01 October, 2012

Mahasiswa UKM: Mulakan Dengan Yang Mudah Mudah...

Universiti di bina untuk membangunkan keperibadian manusia. Itulah matlamat dan tujuan asas sesebuah univesiti di bina. Hal yang berkaitan pengeluaran sijil atau ijazah untuk untuk mendapat pekerjaan hanya bermula selepas revolusi industri di Eropah. Sebelumnya tujuan mendaftar untuk menjadi 'mahasiswa' dan kemudiannya menjadi seorang graduan lebih untuk membina diri, meneroka ilmu dan menyumbang kepada idea idea baru membangunkan diri dan masyarakat.

Era sebelum revolusi industri di eropah, mobiliti sosial tidak ditentukan oleh pencapaian akademik tetapi ditentukan oleh siapa ayah anda? apa keturunan anda? dan serapat mana hubungan anda dengan kumpulan elit dalam masyarakat. Kini sesiapa juga boleh memobilitikan dirinya untuk mencapai tahap atau strata tertinggi dalam masyarakat (Green.2006).

Ada baik dan ada juga buruknya. Baik kerana pendidikan membuka peluang untuk semua orang maju ke depan tanpa mengira apa juga latarbelakangnya. Buruknya juga ada. pendidikan yang secara keterlaluan untuk tujuan meningkatkan taraf hidup (ekonomi dan sosial) menyebabkan tujuan tujuan murni pendidikan di tinggalkan kerana kebobrokan mengejar sekeping ijazah atau markah tertinggi tanpa melihat falsafah atau tujuan sesuatu ilmu pendidikan dipelajari.

Tanyalah diri sendiri, anda masuk dan belajar ke UKM untuk apa? Jika jawapannya untuk mendapat PNGK 3.5 dan ke atas, anda telah berjaya mencapai 50% dari sebab yang benar mengapa seseorang masuk ke universiti. Jika anda tidak ada matlamat untuk mencapai PNGK 3.5 ke atas, sekadar berhajat untuk lulus sahaja, anda hanya memenuhi 25% sahaja tujuan seseorang masuk ke universiti. Jika anda yang tidak kisah, tiada apa matlamat dan tidak pasti ingin lulus atau tidak, maknanya anda mencapai 0% mengapa seseorang masuk ke universiti.

Jika mencapai PNGK 3.5 ke atas hanyalah 50% daripada sebab mengapa kita masuk ke universiti, mana lagi 50%?

Sebenarnya sesebuah kampus bukan sahaja tempat seseorang memperolehi ilmu berkaitan bidang pengajian tetapi juga memperolehi ilmu yang membina keperibadian diri. Mengetahui tentang apa yang baik dan apa yang buruk. Seterusnya menentang dan menolak keburukan dan mengalakkan kebaikan dan kesejahteraa berlaku di dalam kampus.

Saya ingin ajak mahasiswa UKM memulakan dengan yang mudah mudah dahulu. Perkara mudah tahap pertama ialah memasuki universiti akan mengubah budaya dan perlakuan buruk dalam diri kita. Sebagainya contoh, jika meletakkan kenderaan pun kita gagal lihat rasionalnya mengapa kita perlu meletakkan kenderaan mengikut peraturan dan tempat yang di sediakan, malang sekali universiti mempunyai mahasiswa sebegini. Bagaimana dengan perlakuan membuat bising dalam PTSL, tidak solat wajib yang lengkap, tidak hentikan kenderaan di kawasan pejalan kaki melintas jalan (zebra crossing), hadir lewat ke dewan kuliah, tidak sediakan tugasan dan assingment secara berkualiti dalam masa yang ditetapkan.

Begitu juga dengan budaya buruk seperti berpakaian yang tidak sesuai dengan persekitaran atau program tertentu, tidak menguruskan kebersihan dan kekemasan diri, bising di kolej ketika rakan rakan rakan menelaah pelajaran di bilik masing masing. Bagaimana pula dengan pelajar yang tidak boleh mendisiplinkan diri sehingga tanpa henti henti menggunakan FB atau internet walaupun sedar masa untuk belajar telah dipinggirkan. Begitu juga dengan tidak mempamerkan sifat ikhlas menghormati pensyarah dan kakitangan universiti yang berlaku sopan pada kita. Bagaimana pula  dengan perlakuan pembaziran air dan elektrik di kolej kolej?

