Saya ingin ucapkan tahniah pada pelajar yang berjaya. Ada yang berjaya mencapai PNGK yang sangat membanggakan (4.00). Ramai yang mencapai 3.50. tetapi lebih ramai yang berada dalam kategori sederhana (3.00-3.49). Apa pun prestasi mereka masih boleh diperbaiki jika mereka mengubah cara belajar dan pengurusan masa mereka. Kata Peter Drucker "First Thing First". Jika ini berlaku, pasti prestasi akademik mereka akan meningkat pada semester depan.
Dalam pada itu, saya juga risau melihat masih ada pelajar yang berada dalam kelompok lemah (2.00-2.50). Bilangannya tidak ramai tetapi tidak bermaksud kumpulan ini tidak perlu diberikan perhatian. Mereka juga ada hak untuk berubah. Cuma mereka perlukan satu kekuatan baru yang 'luarbiasa' untuk berubah. Mereka bukan sekadar perlu ubah cara mereka belajar atau ubah cara mereka menguruskan masa, lebih besar dari itu, Mereka perlu segera INSAF, seinsaf insafnya mengapa mereka datang dan belajar di UKM, insaf tentang berapa besarnya harapan ibu dan ayah mereka di kampung, insaf tentang masa depan mereka yang semakin mencabar...atau jika tidak mereka akan kecewa selamanya.
Saya tidak bersifat perkauman, tetapi bila saya lihat keputusan akademik yang dianalisis, kebanyakan di dalam kumpulan yang lemah akademiknya adalah di kalangan pelajar pelajar Melayu. Ada antaranya saya kenal kerana aktif dalam aktiviti kolej. Ada juga yang saya jarang nampak (mungkin kurang aktif dan lebih suka berada dalam bilik tidur, mungkinkah mereka belajar? Atau mereka lebih aktif di tempat lain (fakulti atai persatuan luar kolej) dan bukan di IZISH.
Apa pun saya ingin ambil sedikit masa mereka (jika mereka membaca blog ini) untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah saya. Saya tahu kumpulan pelajar yang lemah akademik secara psikologinya tidak suka dipanggil beramai ramai untuk mendengar ceramah motivasi, mereka juga tidak suka membaca bahan bahan yang panjang lebar yang pada akhirnya akan menunjukkan kelemahan mereka. Mereka juga tidak suka kepada program motivasi akademik, apatah lagi diarahkan berjumpa orang itu dan orang ini, semata mata untuk mereka dipaksa mendengar leteran dan syarahan yang berjela.
Maka saya upload satu video pendek untuk mereka yang lemah akademiknya sebagai satu usaha kecil saya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengetua memberikan 'sedikit' kesedaran pada mereka. Pada pelajar yang tidak tergolong dalam kumpulan ini, yang sudah cemerlang prestasi akademiknya mungkin ini juga mampu menyedarkan anda.
Sekali lagi saya harap pelajar Cina dan India atau yang lain melihat tujuan saya ini dengan pandangan yang positif. Saya sekadar ingin pelajar Melayu di IZISH yang lemah prestasi segera bangun membina diri mereka supaya turut berjaya seperti anda...Selamat Menonton...