15 March, 2013

Kisah Mahasiswa Rumah Hantu Dan Mahasiswa NKRA di UKM...

Pasti akan ada segelintir mahasiswa yang marah pada saya selepas membaca tulisan ini. Pasti juga akan ada yang berkecil hati dan saya pasti akan ada juga yang merasa tidak puas hati pada saya. Yang tidak bersetuju dengan saya pasti akan ramai juga. Tetapi saya harus juga menyatakannya. Bukan kerana saya tidak menyokong usaha pelajar tetapi sebagai orang yang diberikan tangggungjawab secara langsung dalam membangunkan pelajar UKM, rasanya saya harus memberikan pandangan sisi saya untuk mahasiswa. Samada anda bersetuju atau tidak, terserahlah pada pemikiran dan pandangan masing masing.

Saya mulakan pembicaraan ini dengan kisah mahasiswa rumah hantu. Kita dapat lihat di beberapa tempat dalam kampus sedang disambut acara tahunan. Ini sesuatu yang baik. Dan seperti kebiasaanya akan ada acara rumah hantu sebagai acara hiburan. Sepatutnya ia adalah acara sampingan sahaja, itu dulu, tetapi sekarang telah menjadi seperti acara utama. Alasannya mudah, "itu yang pelajar nak dan itu yang pelajar suka. Kerana rumah hantu, pelajar akan ramai ramai datang ke program kami". Maka atas pemikiran ala-ala kapitalis sebegitu, kita seperti telah mengiyakan bahawa sesuatu yang menguntungkan dan mendapat pemintaan tinggi harus diberikan keutamaan walaupun tidak semestinya perkara itu memberikan kebaikan pada pelajar.

Seingat saya, budaya rumah hantu ini bukanlah sesuatu yang baru. Sejak dari dulu acara rumah hantu telah ada dalam program pelajar di UKM, khususnya di Pesta Konvo dan hari keluarga kolej kolej kediaman. malah sejak Bandar Baru Bangi ini masih banyak hutannya, program rumah hantu telah diadakan oleh pelajar UKM. Sehinggalah hari ini, program rumah hantu tetap dianjurkan, kerana masih ramai pelajar yang meminatinya. Saya tidak membenci program ini, saya juga tidaklah menyokong sepenuhnya. Pada saya, biar apapun program yang ingin dianjurkan, kita mestilah mendahulukan pembudayaan ilmu di UKM sebelum kita memikirkan hal hal 'kecil'  dan remeh yang lain. Termasuklah dalam menganjurkan program program 'rumah hantu', pertandingan makan paling banyak dan sebagainya di dalam kampus. tentu akan ada mahasiswa yang berkata, "kalau macam tu tak ada lagilah fun dalam kampus UKM ni".

Saya rasa fun (izinkan saya gunakan perkataan fun) boleh berlaku dalam banyak cara hatta pada saya secara peribadi, solat lima waktu yang kita lakukan pun boleh mendatang rasa fun jika kita lakukanya dengan penuh keinginan dan keseronokan. Fun ini datang bergantung kepada apakah budaya, sikap, cara berfikir dan pandangan alam yang kita pegang.

Seseorang boleh mendapat fun bila menghadiri majlis ilmu, manakala yang lain pula mendapat fun bila beriadah di padang, ada pula orang alami "fun tahap maksima" bila sedang membaca. Semuanya bergantung kepada kita sendiri. Jika kita rasa fun kepada hiburan yang berlebihan dan tidak fun kepada majlis ilmu, cuba tanyakan pada diri kita sendiri mengapa terjadi demikian?

Jika kita lebih suka dan rasa  fun mengadap facebook berjam-jam lamanya tetapi  kita tak rasai perasaan yang sama apabila menelaah pelajaran yang akan menentukan kejayaan hidup kita pada masa depan, kita juga kena tanya mengapa jadi begitu? Kita kena tanya diri sendiri, jangan kita tanya orang lain, jawapan mereka tidak akan sebaik jawapan kita sendiri.

