11 March, 2013

Mana Perginya Karyawan Mahasiswa UKM?


Sejak sekian lama pelajar UKM tahu bakat seni mereka diiktiraf oleh pihak universiti. Maka hasilnya ada pelajar UKM yang hebat dalam tarian, debat, pantun, teater dan sebagainya. Dalam bidang kepimpinan politik mahasiswa, UKM apatah lagi. Dengan permainan politik tanpa henti antara "GMUKM" vs Aspirasi, para pimpinan pelajar UKM lebih di kenali oleh IPT lain sebagai zon medan tempur  'peperangan' politik mahasiswa. Seolahnya kita seperti telah menerima bahawa politik adalah satu satunya perkara yang mampu menjadi platfrom aktiviti mahasiswa menunjukkan kebolehan mereka.

Tetapi kita mungkin lupa sejarah. Kita lupa bahawa negara ini terbina perjuangannya menuntut kemerdekaan, sebenarnya datangnya dari tangan dan minda kumpulan penulis dan karyawan.

Kita harus tahu bahawa bukan ahli politik Melayu yang memulakan cita cita membina bangsa yang merdeka. Penulis dan karyawanlah yang memulakannya. Ketika awalnya, sejarah membuktikan pemimpin elit Melayu masih akur bersama penjajah mentadbir Tanah Melayu. Walaupun mereka adalah pemimpin Melayu tetapi tidak semua mereka melihat kemerdekaan sebagai satu matlamat perjuangan mereka.  Ada di kalangan pemimpin melayu ketika itu bimbang dan sangsi mampukah orang Melayu mentadbir negara mereka sendiri tanpa bantuan penjajah. Sekitar 1920an, golongan kaum muda Melayu yang terdiri dari golongan yang belajar di Timur tengah seperti Al Azhar di Mesir kembali ke tanah air sebenarnya yang memulakan idea perjuangan membebaskan bangsanya dari penjajahan Inggeris. 

Sifat perjuangan mereka merentas negeri negeri Melayu berbanding perjuangan sebelumnya era 1850an ketika perjuangan Dol Said di Naning, Tok Janggut di Kelantan, Mat Kilau dan Dato Bahaman di Pahang atau Rentap di Sarawak. Pahlawan Melayu hanya berjuang berciri wilayah kedaerahan dan tidak menyeluruh ke seluruh tanah air. Berbeza dengan kaum muda yang telah berjaya mengerakkan perjuangan di seluruh negeri negeri Melayu.

Soalnya bagaimana mereka melakukannya? Bagaimana dengan jumlah yang kecil kumpulan kaum muda seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Al Hadi dan rakan rakan yang lain mampu berjuang? Ya, dengan menulis, dengan berkarya. Dan mereka menulis tanpa jemu jemu, istiqamah dalam melaksanakan usaha usaha perjuangan ini. Maka lahirlah akhbar akhbar kecil seperti Chahaya pada 1900 di Pulau Pinang, Idaran Zaman pada 1925.

Begitu juga majalah Al Iman, Majlis dan berbagai surat khabar lain di awal abad ke 20. Hanya setelah golongan penulis dan karyawan memulakan perjuangan menuntut kemerdekaan, bila sudah menyelinap dalam masyarakat akan erti kebebasan dan kemerdekaan, perjuangan ini disambut pula oleh golongan pendidik dan para guru lepasan MPSI (SITC).

Saya bawa sejarah perjuangan bangsa  ini dengan seringkas mungkin untuk menyatakan betapa karyawan seperti penulis, penyajak, cerpenis, kartunis, pelukis, penyanyi, pelakon dan berbagai lagi bentuk karyawan yang sebenarnya telah memberikan impak yang besar dalam mengubah pemikiran dan budaya sesebuah masyarakat.

Dalam kampus UKM, kita mengharapkan para karyawan mahasiswa UKM dapat diwujudkan di kampus ini. Jika selama ini kita mungkin terlalu berfokus dalam melihat dan membangunkan karyawan dengan maksud kesenian, maka sudah tiba masanya kita membuka makna karyawan dalam bentuk yang lebih luas dan dinamik. Bukan sekadar muzik dan teater, atau tarian dan pantun. Kita hanya melihat penyanyi, penari, pengiat teater, pemantun sebagai pengiat kesenian dan karyawan di UKM. Kita juga harus mengiktiraf penulis, cerpenis, pelukis, kartunis, penyajak, penyair dan yang lain sebagai karyawan mahasiswa.

Kita ingin melihat lebih ramai penyajak seperti Usman Awang, Rendra, Keris Mas, Muhammad Haji Salleh di UKM. Kita juga ingin melihat lebih ramai pelukis seperti Latif Mohidin di kampus ini. Kita juga ingin melihat lebih ramai penulis penulis novel yang hebat seperti A Samad Said dan Shahnon Ahmad.

Hanya dengan usaha dan pengiktirafan sebegini, penulis dan karyawan mahasiswa UKM boleh muncul dengan idea baru, mempunyai daya kritikan membina serta menjadi peneraju minda mahasiswa di menara gading keramat ini.Tetapi jika karyawan ini dipinggirkan dan tidak dibangunkan, tidak diiktiraf dan tidak diberikan peluang oleh pihak universiti, pasti bakat dan jiwa mereka tidak dapat disuburkan. 

Sudah tiba masanya diwujudkan Kelab Karyawan Mahasiswa di UKM. Berbagai program dari bengkel, pertunjukan, wacana, dialog, seminar, penulisan blog, pertandingan, kem karyawan, penerbitan karya, lawatan dan sebagainya dapat dijayakan. malah jika pereka fesyen juga seorang ahli karyawan, UKM tentu ada pertunjukkan fesyen untuk mengiktiraf karyawan mahasiswa UKM dalam bidang rekaan fesyen.

Menjadi impian, satu hari nanti ingin sekali saya dapat hadir ke Malam Anugerah Karyawan UKM yang meraikan para karyawan mahasiswa UKM. Malam gala yang mengumpulkan sebanyak mungkin penyair tersohor Malaysia, penulis mapan negara, cerpenis prolifik, novelis tersohor serta para pengiat seni negara. Semua hadir meraikan karyawan mahasiswa UKM.

Malah, ingin sekali saya melihat adanya acara Festival Karyawan Mahasiswa IPT di UKM. Acara yang dipenuhi dengan pameran, dialog dan wacana oleh karyawan Mahasiswa IPT seluruh negara yang berkampung di UKM. 

Kita berharap UKM bukan hanya ada pimpinan politik mahasiswa, pengiat kesukarelawanan, ahli sukan, pengiat kesenian tetapi juga kita ingin wujudnya karyawan mahasiswa. Mereka yang menulis dan melukis, mereka yang menghasilkan novel, cerpen, antologi pantun, sajak, syair, menghasilkan filem pendek, penulis blog dan sebagainya.

Kita mungkin tidak melihat hal ini dijayakan pada masa ini. Kita harus merasa 'berdosa' kerana telah sekian lama  'pinggirkan bakat besar para karyawan mahasiswa UKM. Tanpa kita sedar, kita sebenarnya tidak belajar dari sejarah, bahawa para karyawan juga boleh memiliki pengaruh yang kuat suaranya  dalam membina masyarakat kampus UKM.

Selama ini kita telah kecilkan skop dengan melihat pemimpin politik sahaja boleh menyemarakkan kampus. Kita lupa  dalam banyak  hal "pena sebenarnya jauh lebih tajam dari kata kata". Kealpaan kita mesti ditamatkan. Karyawan mahasiswa UKM..bangunlah berkarya dan mulalah bersuara...