AUKU telah dipinda pada 2012. Satu langkah berani oleh kerajaan dibawah kepimpinan DS Najib. AUKU sebenarnya satu akta yang besar dan menyeluruh berkaitan pengajian tinggi. Tanpa AUKU, maka tidak boleh berlaku penubuhan universiti dan kolej di Malaysia seperti hari ini. AUKU adalah kerangka undang undang yang menguruskan keseluruhannya tentang universiti, kolej dan pusat pengajian tinggi. Dari hal pengurusan tertinggi universiti, kenaikan pangkat, governance universiti, bidang pengajian, penubuhan fakulti hinggalah soal kebajikan pelajar, penubuhan kesatuan pelajar (termasuklah MPP universiti) dan sebagainya.
Tetapi saya melihat pelajar secara keseluruhannya tidak begitu faham soal soal tersebut. Segelintir pelajar yang berminat dengan politik akan mengambil sedikit usaha memahami AUKU dalam konteks seksyen 15 yang mengutarakan soal kegiatan pelajar di universiti dalam kaitannya dengan politik. Itu sahaja.
Maka perjuangan berkaitan AUKU telah disempitkan kepada soal perjuangan memansuhkan Seksyen 15 AUKU, subseksyen 15(a), 15(b) dan 15(c). Akhirnya pindaan seksyen 15 telah dilakukan oleh Parlimen Malaysia dengan membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik negara sepenuhnya dengan syarat tidak membawa masuk kegiatan politik tersebut di dalam kampus. Nampaknya mahasiswa gembira dengan pindaan ini dan sedang menunggu nunggu untuk mempraktikkanya dalam PRU13 yang akan datang tidak lama lagi.
Pindaan AUKU secara jelas telah membenarkan mahasiswa berpolitik. Kerajaan yang memerintah pada hari ini telah bertindak bijak dengan keputusan ini. Persoalannya adakah mahasiswa juga bijak memposisikan diri mereka dalam situsai politik sebagai pemimpin masa depan untuk negara, bukan sekadar menjadi alat politikus luar yang tidak sabar sabar akan 'mengguna dan memperalatkan' semangat mahasiswa untuk survival politik mereka.
Masyarakat (melalui parlimen) telah memperakukan bahawa mahasiswa boleh berpolitik dan aktif dalam kegiatan politik mereka. Soalnya mampukah mahasiswa menangani perakuan ini dengan menjadi satu kumpulan 'pemimpin pelapis' kepimpinan negara yang mempunyai idealisme tersendiri dalam perjuangan mereka. Jika mereka menjadi penyokong UMNO-PAS-PKR-DAP atau apa juga parti politik, mampukan mereka menjadi penggerak kepada idealisme politik yang murni dan bermoral dalam parti berkenaan? Atau apakah mahasiswa akhirnya tidak lebih semata mata menjadi 'macai-macai politik' (menggunakan istilah bahasa pasar mahasiswa).
Apakah mahasiswa mampu berdiri bersama dalam arus partisan politik dan berkata, walaupun kami mahasiswa memberikan sokongan pada parti politik yang berbeza, kami sebagai mahasiswa yang menjadi pelapis kepimpinan negara menolak sama sekali budaya politik bangkrap yang menggunakan isu perkauman dan agama dalam berpolitik! Saya fikir jika mahasiswa tidak mampu bersatu (tanpa mengira apa juga parti yang mereka sokong) untuk menolak budaya politik bangkrap ini, AUKU yang dipinda tidak memberikan manafaat kepada mahasiswa yang berpolitik.
Jika mahasiswa masih menjadi pendukung dan pewaris kepada budaya politik sempit yang menggunakan agama, kaum, mengamalkan politik menghina, mengeji dan menfitnah sesama manusia, perakuan AUKU yang membenarkan mahasiswa berpolitik tidak memberikan sebarang kebaikan.
