Saya masih ingat sekitar bulan September 2003, Kolej Rahim Kajai UKM pernah menganjurkan satu seminar yang agak unik di Dewan Anuwar Mahmud bertajuk "Malu di kalangan Orang Melayu". Itulah kali terakhir seminar seumpama itu diadakan di UKM, dan saya juga tidak pernah mendengar diadakan seminar sedemikian di mana mana IPTA yang lain juga selepas itu.
Pada saya seminar seperti itu sangat penting, bukan sahaja untuk memahami sifat dan budaya malu di kalangan masyarakat Melayu (khususnya pelajar Melayu), tetapi juga mencari jalan bagaimana pelajar Melayu dapat dididik menghilangkan sifat malu tidak bertempat dan meningkatkan keyakinan diri yang rendah.
Kita kena bezakan antara budaya malu tak bertempat dengan budaya malu yang baik. Budaya malu tak bertempat biasanya membawa kita kepada kelemahan akal, kelesuan jiwa berjuang, dan ketidakupayaan bersaing antara satu sama lain, lebih lebih lagi bersaing dengan diri sendiri. Manakala budaya malu yang baik, misalnya rasa malu untuk melakukan maksiat, malu menunjukan kesombongan dan riak, malu menfitnah orang lain. Budaya malu jenis baik ini tidak tergolong dalam apa yang ingin saya bincangkan.
Jika ada pelajar bukan Melayu (Tiong Hua dan India) yang membaca blog ini, jangan beranggapan seolah saya bersifat perkauman, kerana pada pelajar bukan Melayu di UKM yang kenal saya, mereka tahu bagaimana pandangan saya yang tidak membezakan pelajar pelajar saya mengikut etnik dan kaum.
Tetapi untuk kali ini izinkan saya hanya menyentuh tentang pelajar Melayu dan sifat malu mereka. Saya juga pasti tidak semua pelajar Melayu yang tergolong dalam apa yang akan saya sentuh nanti, ramai juga yang berkualiti sifat berani dan keyakinan diri mereka. malah ada yang sudah keluar dari kepompong budaya malu tak bertempat ini sama sekali.
Sejarahnya, orang Melayu memang satu bangsa yang hebat. Walaupun tamadunnnya tidaklah setua Tamadun China atau India, tetapi sejarah membuktiklan bangsa Melayu berjaya menjadi salah satu bangsa yang terkenal di dunia, khususnya di dunia sebelah timur. Kekuasaannya di laut terserlah, kekuasaan ekonomi juga hebat. Maknanya bangsa Melayu sebagai sebuah bangsa yang hebat telah wujud sekian lama.
Malangnya kerana sifat sifat yang tidak dinamik, kehebatan ini semakin hari semakin mengecil dan akhirnya ditelan zaman. Dan sifat sifat tidak dinamik seperti perasaan malu yang keterlaluan, sangat merendah diri, tidak yakin dengan kemampuan diri adalah antara sifat sifat dalaman Melayu yang dikenal pasti membawa kepada kelemahan ini sejak berkurun kuran lamanya. Guru saya, Allahyarham Datuk Prof Syed Hussein banyak meneliti perkara ini dan menulis di dalam beberapa makalah beliau yang boleh kita baca dan selidiki.
Dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam, kita sangat terikat dengan maksud malu yang telah bersepadu antara malu yang dianjurkan oleh agama dengan malu yang dianjurkan oleh adat. Kadangkala antara keduanya tidak ada kena mengena pun. Misalnya, kita sejak kecil diajarkan semasa makan jangan bercakap, sedangkan kita semua tahu waktu berkualiti bersama keluarga ialah ketika semua ahli keluarga berada di meja makan. Ketika kita menjamu selera, fikiran kita biasanya lebih terbuka (berbanding kita sedang sibuk bekerja) untuk berbual bual dengan ahli keluarga yang lain.
