29 November, 2012

Orang Melayu dan "Celik Politik"...

Bila kita berbicara soal celik politik atau 'political literacy', kita akan ketemu dengan banyak pandangan. Dan harus kita ingat bahawa setiap pandangan tersebut pasti ada kekuatan dan kekurangannya. Tetapi perkara pokok yang paling penting, 'political literacy' adalah faktor penting dan penentu untuk menzahirkan sebuah negara yang demokratik.

The Economist's Democracy Index as published in December 2011, with greener colours representing more democratic countries and clearly authoritarian countries in dark red.
Beberapa hari lalu saya terima pertanyaan melalui 'message facebook' saya dari seorang pelajar (jangkaan saya). Walaupun tak pasti mengapa beliau mengutuskan 'message' tersebut, saya masih berhajat untuk memberikan jawapan saya. Sehingga sekarang pun saya masih belum ketemu jawapan mengapa beliau mengutuskan 'message' tersebut. Saya pun tidak berhasrat bertanya. Apa pun itu tidak penting, sekadar bersangka baik mungkin beliau ini sekadar ingin meminta pandangan saya sahaja.

Sebenarnya saya ada juga menerima banyak message pelajar sosial sains (yang ada antaranya saya tidak kenali)  meminta pandangan bagaimana untuk merangka assingment mereka. Bila ada kelapangan, saya akan berikan pandangan serta nasihat saya. Biasanya di akhir ayat, saya akan katakan "ini pandangan saya, anda bebas untuk bersetuju ataupun tidak. Anda yang putuskan".

Berbalik pada soalan pelajar tadi, beliau bertanya "apakah pandangan tuan tentang senario politik khususnya politik orang Melayu sekarang? Wow, satu soalan yang sangat sukar dijawab, apatah lagi dalam bentuk message di facebook? Lalu saya balas dan tanyakan padanya, "sebelum saya menjawab, boleh saya dapatkan pandangan saudara terlebih dahulu", tujuan pertanyaan saya supaya, jika beliau betul betul berminat beliau tentu akan jawab dan dengan jawapan tersebut lebih mudah memberikan pandangan saya.

Tidak berapa lama kemudian beliau menjawab. Lebih kurang begini jawapannya (maaf kerana saya tidak berniat untuk "cut & paste"pandangan beliau di sini), jawab beliau "Saya merasa kerana hal politik, orang melayu semakin berpecah belah, mereka semakin saling benci membenci dan meruntuhkan sesama sendiri. Keadaan ini tidak baik untuk masa depan orang orang Melayu. Sepatutnya mereka perlu lebih bijak berpolitik tanpa merosakkan perpaduan Melayu...". Pandangan beliau yang panjang lebar saya baca dan kemudian saya terus jawab secara ikhlas dari pandangan saya, sekadar yang saya tahu dan saya faham. Kisahnya tamat di situ.

Cumanya saya ada katakan pada beliau, walaupun ada beberapa perkara yang saya setuju dengan pandangan beliau, saya juga tidak bersetuju bahawa apa yang berlaku pada politik orang Melayu mutakhir ini menunjukkan orang Melayu 'melangkah ke belakang'. Sebenarnya orang Melayu sedang melangkah laju ke hadapan. Episod pertentangan idea, konflik demi meraih sokongan, perdebatan agenda dalam politik orang Melayu khususnya di kalangan ahli UMNO, PAS dan PKR adalah satu situasi yang memberikan peluang kepada semua orang Melayu memperolehi pendidikan 'celik politik' yang sangat 'mahal harganya'.

Berbanding dulu, hari ini orang Melayu dalam UMNO, PAS dan Keadilan menjadi lebih kritikal, berani bersuara kepada pemimpin dalam parti mereka dan juga kepada pemimpin parti lawan. (walaupun kadangkala cara mereka merimaskan). Mereka berpeluang melihat politik sebagai satu wadah yang perlu disertai. Bayangkan kalau kebanyakan orang Melayu tidak kisah dengan politik mereka. Tiada perbincangan, tiada suara, tiada perdebatan dan tiada tindakan yang menunjukkan mereka setuju atau tidak bersetuju dengan pemimpin mereka, apakah itu bermakna orang Melayu sudah sempurna politik mereka?

Pada dekad 1920an, pertentangan kaum muda dan kaum tua di negara ini telah membawa kepada pembaharuan/pemurnian minda dalam mereka dan kita memahami cara hidup Islam. Bayangkan bila ada orang agama era tersebut mengatakan kereta atau apa sahaja yang dibuat oleh orang bukan Islam, tidak boleh di gunakan apatah lagi untuk tujuan dibawa beribadat? Malah pernah timbul isu memakai tali leher juga diharamkan kerana dikatakan mengikut cara orang bukan Islam berpakaian. Penggunaan lampu kalimantang juga pernah menimbulkan perdebatan ketika itu. Begitu juga dengan penggunaan sudu dan garpu. Semua itu telah berjaya diuruskan setelah masyarakat Melayu Islam semakin celik dan faham apakah itu ajaran serta amalan hidup yang dibenarkan oleh Islam.

Bagaimana kita hendak menjelaskan berduyun duyun orang Melayu (termasuk yang aliran agama) satu ketika dulu ke pantai pantai untuk mandi Safar kononnya untuk menolak bala? Bagaimana pula kita hendak jelaskan begitu ramai orang Melayu yang membeli kaset kaset lagu Arab apabila selesai mengerjakan haji tanpa mengetahui makna lagu lagu yang dinyanyikan oleh Ummi Kalsum dan sebagainya adalah sebenarnya kisah cinta muda mudi dan bukannya lagi lagu memuji kebesaran Allah? Kerana perdebatan dan pertentangan idea inilah akhirnya berjaya membuka kepada 'celik agama' dan mengubah dimensi menjadikan orang Melayu lebih memahami Islam sebagainya yang sepatutnya.

Celik politik juga sedang dan akan melalui proses yang sama. Perdebatan idea, konflik mendapatkan sokongan, saling bertentangan agenda akan membuka dimensi baru kepada cara orang Melayu memahami politik mereka. Tapi tentulah ada sempadannya. Bila misalnya ada parti melayu yang telah menolak demokrasi sebagai cara kita menguruskan politik, memilih anarki atau sebagainya maka keadaan itu sudah terkeluar dari maksud 'celik politik' yang kita pegang sekarang.

Maka kebebasan bersuara dengan mengambilkira sensitiviti agama, kaum dan budaya perlu diraikan. Pemeliharaan dan perlindungan kepada hak hak asasi individu mestilah ditegakkan. Selebihnya setiap orang Melayu sendirilah menentukan kepada siapa sokongan yang ingin mereka berikan.

Ada kumpulan politik melayu gunakan agenda pembangunan dan kesejahteraan ekonomi serta Islam yang berorientasikan kesederhanaan. Ada pula menggunakan syariah Islam sebagai tawaran untuk mereka disokong, ada pula menggunakan konsep kesamarataan dan adil untuk memikat hari orang Melayu. Maka orang melayu yang terdedah kepada 'celik politik' boleh membuat keputusan mereka sendiri.

Jadi pada saya, tiada perlu ada kerisauan dengan apa yang sedang berlaku. Ini adalah satu proses pendidikan 'celik politik' kepada orang Melayu. Saya juga yakin semua pemimpin Melayu ingin bangsanya berada dalam 'celik politik'. Baik di kalangan pemimpin UMNO, PAS atau Keadilan. Mereka semua ingin bangsa Melayu berkembang maju dalam sebuah masyarakat yang demokratik. Kalau itulah prinsip politik mereka, itu tandanya mereka ikhlas memimpin orang Melayu di negara ini.

Apa yang saya bimbang dan risaukan bila semakin ramai anak muda Melayu yang tidak mengendahkan tentang politik, "kerana politik itu kotor"..kata mereka.


28 November, 2012

Sudah Masanya Aktiviti Pelajar UKM Diperhebatkan

Tahun 2012 akan menutup tirainya sebulan dari sekarang. Sebagai refleksi, dua hari lalu, saya sempat meneliti senarai aktiviti pelajar UKM bagi tahun 2012. Tahniah pada seluruh pimpinan MPPUKM yang lalu, JAKSA Kolej, ASPIRASI, ISIUKM dan semua persatuan pelajar samada di fakulti atau di Pusanika kerana berjaya anjurkan ratusan aktiviti tahun ini. Berbagai aktiviti dari khidmat masyarakat, peningkatan kerohanian, inovasi, alam sekitar, keusahawanan, kebudayaan, sukan dan sebagainya berjaya dianjurkan. Juga dari peringkat blok kediaman hinggalah ke peringkat antarabangsa.

Melihat banyaknya aktiviti pelajar UKM samada dibiayai dengan peruntukan ratusan ribu ringgit dari pihak pengurusan universiti dan puluhan ribuan ringgit tajaan pihak luar kampus, tidak syak lagi pelajar UKM memang hebat menganjurkan aktiviti. Malah jika dikumpulkan, kita pasti terkejut entah berapa banyak projek pelajar yang menggunakan ribuan ringgit duit kocek mereka sendiri, semata mata memastikan projek anjuran mereka berjaya sepenuhnya.

Jika dikumpulkan 'man hours' atau jumlah masa bekerja yang telah diperuntukan untuk menjayakan projek ini, angkanya pasti mencecah ratusan ribu jam bekerja. Bagaimana pula dengan pengorbanan tenaga kudrat, masa rehat dan masa kuliah, semuanya terpaksa dikorbankan semata mata demi menjayakan projek mereka.

Selepas begitu banyak masa, tenaga, wang ringgit yang telah dikorbankan, tentulah tiba masanya mahasiswa bertanya pada diri sendiri soalan soalan berikut, dan mereka harus menjawabnya secara tulus dan ikhlas.

Ambil masa dan jawab soalan berikut:

1. Apakah projek projek yang telah dan sedang saya sertai telah BENAR-BENAR mengubah saya menjadi insan yang lebih mahir (mahir komunikasi, kerja berpasukan, membuat keputusan, kreativiti dan sebagainya) berbanding sebelum terlibat dengan projek itu?

2. Jika BENAR-BENAR mengubah saya, adakah perubahan tersebut kekal dalam diri saya sebagai satu perlakuan, tabiat atau budaya harian saya atau saya kembali kepada kelakuan asal saya sebelum berprojek?