Mungkin ada pelajar akan berkata, "apa salahnya dengan rumah hantu, apakah salah kami anjurkannya atau kami masuk ke dalamnya". Isu pokok saya utarakan bukan rumah hantu. Itu hanya ontologinya saja. Yang saya tekankan ialah bagaimana pimpinan pelajar memupuk cara berfikir dan cara memimpin budaya ilmu di UKM. Tun Mahathir pernah sentuh hal 'hantu-hantu' ini apabila masyarakat mempertikaikan terlalu banyak filem hantu dalam masyarakat Melayu.

 Saya setuju dengan beliau, bila beliau tegaskan budaya -budaya tidak produktif ini jangan dilakukan secara berlebihan, kerana ia akan melemahkan daya fikir dan ketahanan jiwa masyarakat Melayu. Tanpa kita sedar, ketika kita secara berlebihan berseronok dengan hiburan yang tidak produktif seperti ini, kita sebenarnya sedang melemahkan daya fikiran kita.Kisah rumah hantu ini samalah seperti kisah memancing ikan di kolam ikan. Memancing di kolam ikan memang menarik, memang terhibur tetapi sifatnya tidak produktif. Ada bezanya dengan memancing di sungai atau di laut untuk mencari rezeki.

Jangan salah faham, saya tidak menolak hiburan sama sekali. Saya sehingga hari ini masih ke konsert bersama keluarga, setiap hujung minggu menonton wayang bersama anak anak dan selalu mendengar muzik berbagai genre setiap hari. Tetapi pada saya, semua ini tidak boleh sampai melampaui diri saya dari menjadikan aktiviti membaca buku sebagai yang paling utama.

Kisah kedua ialah kisah mahasiswa NKRA. Kita sudah mengetahui kerajaan setelah sepenuhnya melalui pelbagai projek penyelidikan, konsultansi dan perundingan telah berjaya menetapkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Enam bidang tersebut ialah;
  • Menurunkan kadar jenayah
  • memerangi rasuah
  • Meningkatkan pendapatan isirumah yang berpendapatan rendah
  • meningkatkan peluang dan pencapaian pendidikan
  • Meningkatkan prasarana dan kemudahan asas kepada masyarakat pendalaman dan luar bandar
  • Meningkatkan kecekapan pengangkutan awam bandar
Enam bidang ini dikenalpasti jika tidak ditangani akan sangat menekan kehidupan masyarakat dan bersifat kritikal. Menjayakan pelan NKRA akan secara langsung menjayakan kehidupan yang lebih berkualiti untuk masyarakat negara ini. Ini bukan soal politik. Ini soal kesejahteraan hidup masyarakat, dan jika kita tidak mampu melihat kebajikan hidup dan peningkatan kualiti hidup masyarakat sebagai satu yang penting dan masih juga mesti dipolitikkan, maka kita telah tidak berlaku tidak adil pada masyarakat yang terbabit.

Sebagai mahasiswa di sebuah sebuah universiti bertaraf kebangsaan, cuba anda tanya diri anda sendiri, " Apakah sumbangan saya dalam menjadikan hidup masyarakat Malaysia lebih baik? Apakah saya sudah menyumbangkan kepada usaha menurunkan kadar jenayah, atau bersedia bertindak memerangi rasuah dengan cara saya sendiri, atau mempunyai idea bagaimana untuk memberikan peluang kepada sesetengah keluarga miskin meningkatkan pendapatan mereka? Atau sebenarnya saya sebagai seorang mahasiswa UKM tidak perlu memikirkannya? Masalah masyarakat bukan masalah saya... atau saya lebih suka berfikir tentang rumah hantu yang lebih menghiburkan?"

