Kita tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan ini. Hanya Allah yang Maha Mengetahui, Mungkin kumpulan ASPIRASI, mungkin juga kumpulan GMUKM, mungkin juga kumpulan kumpulan kecil politik 'serpihan' untuk melaga lagakan ASPIRASI dan GMUKM. Atau mungkin juga individu yang tidak termasuk dalam mana-mana kumpulan di atas, yang melakukannya atas tindakan individu. Mungkin juga orang dari luar kampus UKM yang melakukannnya. Tetapi apa pun perlakuan ini pasti menimbulkan satu isu baru selepas redanya isu "Demo Dectar" minggu lepas oleh ISIUKM-GMUKM. Kita tidak dapat memberikan jawapan dengan tepat siapakah yang melakukannya, tetapi dengan kebijaksanaan yang Allah swt kurniakan pada kita, kita gunakanlah dengan matang untuk melihat apa natijahnya tindakan tidak matang ini.
Saya tidaklah terkejut sangat dengan budaya tidak bermoral ini. Kerana orang sebegitu memang ada pada setiap masa. Kesannya juga saya tidak akan terkejut. Pasti kumpulan yang marah dengan tindakan ini akan pula mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina pemimpin kerajaan pula. Maka situasi berantakan warga pelajar dalam kampus ini akan mengembirakan dan menjayakan cita-cita pencipta banner ini.
Kalau kita membaca mana mana pandangan penganalisis politik, kita akan berjumpa dengan istilah 'mengalih isu'. Ini adalah satu strategi dari puluhan strategi permainan politik yang efisyen bila digunakan. Istilah orang sekarang ialah membina 'isu murahan' untuk mengalihkan isu yang lebih besar. Misalnya bila seseorang ahli politik atau sesebuah parti melihat sesuatu tindakan mereka tidak popular, mereka akan berkecenderungan untuk mengalihkan isu besar dengan membina isu murahan agar isu besar atau tindakan-tindakan mereka yang tidak popular segera dilupakan orang.
Cuba renung-renungkan, dalam seminggu dua ini apakah ada tindakan-tindakan yang tidak popular di lakukan mana-mana kumpulan 'politik' dalam kampus UKM. Jika ada, maka strategi 'mengalihkan isu' perlu dilakukan segera oleh kumpulan berkenaan. Ini juga satu isyarat bahawa mereka mengaku dan sedar tindakan mereka sebelumnya adalah tidak popular dan mesti dialihkan sesegera mungkin.
Lemahlah fikiran kita untuk kita percaya, pihak atau kumpulan yang tidak ada apa-apa isu dalam seminggu dua ini dalam UKM secara tiba tiba ingin mencipta isu murahan yang akan menimbulkan kemarahan orang lain tanpa ada sebab yang jelas. Tidak cerdiklah mereka jika tiba-tiba mereka ingin membuatkan para pelajar menjadi benci dan marah pada mereka. Tindakan menaikkan banner menghina pimpinan utama sebuah parti politik secara tiba-tiba, apa untungnya pada pihak yang tiada isu atau masalah dalam kampus? Dan tentunya sangat tidak bijak pada mana mana pimpinan pelajar yang tiada isu untuk melakukan perbuatan sebegitu..
Saya tidak menuduh mana mana pihak, kerana hanya Allah sahaja yang mengetahui. Biarlah kita berserah kepadaNya. Cuma kita ada akal untuk melihat mengapa sesuatu berlaku dalam kehidupan kita...dan kita mesti berfikir dan buatlah kesimpulan yang matang. Mungkin juga ini satu hasil karya kreatif absurd dari seseorang yang ingin mengekpresikan bakatnya..siapa tahu? Cuma tema karyanya dan cara persembahan yang agak tidak kena...
Walallahu'alam...