28 March, 2013

UKM Model Perpaduan Bangsa Malaysia: Bersediakah Pelajar Melayu, Cina dan India?



  1. Saya masih ingat sejurus selepas saya dilantik sebagai pengetua IZISH dulu, kebetulan kertas projek pelajar IZISH yang pertama datang ke meja pengetua ialah permohonan Projek Pesta Tanglung. Saya ambil keputusan meluluskan projek ini untuk dilaksanakan di IZISH. 
  2. Rupa rupanya projek ini menjadi begitu kontroversi di kalangan warga Kolej Antarabangsa Ibu Zain (nama lamanya KIZ). Untuk rekod, IZISH merupakan kolej pertama di UKM yang membenarkan projek Pesta Tanglung dilaksanakan di peringkat kolej. Sebelumnya, Pesta Tanglung di UKM hanya dibenarkan untuk dilaksanakan di peringkat pusat sahaja.
  3. Saya masih ingat pada malam acara tersebut berlangsung di IZISH, hanya saya bersama dua anak kecil saya yang ikut serta berjalan bersama pelajar Cina KIZ dengan membawa pelita pelita tanglung. Selain saya dan dua anak saya, tidak ada seorang pun pelajar Melayu yang ikut serta. malah felo kolej pun tidak ikut serta. Saya faham mengapa mereka tidak bersedia ikut serta. Pertama, kerana mereka mungkin merasa tidak selesa untuk bersama dengan majlis yang dianjurkan oleh pelajar pelajar keturunan Tiong Hua, keduanya, saya pasti mereka tidak faham dan jelas tentang sejarah dan peristiwa di sebalik tradisi Pesta Tanglung dirayakan oleh pelajar Tiong Hua. Saya sempat melihat pelajar pelajar siswi Melayu meninjau ninjau dari dalam tingkap bilik masing masing, semasa kami sambil membawa tanglung berjalan melalui blok blok mereka.
  4. Kehadiran saya dalam majlis tersebut bukannya merayakan Pesta Tanglung tetapi kehadiran saya atas memenuhi jemputan untuk meraikan pelajar pelajar Cina KIZ yang merayakannya. Saya juga membuka jalan dengan mencadangkan di tahun tahun seterusnya supaya pelajar Cina memberikan maklumat dan sejarah bagaimana perayaan Pesta Tanglung dimulakan dalam tradisi ini di Tanah Besar Cina. Pelajar Cina pada tahun seterusnya mula mengadakan sketsa, pameran, serta jamuan makanan yang halal dalam tradisi Cina untuk dikongsikan dengan pelajar pelajar Melayu. 
  5. Sejak itu, semua kolej UKM telah merayakan Pesta Tanglung. Bukan sahaja pelajar Cina yang merayakannya, pelajar Melayu dan India juga dijemput hadir untuk meraikan pelajar pelajar Cina yang merayakannya. Jumlah kehadiran pun seperti sama banyaknya antara pelajar Melayu dan pelajar Cina. Mereka bersama sama membawa tanglung berjalan penuh harmoni mengelilingi kolej masing masing. Sekarang bukan sahaja Pesta Tanglung, tetapi sudah meriah dengan penganjuran pesta Ang Pow secara besar besaran dan juga Pesta Ponggal di kolej kolej UKM. 
  6. Malah di IZISH sekarang, semasa majlis berbuka puasa, pelajar Cina dan India juga dijemput sebagai tetamu meraikan pelajar Melayu yang berbuka puasa. Keharmonian sebegini pasti akan memberikan kenangan manis pada semua pelajar yang terlibat. Pengalaman seperti ini juga membuka pemikiran pelajar berbilang bangsa untuk saling mengenali antara satu sama lain. Kita sebagai satu masyarakat yang berkongsi satu negara, tiada pilihan yang lain selain bersedia untuk bersatu sebagai satu bangsa untuk meneruskan kelangsungan bangsa Malaysia. 
