12 April, 2013

Anda Sendiri Buat Pilihan, Samada Ingin Cemerlang atau Gagal?

Saya selesai membaca buat kali ketiga buku tulisan Profesor Dr Amy Chua, pemegang Kursi Undang Undang di Yale University. Setiap kali saya membaca buku beliau yang bertajuk " Battle Hymn of The Tiger Mother", saya pasti akan mengulangi bacaan saya di satu perenggan kecil pada mukasurat 29 beberapa kali. Di perenggan ini beliau menulis...

" What Chinese parents understand is that nothing is fun until you're good at it. To get good at anything you have to work, and children on their own never want to work, which is why it is crucial to overide their preferences. This often requires fortitude on the part of the parents because the child will resist; things are always hardest at the beginning, which is where Western parents tend to give up. But if done properly, the Chinese strategy produces a virtuous circle. Tenacious practice, practice, practice is crucial for excellence; rote repetition is underrated in America. Once a child starts to excel at something-whether it's math, piano, pitching or ballet- he or she gets praise, admiration, and satisfaction. This builds confidence and makes the once not-fun activity fun. This in turn makes it easier for the parent to get the child to work even more.

Latar belakang pendidikan kebanyakan dari kita di Malaysia (khususnya semua yang mengikuti pendidikan aliran kebangsaan) adalah pendidikan berasaskan acuan barat (colonial knowledge). Para guru kita semasa latihan penguruan dilatih tentang psikologi dan sosiologi kerangka barat. Maka gerak hati kebanyakan dari kita 'seperti sudah percaya' dan 'tertawan' bahawa acuan pendidikan barat sahajalah satu satunya tradisi pendidikan yang terbaik. Gerak hati seperti ini tidak semesti sentiasa benar. Masih ada banyak kelemahannya tradisi pemikiran pendidikan barat.

Walaupun Islam juga ada tradisi di dalam menganjurkan pendidikan, nampaknya sifat tradisi pendidikan Islam masih belum mengukuh dalam sistem pendidikan. Walaupun agama Islam sudah sebati dalam kehidupan orang melayu di negara ini. Malah dalam banyak keadaan, tradisi pemikiran pendidikan barat sangat kuat mendominasi pemikiran para pembuat dasar pendidikan selepas merdeka dari kalangan orang Melayu.

Kita mungkin pernah mendengar konsep pendidikan bersepadu, falsafah pendidikan yang menekankan soal keseimbangan dan sebagainya, tetapi sejauh mana konsep dan falsafah itu telah meresapi dan menjadi roh pendidikan negara sukar kita buktikan keberkesanannya.

Prof Amy Chua sekeluarga tinggal dan bekerja di Universiti Yale, sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat. Tetapi beliau berpendirian sistem mendidik anak anak menggunakan budaya Asia khususnya tradisi pendidikan masyarakat Cina adalah jauh lebih berkesan berbanding tradisi pendidikan barat. Saya setuju dengan sebahagian besar pandangan beliau, tidak semuanya. Jika ada masa bacalah buku beliau. Buku kecil setebal 223 mukasurat dan berharga hanya RM45.

Membaca tulisan beliau membawa saya memikirkan tentang untung-nasib pelajar Melayu di UKM. Untuk kali ini, izinkan saya hanya berbicara tentang pelajar Melayu sahaja. Bukan pelajar Cina atau India tidak ada masalah, tetapi catatan kali ini saya tujukan khas pada pelajar Melayu. Mungkin waktu lain, pandangan saya tentang pelajar Tiong Hua dan India juga akan dikongsikan.

Sejak menjadi pengetua IZISH saya telah menggunakan beberapa pendekatan di dalam membangunkan potensi pelajar Melayu. Ada istilah pendidikan untuk menjelaskan pendekatan ini tetapi biarlah saya menggunakan bahasa yang mudah iaitu cara lembut dan memujuk, cara berunding dan sekarang saya cenderung menggunakan pendekatan dengan cara mengkritik. tentunya mengkritik dengan niat untuk meningkatkan potensi dan bukannya untuk menjatuhkan reputasi pelajar.

Dulu dengan cara lembut, sentiasa memuji, dan memujuk telah menyebabkan sebagai pengetua saya disukai oleh pelajar IZISH. Tetapi matlamat saya untuk membangunkan potensi pelajar tidak tercapai sepenuhnya dengan pendekatan ini. Kerana mempunyai budaya lama yang kukuh berkaitan cara  beraktiviti dan belajar, pelajar Melayu menjadi tidak kompetetif sepenuhnya.

Mereka sentiasa menunggu pujian, walaupun atas pencapaian yang sangat kecil. Pemikiran mereka tertumpu kepada penghargaan, pujian dan penghormatan dari rakan rakan atau pihak pengurusan kolej. Benar, dalam psikologi pembangunan manusia bentuk pujian dan penghargaan ini sangat diperlukan, tetapi jika terlalu digunakan, maka pelajar sudah tidak melihatnya sebagai sesuatu yang boleh meningkatkan kualitinya lagi.

Mereka akhirnya suka berada di dalam comfort zone dan tidak berani melakukan sesuatu yang baru bimbang akan tersilap dan tidak akan dipuji, dihormati atau dihargai lagi. Apa yang mereka lakukan ialah, jika beraktiviti mereka akan mengulangi berkali kali projek yang sama selama beberapa tahun. Benar, cara ini menyebabkan mereka kurang melakukan kesilapan, tetapi ini juga bermakna mereka akan kurang memperolehi pengalaman pembelajaran.

