03 March, 2013

Majlis Felo IZISH Akan Pelopori Takrif Projek Pelajar Yang Lebih Menyeluruh...

Ada beberapa PM Facebook yang saya terima, minta saya komen tentang prestasi GMUKM dan juga ASPIRASI. Sejauh mana keupayaan dan kejayaan MPP mereka setakat ini? Saya rasa bukan saya yang patut menilai prestasi mereka. Para pengundi PRK UKM-lah yang lebih layak menilai keupayaan pemimpin mereka. Cuma saya sekadar ingin mencadangkan sebagai berlaku adil pada para pengundi PRK UKM, sebaiknya semua MPPUKM dari kelompok ASPIRASI dan GMUKM secara personal mengeluarkan "Report Card"  masing masing, apakah yang telah mereka lakukan sebagai MPPUKM dalam  memberi sumbangan pada pelajar. Tentu menjadi harapan para pelajar UKM untuk melihat sumbangan semua MPP mereka dengan memaparkan kad kemajuan MPP masing masing supaya pelajar UKM dapat membuat penilaian sejauh mana usaha semua "Yang Berhormat" UKM sesi ini. Tetapi jangan pula dikeluarkan kad kemajuan GMUKM atau Kad kemajuan Aspirasi. Itu tidak tepat. Pelajar tidak dapat meneliti dan menilai prestasi sebenar setiap MPPUKM dan tentu sahaja ada MPPUKM yang 'curi tulang' akan berjaya disembunyikan kelemahan usaha mereka! Itu sahaja yang saya boleh cadangkan. Kita lihat sahaja MPPUKM kelompok mana yang akan keluarkan kad kemajuan terlebih dahulu.

Saya cadangkan hal ini kerana seperti di IZISH, kami telah budayakan setiap felo IZISH mengeluarkan laporan aktiviti mereka setiap bulan. Pelajar yang berminat untuk mengetahui apakah yang telah felo iZISH sumbangkan kepada pembangunan pelajar IZISH boleh hadir ke pejabat kolej untuk melihatnya. Ini bagi saya penting untuk membuktikan kewujudan jawatan felo di IZISH adalah sesuatu yang penting dan relevan kepada pembangunan pelajar IZISH. Itulah respons saya.

Kali ini izinkan saya memberikan sedikit pandangan tentang takrif 'projek pelajar UKM'. Kita harus mula berfikir untuk memperkemaskan maksud “Projek Pelajar” dari hanya satu peringkat iaitu “penganjuran projek” kepada 3 peringkat iaitu a)Penjanaan Idea Projek ; b)Penganjuran Projek dan c) Penjenamaan Projek.



Rasional

Amalan sekarang semua pihak dari pentadbir pembangunan, para pensyarah, kalangan penyelia LC dan khususnya kepimpinan pelajar memahami bahawa takrif projek ialah satu aktiviti yang bermula dengan menyediakan proposal, memohon kelulusan, mencari dana projek, pelaksanaan, post mortem dan seterusnya menghantar laporan kepada JPPEL. Takrif ini tidak sepenuhnya tepat dalam ertikata untuk memahami apakah yang dimaksudkan dengan projek pelajar sepenuhnya.

Maka kita perlu memgemaskinikan dan memperhalusi takrif ini dengan benar benar menjadikan keseluruhan aktiviti dari mula hingga akhir  membawa maksud ‘projek pelajar’. Oleh itu, dicadangkan keseluruhan aktiviti pelajar dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu;
a) Penjanaan Idea Projek; 
b) Penganjuran Projek ; 
c) Penjenamaan Projek. 

Melalui tiga peringkat ini, setiap aktiviti pelajar UKM dapat dibina prosedur yang lebih sistematik, lebih menyeluruh dan akan banyak membantu penyelia membuat penilaian Learning Contract yang lebih tepat dan menyeluruh. Pada masa yang sama juga kualiti projek dapat diteliti serta tekal pelaksanaanya pada setiap masa. Pada yang inginkan maklumat lanjut, pihak IZISH akan terbitkan Manual Prosedur Projek Pelajar yang akan menjelaskan semua peringkat ini tidak lama lagi....