  7. Elok saya kembali ke belakang sedikit untuk memahami kehidupan masyarakat Malaysia yang ada pada hari ini. Negara ini dulu hanya ada masyarakat yang bersifat pluraliti. Bila penjajah Inggeris mula menguasai tanah melayu pada abad ke 18 dan 19, masyarakat pluraliti telah berubah menjadi sebuah masyarakat plural/majmuk. Pada yang tidak jelas bezanya pluraliti dan masyarakat plural, saya berikan sedikit gambaran. Masyarakat pluraliti bermaksud setiap orang yang hidup di dalam sesebuah komuniti menerima satu sistem pentadbiran. Zaman kerajaan Melayu Melaka adalah contoh yang terbaik. Sultan Melaka memerintah Melaka dengan dibantu oleh para pembesar dan kerabat yang dilantik oleh sultan. Rakyat yang berbagai kumpulan etnik hidup di bawah pemerintahan sultan dan menerimanya sebagai satu sistem politik. Semua orang bertutur dalam Bahasa Melayu. Begitu juga peraturan dan undang undang yang digunakan adalah berasaskan Hukum Kanun Melaka atau Undang Undang Laut Melaka sepenuhnya. Tidak wujud sistem pendidikan berbilang aliran yang diinstitusikan ketika itu.
  8. Masyarakat plural pula bermula bila British datang ke Tanah Melayu dan membenarkan setiap kumpulan etnik (Melayu, Cina, India) membina institusi dan mengunakan sistem masing masing. Maka wujudlah persatuan persatuan di kalangan orang Melayu, Cina dan India. Masyarakat Cina terutamanya menubuhkan begitu banyak Hua Tuan (persatuan) yang mewakili peniagaan Cina, pendidikan Cina, kebajikan orang Cina dan sebagainya. 
  9. Orang Melayu masih tidak banyak menubuhkan persatuan persatuan kerana mereka masih berpegang kuat kepada konsep kampung sebagai sebuah 'persatuan'. Begitu juga penjajah British telah membenarkan penerbitan surat khabar mengikut etnik diwujudkan secara berasingan. Maka wujudlah surat khabar untuk orang Melayu dalam bahasa Melayu Jawi, surat khabar Cina dan juga surat khabar Tamil untuk orang India. Bahasa yang dipertuturkan dibenarkan berbagai berdasarkan bahasa ibunda masing masing. Maka wujudlah sekolah vernakular yang berbagai aliran bahasa pengantarnya. Perpisahan antara kaum menjadi semakin ketara ketika itu.
  10. Semua ini secara menyeluruh telah mewujudkan kumpulan kumpulan etnik yang terpisah pisah antara satu sama lain. Apatah lagi cara mereka memahami agama masing masing secara yang sempit menyebabkan amalan agama tidak mampu memecahkan keinginan untuk hidup bersama tanpa rasa curiga. Islam menganjurkan persefahaman yang btinggi dalam menhormati kepercayaan penganut agama lain. Malah satu yang salah dan berdosa untuk mana mana orang Islam melakukan penganiayaan atau penindasan atas nama agama kepada sesiapa juga orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam.
  11. Hasilnya, orang Melayu, Cina dan India tidak lagi berinteraksi secara lazim antara kumpulan etnik. Mereka hanya akan berinteraksi bila ada keperluan atau memenuhi tujuan tujuan masing masing. Pihak kolonial seperti Furnivall (1956) pernah menyatakan fenomena ini lama dahulu. Anak Melayu, Cina dan India terbiasa bertutur dalam bahasa masing masing, membaca suratkhabar yang berbeza, belajar disekolah yang berbeza. pendek kata segalanya berbeza. Sehinggalah hari ini mereka berada dalam ruang yang berlainan. Ketika kita sudah merdeka, menjadi satu masyarakat yang berdaulat lebih 55 tahun.