Mahasiswa tanpa mengira apa juga parti politik yang mereka sokong (atau yang di atas pagar sekalipun) harus menjadi tenaga yang menolak politik bangkrap dan memperjuangkan politik nilai. Mereka harus membangunkan politik berteraskan ilmu, dengan membuka kepada budaya diskusi, hujah dan debat untuk mendapatkan sokongan dan populariti politik. Mahasiswa harus menolak budaya menggunakan "ketakutan dan ketaksuban" dalam mendapat sokongan politik. Saya fikir inilah asas kepada pindaan AUKU dan mengapa mahasiswa perlu terlibat dalam politik negara.
Kita tentu tidak dapat memberikan amanah meningkatkan kualiti politik nilai berteraskan ilmu untuk dipikul oleh anak muda di kampung atau sebagainya. Bukan mereka tidak bijak tetapi amanah ini lebih tuntas dipikul oleh para mahasiswa di universiti. Jika tidak, apa maknanya mahasiswa berada di menara gading menikmati segala macam kemudahan menyerap ilmu ilmu baru dan lama untuk membangunkan negara dan masyarakat pada masa depan.
Sebab itu saya mendoakan supaya di kalangan kepimpinan mahasiswa universiti, mereka mesti selalu meletakkan amalan politik nilai sebagai asas dalam mereka berpolitik dalam kampus. Mereka harus membina model politik nilai untuk dilihat dan difahami oleh mahasiswa yang lain. Mereka harus dapat memposisikan diri mereka dengan menunjukkan contoh apakah itu politik nilai dan pemikiran politik baru yang berteraskan nilai murni kepada masyarakat luar kampus dan pada yang sama bersatu berjuang menolak politik bangkrap.
Di UKM, budaya politi nilai ini seperti baru ingin bermula. Bila bila masa jika tidak diperkukuhkan akan hilang begitu sahaja. Budaya mengucapkan tahniah di atas kejayaan 'parti lawan' menganjurkan program, budaya berdiskusi dan berdebat untuk meningkatkan kefahaman warga kampus, budaya menolak perkataan perkataan yang kotor, jijik, fitnah dan mengeji orang lain, menyokong budaya memupuk keilmuan dan turut hadir majlis anjuran lawan politik mesti diamalkan.
Sebab itu saya menolak budaya anti surat khabar. Satu tindakan yang sangat tidak bijak bila mahasiswa bersetuju dengan ungkapan 'jangan baca Utusan Malaysia, atau jangan tonton berita TV3, semata mata tidak bersetuju dengan sesebuah parti. Begitu juga saya akan mengegleng kepala jika ada ungkapan jangan baca Harakah dan sebagainya semata matanya tidak bersetuju dengan parti yang terbitkan Harakah. Maklumat datang dari berbagai sumber. dari maklumat yang pelbagai, penaakulan kita membina ilmu.
Bacalah sejarah bagaimana perkembangan ilmu dari tamadun Islam beralih ke barat selepas empayar Fatimiah di Mesir, kerana kesediaan sarjana barat menelaah sumber sarjana Islam. Jika mereka menolak sumber semata mata kerana datang dari masyarakat Islam, pasti hari ini barat tidak mempelopori ilmu perubatan, falsafah dan astronomi sebagai mana hari ini.
Bacalah juga bagaimana sebelum perjuangan kaum Muda di awal abad ke 20 di Tanah Melayu yang dipelopori oleh Syed Sheikh Alhadi, Sheik Tahir Jallauddin, semasa pemikiran kaum tua begitu kuat menolak pemikiran dan sumber perubatan yang di bawa oleh pihak Barat, kononnya pemikiran itu pemikiran bukan Islam. Jika itulah pegangan kita sekarang, tentunya kemajuan kesihatan masyarakat kita masih lagi seperti masyarakat di Somalia, Sudan atau Uganda yang berpegang teguh kepada tradisi perubatan yang dibawa pawang dan dukun dalam masyarakat mereka.