3. Adakah perubahan dalam diri akibat projek tersebut telah meningkatkan prestasi akademik saya? 

4. Apakah keyakinan saya bertambah untuk berbincang dan berdiolog dengan pensyarah saya adalah sumbangan dari kegiatan dalam projek yang saya sertai?

5. Adakah nilai yang saya pegang lebih baik sebelum terlibat dengan projek itu? Adakah nilai ibadah, toleransi, sikap tanggungjawab, ikhlas, amanah, menyayangi orang lain semakin meningkat?

5. Bagaimana dengan kualiti diri saya? Misalnya pengurusan masa yang lebih baik, kekemasan diri yang lebih meyakinkan, kualiti berkaitan protokol, etika dan profesional mengikut konteks jauh lebih baik selepas saya menyertai projek?

Setiap dari anda WAJIB menjawab soalan ini..dengan penuh ikhlas. tak perlu sesiapapun membantu anda untuk menjawab semua soalan ini. Selepas menjawab, anda tahu di mana kekdudukan anda sebenarnya. Tak perlu juga untuk sesiapa pun mengetahuinya.

Saya sebut hal ini kerana semakin lama saya menjadi sedikit bimbang, apakah aktiviti pelajar UKM semakin hari semakin membina kemahiran, nilai dan kualiti diri mahasiswa UKM? Apakah dengan terlibat dalam satu dua aktiviti yang bercampur campur setiap semester akan mengubah diri pelajar menjadi lebih baik? Apatah lagi jika niat menyertai aktiviti tersebut sekadar melengkapkan kredit LC bukan membangunkan kemahiran, nilai dan kualiti diri sendiri.

Sebab itu sejak dulu saya sangat cenderung agar aktiviti pelajar UKM menggunakan model PALAPES, PBSM, SUKSIS atau Kor-SISPA. Selain dijalankan secara teratur dan sistematik, setiap pelajar berpeluang samarata di dalam keterlibatan mereka dalam beraktiviti. Mereka akan melalui satu persatu aktiviti secara terancang dan kontruktif. Tiada konsep 'last  minute' atau 'ikut suka mana yang sempat' di dalam mereka beraktiviti. Malah bentuk pengiktirafan dan penilaian yang dilaksanakan dalam PALAPES, PBSM, SUKSIS atau Kor-SISPA juga jelas serta mempunyai tahap reabiliti dan validiti yang baik.

Oleh itu saya selalu mengharapkan dan membayangkan bentuk aktiviti pelajar UKM harus ditranformasikan dengan menggunakan model badan badan beruniform di UKM. Misalnya jika ada pelajar yang melaksanakan aktiviti keusahawanan, pelajar akan mula menjalankan perniagaan samada di kolej, pusanika, teres niaga, fakulti atau di luar kampus secara berterusan dan konsisten. Maka berniagalah mereka dari tahun satu hingga tahun akhir. Selain melengkapkan 8 kredit LC, pembinaan kemahiran, nilai dan kualiti diri boleh disusunkan secara lebih terancang.

Begitu juga jika ada pelajar minat dengan khidmat masyarakat. Mereka akan mula menganjurkan aktiviti dalam kampus dan di sekitar bangi pada tahun satu. Bila di tahap yang lebih tinggi, mereka akan mula beraktiviti hinggalah ke antarabangsa di tahun tahun pengajian seterusnya. Tentunya akan ada pelajar UKM yang akan ke Gaza, India, Indonesia. Tibet. Myanmar, Afrika dan sebagainya untuk melaksanakan khidmat masyarakat. Begitu jugalah dengan inovasi, kebudayaan, sukan dan sebagainya.

Jika ini dilaksanakan, saya membayangkan pasti nanti ramai pelajar UKM yang bila bergraduan bukan sahaja dianugerahkan ijazah pengajian mereka, tetapi juga akan ada yang diiktiraf sebagai leftenan muda, Ketua Inspektor Polis, Penolong Penguasa JPAM, Jurulatih Bertauliah PBSM. Jika dalam bidang sukan pula akan ada yang memperolehi sijil kejurulatihan profesional sukan, jika dalam bidang kesenian pasti ada antara mereka akan dianugerahkan sijil jurulatih profesional tarian. muzik dan sebagainya. Jika dalam usahawan mereka akan ada syarikat berdaftar sendiri. Jika dalam bidang inovasi, akan ada pelajar UKM bila graduan nanti punyai prototaip ciptaan mereka yang boleh dikomersialkan. Malah pada pimpinan pelajar yang aktif berpolitik di dalam kampus, mereka jika masih berminat boleh sahaja menjadi calon sayap Pemuda atau sebagainya untuk pemilihan dalam parti parti politik di luar kampus. Ilmu politik di kampus yang diperolehi sejak tahun satu pengajian sepatutnya digunakan untuk memberikan kebaikan kepada ahli ahli parti masing masing.

Pada saya inilah makna sebenar kepada apa yang dimaksudkan sebagai hasil akhir aktiviti berimpak tinggi pelajar UKM. Kita sepatutnya sudah mula meninggalkan aktiviti 'olok-olok' dan picisan. Kita harus mula menganjurkan sesuatu aktiviti yang boleh diteruskan selepas tamat pengajian.

Cabaran di luar kampus selepas bergraduan tentunya hebat sekali. persediaan pelajar UKM juga pastinya harus seiring dengan cabaran di luar sana. Istilah 'majikan yang terlalu memilih', 'persaingan yang hebat' dan 'expectation' yang tinggi perlu dihadapi oleh mahasiswa UKM. Selain kecemerlangan akademik yang akan membantu graduan UKM, aktiviti berimpak tinggi juga pasti meningkatkan siap siaga pelajar UKM.

Maka sudah sampai masanya aktiviti pelajar UKM diperhebatkan mulai tahun depan...dengan kaedah dan cara yang lebih mendepani cabaran dan tanggapan masyarakat luar kampus.

22 November, 2012

Tahniah Buat ISIUKM, ASPIRASI, MPP dan JAKSA Kolej UKM

Hari ini, saya kagum dan bangga dengan pemimpin pelajar UKM. Saya bangga dengan kepimpinan ISIUKM, MPPUKM, ASPIRASI, KELAB SAHABAT AQSA, PEMBINA (UKM), JAKSA KOLEJ KOLEJ KEDIAMAN dan  pemimpin persatuan pelajar UKM yang lain. Tanpa mengira apa teras perjuangan 'politik' mereka, mereka berjaya duduk semeja berbincang dan membuat beberapa keputusan penting berkaitan isu Palestin.

Tak tahulah orang lain tetapi pada saya sesungguhnya usaha sebilangan pimpinan pelajar UKM atas iniasiatif mereka sendiri bertemu dan membuat satu keputusan yang begitu murni untuk menyatakan pandangan tegas mahasiswa UKM tentang 'kebiadapan tak berperikemanusiaan' Israel ke atas rakyat Palestin adalah sesuatu yang mengembirakan.

Tentunya pertemuan di bilik gerakan HEP di PUSANIKA telah dirancang lebih awal. Tentunya juga ada halangan dari segelintir pelajar khususnya dalam kumpulan ISIUKM-GMUKM, ASPIRASI-TSB, dan JAKSA KOLEJ yang ragu ragu dengan usaha untuk menemukan tiga kumpulan paling berpengaruh di UKM. Kononya akan ada implikasi "politik kampus". Tetapi kerana adanya kepercayaan dan faham maksud yang sebenarnya mengapa pertemuan ini diadakan akhirnya ia berjaya dianjurkan.

Saya rasa ini kali ke dua, ketiga tiga kumpulan utama pelajar di UKM ini bersatu hati. Kali pertama ketika MEP (JAKSA) Kolej Antarabangsa Ibu Zain menemukan pimpinan pelajar menyatakan bantahan mahasiswa terhadap isu murtad di kalangan umat Islam di negara ini pada tahun lalu.

Seperti orang lain, saya juga sedar pertemuan ini adalah untuk menjayakan agenda membantu saudara Islam di bumi di Palestin. Tetapi pada saya pertemuan ini juga membuktikan anak muda UKM boleh bersatu dalam menyatakan pandangan mereka walaupun mereka berada dalam teras perjuangan yang sedikit berbeza. Pertemuan ini menunjukkan anak muda UKM boleh berdiri sendiri dan menyatakan pandangan mereka terhadap apa juga isu termasuklah isu di dalam kampus, dalam negara malahan di peringkat antarabngsa. Mereka berupaya berfikir, berbincang dengan tenang dan membuat keputusan dengan bijaksana. Ini menunjukkan mahasiswa UKM boleh matang jika mereka mahu. Tetapi akibat 'desakan' dan 'hasutan' dalang dalang politik luar kampus, kematangan ini kerap kali dicerobohi atau  diketepikan begitu sahaja.

Politik kampus adalah sesuatu yang baik bagi tujuan latihan kepimpinan. Mahasiswa dilatih untuk bersetuju dengan beberapa perkara dan mereka juga boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dengan perkara yang lain. Mereka boleh bersetuju dengan isu Palestin, isu murtad, isu alam sekitar, isu kebolehpasaran graduan, isu keselamatan kampus, isu kecemerlangan akademik dan sebagainya. Pada masa yang sama mereka juga boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dengan hal hal berkaitan situasi politik negara, agihan ekonomi negara, isu pendidikan, isu hubungan antarabangsa dan sebagainya.

Politik kampus tidak hanya bermaksud berseteru sepanjang masa. Kadangkala ia juga membawa maksud bersekutu dalam hal hal yang selari dan sefaham. Hanya pimpinan mahasiswa yang bijak dan matang sahaja dapat melihat serta memahami prinsip ini. Pada yang kurang matang, politik kampus maksudnya semata mata untuk mengalahkan musuh politik mereka sepanjang masa.

Tahniah buat ISIUKM, ASPIRASI, JAKSA Kolej, MPPUKM, PEMBINA (UKM) dan Sahabat Aqsa UKM. Semoga usaha anda semua membantu rakyat Palestin dengan berazam mengumpulkan RM20,000 akan segera berhasil dalam masa yang terdekat. Saya juga mendoakan semoga usaha anda semua bukan sahaja untuk membantu rakyat Palestin yang sedang ditimpa ujian besar, sesungguhnya usaha ini juga membuka jalan sebagai latihan membina kematangan dan kebijaksanaan anda dalam menilai makna politik dalam kampus UKM.


