Dengan masa yang tinggal ini, tentu anda juga harus melihat masa depan anda selepas bergraduan nanti. Apakah yang telah anda bina sepanjang di UKM untuk bergelar seorang graduan. Saya kemukakan lima soalan yang mungkin boleh anda renungkan tentang pencapaian anda sepanjang anda di UKM;
- Apakah anda telah mencapai keputusan akademik yang membanggakan ibubapa anda, keluarga dan diri anda sendiri. Apakah PNGK terakhir yang akan anda perolehi sebelum bergraduan nanti? 4.00, 3.50, 3.00 atau di bawah 2.50? Apakah anda rasa pencapaian anda berbaloi dengan kesungguhan anda belajar? Apakah anda sebenarnya boleh mencapai keputusan yang lebih baik dari itu? Apakah anda menyesal dan kecewa dengan prestasi akademik anda? Bagaimana dengan keputusan rakan rakan anda? Siapa yang cemerlang di kalangan mereka? Mengapa mereka dan bukan anda?
- Apakah anda telah menguasai sekurang kurangnya dua bahasa dengan berkesan sekali? Apakah bahasa Melayu anda baik dan menyakinkan? Bagaimana dengan prestasi bahasa Inggeris anda? Bagi pelajar FPI, bagaimana dengan penguasaan Bahasa Arab anda? Apakah penguasaan bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa Arab anda akan membezakan keupayaan dengan dengan rakan rakan yang lain. Lihat di sekeliling anda, siapakah antara rakan anda yang dulunya ketika masuk ke UKM langsung tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris atau Arab tetapi sekarang sudah boleh bertutur dan menulis dengan baik dalam bahasa berkenaan? Apakah anda menyesal kerana tidak berusaha menguasai bahasa ini dulu? Apakah anda yakin untuk hadir ke temuduga memndapat pekerjaan nanti yang hampir kesemua sesi temuduga akan diadakan dalam bahasa Inggeris (sektor kerajaan dan swasta)? bagaimana anda boleh bersaing untuk mendapat pekerjaan yang sangat anda inginkan? Atau anda terpaksa menganggur setahun dua selepas graduan kerana anda tidak mahir bahasa Inggeris?
- Bagaimana dengan pengalaman beraktiviti anda? Berapa jawatan tinggi dalam persatuan atau projek yang anda pegang semasa di UKM. Atau anda sekadar 'pengangkat kerusi meja' sepanjang terlibat dengan aktiviti di UKM. Berapa pula anugerah kecemerlangan UKM yang telah anda perolehi, bukan untuk berbangga tetapi sebagai bukti kebolehan anda? Lihat di sekeliling anda, apakah ada rakan rakan anda yang telah mewakili UKM atau negara sebagai ahli debat, kesenian, sukan atau sebagainya. Apakah ada rakan rakan anda yang telah terlibat dalam program antarabangsa atau program mobiliti ke luar negara. Agaknya bila di bilik temuduga nanti apakah cerita hebat yang ingin anda kongsikan dengan panel penemuduga anda?
- Berapakah orang yang telah anda kenal yang menjadi 'jaringan bidang' anda di sektor pekerjaan. Siapakah mereka? Adakah mereka pengarah syarikat GLC, pengarah sumber manusia syarikat syarikat multi nasional atau pegawai sumber manusia di jabatan kerajaan? Atau anda masih tidak ada sesiapapun yang anda telah bina 'networking'. Jika anda lihat sekeliling, pasti ada di kalangan rakan rakan tahun akhir yang telah mempunyai senarai networking atau 'jaringan bidang' yang telah mengenali rakan rakan anda apabila mereka masuk ke bilik untuk di temuduga nanti.
- Soalan terakhir mungkin tidak ada kena mengena dengan pekerjaan. Tetapi lebih besar dari itu. Apakah setelah bertahun berada di UKM, anda rasa anda telah menjadi insan yang lebih baik dari sebelum anda masuk ke UKM. Apakah solat anda lebih teratur sekarang? Apakah nilai hidup anda (sabar, mesra dengan semua orang, berbaik sangka etc) lebih mengembirakan anda sekarang? Apakah di tahun akhir ini, pengurusan masa anda lebih baik? Dan mungkin yang terakhir, seingat anda apakah anda pernah melalui pengalaman beraktiviti yang secara langsung membantu insan lain yang dalam kesusahan? dan yang paling besar sekali, secara ikhlas apakah anda rasa anda telah melakukan yang terbaik dalam semua hal sepanjang berada di UKM?
Sekali imbas, semua soalan ini mudah untuk anda jawab. Tetapi jika anda ambil sedikit masa dan merenung apakah jawapan anda benar benar jujur, anda pasti akan rasa kegelisahan. Rasa seba salah, lebih lebih lagi pada yang tidak melakukan yang terbaik sepanjang pengajian di UKM. Mungkin anda sedar kini anda telah terlalu terleka, terleka dengan kesibukan berpolitik (terpana dengan populariti, pujian dan jiwa yang ingin berjuang), atau terleka kerana sibuk bercinta, terleka dengan sikap tidak bersungguh sungguh dalam belajar dan lebih suka bermain main (termasuk membuang masa yang keterlaluan di internet). Atau apakah anda juga sebenarnya telah tersalah pilih kawan kawan?
Apapun masa yang tinggal sudah terlalu singkat untuk anda. Dalam tempoh kurang 10 minggu sebelum sesi ini tamat, anda tentu akan sangat sibuk menyelesaikan projek akademik, sibuk dengan tugasan dan sebagainya. Masa untuk memperbaiki hal hal yang lain mungkin sudah sempit sekali. Jika pun ingin diperbaiki, tentulah tidak sama jika anda mulakan sejak di tahun satu dahulu. Anda masih boleh mencuba dan berusaha. Mulalah kuasai bahasa Inggeris, mulalah kenali jaringan atau 'network' anda dan sebagainya.
Jika di tahun satu dulu anda menentukan apa yang ingin anda lakukan, kini masa yang akan menentukan...