20 April, 2014

KUASA POLITIK MELAYU: DULU DAN SEKARANG...

Di dalam kesibukan menyediakan kertas kajian akademik, saya sempat meneliti data berkaitan kuasa politik Melayu sejak merdeka. Saya permudahkan di sini untuk perkongsian bersama. 
Di Malaysia sejak dulu, parti yang benar benar BERJAYA mewakili orang Melayu hanya ada dua iaitu UMNO dan PAS. Parti lain walaupun ada pimpinan dari kalangan orang Melayu, biasanya secara dasar, parti tersebut tidak bersedia menjadikan teras perjuangan parti mereka untuk menjayakan perjuangan Melayu (perjuangan yang berteraskan Islam, Raja dan Budaya Melayu).

Sebab itu secara psikologinya, orang Melayu walaupun terkejut bila ahli politik PAS masuk UMNO atau sebaliknya, kejutan itu hanya bersifat sementara sahaja. Selepas beberapa ketika, mereka boleh menerima tindakan itu. Tanpa sedar, orang melayu seluruhnya menerima bahawa PAS dan UMNO adalah jiwa orang Melayu.

PAS dan UMNO walaupun seperti berbeza, jauh di dalam intipati perjuangan mereka sama sahaja. PAS menggunakan politik Islam untuk mendaulatkan Islam dalam jiwa Melayu, manakala UMNO pula menggunakan tuntutan ekonomi yang dianjurkan oleh Islam untuk menjayakan kehidupan orang Melayu yang beragama Islam. Akhirnya kedua dua parti ini membawa tujuan yang sama untuk menjadikan Melayu beragama Islam maju di dunia dan di akhirat.

Kisahnya, selepas Persekutuan Tanah Melayu merdeka (1957), sebuah pilihanraya umum pertama pasca merdeka di Tanah Melayu telah diadakan pada tahun 1959. Sebanyak 104 kerusi parlimen telah dipertandingkan. Parti Perikatan menang. Orang Melayu, Cina dan India dalam Perikatan berjaya menguasai pentadbiran negara secara konsensus.

Pada 1959, UMNO memenangi 52 kerusi daripada kerusi parlimen yang dipertandingkan. PAS (nama lama PIMP) pula memenangi 13 kerusi. Manakala parti lain walaupun ada ramai pimpinan Melayu tetapi tidak berjuang berteraskan Melayu-Islam ada yang menang tetapi tidak siknifikan. Misalnya Parti Negara hanya 1 kerusi.

Jika digabung kerusi parlimen 1959 (baca kuasa politik Melayu) yang dimenangi oleh UMNO dan PAS, jumlahnya ialah 65 kerusi dari 104 atau 62.5%. Manakala MCA (19 kerusi), MIC (3 kerusi), PPP (4 kerusi), Parti Malaya (1 kerusi), Barisan Sosialis (8 kerusi), bermakna bukan Melayu menguasai 35 kerusi atau hampir 33.7% kuasa politik negara ketika itu. Selebihnya dimenangi calon bebas. Itulah senario piliharaya Persekutuan Tanah Melayu 1959 yang pertama selepas merdeka dulu.

Menariknya pada 2013, apabila pilihanraya umum ke 13 berlangsung dengan 222 kerusi parlimen dipertandingkan, UMNO telah memenangi 88 kerusi (39.64%) dan PAS menguasai 21 kerusi (9.46%). Jika digabungkan dua kuasa dua parti utama politik Melayu ini, kerusi parlimen yang mewakili perjuangan orang Melayu hanyalah 49.10% sahaja. Telah merosot hampir 13% berbanding 1959!

Di dalam kesibukan UMNO dan PAS bertelagah sesama sendiri merebut kuasa politik Melayu di negara ini, sebenarnya kuasa politik Melayu yang mereka wakili bersama telah merosot dari 62.50% (tahun 1959) kepada 49.10% pada tahun 2013. Apakah kuasa Melayu akan terus merosot 10-20 tahun akan datang? Saya pasti ia akan berlaku jika pemimpin politik Melayu ingin terus 'menang sorak' di bumi sendiri...Begitulah kisahnya orang Melayu Malaysia...

Sumber: (a) Hng Hung Yong " Five Men & Five Ideas, (b) Wikipedia, (c)Milner 'The Malays', Crouch H. "Goverment and Society in Malaysia"