09 November, 2012

Rupanya Masih Ada Pelajar UKM Yang Hebat

Saya seorang yang agak kritikal dan kadangkala 'vokal' bila berbicara soal aktiviti pelajar. Ramai pelajar di IZISH sedar hal ini. Apatah lagi di kalangan felo felo IZISH. Mungkin kerana saya mempunyai keinginan yang tinggi untuk melihat aktiviti pelajar UKM sentiasa baik dan berimpak tinggi.

Saya juga jarang berpuashati dengan aktiviti pelajar. Juga jarang memberikan pujian sembrono terhadap pencapaian sesuatu projek pelajar. Mungkin salah saya juga kerana saya sering meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada mereka.

Tetapi saya sangat yakin pelajar UKM adalah pelajar yang baik dan cemerlang. Mereka punyai potensi yang sangat besar. Potensi itu perlu digilap dan dicabar supaya 'keluar' dari dalam diri mereka. Buktinya mereka berjaya masuk dan belajar di UKM mengalahkan puluhan ribu yang sama sama bersaing semasa memohon ke UKM dulu. Jika di sekolah dulu mereka diasak supaya sentiasa cemerlang akademik, mereka telah berjaya buktikan yang mereka boleh lakukan, tentunya apabila masuk ke UKM mereka harus sedar pencapaian akademik sahaja sudah tidak lagi mencukupi. Berada di UKM, mereka perlu cari  X factor yang lain juga. Ada pendapat yang kata pelajar UKM kena kuasai bahasa Inggeris selain kecemerlangan akademik, saya setuju. Ada pula yang kata, pelajar UKM kena kuasai 8 soft skills yang utama, itupun saya setuju juga. Tetapi saya lebih setuju bahawa kecemerlangan akademik, kemahiran bahasa Inggeris dan kemahiran softskills sahaja sudah tidak memadai pada hari ini. Pelajar UKM perlu ada X factor yang lain. Passion+fokus, berdayasaing+networking, kreatif+talent, multi-tasking + disiplin dan communication + negotiation adalah contoh contoh X factor yang diperlukan oleh pelajar UKM. Soalnya mana nak dapatkan semua X factor ini? Aktiviti picisan? aktiviti ala pasar malam? Saya yakin anda tidak akan berjumpa X factor yang anda cari di sana. X factor hanya muncul di dalam aktiviti aktiviti yang mempunyai persediaan rapi, disertai kerana minat yang mendalam, tahan ujian, berfikiran positif serta ikhlas untuk meningkatkan keupayaan diri. Di dalam mencari X factor, pada masa yang sama soal iman, ilmu dan amal tidak boleh sama sekali dikesampingkan.

Seperti yang saya sebut awal tadi, saya jarang memberikan pujian sembrono pada pelajar. Walaupun saya sedar sebagai pelajar memang sukar dan bukan senang untuk anjurkan sesuatu aktiviti dalam kampus (saya juga telah lalui dulu), tetapi saya juga sedar tak semua aktiviti yang sukar itu berkualiti. Saya berpeluang meneliti aktiviti pelajar (semasa bertugas di PPP menguruskan aktiviti pelajar) hampir 80% aktiviti pelajar tergolong dalam kategori tidak mempunyai kualiti yang tinggi walaupun ada di antara sangat sukar dijayakan. Tetapi ada juga sebahagian kecil aktiviti yang berkualiti. Itu harus diberikan pujian.

Tetapi jika yang berkualiti itu datangnya dari idea tenaga akademik atau mendapat peruntukan dan kerjasama sepenuhnya dari fakulti atau kolej, masih pada saya ia tidak banyak memberikan pengalaman pada X factor pelajar. Misalnya ada fakulti yang anjurkan seminar antarabangsa, pelajar sekadar menjadi urusetia kecil jamuan, menjaga keselamatan dewan atau pemegang dulang cenderamata sahaja, apalah maknanya.

Dalam banyak banyak aktiviti pelajar (tidak termasuk di kolej kediaman), sejak tahun lepas saya meletakkan pasukan sidang Redaksi Majalah Aspirasi sebagai pasukan terbaik di UKM di dalam menganjurkan aktiviti. Tahun lepas saya memberikan pujian secara terbuka kepada pasukan majalah aspirasi (MA-UKM). Tahun ini, sekali lagi mereka berjaya menerbitkan Majalah Aspirasi dengan begitu cemerlang sekali. Saya sendiri menyimpan kedua dua majalah 2011 dan 2012 sebagai koleksi peribadi saya. Pada saudara Shafiq (ketua editor) dan pasukannya, setinggi tinggi tahniah sekali lagi dari saya. Saya cuba mencari apa yang tidak kena dalam MAUKM kali ini, memang saya jumpa tetapi terlalu kecil untuk disebut di sini. Saya bangga mereka telah berjaya melalui berbagai kerja kerja penerbitan yang perlu dilakukan dengan penuh kreatif, passion, berbakat, berpasukan dan penuh kesabaran.

Saya mengharapkan lebih banyak aktiviti pelajar mempunyai kualiti sebegini. Ini bukan soal politik kampus. Ini soal menetapkan kualiti aktiviti pelajar. Pada saya yang berkualiti dan baik harus diberikan pujian. Yang lemah dan tidak berkualiti harus diberikan teguran. Projek yang tidak ada persediaan rapi, dilakukan semata mata kerana terpasa siapkan, tidak ada minat sepenuhnya eloklah dibatalkan. Mulakanlah pemikiran baru untuk anjurkan aktiviti aktiviti yang memberikan cabaran pada anda. Saya yakin ramai lagi pelajar UKM yang hebat seperti Shafiq rakan rakan rakannya..soalnya di mana mereka?

20 October, 2012

Pelajar UKM Jangan Khianat...

Setiap manusia mempunyai berbagai perbezaan antara satu sama lain. Manusia berbeza minat, kecenderungan, bakat, kebolehan, kemahiran dan sebagainya. Kepelbagaian ini sangat luas skopnya. Setakat yang telah dikaji, Howard Gardener (1990) telah mengkategorikan keupayaan manusia kepada tujuh yang utama. Misalnya ada manusia yang punyai keupayaan bahasa dan komunikasi, kemahiran kinesthetic, kemahiran personaliti dan sosial, kemahiran matematik dan sebagainya.

Kepelbagaian ini bukan sahaja berbentuk horizontal tetapi juga vertikal. Maksudnya jika secara horizontal ada manusia punyai keupayaan berbahasa, dan yang lain tidak. Secara vertikal pula bermaksud dua orang yang dalam kumpulan keupayaan berbahasa boleh mempunyai tahap kemahiran yang berbeza-beza. Semua peguam mungkin punyai kemahiran berbahasa yang baik, tetapi antara kumpulan peguam itu pasti akan ada peguam yang lebih mahir berbahasa dari peguam yang lain. Semua pemain bola sepak dalam English Premier Leugue (EPL) sudah pasti mempunyai kebolehan kinesthetic yang baik tetapi pasti akan ada di antara mereka yang bakat kinesthetic beliau lebih baik dari pemain yang lain.

Saya bawakan persoalan ini untuk pelajar UKM teliti dan muhasabah diri mereka. Pertama, tanya secara bersungguh sungguh untuk dapatkan jawapan yang benar, "apakah kekuatan diri aku? Apa yang aku sebenarnya berbakat? Apakah potensi dan keupayaan yang Allah swt telah anugerahkan pada aku?" tentu kalau bersungguh sungguh bertanya pada diri, anda akan dapat jawapannya.

Mungkin sekurang kurangnya ada tiga jawapan.

Jawapan pertama, "aku SUDAH TAHU apa kekuatan aku".

Jawapan kedua, "aku TIDAK PASTI apa kekuatan aku",

Jawapan ketiga, "aku benar benar TIDAK TAHU LANGSUNG apa kekuatan diri aku. Aku memang TAK TAHU apakah potensi, bakat dan kelebihan yang telah Allah anugerahkan pada aku".

Bagi kumpulan yang pertama, mereka pasti akan cemerlang kalau mereka secara bersungguh sungguh membangunkan potensi yang telah mereka ketahui ada dalam diri mereka. Sebagai contoh, jika mereka sedar dan tahu bahawa mereka mahir dalam berbahasa, pasti mereka akan kembangkan samada sebagai pemidato, pendebat, penulis, editor majalah, pembangun laman web dan sebagainya sepanjang berada di UKM.

Bagi kumpulan kedua yang tak pasti apakah kekuatan dan potensi diri mereka, mereka harus segera mencuba semua perkara yang akhirnya mereka akan berjumpa apakah yang sebenarnya kekuatan diri mereka. Mereka harus mencuba dalam sukan, kesenian (alatan muzik, lukisan, fotografi, ukiran, tarian, vokal etc), kepimpinan dalam persatuan, perucapan (debat, ceramah, syarahan, pidato etc). Sepatutnya semua pelajar sepatutnya sudah tahu apa keupayaan sebaik sahaja tamat alam persekolahan. Di universiti mereka seharusnya sudah tahu apakah kekuatan diri mereka.

Bagi kumpulan ketiga, di mana mereka sendiri benar benar tak tahu apakah kekuatan diri mereka, Samada mereka setuju atau tidak, hakikatnya mereka sedang 'mengkhianati' anugerah bakat dan potensi yang telah Allah swt berikan pada mereka. Mereka seharusnya 'segera' bangun dan berurusan dengan tenaga akademik di fakulti, kepengetuaan kolej, felo felo kolej, senior yang cemerlang, rakan rakan yang rapat untuk menyelesaikan 'pengkhianatan' ini.

Mereka harus segera bangun dan mencari kekuatan bakat diri mereka sendiri. Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi telah memberikan kepada kita semua (tidak terkecuali) anugerah besar iaitu bakat dan potensi diri. Malah bukan satu tetapi berbagai bentuk potensi diri. Sejarah menunjukkan bagaimana sarjana Islam seperti Ibnu Sina dan sebagainya boleh menjadi apa sahaja dari seorang ahli falsafah kepada seorang ahli sains. Ini bukti kepada kekuasaan Allah. Tetapi jika seseorang tidak mencari atau ingin tahu apa kekuatan yang ada dalam diri sendiri, bukankah itu satu pengkhianatan?