Malangnya kerana sejak kecil orang Melayu sangat teguh memegang adat jangan bercakap cakap semasa makan, kualiti masa untuk eratkan hubungan kekeluargaan diabaikan begitu sahaja. Semuanya menjadi sunyi di meja makan. Sedangkan berbual, memulakan perbualan dan kemahiran berkomunikasi perlukan latihan sejak kecil. Apakah Islam melarang kita bercakap semasa makan (dengan percakapan yang beradab)? Setakat ini saya tak jumpa pun larangan sedemikian dalam Islam. Ini adalah adat lama semata mata.
Budaya orang Melayu juga melarang anak anak menyampuk ketika orang tua berbual bual. Sedangkan jika kita inginkan anak anak mahir bersosial dengan semua lapisan orang, anak anak ini harus diberikan peluang untuk 'menyampuk' dengan sopan ketika orang tua berbual bual. Mulanya memang sukar, lama kelamaan bila anak anak ini sudah mahir berinteraksi dengan orang tua, akan kelihatan kebolehan komunikasinya.
Pada saya, jika acap kali anak anak dimarahi dan dilarang keras menyampuk, kononnya biadap, sampai bila bila pun anak anak Melayu tidak akan ada kemahiran berinteraksi dengan orang yang lebih tua daripadanya. jangan terkejut kerana budaya ini jugalah, sebahagian pelajar Melayu lebih suka mendiamkan diri dalam kelas tutorial, dan hanya "membuka mulut" bila diminta berbuat demikian! bagaimana agaknya mereka berupaya untuk menghadapi panel temuduga di waktu mencari pekerjaan kelak?
Pernah dengar peribahasa Melayu yang berbunyi "rezeki secupak tak kan jadi segantang"? Yang bermaksud kejayaan atau pencapaian tidak akan berlaku, cukuplah dengan apa yang ada. Budaya "cukuplah apa yang ada" ini sangat kuat mengungguli budaya orang Melayu. Malah saya perhatikan masih kuat terbenam dalam pemikiran dan jiwa pelajar Melayu UKM. Sikap tidak apa atau "cukuplah apa yang ada" bukan sahaja dalam kondisi mereka ketika belajar atau ketika mereka mencari bahan rujukan di PTSL, atau juga ketika berjumpa dengan pensyarah tetapi ada juga dalam penganjuran projek.
Boleh juga tanyakan diri anda sendiri sudah berapa kali anda berjumpa pensyarah semester ini, ketika mana cuti separuh semester sudah hampir tiba? Saya tahu ada pelajar bukan Melayu yang setiap minggu berjumpa pensyarah untuk mendapat bimbingan dan nasihat akademik, dengan senarai buku yang telah dirujuk sudah ada ditangan mereka. Saya juga tahu ada segelintir pelajar Melayu melakukan perkara yang sama, tetapi jumlah sangat kecil sekali.
Pelajar Melayu selalu diberikan "stereotyping" kerana kualiti kerja mereka bersifat "asal jadi". Maksudnya kualiti kerja akhir bukan satu persoalan yang ditekankan dalam pemikiran mereka. Sekali lagi saya katakan bukan semua begini. Ada yang bagus dan berkualiti tetapi jumlahnya terlalu kecil sekali. Pelajar bukan Melayu juga ada yang bersikap kerja 'asal jadi', tetapi jumlahnya juga sangat kecil. Lebih ramai bukan Melayu yang tidak sebegitu.
Kalau saya katakan mengapa English Speaking Zone kurang berjaya di kolej kolej kediaman UKM, jawabnya selagi budaya Melayu malu tidak bertempat kukuh dalam budaya dan pemikiran pelajar Melayu, selagi itulah sukar untuk dijayakan. Begitu juga dengan progarm keusahawanan pelajar dalam kampus UKM ini. Selagi budaya malu tidak bertempat ini tidak dibuang jauh jauh, anjurkanlah apa juga program, pasti sukar dijayakan.
