02 July, 2012

Perlunya Pemikiran Baru Dalam Kursus JAKSA di UKM

Saban tahun tanpa gagal, semua kolej kediaman UKM akan menganjurkan kursus JAKSA. Berbagai nama digunakan untuk kursus ini. Selain nama asalnya kursus organisasi JAKSA, terdapat juga kolej menamakan kursus kepimpinan JAKSA, Sanggar Kerja JAKSA dan sebagainya. Apapun nama yang diberikan isi kandungan program sebenarnya hampir sama sahaja.

Sejak dahulu tiga teras utama kursus ini ialah;
1) mendedahkan pimpinan JAKSA yang baru dilantik dengan sistem governance UKM dari peringkat atas hinggalah ke peringkat paling dasar. Dikaitkan juga dengan aspek hala tuju, falsafah dan tranformasi UKM. Turut didedahkan dengan prosedur terkini dan peraturan yang berkaitan dalam penganjuran aktiviti.

2) meningkatkan semangat kerja berpasukan (team building) di kalangan ahli JAKSA.

3) Merancang aktiviti untuk dianjurkan oleh setiap JAKSA pada sesi hadapan.

Tujuan teras ini kekal sejak dahulu dan dilihat masih relevan dengan keperluan JAKSA pada hari ini. Bagaimanapun, ada perlunya beberapa pemikiran baru diberikan pada pasukan JAKSA kolej kediaman di dalam kursus seperti ini. Misalnya jika dulu tiada FB dan email, yang melambatkan aduan penyelengaraan dan kerosakan, hari ini semua aduan boleh terus dihantar oleh pengadu kepada pihak TNC HEPA, JPP dan unit perumahan. Malah hari ini kepengetuaan juga selalu berhubung dengan pelajar melaui FB.

Apakah JAKSA harus tidak berubah dan kekal seperti dahulu? Isu kebolehpasaran misalnya semakin mencengkam graduan, apakah yang sepatutnya JAKSA lakukan untuk membantu pada pelajar UKM yang akan bergraduan di dalam menghadapi situasi sektor pekerjaan yang tidak menentukan dalam masa sekarang dan masa depan. Isu literasi politik semakin diperlukan oleh para pelajar. Isu hak asasi, isu kepenggunaan, isu kesihatan dan sebagainya juga perlu ditanggani oleh JAKSA pada hari ini. Bagaimanakah semua hal ini atau sebahagian daripadanya dapat digabungjalin dalam kursus JAKSA?

IZISH sendiri akan menganjurkan kursus seumpamanya ini di Cherating Pahang pada 6-8 Julai 2012. Bagaimanapun tahun ini ada perubahan format dan pengisian yang cuba dilakukan untuk memantapkan lagi pasukan MEP yang akan memimpin pelajar IZISH pada sesi depan. Kursus yang bertemakan "LEADING LEADERSHIP' akan  dibahagikan kepada tiga fasa utama;

1. Fasa Pra Kursus: Modul Percambahan Idea (2-5 Julai bertempat di IZISH)
Fasa ini akan memberi peluang untuk ahli MEP dengan bantuan Felo dan ALP (mantan  MEP dan pengarah projek MEP) mencari maklumat tentang tiga perkara.
      i) Aktiviti aktiviti pelajar yang dianjurkan oleh 100 buah universiti terbaik di dunia.
     ii) Aktiviti pelajar yang dianjurkan oleh universiti penyelidikan dan IPTS terkenal dalam negara.
    iii) Saranan, kehendak dan keperluan kemahiran graduan yang selalu diutamakan oleh majikan.

2. Fasa Kursus : Modul Pembinaan Pasukan di Cherating Pahang pada 6-8 Julai 2012)
Fasa ini akan mendedahkan pelajar kepada i) Apa itu MEP/JAKSA? ii) bagaimana berfungsi sebagai MEP/JAKSA? Malah kali ini majlis felo IZISH telah berjaya menerbirkan satu buku "MANUAL PENGANJURAN AKTIVITI JAKSA KOLEJ" hasil dari bengkel felo kolej kediaman yang telah diadakan di Hotel Residence baru baru ini. Manual ini akan memberikan bimbingan yang lebih sistematik kepada semua ahli JAKSA yang dilantik untuk menjadi seoarang JAKSA dan bersedia untuk menganjurkan program di kolej.

3. Fasa Pasca Kursus: Modul Strategi dan Perancangan Aktiviti 
Fasa ini akan memberikan tumpuan kepada perbincangan apakah aktiviti aktiviti yang dikategorikan sebagai berimpak tinggi untuk IZISH. Selain itu sesi penyediaan proposal projek juga akan dijalankan. Turut diselaraskan ialah strategi pemasaran dan penjanaan kewangan untuk membiayai projek, sesi pembentangan projek oleh MEP kepada Felo dan kepengetuaan. Hasil akhirnya ialah semua projek hasil dari idea pelajar akan diperhalusi, ditambahbaik dan seterusnya bersedia untuk dihantar ke JPPEL untuk tujuan kelulusan. Manakala bagi yang akan memohon untuk LC, pelajar akan berurusan dengan pihak PAP. Hasil akhir yang kedua ialah TAKWIM penganjuran aktiviti Kolej yang akan dicetak dan diedarkan kepada semua pelajar yang akan mendaftar di IZISH pada sesi depan. Semoga takwim ini akan membantu semua pelajar merancang masa mereka dengan lebih baik.

Melihat kepada semua usaha dan perancangan ini, diharapkan aktiviti pelajar di IZISH pada sesi depan bukan sahaja akan lebih teliti dan terancang malah akan benar benar memenuhi makna "aktiviti pelajar berimpak tinggi".

Terima kasih rakan rakan felo, juga pada semua Ahli Lembaga Pengarah MEP dan diucapkan selamat memimpin buat pasukan MEP IZISH 2012-2013...


p/s : 2.30 pagi...Sejurus sebelum bermulanya pertandingan akhir antara Sepanyol dan Itali....