Isu berkaitan kepelbagaian potensi pelajar UKM (secara horizontal dan vertikal) ini jarang disentuh secara mendalam oleh mana mana pihak termasuklah tenaga pengajar di fakulti. Malah dalam pembangunan kurikulum di fakulti pun biasanya hal seperti ini terlepas pandang. Pengajar terlalu sibuk dengan isikandungan kurikulum. Tentang apa yang hendak di kuliahkan, tentang bagaimana hendak di kuliahkan? Sebagai pengajar, mereka jarang benar benar bertanya kepada siapakah (secara instrinsik) pengajaran yang hendak diberikan? Apakah mereka bertanya apakah bakat dan kekuatan pelajar secara individu? Jika semua soalan itu mereka timbulkan sebelum pengajaran bermula maka pengajaran mereka pasti tidak homogenous. Mereka pasti meraikan kepelbagaian pelajar di dalam kelas mereka, dan menguruskan dengan cara dan kaedah yang berbagai juga.

Sebab itu saya menyokong idea memperkenalkan pembelajaran berasaskan kontrak pembelajaran (LC) di UKM. Sebagai contoh bila pengurusan UKM menyediakan platform untuk para pelajar beraktiviti, dipecahkan aktiviti pelajar kepada teras teras tertentu seperti keusahawanan, keseniaan, sukan, kepimpinan, inovasi dan sebagainya. harapannya supaya pelajar mula meneroka apakah kekuatan, minat dan kecenderungan untuk mereka mengenali potensi diri mereka. Kemudian pihak pengurusan UKM menyediakan konsep pembelajaran berasaskan LC di mana pelajar boleh memilih apa sahaja aktiviti yang dirasakan mereka berminat supaya potensi mereka dapat dibangunkan.

Malangnya pelajar (kepimpinan pelajar khususnya) tidak dapat menterjemah usaha ini dalam mereka beraktiviti. Budaya 'angguk', budaya 'ikut kawan' masih kukuh menyelaputi pemikiran pelajar UKM di dalam memilih aktiviti. Idea LC sudah baik tetapi penerimaannyayang  tidak jelas pasti akan mengagalkan usaha ini.

Pelajar harus sedar bahawa usaha mengenali kekuatan dan kecenderungan diri adalah asas dalam beraktiviti di UKM. Ini juga sebenarnya asas kepada pembentukan idealisme dalam diri mahasiswa. Mereka akan percaya kepada diri sendiri. Harga diri (self esteem dan self concept)) juga akan meningkat bila seseoranag kenal kekuatan diri mereka. Sehubungan dengan itu, pelajar yang masuk di tahun pertama pengajian harus segera dibangunkan kesedaran ini seawal mungkin sebelum mereka beraktiviti di tahun tahun pengajian yang seterusnya. Jika semua pelajar sudah tahu apakah kekuatan dan potensi diri mereka dan mula memilih aktiviti yang selari dengan keupayaan tersebut, isu menguruskan kepelbagaian potensi secara horizontal boleh dikatakan selesai.

Bagi isu kepelbagaian potensi secara vertikal (maksudnya dalam satu teras aktiviti ada berbagai tahap kemahiran), satu mekanisme harus dibangunkan oleh PAP untuk membantu pelajar. Sebagai contoh pelajar tahun satu yang sudah menguasai bahasa Inggeris dengan baik sepatutnya tidak perlu lagi ikuti program/aktiviti bahasa Inggeris asas bersama pelajar yang masih lemah bahasa Inggeris. Sepatutnya ada pilihan lain samada mereka diberikan peluang tingkatkan tahap aktiviti Bahasa Inggeris (perniagaan) atau memilih kemahiran yang lain atau diberikan peluang sebagai 'mentor' pada kumpulan bahasa Inggeris yang lemah.

Pelajar tahun satu yang sudah wakili negeri dalam bolasepak, tentunya tidak lagi perlu ikuti kursus asas bolasepak tetapi bertindak sebagai mentor atau jurulatih pada kumpulan yang baru ingin bermula. Ini bermaksud pihak universiti mengiktiraf potensi pelajar secara vertikal. Kita harus berhenti dari menyamakan semua pelajar mempunyai potensi diri yang sama. Sepatutnya pelaksanaan aktiviti pelajar secara LC membuka ruang baru untuk kita segera merealisasikan tujuan murni ini dalam membangunkan potensi dan bakat pelajar UKM.

Unit Pengurusan dan Penyelidikan Bakat Pelajar adalah sangat perlu dibangunkan di UKM. Unit ini bukan sahaja berperanan membuka peluang pelajar mengenali potensi dan bakat masing masing, tetapi juga melatih pegawai, pensyarah dan kepimpinan pelajar UKM untuk mengutamakan bakat pelajar.

Abad ke 21 adalah abad inovasi dan pembangunan bakat. Pelajar UKM seawal mungkin perlu mengenalpasti keupayaan dan bakat mereka. Pada pelajar yang sudah tahu keupayaan diri, unit ini berperanan menyalurkan bimbingan untuk mencemerlangkan bakat tersebut.

Pada pelajar yang tidak pasti apakah bakat mereka, unit ini berfungsi menyediakan kauseling dan khidmat bimbingan bakat. Manakala pelajar yang masih tidak tahu apakah bakat mereka, unit ini akan berperanan membantu mengenalpasti apakah kecenderungan individu pelajar sehingga pelajar berkenaan menjadi jelas akan bakat mereka. Jika unit ini berjaya membangunkan kepercayaan setiap pelajar UKM tentang bakat dan potensi mereka, ini akan secara total melonjakkan kecemerlangan pelajar di UKM.

Pada akhirnya, semua yang memikul amanah di UKM tentunya boleh menjawab "Apa yang UKM tawarkan kepada masyarakat ialah graduan UKM yang cemerlang akademik, menghargai bakat dalam diri mereka dan mereka sudah bersedia untuk menggunakan kecemerlangan akademik dan bakat yang telah dibangunkan di UKM untuk memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat. Di UKM, kami  satu satunya IPT negara ini yang telah meletakkan bakat pelajar di tempat yang sewajarnya".

Sehingga semua ini dilaksanakan, pada pelajar yang masih tidak tahu apakah bakat yang dianugerahkan oleh Allah swt pada mereka, sesungguhnya merekalah yang telah 'mengkhianati' diri sendiri....







16 October, 2012

Nota Pendek Buat Pemimpin Pelajar UKM...

Pemimpin pelajar UKM samada MPP PMUKM, JAKSA, urusetia mahupun persatuan harus mula segera menganjak paradigma di dalam mendefinisikan makna 'memperjuangkan kebajikan pelajar'. Jika dulu maksudnya merujuk kepada memperjuangkan soal kemudahan untuk pelajar seperti pengangkutan bas dalam kampus, yuran dan kemudahan penginapan di kolej, kemudahan perpustakaan, isu tempat letak kenderaan pelajar, masalah air dan isu keselamatan, hari ini maksud 'memperjuangkan kebajikan pelajar' telah BERKEMBANG (dengan tidak meninggalkan sama sekali makna yang lama) kepada memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar merancang dan melaksanakan program untuk memastikan masa depan pelajar UKM menjadi lebih baik, memiliki tahap kebolehpasaran yang lebih tinggi, memiliki keupayaan keusahawanan, kualiti berfikir, keupayaan melakukan inovasi dan sebagainya. Tak tercapai maksud 'perjuangan untuk kebajikan pelajar' jika semasa di kampus segala kemudahan pelajar telah berjaya diperjuangkan tetapi sebaik sahaja tamat pengajian, para pelajar tidak dibekalkan dengan kemahiran, pengalaman serta keupayaan untuk bersaing untuk mencipta atau mendapat pekerjaan. "Musuh" atau lawan sebenar pelajar UKM bukanlah polemik 'politik remeh' sesama pelajar UKM tetapi lawan sebenarnya ialah mengubah persepsi negatif majikan pada pelajar UKM (baca skor review kategori kebolehpasaran pelajar UKM oleh majikan di dalam World University Ranking (WUR) mengapa UKM sedikit jatuh pada 2010). Jika pemimpin pelajar UKM bersatu menentang 'musuh' yakni persepsi negatif sebahagian majikan, mereka tentunya dengan segera akan membina keupayaan dan potensi pelajar UKM dengan kemampuan yang ada. Maka sebagai pimpinan pelajar UKM, anda sebenarnya telah berjaya melaksanakan amanah anda dalam memperjuangkan kebajikan pelajar UKM untuk kesejahteraan hidup mereka. Tentunya pada masa yang sama sebagai pimpinan pelajar, anda juga memegang amanah untuk terus menerus meningkatkan kesedaran pelajar tentang soal mendapatkan keredhaan Allah swt di dunia dan di akhirat. Insyaallah...

...Selasa 16 Oktober 2012 (12.30 tengahari)

13 October, 2012

Pemimpin Persatuan Pelajar UKM Jangan Sampai 'Tertidur Nyenyak'


Sekian lama saya selalu terbayang satu pandangan simbolik tentang kepimpinan pelajar. Saya selalu 'nampak' kepimpinan pelajar seperti air jernih,  suci dan bersih yang sedang mengalir laju. Jika ada yang tidak senang dengan arah alirannya, jangan ditahan aliran air ini dengan 'benteng benteng' yang menyebabkan kocakannya menjadi ombak ombak kecil yang 'keras'. Tetapi alirkan tenaga air yang mengalir  ini dengan 'laluan laluan baru' yang tidak menyekat tenaga alirannya supaya ia terus mengalir laju tetapi penuh ketenangan". Itulah bayangan simbolik setiap kali perkara kepimpinan pelajar diajukan pada saya. Pada saya, kepimpinan mahasiswa adalah komponen yang penting di dalam sesebuah universiti. Saya sangat menghargai setiap saat apabila berpeluang berdiskusi (kadang kala 'berdebat') dengan mereka. 