Malah dalam banyak keadaan, ada antara pelajar Melayu yang  akan menolak sesuatu program yang mereka rasa sukar dan tidak selesa. Sekali lagi, bimbang melakukan kesilapan. Misalnya, mereka tidak berminat untuk mengikuti program Bahasa Inggeris (ESZ), malah jika dipujuk untuk mengikuti program dalam bahasa Inggeris di kolej, ramai yang menarik diri. 

Pernah IZISH membayar seorang tutor berkelayakan bahasa Inggeris untuk mengadakan kelas komunikasi dalam bahasa Inggeris kepada pelajar yang ingin tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, mulanya seramai 30 orang, tetapi dari minggu ke minggu, hanya tinggal 3 orang sahaja dan ketiga tiganya pelajar Cina.  Sudah tidak ada lagi pelajar Melayu yang bertahan mengikuti kelas tersebut. Akhirnya program ini ditamatkan. 

Banyak lagi peristiwa lain yang boleh saya catatkan, tetapi secara ringkasnya, saya kena akui bahawa ada kalangan pelajar Melayu (tidak semua) yang sukar diubah dengan cara yang lembut dan memujuk. Saya dah mencubanya dan hanya segelintir kecil sahaja pelajar melayu yang berjaya melakukan perubahan diri kepada yang lebih baik dengan cara yang lembut. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan saya, saya raikan perbezaan pandangan mereka. Cumanya, apa yang saya nyatakan ini adalah pengalaman saya sendiri sejak sekian lama bertugas sebagai pengetua di kolej. Maka kaedah lain yang lebih praktikal, dinamik dan yang lebih berkesan harus dicuba. 

Kita semua tentu belajar sejarah. Sejarah bagaimana penjajah Inggeris memberikan pendidikan kepada generasi nenek moyang kita dulu. Semuanya secara keras dan tidak banyak pilihan. Kesan kolonialisme membina sifat tabah dan berjuang di kalangan orang Melayu. Khususnya golongan Melayu bawahan. Mereka hebat kerana mereka tidak banyak pilihan.

Cuba lihat pula sejarah orang melayu ketika zaman Jepun. Kerana kesusahan hidup dan tidak banyak pilihan, orang melayu ketika itu menjadi inovatif. Mereka mampu mencipta sabun, pakaian, minyak untuk lampu, peralatan rumah, peralatan dapur dan sebagainya. Semuanya kerana mereka dipaksa berfikir akibat kesusahan hidup. Mereka tidak banyak pilihan, dan kerana itu mereka terus bertahan.

Sebab itu saya percaya, kadang kala pilihan yang terlalu banyak menyebabkan kita menjadi lemah dalam mencapai kejayaan. Waktu yang sepatutnya kita belajar, kerana ada pilihan lain, kita gunakan untuk ber 'facebook' tanpa had. Waktu yang sepatutnya kita gunakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kerana ada pilihan lain, kita gunakan dengan menonton TV dan Youtube tanpa henti. 

Bila menganjurkan projek kita banyak pilihan dan kita akan lebih suka memilih kerja yang mudah mudah. Kita tidak suka memilih untuk memegang jawatan sukar seperti pemasaran, publisiti atau pengarah projek. Mengapa? kerana kita tak mahu mengambil risiko dan lebih suka yang mudah mudah sahaja. ya, sebab kita ada pilihan, dan pilihannya banyak sekali

Maka itu saya cuba lakukan budaya menkritik untuk meningkatkan potensi serta persaingan pelajar melayu. Mereka tidak lagi boleh 'bersuka-suka' sahaja. Banyak perkara yang sesetengah dari mereka semakin tertinggal (khususnya akademik, bahasa Inggeris, jaringan majiklan dan sebagainya).

Sampai bila pelajar Melayu harus sebegitu? Di saat orang lain berjaya, ada pelajar melayu yang kecewa dan menyesal. Di saat orang lain berpuashati dengan pencapaian akademik dan kemahiran bahasa Inggeris mereka, ada pelajar melayu yang terpaksa berjalan menunduk kepala. 

Saya menghormati pelajar Cina yang rata rata berjaya dengan cemerlang dalam akademik mereka di UKM. saya juga tahu ada antara mereka yang tidak cemerlang, tetapi jumlahnya sangat kecil. Pelajar Melayu yang berpotensi untuk cemerlang sebenarnya ramai, dan yang mahu menjadi cemerlang juga ramai. tetapi yang benar benar berusaha untuk mencapai kecemerlangan tidak ramai, sedikit sekali...

Sebab itu jika ada pelajar Melayu bertanya saya apa yang sepatutnya mereka letakkan sebagai sasaran untuk menjadi cemerlang, saya katakan hanya dua sahaja buat masa ini. Pertama, pastikan keputusan akademik anda sentiasa mencapai 3.67 dan ke atas; dan keduanya pastikan anda boleh bertutur dan menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris atau Arab (pada pelajar FPI). Sasarkan matlamat anda, dan bekerjalah sepenuh dasn sekuat hati. Kemahiran komunikasi, kemahiran berpasukan, kemahiran membuat keputusan dan sebagainya menjadi releven bila dua sasaran utama telah tercapai. 

Pada masa yang sama sebagai seorang muslim, soal ibadah wajib dan sunat jangan kita lalaikan. Itu mengatasi semua kepentingan yang lain dalam kehidupan kita. Saya doakan semoga anda semua terus berjaya.