22 June, 2012

Mentaliti Lama dan Kronisme dalam Persatuan Pelajar UKM

Catatan: Ini pandangan peribadi saya. Mungkin ada yang kurang bersetuju. Mungkin anda juga ada pandangan yang tersendiri. Apa pun pandangan kita, tujuannya harus jelas iaitu kita semua mesti berusaha ke arah meningkatkan kualiti aktiviti pelajar di UKM dan seterusnya membawa kepada peningkatan kualiti graduan UKM


1. Economy Tranformation Plan (ETP) menjanjikan ratusan ribu peluang pekerjaan pada generasi muda. Dikatakan sekitar 600,000 peluang pekerjaan baru akan diwujudkan khususnya untuk kumpulan graduan ijazah pertama sehingga 2018. Saya agak skeptikal dengan angka ini tetapi biarlah kita terima dulu sebagai panduan. 


2. Hampir 95% atau 570,000 peluang pekerjaan ini datangnya dari sektor swasta. Pada masa yang sama pekerjaan di sektor kerajaan akan mula dikecilkan. Selain penggunaan sistem teknologi maklumat yang lebih efisyen, tumpuan pengurusan kerajaan untuk menjajarkan amalan kos efektif dalam semua segmen kerajaan juga mula dipertingkatkan. Maknanya pengambilan kakitangan baru akan turut menjadi lebih kecil berbanding sekarang.


3.Apa maknanya semua ini dan kesannya pada pembangunan pelajar di UKM? Kalau kita lihat 'nature' aktiviti pelajar yang ada di UKM hampir keseluruhannya adalah warisan sejak tahun 1970an, 1980an hinggalah 1990an. Hampir semua aktiviti atau projek ini adalah atas paradigma "public sector based activities" samada dari segi pemikiran dan idea, protokol, penyediaan kertas kerja, cara penajaan, bentuk dan tatacara majlis sehinggalah kepada kaedah melihat kos efektif dan laporan. 


4. Malah lebih mendukacitakan dan perlu diubah segera ialah cara pimpinan pelajar samada di perikat persatuan, urusetia dan kelab projek memilih AJK projek mereka pun berasaskan persahabatan atau favouritisme. Malah jangan terkejut ada pemimpin persatuan atau kelab yang mengamalkan 'mild cronyism' dalam memilih seseorang untuk ke jawatan penting dalam projek mereka.. Menarik bukan?


5. Oleh itu hal hal seperti ini selalu saya tekankan dalam ceramah dan diskusi berkaitan organisasi pelajar apabila dijemput. Saya selalu cadangkan agar meletakkan keutamaan kepada dasar merit dalam pemilihan AJK dan menolak budaya kronisme walaupun tujuannya seakan-akan nampak murni. Misalnya ada pemimpin pelajar akan berkata "kalau kawan jadi ajk saya, senang sikit nak berkomunikasi" atau "saya suka kawan rapat jadi ajk saya supaya senang kami nak buat aktiviti sama sama" dan sebagainya. 


6. Budaya memilih kawan rapat sebagai AJK tidak ada masalah selagi meritnya tinggi. Persoalannya, apakah benar benar pilihan yang di buat oleh pimpinan pelajar berasaskan kawan atau merit?


7. Mulanya dulu pimpinan pelajar di UKM termasuklah di IZISH mungkin tak faham maksud saya. Mereka juga sudah terbiasa dengan budaya berpersatuan sebagaimana di kalangan semua pelajar UKM sebelumnya. Tetapi akhirnya sekarang mereka sudah mula faham dan dapat bezakan antara merit dan favouritisme. Bila pasukan kerja sudah di bina, semangat kerja sepasukan telah dibentuk oleh para felo, matlamat, agihan kerja dan sasaran kerja telah menjadi jelas maka barulah pemimpin pelajar akan mula sedar sedar pentingnya merit berbanding amalan kronisme. 


8. Kita perlu mula membuka pemikiran baru yang lebih terbuka dengan mengalakkan 'nature' pemikiran korporat dan private sector dalam aktiviti pelajar kita di UKM. Bukan sahaja kerana peluang kerja nanti lebih luas di sektor korporat tetapi juga mula menanamkan sifat daya juang dan punyai kehebatan untuk bertanding dengan graduan lain khususnya graduan IPT yang lain. 


9. Ini bukan sekadar isu penguasaan bahasa Inggeris sahaja..ia lebih mendalam dari itu. Tentang budaya kerja syarikat swasta, kemahiran pemikiran dan perkongsian idea dalam syarikat swasta yang sangat berbeza dengan sektor kerajaan. 


10. Persoalannya, bersediakan pelajar kita untuk bekerja di sektor swasta jika persekitaran aktiviti di UKM masih berorientasikan cara kerja jabatan kerajaan? Apa pula peranan pemimpin pelajar UKM  khususnya di kalangan pemimpin persatuan pelajar UKM?