  12. Segresasi (pemisahan etnik) ini yang sedang dihadapi oleh UKM dan juga semua IPT di negara ini bila IPT telah menerima anak anak Melayu, Cina dan India masuk dan belajar yang datngnya dari pelbagai latarbelakang budaya. Setiap mereka hidup di dalam dunia mereka. Memang ada yang tidak begitu. Ada juga anak Melayu, Cina dan India sudah biasa dan selesa untuk hidup bersama antara etnik tetapi jumlahnya tidak ramai. Yang ramai ialah Melayu sesama Melayu, Cina sesama Cinaa dan India sesama India. Mungkin situasi ini agak berbeza dengan pelajar dari sabah dan sarawak yang lebih terbuka menerima orang Melayu, Cina atau India sebagai rakan rakan rapat mereka.
  13. Ini cabaran besar pada UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan. UKM tentu punya peranan besar menunjukkan model atau contoh apakah bentuk sebuah bangsa Malaysia dalam konteks kehidupan pelajar di kampus. Khususnya kepada pembangunan insaniah dan pengetahuan kebangsaan pelajar . Usaha "membina semula" keinginan untuk pelajar Melayu, Cina dan India serta Sabah Sarawak berinteraksi secara lazim di dalam kampus UKM perlu digerakkan. Ada pensyarah yang saya kenal cuba melakukannya dengan memwajibkan setiap kumpulan tugasan pelajarnya mestilah dari kumpulan etnik yang berbeza, ada yang berjaya tetapi selalunya gagal berfungsi dengan baik. Ketidakselesaan berkomunikasi, mempunyai sifat dan budaya kerja yang berbeza, batasan nilai dan norma yang berbeza, ditambah lagi dengan pandangan alam agama yang disempitkan menyebabkan usaha usaha sebegini gagal dijayakan. 
  14. Ada yang lebih serius bila wujud budaya labeling dan 'stereotype' orang Melayu pada orang Cina dan India, dan begitu juga sebaliknya. Jika kita tinjau penganjuran aktiviti pelajar, hal yang sama berlaku. Projek pelajar yang secara lazim (sukarela) disertai oleh pelajar berbagai bangsa di UKM sangat kecil sekali. Mungkin PBSM berjaya, begitu juga dengan MEP/JAKSA kolej. Tetapi bagaimana dengan persatuan anak negeri, persatuan fakulti atau di persatuan persatuan lain di Pusanika?
  15. Bolehkah perpaduan ini dijayakan dalam kampus UKM? Tentu boleh tetapi laluan sangat sukar. Pertama, semua etnik pelajar di UKM kena bersedia untuk berkorban kepentingan masing-masing. Saya tidak fikir cabaran ini dapat diselesaikan dengan mudah. Selepas 55 tahun, isu bahasa, agama, kewarganegaraan, hak keistimewaan Bumiputera dan hak keistimewaan bukan melayu, kontrak sosial dan sebagainya masih berterusan menjadi kekangan untuk pelajar UKM bersatu padu sepenuhnya secara lazim.
  16. Pelajar Melayu, Cina, India di UKM harus bersedia menjadi model kepada usaha membina kesepaduan bangsa Malaysia menjelang 2020. Pemimpin pelajar UKM punya peranan besar menerima cabaran ini. Mulakan perbincangan dalam majlis ilmu, cari resolusi dan laksankan agenda sekadar yang boleh untuk menunjukan bahawa pemimpin pelajar UKM bersedia untuk memberiakn contoh. 
  17. Tentunya langkah seterusnya yang paling utama ialah memecahkan tembok jurang  budaya, jurang bahasa dan jurang persefahaman agama antara pelajar berbeza etnik. Kalau pelajar Melayu bersedia hadir ke majlis Pesta Tanglung dan Pesta ponggal, pastinya pelajar CIna dan India juga akan sudi ke majlis sambutan hari raya atau sebagainya. Walaupun semua pelajar mengikuti kursus hubungan etnik, itu tidak cukup untuk membuka pandangan alam (world view) mereka tentang latar etnik lain yang mengamalkan budaya, bahasa dan agama yang berbeza dengan kita...untuk membina kesepaduan etnik, semua pelajar kena lalui pengalaman tersebut, bukan setakat tahu maklumatdi dalam dewan kuliah sahaja..