Dua hari lepas, saya menerima kunjungan beberapa pelajar yang memimpin salah sebuah persatuan pelajar UKM. Kebetulannya, salah seorang dari mereka adalah pelajar yang mengikuti kuliah saya di fakulti. Mereka sedang dalam proses menyusun aktiviti tahunan persatuan, lalu mengambil kesempatan bertandang ke pejabat saya untuk berkongsi  pandangan. Saya ucapkan tahniah dan menghargai kunjungan mereka.

Apa yang saya bualkan dengan mereka biarlah menjadi isi bicara antara kami. Tetapi dalam kebanyakan masanya saya sering menyebut soal sangat penting untuk kepimpinan persatuan pelajar UKM masakini membina kerangka pemikiran baru mentransformasikan halatuju, kepemimpinan dan aktiviti persatuan mereka.

Pertamanya, tranformasi ini penting demi kebajikan para ahli, kedua, untuk meningkatkan citra universiti dan seterusnya yang ketiga, tranformasi ini akan memberikan kebaikan kepada masyarakat dan negara yang sedang berkembang.

Saya sebutkan perlunya kerangka tranformasi untuk persatuan pelajar UKM ini kerana zaman telah banyak berubah, kehendak dan aspirasi masyarakat di dalam dan luar kampus juga telah berubah. Cabaran kepada mahasiswa juga sudah berubah. Apa yang dihasratkan oleh masyarakat kampus pada ketika era saya sebagai seorang pemimpin mahasiswa sudah tidak sama dengan hasrat masyarakat masakini. Pemimpin masa kini harus jelas tentang keperluan masyarakat pelajar UKM. Mereka harus peka dan 'tidak tertidur'.

Jika pemimpin muda yang memimpin persatuan pelajar UKM hari ini masih kekal dengan cara pemikiran yang lama memimpin persatuan pelajar di UKM, mereka akan menghadapi masalah. Sekurang kurang ada tiga isyarat utama yang menunjukkan mereka sedang atau akan menghadapi masalah.

Isyarat pertama, mereka mula alami kesukaran mendapat keahlian yang baru di kalangan pelajar baru. Jika sesuatu persatuan pelajar sangat relevan, dinamik dan mendepani masa, menarik keahlian baru tidak sepatutnya menjadi satu cabaran yang sangat besar. Lihat sahaja persatuan persatuan yang menyertai Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar awal minggu ini. Ada yang mendapat sambutan yang sangat menggalakan dengan penyertaan baru yang begitu besar dan ada persatuan yang kurang mendapat sambutan. Lebih menyedihkan ada antara persatuan pelajar UKM dikhabarkan sangat kurang pendaftaran ahli ahli baru terutamanya di kalngan pelajar pelajar tahun satu.

Isyarat kedua, sesebuah persatuan pelajar mula menghadapi masalah ialah bila mereka sudah ketiadaan kepimpinan pelapis yang akan meneruskan kepimpinan sedia ada. Kalau adapun jumlahnya sangat kurang atau tiada langsung yang berwibawa. Isyarat ini merupakan petanda awal menunjukan sesuatu yang drastik harus dilakukan jika persatuan tersebut ingin terus ‘hidup’ di bumi UKM. Ada ketikanya, persatuan pelajar UKM mempunyai kepimpinan yang begitu baik, tetapi beberapa tahun  kemudian persatuan yang sama merundum prestasinya. Ini sangat berkait dengan cara kepimpinan sedia ada merancang pembangunan bakat di kalangan pimpinan pelapis di dalam persatuan berkenaan.

Isyarat ketiga yang boleh kita ukur ialah bila kadar ‘drop out’ atau fenomena ‘tarik diri’ yang tinggi berlaku selepas sesuatu persatuan selesai melakukan pendaftaran ahli baru. Mungkin semasa minggu pendaftaran, puluhan pelajar baru mendaftarkan diri sebagai ahli tetapi selang beberapa minggu kemudian ahli ahli baru ini akan mula ‘menghilangkan diri’ dari persatuan berkenaan. Ini isyarat untuk persatuan berkenaan mula memikirkan idea idea baru untuk mentransformasikan persatuan mereka.

Banyak lagi isyarat lain yang boleh kita lihat untuk menilai sama ada sesebuah persatuan pelajar itu berada dalam situasi yang baik, sederhana dan lemah. Misalnya bentuk aktiviti, sambutan pelajar terhadap aktiviti, bentuk dan kualiti kertas keraja dan laporan akhir yang disediakan, tahap penyertaan pihak luar UKM, jumlah tajaan, kelancaran program dan sebagainya. Ini semua boleh diperhalusi jika kita ingin menilai keupayaan sesebuah persatuan pelajar di UKM.

Satu ketika dulu, pernah dicadangkan supaya semua persatuan pelajar UKM yang berdaftar diberikan penarafan bintang atau gred untuk mengiktiraf keupayaan mereka. Pastinya akan ada persatuan pelajar bertaraf lima bintang atau kategori Gred A dan ada yang berada dalam kategori Gred B bagi yang sederhana dan Gred C bagi rendah. Melalui kaedah ini geran peruntukan aktiviti boleh disalurkan secara berkesan dan seterusnya akan memberikan impak kepada pelaksanaan program yang dianjurkan oleh persatuan pelajar UKM.

Bagi persatuan gred A, jumlah dana geran yang lebih besar sepatutnya disalurkan kerana keupayaan mereka yang lebih baik berbanding persatuan dalam kategori gred B atau C. Malah bagi ketegori Gred C, pihak universiti boleh anjurkan latihan kepimpinan dan juga bantuan khidmat nasihat untuk pemimpin persatuan meningkatkan keupayaan mereka.Maka dengan cara ini juga semua persatuan akan berpeluang untuk berusaha meningkatkan prestasi persatuan mereka supaya berada dalam kategori cemerlang dan berusaha untuk kekal selama mana yang boleh.

Tentunya kriteria membuat penarafan bintang atau kategori gred ini perlu jelas dan disokong oleh semua persatuan pelajar UKM. Malah sebaiknya mereka diberikan peluang menyumbangkan pandangan dalam pembinaan kriteria. Malah apa salahnya jika beberapa wakil pelajar juga dilantik sebagai ahli jawatankuasa dalam panel penentuan kriteria yang ingin dibangunkan. 

Antara kriteria yang penting ialah kriteria kualiti sistem pentadbiran persatuan, prosedur sistem perlantikan, kualiti sistem penyimpanan rekod dan laporan persatuan, kualiti penganjuran aktiviti, impak langsung aktiviti, pencapaian misi dan visi persatuan dan sumbangan persatuan kepada pembangunan citra UKM. Mungkin boleh difikirkan beberapa ‘variable’ lain yang sesuai digunakan sebagai asas pembangunan kriteria pengredan persatuan pelajar UKM. Malah sebagai mengiktiraf dan menghargai usaha persatuan pelajar yang berjaya, sijil dan poster pengiktirafan bintang boleh diabadikan di dinding pintu bilik persatuan pelajar yang berjaya.

Apa yang penting, usaha meningkatkan kualiti persatuan pelajar UKM harus digerakkan oleh semua pihak yang bekepentingan. Pihak pengurusan UKM telah melakukannya sejak sekian lama, kini tiba masanya untuk angkatan pemuda pimpinan persatuan pelajar UKM bergerak ke hadapan menjayakan tranformasi kepimpinan mereka. Harapnya janganlah sampai ada pimpinan mahasiswa UKM yang ‘tertidur nyenyak’ semasa memegang amanah memimpin persatuan. Tentu malang sekali buat ahli persatuan dan malang juga buat sebuah universiti berstatus kebangsaan yang bernama UKM...

10 October, 2012

Persatuan Pelajar UKM Perlukan Transformasi Besar-Besaran

Saya sejak sekian lama sentiasa meneliti perkembangan persatuan pelajar UKM. Hari ini, bilangan persatuan pelajar yang berdaftar dengan JPPEL sudah menjangkau 202 buah persatuan. Bagaimanapun dikhabarkan hanya sekitar 60 buah sahaja persatuan yang benar benar konsisten aktif. Yang lain ada yang 'turun naik' prestasinya. Manakala sebahagian yang lain pula merupakan persatuan yang tidak aktif langsung. Tetapi akan kembali 'berpura pura' kelihatan aktif bila surat peringatan dikeluarkan pihak UKM untuk menamatkan pendaftaran persatuan mereka.

UKM masih kekal sebagai IPT yang paling banyak persatuan di negara ini. Data ini saya perolehi ketika menjadi salah seoarang panel penyelidik kepada pihak KPT sejak tiga tahun lalu berkaitan ko-kurikulum dan peningkatan kebolehpasaran mahasiswa IPT. Kami bergerak dari sebuah IPT ke IPT bagi meneliti kegiatan ko-kurikulum pelajar. Maknanya dari segi kuantiti persatuan pelajar, UKM memang telah hebat dan terkehadapan sekali!

Oleh kerana bilangan persatuan pelajar UKM yang  begitu banyak, secara langsung bilangan aktiviti juga banyak. Setiap tahun purata aktiviti persatuan pelajar UKM mencecah hampir 1,000 aktiviti. Itu yang telah berdaftar dengan pihak JPPEL. Bayangkan aktiviti dalaman samada di fakulti, kolej dan persatuan yang mana aktiviti tersebut tidak didaftarkan dengan JPPEL sebaliknya mendapat kelulusan pihak kepengetuaan kolej atau kedekanan fakulti. Tidak dinafikan jumlah aktiviti persatuan pelajar UKM sebenarnya lebih dari seribu aktiviti.

Apakah jumlah sebegini banyak persatuan dan juga aktiviti secara objektifnya telah membuktikan kemahiran insaniah pelajar UKM meningkat? Tiada siapa yang tahu. Apatah lagi mengetahui sejauh mana peningkatan tersebut telah memberikan impak keupayaan pelajar UKM secara keseluruhannya ?

Sempena minggu pengenalan persatuan yang sedang berlangsung (9-12 Oktober 2012) di PUSANIKA, saya sempat membuat kunjungan ke setiap kaunter persatuan, berbual dan bertanya khabar untuk melihat perkembangan persatuan pelajar di UKM. Kesimpulan akhir yang boleh saya katakan sepanjang kunjungan saya ialah prestasi persatuan pelajar "ada yang baik, ada yang masih boleh dipertingkatkan dan ada sebahagiannya mengecewakan".