Mereka biasanya malu untuk berlatih bertutur dalam bahasa Inggeris sesama rakan, kononnya takut tersilap dan diketawakan orang, begitu juga mereka sangat malu untuk memulakan perniagaan, alasannya takut rugi! Banyak peluang dalam hidup hilang kerana budaya malu tak bertempat ini kukuh dalam hidup seseorang pelajar.
Jika kita membaca tulisan Syed Husein Al Attas, The Myth of The Lazy Native, kita akan berjumpa sifat sifat ini dalam karya tulisan beliau. Begitu juga bila kita membaca tulisan Syed Husin Ali yang bertajuk "The Malays: Their Problems and Future". Juga buku kontroversi karya Tun Mahathir Mohammad yang berjudul "Malay Dilemma" yang sarat dengan kritikan terhadap budaya Melayu yang merugikan masa depan bangsanya.
Malah para orientalis barat seperti Frank Swettenham, Skinner, R.O Winstead dan Wilkinson juga telah menulis tentang budaya buruk orang Melayu yang jika dibiarkan akan melemahkan bangsa Melayu sedikit demi sedikit.
Kisah orang Melayu yang taksub pada tahyul dan kuasa ghaib, kisah orang Melayu yang suka mengadai dan menjual tanah dan emas untuk keuntungan yang cepat, kisah orang Melayu yang malas bekerja tetapi suka berpolitik (bercakap soal soal yang besar), begitu juga dengan sikap orang Melayu yang suka mengampu dan "membawa mulut"yang dimulakan oleh dari amalan feudalisme.
Jika kita selesai membaca semua tulisan tulisan ini, kita akan sampai kepada satu kesimpulan, orang Melayu sebenarnya satu jenis manusia yang sukakan sesuatu keuntungan dengan cepat, mereka juga tidak sabar dan tidak mahu melihat jauh ke depan. Tetapi mereka juga tidak suka ditipu, diperbodohkan dan dipinggirkan. Nanti 'amuk' pula mengambil tempat. Itulah sifat Melayu, walaupun benar ada juga Melayu yang berkualiti dan bagus.
Bila ada orang lain yang sudah mengkaji dan berjaya memahami kelemahan Melayu, pasti Melayu akan semakin sukar mempertahankan bangsa mereka lagi. Lihat angka angka ini sebagai contoh, sebelum tahun 1970, ekuiti orang Melayu di Malaysia hanya sekitar 1% sahaja. Selebihnya dikuasai oleh orang Inggeris dan bukan Melayu. Pada tahun 1990, ekuiti orang Melayu meningkat kepada 18%, walaupun penduduk Melayu di Malaysia ialah 60%, manakala pemilikan ekuiti bukan Melayu pada tahun 1990 ialah 82%, walaupun peratus penduduk bukan Melayu di Malaysia hanya sekitar 40% sahaja.(22% Cina, 11% India dan lain lain (7%).
Saya sebutkan hal ini supaya pelajar Melayu UKM segera sedar akan tangungjawab mereka membangunkan bangsa mereka sendiri. Pada masa yang sama, mereka harus tetap menjaga dan memelihara kesefahaman dan hak bangsa bangsa lain di Malaysia.
Perkara pertama yang mesti mereka lakukan ialah segera keluar dari rasa malu yang tak bertempat, bangunkan segera keupayaan berkomunikasi, mesti banyak membaca, mesti selalu berjumpa para pensyarah untuk mendapat bimbingan akademik, harus belajar secara konsisten dari awal semester, mesti siapkan semua assingment secara bersungguh sungguh dan berkualiti. Jika ini dapat dilakukan, anda sedang berada di separuh kejayaan.
Separuh lagi datang dari membangunkan bahasa Inggeris/Arab, membina kepimpinan diri yang terserlah, bijak menguruskan masa dan tahu membezakan yang buruk dengan yang salah. Dan tentunya juga semakin hari pelajar Melayu harus terus menerus menguatkan amal ibadah...khususnya solat..
Mahasiswa UKM, jangan malu malu tak bertempat lagi mulai hari ini...