. Manakala pelajar yang masih tidak tahu apakah bakat mereka, unit ini akan berperanan membantu mengenalpasti apakah kecenderungan individu pelajar sehingga pelajar berkenaan menjadi jelas akan bakat mereka. Jika unit ini berjaya membangunkan kepercayaan setiap pelajar UKM tentang bakat dan potensi mereka, ini akan secara total melonjakkan kecemerlangan pelajar di UKM.

Pada akhirnya, semua yang memikul amanah di UKM tentunya boleh menjawab "Apa yang UKM tawarkan kepada masyarakat ialah graduan UKM yang cemerlang akademik, menghargai bakat dalam diri mereka dan mereka sudah bersedia untuk menggunakan kecemerlangan akademik dan bakat yang telah dibangunkan di UKM untuk memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat. Di UKM, kami  satu satunya IPT negara ini yang telah meletakkan bakat pelajar di tempat yang sewajarnya".

Sehingga semua ini dilaksanakan, pada pelajar yang masih tidak tahu apakah bakat yang dianugerahkan oleh Allah swt pada mereka, sesungguhnya merekalah yang telah 'mengkhianati' diri sendiri....