Harap pimpinan pelajar dapat menerima pandangan saya ini secara positif. Pandangan ini ikhlas ke arah mengimpikan persatuan pelajar UKM yang lebih dinamik dam hebat pada sesi ini dan sesi sesi mendatang. Sekurang kurang persatuan yang mengambil bahagian di PUSANIKA telah menyahut cabaran. Masih banyak persatuan lain yang langsung lesu dan tidak mengendahkan usaha untuk membuka kaunter dan mempromosikan persatuan mereka pada pelajar UKM khususnya pelajar tahun satu. Saya ucapkan tahniah pada pimpinan persatuan di atas penglibatan persatuan di bawah amanah mereka di PUSANIKA.

Selain bilangan pengunjung yang agak kurang (pada hari kedua program berjalan), kaunter kaunter persatuan yang mengambil bahagian juga tidak melakukan banyak iniasiatif untuk menarik pendaftaran pelajar baru secara agresif dan menyakinkan. Rata-rata yang berada di kaunter tidak dapat menerangkan secara mendalam aktiviti yang mereka telah laksanakan. Mungkin kerana yang bertugas di kaunter adalah pelajar baru juga!  rata-rata kelihatan lebih banyak berdiam diri bila pengunjung melewati kaunter mereka. Jika pun berbual lebih kepada sesama rakan mereka. Saya membayangkan sepatutnya aktiviti promosi di dalam menarik ahli baru ibarat eksekutif jualan kad kredit di 'shopping mall'. Tiada pamplet persatuan, tiada pemasaran dan juga aktiviti yang bertujuan membuka 'hati' pengunjung untuk mendekati kaunter kaunter persatuan.

Saya rasa persatuan pelajar UKM perlukan satu tranformasi besar besaran untuk mengalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti mereka. Tiga perkara utama yang perlu ditranformasikan. Pertama mindset pimpinan persatuan pelajar UKM. Kedua, bentuk aktiviti yang dilaksanakan dan ketiga proses dokumentasi semua aktiviti yang dilaksanakan oleh persatuan pelajar.

Mindset kepimpinan persatuan pelajar UKM kelihatannya seperti masih mewarisi bentuk dan kerangka pemikiran pimpinan pelajar UKM era 1990an. Mengapa saya berkata begitu? Lihatlah bentuk organisasi, jawatan yang dinamakan, matlamat dan tujuan persatuan, semuanya kekal seperti mana era 1990an. Di saat masyarakat luar sudah jauh berubah, malah rata rata semua pelajar UKM juga sudah jauh berubah, cara pengorganisasian persatuan pelajar UKM tidak juga berubah ubah. Gaya kepimpinan era 1990an kekal kuat menyelimuti organisasi dan gaya pimpinan pelajar UKM hari ini. Maka itu, saya cadangkan semua persatuan pelajar UKM segera duduk dan bina kembali penyataan visi, Misi dan objektif persatuan di bawah pimpinan masing masing supaya mendepani keperluan mahasiswa masakini.

Keduanya, aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan pelajar sewajibnya diselarikan dengan keperluan pelajar hari ini sesuai dengan perubahan yang sedang berlaku dalam masyarakat. Pimpinan persatuan pelajar UKM harus segera cakna dengan isu isu masakini seperti kebolehpasaran mahasiswa, political literacy, hubungan dan pengetahuan isu antarabangsa, perbincangan politik baru, perkembangan ekonomi dan perubahan sosial masyarakat.

Sebagai contoh persatuan anak negeri seharusnya membawa perbincangan isu ekonomi dan sosial negeri masing masing ke UKM. Anak negeri Johor mungkin boleh membawa perbincangan berkaiatan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar, Anak Negeri Pahang membawa isu Lynas, Anak Negeri yang mempunyai banyak wilayah Felda mungkin boleh membawa isu Felda FGV untuk diperdebatkan di dalam UKM.

Bagaimana dengan persatuan dan urusetia lain? Misalnya persatuan bersifat antarabangsa? AIESEC, Sahabat Aqsa, kelab United Nation dan sebagainya? Apa pula agenda dan misi besar Urusetia ASPIRASI, ISIUKM,Kelab Wawasan, Kelab Perkim, Kelab Penyayang dan sebagainya?

Ketiga, kita juga mengharapkan tranformasi di dalam cara persatuan mendokumenkan aktiviti mereka. Bila saya berkunjungi dari satu kaunter ke kaunter persatuan pelajar yang terlibat dengan minggu pengenalan persatuan di PUSANIKA, satu perkara yang sangat ketara ialah hampir semua persatuan tidak mempunyai sistem dokumentasi yang baik. Maksud dokumentasi bukanlah sekadar sistem file (yang juga saya tahu masih tidak teratur dan lemah) tetapi dokumentasi yang lebih merujuk kepada sistem merekodkan untuk rujukan semua aktiviti yang telah dianjurkan. rata rata pameran sekadar meletakan gambar gambar yang dicetak dalam keadaan yang agak tergesa gesa, tiada frame apatah lagi dalam bentuk poster. Sepatutnya semua aktiviti direkodkan dalam bentuk laporan dan juga poster (untuk tujuan pameran dan rujukan). Malah sepatutnya sudah bermula tradisi mendokumenkan semua aktiviti atau gabungan aktiviti perastuan pelajar yang diterbitkan dalam bentuk buku untuk rujukan dan bacaan umum. Dengan adanya bilik bilik persatuan pelajar yang baru siap di bina di PUSANIKA oleh pihak UKM, seharusnya tranformasi ini segera digerakkan.

PMUKM sebagai sebuah badan induk juga harus mula mengerakkan usaha membantu mentranformasikan persatuan persatuan pelajar UKM. Malah PMUKM juga sebenarnya perlukan transformasi. PMUKM sebagai sebuah majlis perwakilan pelajar UKM bukanlah penganjur kepada aktiviti. PMUKM adalah majlis yang membincangkan isu dan mencadangkan dasar dalam pembangunan pelajar di UKM. Jika PMUKM sekadar menganjurkan aktiviti, dan tidak pernag mengambil tahu tentang halatuju semua persatuan pelajar yang lain, hilanglah martabatnya sebagai badan induk kepada semua persatuan persatuan pelajar di UKM.

Sedih mendengar keluhan beberapa pimpinan persatuan yang mengambil bahagian di PUSANIKA. Antara lain mereka seperti bersetuju semakin ramai pelajar tidak berminat dengan aktiviti berpersatuan. Ada diantaranya yang seperti menyalahkan JAKSA Kolej kerana telah mendominasi penyertaan pelajar baru untuk aktiviti kolej. Ada pula yang menyalahkan sistem LC yang merencatkan keinginan pelajar tahun satu aktif berpersatuan, katanya tidak mendapat kredit dari PAP. Ada pula yang menyalahkan pihak UKM yang kononya tidak salurkan dana yang mencukupi untuk menganjurkan aktiviti persatuan.

Ada lagi berbagai keluhan yang disampaikan. Saya mendengar dan memberikan senyuman..di dalam hati saya segera menjawab, "inilah seronoknya menjadi pimpinan pelajar di universiti, diasak dengan pelbagai halangan dan cabaran, maka akan bermulalah pembinaan karisma, kreativiti, kematangan, kekuatan dalaman, bijak membuat keputusan yang tepat dan segera dan kebolehan dalam merancang strategi untuk mencapai objektif"..
Semoga semua pimpinan persatuan pelajar UKM akan tabah untuk terus memimpin..






04 October, 2012

Peringatan Buat MPP PMUKM Yang Baru Dilantik...

Semua sudah selesai. GMUKM menang 19 kerusi ( 7 kerusi menang tanpa bertanding), Aspirasi gagal bertahan dengan cuma menang 9 kerusi. Maka GMUKM memiliki majoriti 2/3 yang tipis dalam MPP PMUKM sesi ini. Mengapa GMUKM menang dan mengapa ASPIRASI kalah telah diulas oleh banyak pihak termasuk blog ini minggu lepas.

Sekarang fasa dua akan bermula. Fasa penubuhan kerajaan pelajar di PUSANIKA. Tentunya telah ditentukan awal awal oleh mentor (dalang?) politik GMUKM siapakah antara calon GMUKM yang menang akan diberikan jawatan Presiden PMUKM, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari dan biro biro yang lain. Ini bukan urusan calon yang menang. Mereka hanya perlu 'mengangguk' bila diarahkan menerima mana mana jawatan. Itu sudah menjadi kelaziman. Samada suka atau tidak, samada bersedia tauapun tidak, mereka harus menerima seadanya.

Tanpa mengira calon GMUKM mana pun yang diberikan jawatan dalam PMUKM, jawatan kecil atau besar, penting atau remeh, sebagai pelajar, semuanya harus menghormati amalan demokrasi, keputusan tersebut mesti diterima. Samalah seperti sebuah kerajaan di Putrajaya. Kerajaan yang dibentuk adalah hasil undian rakyat majoriti. Samada suka atau tidak sebagai rakyat yang matang, kita harus menerima keputusan majoriti rakyat. Itulah tujuan piliharaya dan itulah demokrasi. Semua boleh berkempen, boleh berperang saraf dan sebagainya semasa proses piliharaya berjalan tetapi apabila sesebuah parti telah mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan, semua yang lain samada yang suka atau yang membangkang harus menghormati keputusan rakyat majoriti.

Malang sekali kalau sebagai rakyat, kita tidak boleh berlaku matang dan menolak kerajaan yang telah diterima majoriti oleh warganegara yang lain. Hal yang sama juga dengan kerajaan PMUKM di PUSANIKA. Setelah selesai piliharaya kampus UKM, semuanya harus kembali berpadu untuk menjayakan tranformasi UKM. Pada yang menang jangan menkhianati undi pelajar pada mereka dengan meminggirkan kepentingan pelajar sebaliknya mengutamakan kepentingan puak puak yang menjadi 'dalang politik' mereka di luar kampus. Pada yang kalah, haruslah mereka berlapang dada menerima kekalahan tersebut. Watak pemimpin tak akan hilang sekalipun mereka kalah kerana kekalahan itu bukanlah penamat kepada perjuangan mereka, itu sekadar satu pertempuran dari peperangan yang panjang.