Kita yang diberikan pendidikan harus mencari maklumat dari semua sumber, menaakul semua maklumat tersebut sehingga menjadi ilmu pengetahuan yang berguna kepada kita. Adalah satu "kebodohan' dalam diri kita, apabila kita menerima hujah menolak sumber maklumat kerana bimbang kita akan dipengaruhi atau bimbang kita percaya bulat bulat sumber tersebut.
Saya anggap satu penghinaan yang besar kepada diri saya, jika ada orang yang berkata pada saya "jangan baca Utusan Malaysia, semua tu tak betul, atau yang berkata pada saya "jangan baca Harakah, semua tu tipu. Saya ada fikiran saya sendiri, saya tahu berfikir dan saya boleh membuat penilaian terbaik untuk diri saya. Saya juga harap semua mahasiswa juga begitulah.
Menghalang kita dari membaca apa yang perlu dibaca untuk mendapat maklumat yang pelbagai, semata mata takut kita terpenagruh, bukankah itu satu penghinaan kepada diri kita? Bodohlah kalau kita membuat anggapan bahawa orang yang sedang membaca Harakah itu pasti penyokong kuat PAS, atau yang membaca Utusan Malaysia itu penyokong tegar UMNO! Bila saya menulis di blog ini pun, saya tidak pernah anggap atau marah jika ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya. Itu hak dan kebijakan masing masing untuk menilai. Akal dan pemikiran yang baik adalah anugerah terhebat yang Allah swt berikan pada kita. Kerana akal kita mengenal Allah swt. Itu bezanya kita dan ciptaan yang lain. Bersyukur dan gunakanlah sebaik baiknya. Jangan sampai kita dipergunakan oleh orang lain. Tidak mengamalkan pemikiran yang bijak juga adalah satu pembaziran dan pengkhianatan kepada kurniaan Allah swt pada kita.
Pada saya setiap dari kepimpinan mahasiswa harus mengutarakan idea masing masing, kebijakan masing masing, iltizam dan usaha masing masing untuk memajukan masyarakat pelajar di kampus UKM. Jika 'GMUKM" menganjurkan diskusi "Real Politik: Apa kata Anda?" dan dipanelkan oleh wakil ASPIRASI untuk mengutarakan pandangannya, maka di pihak ASPIRASI juga boleh menganjurkan diskusi misalnya "Menganalisa Pencapaian Transformasi Kerajaan" Adakah Satu Real Politik? dengan menjemput wakil GMUKM pula sebagai ahli panel.
Politik adalah permainan seni mempengaruhi. Bukan kesudahan kepada sesuatu. Seorang ahli politik yang dapat membaca apa kehendak pengundinya, dan tahu bagaimana untuk memenuhi kehendak tersebut, pasti menang dalam permainan politik ini. Mahasiswa UKM menghormati pemimpin yang menyanjung tinggi budaya ilmu, mereka juga ingin pada pemimpin pelajar UKM yang secara konsisten memperjuangkan kebajikan mereka, mereka juga suka pada pemimpin politik yang berpolitik secara bermoral dan bernilai murni.
Pelajar UKM juga inginkan dan akan bangga dengan pemimpin pelajar yang kemas, bersih, bergaya secara sederhana, bijak bersosial, yakindiri yang tinggi serta mempunyai pengetahuan semasa yang mengkagumkan. Mereka juga ingin pemimpin mereka yang mempunyai misi dan visi yang jelas. Punyai perancangan tahunan yang kemas dan boleh dikongsi bersama.
Mereka juga harapkan pemimpin mereka merancang dan melaksanakan manifesto seperti yang dijanjikan. Bukan setakat menjadi 'broker' yang menyampaikan maklumat JPP, bahagian Akademik UKM dan Jppel kepada pelajar semata mata. mereka akan menolak pemimpin pelajar UKM yang menggunakan strategi menakut-nakutkan mereka atau cuba membina ketaksuban semata untuk mendapatkan sokongan. Maka kepada para pemimpin pelajar UKM, fahamilah pengundi anda. Segera bina budaya politik nilai dan tolak budaya politik bangkrap di UKM. Siapa yang berjaya, dialah yang akan mendapat undi pelajar UKM...