22 November, 2012

Tahniah Buat ISIUKM, ASPIRASI, MPP dan JAKSA Kolej UKM

Hari ini, saya kagum dan bangga dengan pemimpin pelajar UKM. Saya bangga dengan kepimpinan ISIUKM, MPPUKM, ASPIRASI, KELAB SAHABAT AQSA, PEMBINA (UKM), JAKSA KOLEJ KOLEJ KEDIAMAN dan  pemimpin persatuan pelajar UKM yang lain. Tanpa mengira apa teras perjuangan 'politik' mereka, mereka berjaya duduk semeja berbincang dan membuat beberapa keputusan penting berkaitan isu Palestin.

Tak tahulah orang lain tetapi pada saya sesungguhnya usaha sebilangan pimpinan pelajar UKM atas iniasiatif mereka sendiri bertemu dan membuat satu keputusan yang begitu murni untuk menyatakan pandangan tegas mahasiswa UKM tentang 'kebiadapan tak berperikemanusiaan' Israel ke atas rakyat Palestin adalah sesuatu yang mengembirakan.

Tentunya pertemuan di bilik gerakan HEP di PUSANIKA telah dirancang lebih awal. Tentunya juga ada halangan dari segelintir pelajar khususnya dalam kumpulan ISIUKM-GMUKM, ASPIRASI-TSB, dan JAKSA KOLEJ yang ragu ragu dengan usaha untuk menemukan tiga kumpulan paling berpengaruh di UKM. Kononya akan ada implikasi "politik kampus". Tetapi kerana adanya kepercayaan dan faham maksud yang sebenarnya mengapa pertemuan ini diadakan akhirnya ia berjaya dianjurkan.

Saya rasa ini kali ke dua, ketiga tiga kumpulan utama pelajar di UKM ini bersatu hati. Kali pertama ketika MEP (JAKSA) Kolej Antarabangsa Ibu Zain menemukan pimpinan pelajar menyatakan bantahan mahasiswa terhadap isu murtad di kalangan umat Islam di negara ini pada tahun lalu.

Seperti orang lain, saya juga sedar pertemuan ini adalah untuk menjayakan agenda membantu saudara Islam di bumi di Palestin. Tetapi pada saya pertemuan ini juga membuktikan anak muda UKM boleh bersatu dalam menyatakan pandangan mereka walaupun mereka berada dalam teras perjuangan yang sedikit berbeza. Pertemuan ini menunjukkan anak muda UKM boleh berdiri sendiri dan menyatakan pandangan mereka terhadap apa juga isu termasuklah isu di dalam kampus, dalam negara malahan di peringkat antarabngsa. Mereka berupaya berfikir, berbincang dengan tenang dan membuat keputusan dengan bijaksana. Ini menunjukkan mahasiswa UKM boleh matang jika mereka mahu. Tetapi akibat 'desakan' dan 'hasutan' dalang dalang politik luar kampus, kematangan ini kerap kali dicerobohi atau  diketepikan begitu sahaja.

Politik kampus adalah sesuatu yang baik bagi tujuan latihan kepimpinan. Mahasiswa dilatih untuk bersetuju dengan beberapa perkara dan mereka juga boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dengan perkara yang lain. Mereka boleh bersetuju dengan isu Palestin, isu murtad, isu alam sekitar, isu kebolehpasaran graduan, isu keselamatan kampus, isu kecemerlangan akademik dan sebagainya. Pada masa yang sama mereka juga boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dengan hal hal berkaitan situasi politik negara, agihan ekonomi negara, isu pendidikan, isu hubungan antarabangsa dan sebagainya.

Politik kampus tidak hanya bermaksud berseteru sepanjang masa. Kadangkala ia juga membawa maksud bersekutu dalam hal hal yang selari dan sefaham. Hanya pimpinan mahasiswa yang bijak dan matang sahaja dapat melihat serta memahami prinsip ini. Pada yang kurang matang, politik kampus maksudnya semata mata untuk mengalahkan musuh politik mereka sepanjang masa.

Tahniah buat ISIUKM, ASPIRASI, JAKSA Kolej, MPPUKM, PEMBINA (UKM) dan Sahabat Aqsa UKM. Semoga usaha anda semua membantu rakyat Palestin dengan berazam mengumpulkan RM20,000 akan segera berhasil dalam masa yang terdekat. Saya juga mendoakan semoga usaha anda semua bukan sahaja untuk membantu rakyat Palestin yang sedang ditimpa ujian besar, sesungguhnya usaha ini juga membuka jalan sebagai latihan membina kematangan dan kebijaksanaan anda dalam menilai makna politik dalam kampus UKM.