Saya cuma ingin mengingatkan beberapa perkara agar MPP PMUKM yang menang sesi ini, tak kira dari GMUKM mahupun ASPIRASI supaya jangan mengulangi kesilapan abang abang dan kakak kakak MPP PMUKM sesi yang lalu. Ambillah iktibar dan jadikan sempadan kesilapan mereka yang lalu untuk menjadikan MPP sesi ini lebih baik.

1. Kesilapan yang paling besar dilakukan oleh PMUKM sesi lalu ialah memulakan konflik dengan pihak pengurusan tertinggi UKM. Satu satunya perkara yang tidak menguntungkan seluruh pelajar UKM. Di dalam UKM, piliharaya kampus bertujuan membentuk  PMUKM adalah satu proses pendidikan semata mata. Melatih pemimpin pelapis dan melatih pelajar berorganisasi. Manakala pelembagaan Universiti masih tetap di bawah pihak pengurusan universiti. Sebagai satu contoh mudah, menguruskan pembinaan dan penyelenggaraan bangunan, membaiki jalanraya, membaiki sistem pengangkutan, melantik pengendali kafetaria dan segala macam pengurusan hal ehwal UKM samada akademik dan bukan akademik adalah tanggungjawab pihak pengurusan UKM. Samada wujudnya PMUKM atau tidak, samada piliharaya kampus diadakan atau tidak, semua urusan dalam UKM masih diuruskan sepenuhnya oleh pengurusan UKM. Apakah tanpa PMUKM, universiti ini tidak akan berjalan? tentulah tidak.

Tetapi cara PMUKM sesi lalu mengendalikan diri mereka dengan menganjurkan konflik terhadap pihak pengurusan UKM seolah olah mereka merasakan diri mereka 'sangat berkuasa'. Mereka mula menjadi pihak kumpulan pendesak atas tujuan yang tidak jelas (selain mungkin diarahkan dan ditunjukkan oleh mentor luar kampus). Akhirnya hubungan PMUKM dan pengurusan tertinggi UKM hambar, kurang perbincangan dilakukan untuk menjadikan kualiti hidup pelajar UKM lebih baik . PMUKM sesi lalu bergerak dalam ruang mereka sendiri. Tidak banyak yang dapat mereka lakukan selain terus menerus menyalahkan pengurusan UKM atas semua perkara yang kononnya mereka tidak dapat kerjasama pengurusan UKM, sedangkan merekalah yang merenggangkan hubungan tersebut sejak mula. Makanya, MPP PMUKM yang akan dilantik sesi ini haruslah mengubah kesilapan ini dengan menwujudkan hubungan baik dengan pengurusan UKM. Tidak rugi sedikit pun jika hubungan dieratkan antara PMUKM dan pengurusan UKM. Yang untungnya adalah pelajar. PMUKM boleh menjadi suara pelajar yang benar benar menjaga kebajikan pelajar untuk dijayakan bersama dengan pengurusan UKM. Pelajar tentu gembira jika kebajikan mereka diambil berat secara bersama antara PMUKM dan pengurusan UKM.

2. Kesilapan besar yang kedua ialah meminggirkan pelajar kaum bukan muslim-melayu di UKM. Sangat ketara PMUKM yang lalu meminggirkan seawal memegang kuasa di PUSANIKA. Bayangkan hanya seorang pelajar Cina yang diberikan jawatan tidak penting dalam Pesta Konvo dan tiada pelajar India dalam MT Pesta Konvo yang memerlukan ramai pelajar Cina dan India untuk turut serta. Malah tiada program untuk menghargai pelajar dari masyarakat Tiong Hua dan India dalam Pesta Konvo. Begitu juga dengan sokongan kepada persatuan Pelajar Cina dan India yang berada di bawah PMUKM. Bagi pelajar antarabangsa lebih menyedihkan. Tiada dialog dan perjumpaan PMUKM dengan pelajar antarabangsa secara berterusan. Malah tiada langsung program PMUKM khusus untuk persatuan pelajar antarabangsa. Pihak PMUKM seharusnya boleh hadir mengadakan lawatan untuk meneliti kebajikan yang diperlukan oelh pelajar antarabangsa. MPP PMUKM sesi ini diharapkan lebih bersedia membuka pintu PMUKM untuk pelajar Tiong Hua, India dan pelajar antarabangsa, janganlah diulang kesilapan MPP PMUKM sesi yang lalu.(untuk makluman MPP PMUKM yang akan dilantik, pihak pengurusan IZISH telah sejak enam bulan lalu menyediakan 10 bilik pejabat persatuan pelajar antarabangsa di blok K19A).

3. PMUKM adalah induk kepada puluhan persatuan dan kelab pelajar di UKM. Bukan ISIUKM sahaja. Oleh itu diharap MPP PMUKM sesi ini bersedia melihat keberadaan semua persatuan, kelab dan urusetia selain ISIUKM agar makna PMUKM mewakili semua pelajar UKM benar benar diterjemahkan. Jika itu gagal dilakukan, walaupun menang piliharaya, kemenangan sebenar masih belum diperolehi kerana gagal menguruskan semua ahli di bawahnya.

4. Itu kisah MPP PMUKM di bawah GMUKM. Hal yang sama ingin diperingatkan kepada MPP Aspirasi yang menang sesi ini. Jumlah 9 kerusi yang dimenangi harus jangan sampai menyebabkan anda kecewa dan meninggalkan kepercayaan pelajar yang memberikan undi mereka kepada anda. Anda harus melihat gelas air yang separuh penuh dan tidak sekali kali melihat gelas yang separuh kosong. Cara anda melihat kekalahan dalam PRK harus lebih baik berbanding MPP Aspirasi sesi lepas. Bukan sahaja mereka tidak bersatu dengan baik, mereka juga tidak mengemaskinikan organisasi mereka sebaik sahaja kalah. Jumlah kerusi menang kalah dalam politik UKM bukanlah penting sangat. samada anda kumpulan majoriti atau minoriti, itu sebenarnya tidak memberikan apa apa kesan kerana MPP PMUKM tidak menguruskan hal hal bersifat dasar di UKM. Yang penting ialah bekerja dengan teliti, istiqamah, bermula dari awal dan membina kekuatan untuk adik adik anda bertanding pada sesi hadapan. Malangnya sesi lalu, MPP Aspirasi hampir lumpuh akibat trauma kalah buat kali pertama setelah tujuh sesi menguasai PMUKM. Mereka menjadi longlai tidak bermaya, usaha sebagai MPP Aspirasi menjaga kebajikan pelajar UKM juga tidak kelihatan berjaya. Jangan anda semua ulangi kesilapan tersebut. Kembali bersatu, merancang dan bekerja keras untuk kebajikan pelajar.

5. MPP Aspirasi sesi dulu sangat ketandusan program, diharap MPP Aspirasi sesi ini segera menggerakkan program untuk disertai oleh pelajar. tentukan program yang dianjurkan membawa kebaikan kepada pelajar. Program kerohanian, program kecemerlangan akademik, program khidmat masyarakat, keusahawanan, inovasi dan sebagainya. Jika anda boleh ambil iktibar dari kesilapan MPP Aspirasi sesi lepas, anda telah berjaya memulakan satu episod baru kejayaan Aspirasi. UKM bermula dengan Aspirasi Rakyat, UKM bermula dari pengorbanan rakyat mengimpikan sebuah universiti yang menjulang bahasa Melayu/kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan Islam sebagai nilai jati diri warganya. Itulah sebabnya falsafah UKM berteraskan Iman, Ilmu dan Amal. Jika nenek moyang kita sejak 1917 berjuang membina UKM, hari ini MPP Aspirasi harus mula berjuanag menggerakkan semangat aspirasi rakyat yang murni ini untuk diresapi oleh seluruh warga UKM khususnya pelajar.

Sebagai ahli MPP, samada GMUKM ataupun Aspirasi, anda semua telah berjaya memenangi undi rakyat UKM. Kini anda akan dihadapkan dengan tanggungjawab dan amanah. Maka anda juga seperti pemimpin yang lain akan dipersoalkan dengan setiap apa yang anda lakukan. Berlaku adil pada kawan dan lawan. Selamat berkhidmat Yang Berhormat sekalian...


01 October, 2012

Mahasiswa UKM: Mulakan Dengan Yang Mudah Mudah...

Universiti di bina untuk membangunkan keperibadian manusia. Itulah matlamat dan tujuan asas sesebuah univesiti di bina. Hal yang berkaitan pengeluaran sijil atau ijazah untuk untuk mendapat pekerjaan hanya bermula selepas revolusi industri di Eropah. Sebelumnya tujuan mendaftar untuk menjadi 'mahasiswa' dan kemudiannya menjadi seorang graduan lebih untuk membina diri, meneroka ilmu dan menyumbang kepada idea idea baru membangunkan diri dan masyarakat.

Era sebelum revolusi industri di eropah, mobiliti sosial tidak ditentukan oleh pencapaian akademik tetapi ditentukan oleh siapa ayah anda? apa keturunan anda? dan serapat mana hubungan anda dengan kumpulan elit dalam masyarakat. Kini sesiapa juga boleh memobilitikan dirinya untuk mencapai tahap atau strata tertinggi dalam masyarakat (Green.2006).

Ada baik dan ada juga buruknya. Baik kerana pendidikan membuka peluang untuk semua orang maju ke depan tanpa mengira apa juga latarbelakangnya. Buruknya juga ada. pendidikan yang secara keterlaluan untuk tujuan meningkatkan taraf hidup (ekonomi dan sosial) menyebabkan tujuan tujuan murni pendidikan di tinggalkan kerana kebobrokan mengejar sekeping ijazah atau markah tertinggi tanpa melihat falsafah atau tujuan sesuatu ilmu pendidikan dipelajari.

Tanyalah diri sendiri, anda masuk dan belajar ke UKM untuk apa? Jika jawapannya untuk mendapat PNGK 3.5 dan ke atas, anda telah berjaya mencapai 50% dari sebab yang benar mengapa seseorang masuk ke universiti. Jika anda tidak ada matlamat untuk mencapai PNGK 3.5 ke atas, sekadar berhajat untuk lulus sahaja, anda hanya memenuhi 25% sahaja tujuan seseorang masuk ke universiti. Jika anda yang tidak kisah, tiada apa matlamat dan tidak pasti ingin lulus atau tidak, maknanya anda mencapai 0% mengapa seseorang masuk ke universiti.