Banyak program yang harus mahasiswa sebagai pemimpin pelapis negara boleh lakukan dalam membantu meningkatkan kehidupan masyarakat di luar kampus (juga dalam kampus). Program seperti memberikan maklumat dan mendidik kepada masyarakat adalah contohnya. Mahasiswa perlu anjurkan lebih banyak klinik kesihatan, ceramah dan lawatan dari rumah ke rumah masyarakat di kawasan pendalaman, pinggir bandar dan kawasan setinggan bandar untuk memberikan maklumat tentang pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan, pemakanan yang sihat dan pencegahan penyakit berjangkit, menjayakan kempen pengangkutan awan dengan cara yang kreatif dan inovatif, berbengkel dan menyediakan resolusi, seterusnya menghantar memorandum menyokong usaha memerangi rasuah, adakan klinik undang undang, bengkel kekeluargaan, ketengahkan isu hak hak wanita, menganjurkan  aktiviti berteraskan ekonomi untuk membantu  keluarga miskin dan ibu tunggal meningkatkan pendapatan isu rumah mereka secara berterusan, mengadakan klinik akademik, klinik solat, program ICT dalam komuniti dan sebagainya untuk tingkatkan pencapaian anak anak luar bandar, setinggan bandar dan kumpulan kanak kanak istimewa dan sebagainya.

Pelajar UKM memang sudah ada yang berhati masyarakat, berjiwa pemimpin dan menghargai budaya ilmu tetapi jumlahnya tidak ramai. Lebih ramai mahasiswa yang sukakan keseronokan berlebihan, membuang masa dengan perkara yang remeh temeh (seperti menulis dalam facebook perkara-perkara yang menjengkelkan, "Seronok pagi pagi korek hidung! atau seumpamanya! dan masih ramai yang lebih mengutamakan budaya keseronokan sehingga membelakangkan budaya ilmu dan budaya berfikir.

Bila kita berada di UKM, kita harus mengutamakan aktiviti membaca, berbincang, berdialog, berdebat dan menulis yang akan mendekatkan kita dengan budaya ilmu. Samalah seperti bila kita berada masjid, ada aturan atau budaya yang harus kita alami, begitu juga bila kita ke restoran, jika kita ke perpustakaan, ke panggung wayang dan sebagainya. Ada budaya dan aturan yang harus kita fahami dan alami. 

Samalah juga bila berada kita berada di dalam kampus. Kita harus ada aturan dan mengalami budaya ilmu ini dalam kampus. Jika tidak berlaku, maka  tidak ada bezanya kita yang berada sebuah kampus universiti dengan pekerja di sebuah kilang di Bandar Baru Bangi.  Kita harus membezakan budaya kilang dan budaya kampus. Kampus memberikan kita peluang untuk meningkatkan intelektual kita, berfikir dengan matang dan rasional yang berlapis tinggi berbanding orang lain di luar kampus. Bukan bermaksud di luar kampus tidak bijak, maksud saya, peluang untuk meningkatkan daya keintelektualan terbuka luas di dalam kampus, jika kita meraikan budaya ilmu tersebut.

Kisah mahasiswa rumah hantu dan mahasiswa NKRA adalah dua kisah mudah yang menuntut kita mengubah cara dan budaya kita kepada sesuatu yang lebih baik. Mungkin ada pemimpin pelajar yang akan berkata, "kalau kami anjurkan ceramah, debat dan diskusi, sambutannya sangat kurang, sebab itu kami buat rumah hantu", sambutannya meriah"

Saya cuma ingin katakan dalam memperjuangkan urusan keilmuan, cabarannya pasti ada. Kita boleh berbangga dengan jumlah manusia yang hadir dalam acara kita, tetapi apakah kita boleh berbangga dengan kesan kesejahteraan insan kepada mereka? dan jika pemimpin mahasiswa manganggap mereka harus menyediakan apa yang disukai oleh mahasiswa lebih daripada apa yang diperlukan sebagai mahasiswa, saya rasa sedikit sebanyak anda sebagai pemimpin pelajar UKM sebenarnya telah gagal menjadi pemimpin yang baik...anda fikirkanlah...