Banyak lagi perkara perkara yang lain boleh dikategorikan sebagai buruk tetapi tetap dilakukan oleh pelajar. Pendek kata memasuki universiti sepatutnya mengubah budaya buruk kita menjadi lebih baik. Jika tidak berlaku, kita adalah orang yang gagal sebenarnya. Inilah 50% lagi perkara perkara yang dapat membezakan seseorang yang masuk ke universiti dengan seseorang yang tidak masuk ke universiti. Bukan sekadar segulung ijazah. tetapi perlakuan, pertuturan, tingkahlaku serta pemikiran yang akan menentukan siapakah graduan yang sebenarnya.

Jika perkara yang mudah tahap pertama telah berjaya dilakukan oleh pelajar, mulakan dengan perkara yang mudah tahap kedua. Iaitu mula mencari ilmu ilmu penting lain yang tidak ada dalam pengajian khusus anda. Belajar dan baca sebanyak mungkin ilmu agama, kemasyarakatan, sains dan sebagainya untuk memahami kebesaran Allah (pada yang muslim). Bertanyalah soalan pada ahli akademik yang anda kenali dan hormati. Berdialog dan berinteraksi dengan rakan rakan yang mencintai ilmu agar anda mendapat kebaikan. Saya yakin perkara yang mudah mudah sebeginipun masih amat kurang berlaku dalam kehidupan pelajar di UKM. Mereka seperti sudah hilang keinginan untuk menerokai ilmu untuk memahami persekitaran mereka.

Lebih malang mereka menjadi 'pengangguk setia' kepada pandangan orang lain. Katalah apa sahaja pasti diangguk. Selepas puas mengangguk, mereka kekal seperti sebelumnya..tidak berubah sedikitpun. Sebagai satu contoh, bila dikatakan cafetaria UKM menjual makanan yang mahal, maka seluruh pelajar pasti akan mengangguk-angguk tanda setuju. tapi cuba ditanya lagi, "bagaimana untuk menurunkan harga barangan yang mahal tersebut", mereka akan mengulang ulang kembali jawapan mereka. "Cekik darah"..mungkin jawapan paling popular.

Mungkin ramai di antara mereka tidak pun membaca tentang apakah yang pengguna boleh lakukan bila berhadapan dengan situasi harga barangan yang mahal? Malah mereka juga tidak tahu kepada siapa dan bagaimana untuk membuat aduan yang terbaik bila berhadapan isu seperti ini! Bayangkan hal hal yang lebih berat misalnya apabila ada parti politik menggunakan Islam untuk meraih undi. Mereka juga terangguk angguk tanpa memahami apa pun...

Perkara mudah yang ketiga ialah menggerakkan budaya baik kepada orang lain.  sebagai contoh, bagaimana pelajar UKM dapat membina budaya baik supaya semua pemandu kenderaan WAJIB berhenti apabila ada orang melintas jalan dalam kampus UKM ialah dengan melakukan sendiri. satu demi satu pelajar lakukan, akhirnya semua akan lakukan. Bagaimana pelajar UKM dapat bina budaya pengguna PTSL "rasa bersalah dan malu bila membuat bising dalam PTSL, rasa bersalah bila membuat bising dalam bilik penginapan di kolej, rasa kekok bila hadir lewat ke kuliah, rasa bimbang bila mendahului keinginan untuk FB dari assingment yang perlu segera di siapkan! lakukan sendiri secara istiqamah, bila semua pelajar lakukan ini akhirnya akan membina budaya baik berkenaan dalam kampus UKM.

Malah dalam konteks yang lebih besar bagaimana pelajar UKM dapat membina budaya simpati supaya seluruh warga kampus UKM merasai keperitan dan kesengsaraan rakyat Palestin, Rohingya dan Tibet yang sedang berjuang memerdekaan diri dan agama mereka. Bagaimana boleh dibangunkan keinginan dalam kampus untuk membantu masyarakat miskin tegar dalam negara kita. Bagaimana boleh pelajar UKM meniupkan semangat sayangkan UKM atas nama kejerihan datuk nenek kita berkorban membangunkannya...Semuanya mungkin dilakukan.. dengan syarat..Mulakan dengan yang mudah mudah dahulu....dari diri sendiri...