Jika mencapai PNGK 3.5 ke atas hanyalah 50% daripada sebab mengapa kita masuk ke universiti, mana lagi 50%?

Sebenarnya sesebuah kampus bukan sahaja tempat seseorang memperolehi ilmu berkaitan bidang pengajian tetapi juga memperolehi ilmu yang membina keperibadian diri. Mengetahui tentang apa yang baik dan apa yang buruk. Seterusnya menentang dan menolak keburukan dan mengalakkan kebaikan dan kesejahteraa berlaku di dalam kampus.

Saya ingin ajak mahasiswa UKM memulakan dengan yang mudah mudah dahulu. Perkara mudah tahap pertama ialah memasuki universiti akan mengubah budaya dan perlakuan buruk dalam diri kita. Sebagainya contoh, jika meletakkan kenderaan pun kita gagal lihat rasionalnya mengapa kita perlu meletakkan kenderaan mengikut peraturan dan tempat yang di sediakan, malang sekali universiti mempunyai mahasiswa sebegini. Bagaimana dengan perlakuan membuat bising dalam PTSL, tidak solat wajib yang lengkap, tidak hentikan kenderaan di kawasan pejalan kaki melintas jalan (zebra crossing), hadir lewat ke dewan kuliah, tidak sediakan tugasan dan assingment secara berkualiti dalam masa yang ditetapkan.

Begitu juga dengan budaya buruk seperti berpakaian yang tidak sesuai dengan persekitaran atau program tertentu, tidak menguruskan kebersihan dan kekemasan diri, bising di kolej ketika rakan rakan rakan menelaah pelajaran di bilik masing masing. Bagaimana pula dengan pelajar yang tidak boleh mendisiplinkan diri sehingga tanpa henti henti menggunakan FB atau internet walaupun sedar masa untuk belajar telah dipinggirkan. Begitu juga dengan tidak mempamerkan sifat ikhlas menghormati pensyarah dan kakitangan universiti yang berlaku sopan pada kita. Bagaimana pula  dengan perlakuan pembaziran air dan elektrik di kolej kolej?

Banyak lagi perkara perkara yang lain boleh dikategorikan sebagai buruk tetapi tetap dilakukan oleh pelajar. Pendek kata memasuki universiti sepatutnya mengubah budaya buruk kita menjadi lebih baik. Jika tidak berlaku, kita adalah orang yang gagal sebenarnya. Inilah 50% lagi perkara perkara yang dapat membezakan seseorang yang masuk ke universiti dengan seseorang yang tidak masuk ke universiti. Bukan sekadar segulung ijazah. tetapi perlakuan, pertuturan, tingkahlaku serta pemikiran yang akan menentukan siapakah graduan yang sebenarnya.

Jika perkara yang mudah tahap pertama telah berjaya dilakukan oleh pelajar, mulakan dengan perkara yang mudah tahap kedua. Iaitu mula mencari ilmu ilmu penting lain yang tidak ada dalam pengajian khusus anda. Belajar dan baca sebanyak mungkin ilmu agama, kemasyarakatan, sains dan sebagainya untuk memahami kebesaran Allah (pada yang muslim). Bertanyalah soalan pada ahli akademik yang anda kenali dan hormati. Berdialog dan berinteraksi dengan rakan rakan yang mencintai ilmu agar anda mendapat kebaikan. Saya yakin perkara yang mudah mudah sebeginipun masih amat kurang berlaku dalam kehidupan pelajar di UKM. Mereka seperti sudah hilang keinginan untuk menerokai ilmu untuk memahami persekitaran mereka.

Lebih malang mereka menjadi 'pengangguk setia' kepada pandangan orang lain. Katalah apa sahaja pasti diangguk. Selepas puas mengangguk, mereka kekal seperti sebelumnya..tidak berubah sedikitpun. Sebagai satu contoh, bila dikatakan cafetaria UKM menjual makanan yang mahal, maka seluruh pelajar pasti akan mengangguk-angguk tanda setuju. tapi cuba ditanya lagi, "bagaimana untuk menurunkan harga barangan yang mahal tersebut", mereka akan mengulang ulang kembali jawapan mereka. "Cekik darah"..mungkin jawapan paling popular.

Mungkin ramai di antara mereka tidak pun membaca tentang apakah yang pengguna boleh lakukan bila berhadapan dengan situasi harga barangan yang mahal? Malah mereka juga tidak tahu kepada siapa dan bagaimana untuk membuat aduan yang terbaik bila berhadapan isu seperti ini! Bayangkan hal hal yang lebih berat misalnya apabila ada parti politik menggunakan Islam untuk meraih undi. Mereka juga terangguk angguk tanpa memahami apa pun...

Perkara mudah yang ketiga ialah menggerakkan budaya baik kepada orang lain.  sebagai contoh, bagaimana pelajar UKM dapat membina budaya baik supaya semua pemandu kenderaan WAJIB berhenti apabila ada orang melintas jalan dalam kampus UKM ialah dengan melakukan sendiri. satu demi satu pelajar lakukan, akhirnya semua akan lakukan. Bagaimana pelajar UKM dapat bina budaya pengguna PTSL "rasa bersalah dan malu bila membuat bising dalam PTSL, rasa bersalah bila membuat bising dalam bilik penginapan di kolej, rasa kekok bila hadir lewat ke kuliah, rasa bimbang bila mendahului keinginan untuk FB dari assingment yang perlu segera di siapkan! lakukan sendiri secara istiqamah, bila semua pelajar lakukan ini akhirnya akan membina budaya baik berkenaan dalam kampus UKM.

Malah dalam konteks yang lebih besar bagaimana pelajar UKM dapat membina budaya simpati supaya seluruh warga kampus UKM merasai keperitan dan kesengsaraan rakyat Palestin, Rohingya dan Tibet yang sedang berjuang memerdekaan diri dan agama mereka. Bagaimana boleh dibangunkan keinginan dalam kampus untuk membantu masyarakat miskin tegar dalam negara kita. Bagaimana boleh pelajar UKM meniupkan semangat sayangkan UKM atas nama kejerihan datuk nenek kita berkorban membangunkannya...Semuanya mungkin dilakukan.. dengan syarat..Mulakan dengan yang mudah mudah dahulu....dari diri sendiri...

29 September, 2012

Selamat Berkhidmat dan Terima Kasih Buat IZISH ALERT TEAM (iA-TEAM)

Semester lepas, IZISH digemparkan dengan kes beberapa kecurian laptop di dalam bilik pelajar. Antara puncanya ialah tombol pintu bilik pelajar yang mudah di buka tanpa menggunakan kunci. Selain itu, siasatan bahagian keselamatan UKM juga  mendapati terdapat beberapa kes di mana ada pelajar sendiri yang cuai sehingga kehilangan barangan dan laptop mereka. Faktor kurangnya keprihatian ahli ahli blok menjaga keselamatan blok turut dikaitkan sebagai 'membuka jalan' kepada berlakunya kes kes tersebut.

Tindakan segera telah diambil oleh pengurusan IZISH dengan bantuan Ybhg TNC HEPA menyelesaikan masalah ini. Sekarang ini semua bilik pelajar telah dipasangkan kunci pendua. Malah IZISH merupakan satu satunya kolej di kampus UKM Bangi yang dipasang kunci pendua sepenuhnya  di bilik pelajar oleh pihak UKM. Ini tentunya melegakan perasaan pelajar IZISH.

Apa pun, kecuaian pasti akan mengundang bencana. Pelajar perlu diingatkan untuk sentiasa memastikan bilik mereka dikunci terutamanya bila mereka keluar untuk ke kuliah dan sebagainya.

Bagi tujuan tersebut, pengurusan IZISH pada semester ini telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pasukan yang dipanggil sebagai IZISH ALERT TEAM (iA-TEAM) yang berindak sebagai satu pasukan pencegahan jenayah di IZISH.

Tiga teras utama aktiviti iA-TEAM untuk menjayakan pencegahan jenayah ialah teras pendidikan, teras pemantauan dan teras pengurusan 'bencana'.

Pertama, teras pendidikan merujuk kepada aktiviti kempen dan taklimat keselamatan (diri, aset dan persekitaran selamat). Begitu juga akan dianjurkan secara berkala forum dan dialog peningkatan kesedaran keselamatan diri. Ini termasuklan penganjuran pertahanan diri, petua mencegah dari menjadi mangsa jenayah dan juga latihan kebakaran yang akan dilaksanakan di IZISH.

Kedua, aktiviti teras pemantauan akan dilaksanakan melalui sistem rondaan oleh ahli di sekitar kolej di musim PRK kampus UKM, pada minggu peperiksaan dan sebagainya. Begitu juga akan dianjurkan perkhidmatan keselamatan diri pelajar di mana ahli pasukan ini boleh dihubungi oleh pelajar siswi IZISH memberikan khidmat membantu pelajar siswi IZISH yang terpaksa pulang berjalan kaki dari  PTSL atau program di PUSANIKA dan fakulti ketika lewat malam . Setiap pelajar siswi IZISH akan diminta menyimpan nombor nombor wakil wakil ahli pasukan ini sebagai langkah keselamatan di ri di dalam kampus. Pasukan ini juga akan diberikan tanggungjawab untuk memantau kehadiran bukan warga IZISH yang mencurigakan di dalam kawasan kolej.

Teras ketiga aktiviti iA-TEAM ialah berkaitan menguruskan 'bencana' yang mungkin berlaku pada pelajar IZISH. Pasukan ini akan membantu untuk pelajar IZISH membuat laporan keselamatan atau laporan polis jika diperlukan. Mereka juga akan menjadi pasukan yang bertindak pantas melaporkan kepada pihak bahagian keselamatan UKM, pusat kesihatan UKM atau kepada pihak pengetua kolej jika berlaku sesuatu perkara buruk yang menimpa kepada warga IZISH di dalam kawasan kampus UKM.

Semoga kumpulan ini akan menjadi satu pasukan yang bersedia untuk berkhidmat kepada warga IZISH. Atas kesukarelaan dan keikhlasan mereka membantu warga pelajar IZISH, pihak kolej ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih...