Ikutkan hati inilah gambaran yang diingini di setiap kafetaria dalam UKM. Cantik, bersih dengan pilihan makanan yang pelbagai. Kafetaria sepatutnya menjadi tempat pelajar bertemu, berbincang dan berbual dalam kampus UKM. Dengan kepelbagaian makanan yang menyelerakan, perkhidmatan wifi yang laju, tentu sahaja kehidupan pelajar di UKM akan lebih menyeronokkan.
Tetapi itu hanya bayangan sahaja. Tentu bukan mustahil untuk menjayakannya namun beberapa halangan besar perlu dirobohkan dahulu. Tidak mudah dilakukan dan jika mahu pasti ada jalannya.
Saya punyai pengalaman berpeluang berbual dengan ramai operator makanan yang menjalankan perniagaan di kafetaria UKM. Bukan dua atau tiga malah sudah berbelas orang di kalangan mereka yang masalah mereka telah saya dengar. Ada antaranya yang dah lama berhenti berniaga di UKM, ada yang akan berhenti, dan ada juga sedang dalam terfikir fikir antara ingin terus berniaga atau berhenti. Pada yang cekal dan bermodal agak besar, mereka nampaknya terus bertahan untuk beberapa ketika.
Semua mereka memberikan pandangan yang hampir sama. . Pada saya, mereka menghadapi tiga masalah besar dalam menjalankan perniagaan di UKM. Pertama, mereka biasanya membeli barangan mentah untuk dimasak dengan harga semasa di pasar borong. Mereka tidak mendapat diskaun dari pemborong semata mata kerana perniagaan ini adalah untuk pelajar. Harga pemborong tetap sama seperti biasa. Tetapi para operator makanan ini harus menjual makanan masak kepada pelajar UKM dengan harga yang lebih rendah berbanding harga di luar kampus.
Harga makanan yang terkawal di dalam kampus menyebabkan mereka tidak mampu bertahan lama untuk menanggung kos bahan mentah masakan yang selalu meningkat dengan cepat. Apa yang selalu mereka lakukan? Ada antara mereka terpaksa mengecilkan saiz lauk atau memasak sejenis lauk dalam kadar yang banyak. Menu mereka tidak berubah setiap hari. Ada pula yang terpaksa mengurangkan kakitangan untuk meminimakan kos. Mereka sudah tiada pilihan lain. Maka kesannya tentulah pada pelajar yang mendapat saiz ayam, ikan atau sebagainya yang jauh lebih kecil, juga perkhidmatan yang kurang sempurna, kerana kawalan harga yang telah ditetapkan oleh pihak universiti. Kita tidak berkompromi dalam hal ini. Kita memastikan harga mestilah lebih murah. Ini soala kebajikan pelajar. Tetapi, kesan buruknya pasti ada juga. Perkhidmatan dan kualiti makanan tidak dapat dipertingkatkan dengan harga yang murah.
Kedua, cuti pengajian menyebabkan mereka terpaksa menutup perniagaan kafetaria sepenuhnya. Dalam setahun, para operator kafetaria hanya menjalankan kafetaria sekitar 8 bulan sahaja perniagaan mereka di kampus. Manakala empat bulan lagi ialah cuti semester dan cuti sesi. Selain itu ada juga cuti perayaan yang panjang (dalam seminggu). Malah jualan di hujung minggu juga jatuh merudum kerana ramai pelajar pulang ke rumah atau pulang ke kampung. Ada juga yang 'outing' ke Kuala Lumpur sepanjang hujung minggu. Walaupun perniagaan di tutup kerana pelajar bercuti, gaji pekerja, sewaan ruang dan berbagai bil masih terpaksa di tanggung seperti biasa. Pendeknya, mereka berniaga untuk lapan bulan tetapi terpaksa menanggung kos perniagaan untuk 12 bulan setahun.
Ketiga, di dalam UKM semua perniagaan makanan menjalankan kafetaria yang menawarkan menu yang sama. Pergilah ke mana mana cafetaria dalam UKM, kita akan dapati menunya hampir sama sahaja. Nasi berlauk adalah menu utama. Manakala makanan sampingan (kuih muih, makanan pencuci mulut etc) hanya dijual di tempat di mana mempunyai pelanggan yang ramai. Persaingan yang terlalu tinggi menyebabkan keuntungan yang diraih yang sememangnya kecil, akan bertambah kecil dan kadang kala tidak memberikan keuntungan kepada mereka. Belum lagi dikira kewujudan pasar malam setiap malam di bandar baru bangi kecuali malam Ahad.
Perniagaan di dalam kampus tidak sama dengan perniagaan di luar kampus. Jauh bezanya. Oleh itu kekangan ini harus diselesaikan terlebih dahulu jika pelajar inginkan perkhidmatan yang lebih baik. Misalnya kawalan yang terlalu ketat harus disemak semula. Ini tidak bermaksud pihak peniaga boleh meletakkan harga sesuka hati mereka tetapi perlu kepada harga yang lebih munasabah agar mereka juga mendapat ruang untuk mencari keuntungan dalam perniagaan di dalam kampus dan pada masa yang sama pelajar pula mendapat perkhidmatan dan kualiti makanan yang baik. Tentulah kita sebagai pelanggan inginkan harga terendah. Tetapi jika terlalu rendah, kita akan kehilangan kualiti terhadap perkhidmatan atau makanan yang kita beli.
Hari ini, ada beberapa kolej yang kafetarianya berjalan dengan baik. Tetapi jika duduk dan mendengar keluhan para operatornya kita akan tahu mereka juga sedang bergelut dengan kos operasi yang tinggi. Tetapi kerana modalnya yang lebih kukuh, mereka dapat bertahan. Ada pula kolej yang kafetarianya sedang bermasalah, sebab utama kerana modal pusingan yang kecil. Malah ada pula yang sudah kekurangan modal ini ditambah lagi dengan kurang pengalaman, kualiti makanan yang rendah, kebersihan yang meragukan serta rasa makanan yang tidak menyelerakan. Mereka ini pasti akan kecundang lebih awal...
Konsep perniagaan "satu operator satu kafetaria" semakin tidak digemari oleh pelajar UKM. Mereka lebih cenderung dengan konsep medan selera ( food court ) yang mempunyai banyak pengerai. Jika satu pengerai bermasalah, masih ada pilihan lain. Elok jika konsep food court ini dimulakan di dalam UKM. Selain pelajar mempunyai banyak pilihan makanan, persaingan antara pengerai juga adalah mekanisme yang akan mengawal harga secara lebih baik. Persaingan juga secara langsung akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kebersihan. Tanpa perlu diarah dan sebagainya, para pengerai tahu betapa pentingnya mereka memberikan perkhidmatan dan kebersihan makanan yang terbaik pada pelanggan.
Pengurusan UKM sudah mula langkah dengan berjaya membangunkan PUSANIKA menjadi lebih baik sekarang, mungkin agenda seterusnya ialah mentransformasikan kafetaria khususnya di kolej kolej kediaman pula. Insya Allah jika ada rezeki...semua ini akan menjadi realiti. Kita doakan bersama.