05 January, 2014

MPP UKM: Di mana anda?


Petang semalam, seorang pelajar kolej Ibu Zain bertanya mengapa saya sudah lama tidak menulis di blog. Ada juga saya terima pm di FB dari pelajar bertanya soalan yang sama. Betul, hampir dua bulan saya tidak menulis di blog ini. Kesibukan tidak sepatutnya jadi alasan, tetapi itulah hakikatnya.

Saya tetap akan terus menulis, bergantung pada keadaan dan masa yang sesuai. Apapun, ini tidak menjadi keutamaan untuk saya sentiasa menulis di ruangan ini. Apatah lagi audien blog ini hampir semuanya berada di UKM sahaja. Apa yang saya tulis sememangnya telah diketahui oleh semua.
 
Cuma kali ini ada sedikit keinginan untuk saya menulis tentang MPP UKM yang dah dua bulan menang besar di PRK UKM. Mereka pun sudah hampir sebulan dilantik secara rasminya sebagai pemegang amanah memimpin pelajar UKM.
 
Usia perkhidmatan sebagai MPP ini sebenarnya agak pendek. Malah lebih pendek berbanding tempoh perkhidmatan sebagai MEP di kolej, Majlis Tertinggi persatuan anak negeri atau persatuan di fakulti. Oleh itu, setiap masa yang berlalu tanpa sebagai agenda atau aktiviti oleh MPP UKM tentunya merugikan pelajar secara keseluruhannya.

UKM membelanjakan kewangan yang besar dalam mengujudkan MPP UKM. Kos latihan, bayaran elaun petugas, kos percetakan poster dan kertas undi, kos makan petugas di hari pemilihan, kos penangguhan kuliah dan sebagainya. Kos ini walupun besar dilihat tidak sebesar usaha membina pemimpin muda dari UKM.
 
Kos yang besar ini (datangnya dari peruntukan untuk pembangunan pelajar UKM) diharapkan berbaloi bila semua MPP yang berjaya terpilih melaksanakan tugasan mereka dengan cemerlang.
 
Sebagai contoh mereka di kalangan MPP secara segera patut mengambil peranan menjadi suara pelajar untuk mengusulkan agenda penting untuk kebajikan pelajar. Adalah penting suara pelajar sampai ke pihak pengurusan untuk membantu pihak pengurusan UKM mengutamakan yang utama sebelum yang lain. Dengan suara suara yang datang dari MPP sebagai suara pelajar terbanyak, tentunya suara suara ini menjadi keutamaaan pada pihak pengurusan UKM.
 
Tentunya dengan cara beradab dan berhikmah, bukan dengan cara berdemontarsi atau menimbulkan pertelagahan kerana ingin menjadi 'juara' di mata pelajar' semata mata. yang penting agenda dapat dibincang secara baik, harmoni dan mencapai jalan penyelesaian.
 
Mungkin saya terlepas pandang, tetapi saya sejak dua bulan yang lalu tidak nampak adanya usaha  usaha besar yang sedang berlaku di MPP UKM. Apa yang sedang mereka usahakan? Apa agenda utama yang ingin di kongsi dengan masyarakat pelajar di kampus UKM (selain pembentangan kertas dasar presiden yang telah diminta dibuat penambahbaikan)?
 
Dengarnya memang ada usaha usaha kecil seperti mengumpulkan aduan kerosakan di sana sini, begitu juga ada perjumpaan perjumpaan kecil untuk membincangkan isu isu pelajar di sana sini.
 
Saya fikir menjadi MPP UKM perlu ada gagasan yang lebih besar. betul, soal kebajikan soal utama. Soal air, jalan berlubang, lampu jalan, makanan kafe mahal, kemudahan sukan dan puluhan masalah lain memang penting, tetapi jangan sampai MPP UKM hilang fokus sehingga meninggalkan agenda yang lebih memerlukan mereka.
 
UKM sudah mempunyai sistem aduan yang baik. samada MPP UKM kumpul aduan atau tidak, pelajar akan tetap membuat aduan terus pada pengurusan. Cumanya bila aduan yang tidak diambil tindakan dalam satu tempoh yang munasabah ingin diajukan, MPP sampaikanlah pada pengurusan tertinggi.
 
Tetapi itu sajakah tugasan sebagai seoarang MPP di sebuah universiti yang terkehadapan seperti UKM? Atau masih banyak agenda yang perlu diperjuangkan?
 
Bagaimana MPPUKM melihat isu antarabangsa? Isu nasional? dan isu kemasyarakatan? Sekadar melaung? berdemonstrasi dan lawatan ke kampung kampung sahaja? Atau perlukan satu agenda yang menjenamakan usaha MPP UKM secara total?
 
Bagaimana dengan soal Islam dan kemajmukan masyarakat? Siapa di UKM yang mendepani isu Kalimah Allah? Jika berdiam diri, apakah teraju MPP UKM juga setuju kalimah Allah digunakan oleh semua agama? Bagaimana dengan Isu jenayah? Isu penguncupan ekonomi negara? Isu pengangguran graduan? Isu Comango?

MPP sudah terlepas tempoh masa dua bulan sejak selesai PRK untuk memberikan khidmat mereka. Tinggal lagi 10 bulan. Setelah di tolak cuti semester (sebulan), gabungan cuti cuti perayaan 2014 (sebulan), cuti sesi (dua bulan), minggu mingu peperiksaan di sem 1 dan sem 2 (sebulan), hanya tinggal lagi 5 bulan sahaja untuk MPP UKM memberikan perkhidmatan pada pelajar.
 
Melihatkan senario semasa, apakah akan berlaku dimana sesi ini menjadi sesi yang paling 'perlahan' pergerakan MPPUKM. Sehingga hari ini, masih belum ada apa apa yang berlaku secara konstruktif oleh mereka. Sekadar satu dua program ceramah oleh penceramah luar. Belum ada agenda besar untuk membawa perubahan kepada pengembangan budaya tinggi di dalam masyarakat UKM.

Agenda pemupukan budaya ilmu belum ada, agenda budaya hidup sihat juga belum kelihatan, agenda pejenamaan pelajar UKM juga masih kabur. Apatah lagi agenda MPP UKM dalam menjayakan pengembangan aspirasi UKM di peringkat antarabangsa.

Jika isu kebajikan yang sudah menjadi rutin belum terencana, apa yang dapat pelajar UKM harapkan untuk MPPUKM menjayakan agenda besar membawa UKM di persada yang lebih tinggi.
 
Dengan desakan masa serta tuntutan bebanan akademik, setiap MPP UKM perlu merancang dengan baik perkhidmatan mereka. Jika tidak, semuanya akan jadi sia-sia sahaja....Ini satu cabaran yang seharusnya diambil peduli oleh semua MPP UKM...jangan sampai semakin ramai pelajar bertanya "MPP UKM: Di mana anda? Untuk dua minggu ini, jawapan paling selamat.."Sekarang minggu peperiksaan di UKM", tetapi apa yang akan dijawab bila semester 2 di buka nanti?