Ini kisah lama. 20 tahun lalu saya pernah menjadi guru sementara ketika masih belajar di UKM.
Setiap kali cuti semester, saya akan mengajar di sebuah sekolah menengah swasta di kampung kelahiran saya. Saya masih muda ketika itu, punya berbagai cita cita dan aspirasi. Di kampus sudah sibuk dengan pelbagai aktiviti, bila bercuti ambil peluang pula untuk bekerja menambah pendapatan, sebahagiannya digunakan bila kembali semula ke UKM.
Tetapi bukan soal pendapatan tambahan yang ingin saya kongsikan. Tetapi soal lain, soal suara anak muda mesti didengar, dan tidak rugi mendengarnya. Anak muda suka perubahan, ingin melakukan perubahan.
Begitulah juga saya dulu sebagai anak muda. Jiwa saya sentiasa ingin melakukan perubahan. Hatta dalam hal hal yang kecil sekalipun. Ada dua kisah kecil yang saya ingin kongsikan tentang perubahan dan suara anak muda...
Kisah pertama, satu hari di sekolah tempat saya mengajar dulu, kira kira waktu tengahari sekitar jam 12.30 tengahari saya di dalam kelas sedang mengajar. Suasana yang panas menyebabkan para pelajar saya mengantuk dan tidak memberikan perhatian pada pengajaran saya. Zaman itu alatan bantuan mengajar tidak secanggih hari ini. Tiada tv, atau youtube yg boleh digunakan untuk menarik perhatian pelajar. Jauh sekali LCD atau audio-visual yang lain. Mereka juga merungut mereka lapar dan dahaga. Apa yang perlu saya lakukan untuk menarik perhatian mereka? Saya ambil keputusan untuk mendengar suara mereka dan ambil tindakan memenuhi permintaan mereka. Saya benarkan pelajar saya keluar dari kelas dan pergi ke kantin untuk membeli air minuman dan makanan. Seperti tersentak dari tidur, mereka seperti seakan tak percaya. Mana pernah guru benarkan pelajar keluar waktu belajar keluar membeli air di kantin. Bukan seorang tetapi satu kelas!
Pada yang lapar, saya benarkan mereka membeli makanan kering sahaja seperti bun, roti dan sebagainya. Syaratnya, dalam sepuluh minit mereka harus berada di dalam kelas untuk menyambung pelajaran semula. Saya juga benarkan mereka makan dan minum dalam kelas sambil saya meneruskan pengajaran. Kesannya sangat mengkagumkan. Bukan sahaja semua pelajar mula memberikan perhatian dan terlibat dan pengajaran saya, mood mereka juga berubah sama sekali. Mereka lebih riang, gembira dan seronok. Saya korbankan sepuluh minit, saya dapat 70 minit masa mengajar yang berkualiti. Satu pelaburan yang cukup menguntungkan! Rupanya keizinan saya untuk mereka makan dalam kelas telah membantu pembelajaran menjadi lebih baik untuk para pelajar.
Akibatnya, keesokan hari saya dipanggil oleh pengetua sekolah. Seperti dijangka beliau tidak setuju dengan cara saya kerana saya dikatakan melanggar peraturan dan etika sekolah. "Mana boleh keluar beli makanan waktu kelas berjalan dan tidak boleh pelajar makan dalam kelas", katanya. Saya tahu itu kesalahan, saya juga telah pohon maaf dari beliau tetapi pada saya peraturan yang tidak membantu pelajar belajar dengan berkesan bukanlah satu peraturan yang baik. Pada saya peraturan yang baik haruslah menyokong kepada tujuan tujuan pendidikan. Kalau peraturan itu menyekat dan mengagalkan tujuan pendidikan, eloklah disemak semula.
Tentulah tidak betul kalau saya membenarkan pelajar membeli mee goreng, nasi lemak atau sebagainya dan makan dalam kelas (kerana itu juga akan menganggu dan mengagalkan pembelajaran) tetapi sekadar air sirap atau air kosong dengan sekeping dua roti tentu sahaja tidak menjadi halangan...tetapi kerana saya orang muda dan pengetua orang lama, tindakan saya tetap dikatakan salah. Saya akur sahaja.
Kisah itu tamat di situ sahaja dan saya kembali belajar di UKM bila semester di buka semula. Tapi saya dapat khabar dari kawan kawan di sana, pihak sekolah tersebut telah melonggar sedikit polisi dengan membenarkan pelajar membawa masuk air minuman dan roti untuk di makan dalam kelas asal tidak semasa guru mengajar. Pelajar juga katanya dibenarkan membeli makanan selain waktu rehat dengan syarat mendapat kebenaran guru. Syukurlah mereka telah meminda peraturan yang tidak menguntungkan seperti itu. Jika saya mengambil sikap menentang, meninggi suara dan tidak mahu memohon maaf, apakah mereka bersedia membuat perubahan. Tiada siapa yang tahu...
Kisah kedua, ketika saya belajar di University of London. Kami di dalam student union meminta supaya harga makanan kafetaria dikurangkan. Permintaan kami supaya diadakan makanan dengan harga lebih murah tidak mendapat perhatian pihak universiti. Suara kami tidak didengar. Kami terkilan bila kafetaria tidak bersedia mengurangkan keuntungan mereka. Kami juga sedih bila pihak universiti tidak bersama suara kami. Tetapi kami tidak pula berdemo atau memberontak dengan sikap mereka. Beberapa orang pelajar telah membuat tindakan yang sangat menarik. Dan jauh lebih berkesan dari sekadar berdemo.
Sebagai menyatakan bantahan, kami menyediakan makanan tengahari paling murah untuk pelajar setiap hari Isnin dan Rabu. Dengan harga satu pound kami mampu sediakan menu nasi putih, kari telor, dengan sayur kobis. JIka ada pelajar ingin membayar lebih dari satu pound sebagai tanda sokongan mereka dialu alukan.Kebanyakan pelajar Asia menyambut baik tindakan ini. Setiap kali, kami sediakan untuk makanan untuk 100 orang. Tindakan ini rupa-rupa menyebabkan pemilik kafetaria universiti bersedia menurunkan harga makanan mereka. Kami berjaya dengan cara kami sendiri...semuanya bermula bila suara kami tidak didengari..
Dua kisah ini, telah terjadi pada saya sendiri. Kedua-duanya dan juga banyak lagi kisah kisah lain telah mengajar saya bahawa suara anak muda tidak rugi didengari. Suara mereka perlu dirai dan dihormati. Jika mereka silap, bukan maknanya mereka benar benar bersalah. Mungkin ada pihak luar kampus yang menggunakan mereka, atau mereka masih tidak nampak apa yang saya nampak. Kadang kala juga sebaliknya. Mereka sebagai anak muda nampak apa yang saya sebagai orang tua tidak nampak. Ada masanya idea dan cara mereka lebih sesuai dengan persekitaran masakini termasuklah di universiti. Sekurang kurangnya idea itu boleh saya dengar untuk menjayakan kebaikan dan kebajikan mereka sendiri...