29 November, 2012

Orang Melayu dan "Celik Politik"...

Bila kita berbicara soal celik politik atau 'political literacy', kita akan ketemu dengan banyak pandangan. Dan harus kita ingat bahawa setiap pandangan tersebut pasti ada kekuatan dan kekurangannya. Tetapi perkara pokok yang paling penting, 'political literacy' adalah faktor penting dan penentu untuk menzahirkan sebuah negara yang demokratik.

The Economist's Democracy Index as published in December 2011, with greener colours representing more democratic countries and clearly authoritarian countries in dark red.
Beberapa hari lalu saya terima pertanyaan melalui 'message facebook' saya dari seorang pelajar (jangkaan saya). Walaupun tak pasti mengapa beliau mengutuskan 'message' tersebut, saya masih berhajat untuk memberikan jawapan saya. Sehingga sekarang pun saya masih belum ketemu jawapan mengapa beliau mengutuskan 'message' tersebut. Saya pun tidak berhasrat bertanya. Apa pun itu tidak penting, sekadar bersangka baik mungkin beliau ini sekadar ingin meminta pandangan saya sahaja.

Sebenarnya saya ada juga menerima banyak message pelajar sosial sains (yang ada antaranya saya tidak kenali)  meminta pandangan bagaimana untuk merangka assingment mereka. Bila ada kelapangan, saya akan berikan pandangan serta nasihat saya. Biasanya di akhir ayat, saya akan katakan "ini pandangan saya, anda bebas untuk bersetuju ataupun tidak. Anda yang putuskan".

Berbalik pada soalan pelajar tadi, beliau bertanya "apakah pandangan tuan tentang senario politik khususnya politik orang Melayu sekarang? Wow, satu soalan yang sangat sukar dijawab, apatah lagi dalam bentuk message di facebook? Lalu saya balas dan tanyakan padanya, "sebelum saya menjawab, boleh saya dapatkan pandangan saudara terlebih dahulu", tujuan pertanyaan saya supaya, jika beliau betul betul berminat beliau tentu akan jawab dan dengan jawapan tersebut lebih mudah memberikan pandangan saya.

Tidak berapa lama kemudian beliau menjawab. Lebih kurang begini jawapannya (maaf kerana saya tidak berniat untuk "cut & paste"pandangan beliau di sini), jawab beliau "Saya merasa kerana hal politik, orang melayu semakin berpecah belah, mereka semakin saling benci membenci dan meruntuhkan sesama sendiri. Keadaan ini tidak baik untuk masa depan orang orang Melayu. Sepatutnya mereka perlu lebih bijak berpolitik tanpa merosakkan perpaduan Melayu...". Pandangan beliau yang panjang lebar saya baca dan kemudian saya terus jawab secara ikhlas dari pandangan saya, sekadar yang saya tahu dan saya faham. Kisahnya tamat di situ.

Cumanya saya ada katakan pada beliau, walaupun ada beberapa perkara yang saya setuju dengan pandangan beliau, saya juga tidak bersetuju bahawa apa yang berlaku pada politik orang Melayu mutakhir ini menunjukkan orang Melayu 'melangkah ke belakang'. Sebenarnya orang Melayu sedang melangkah laju ke hadapan. Episod pertentangan idea, konflik demi meraih sokongan, perdebatan agenda dalam politik orang Melayu khususnya di kalangan ahli UMNO, PAS dan PKR adalah satu situasi yang memberikan peluang kepada semua orang Melayu memperolehi pendidikan 'celik politik' yang sangat 'mahal harganya'.

Berbanding dulu, hari ini orang Melayu dalam UMNO, PAS dan Keadilan menjadi lebih kritikal, berani bersuara kepada pemimpin dalam parti mereka dan juga kepada pemimpin parti lawan. (walaupun kadangkala cara mereka merimaskan). Mereka berpeluang melihat politik sebagai satu wadah yang perlu disertai. Bayangkan kalau kebanyakan orang Melayu tidak kisah dengan politik mereka. Tiada perbincangan, tiada suara, tiada perdebatan dan tiada tindakan yang menunjukkan mereka setuju atau tidak bersetuju dengan pemimpin mereka, apakah itu bermakna orang Melayu sudah sempurna politik mereka?

Pada dekad 1920an, pertentangan kaum muda dan kaum tua di negara ini telah membawa kepada pembaharuan/pemurnian minda dalam mereka dan kita memahami cara hidup Islam. Bayangkan bila ada orang agama era tersebut mengatakan kereta atau apa sahaja yang dibuat oleh orang bukan Islam, tidak boleh di gunakan apatah lagi untuk tujuan dibawa beribadat? Malah pernah timbul isu memakai tali leher juga diharamkan kerana dikatakan mengikut cara orang bukan Islam berpakaian. Penggunaan lampu kalimantang juga pernah menimbulkan perdebatan ketika itu. Begitu juga dengan penggunaan sudu dan garpu. Semua itu telah berjaya diuruskan setelah masyarakat Melayu Islam semakin celik dan faham apakah itu ajaran serta amalan hidup yang dibenarkan oleh Islam.

Bagaimana kita hendak menjelaskan berduyun duyun orang Melayu (termasuk yang aliran agama) satu ketika dulu ke pantai pantai untuk mandi Safar kononnya untuk menolak bala? Bagaimana pula kita hendak jelaskan begitu ramai orang Melayu yang membeli kaset kaset lagu Arab apabila selesai mengerjakan haji tanpa mengetahui makna lagu lagu yang dinyanyikan oleh Ummi Kalsum dan sebagainya adalah sebenarnya kisah cinta muda mudi dan bukannya lagi lagu memuji kebesaran Allah? Kerana perdebatan dan pertentangan idea inilah akhirnya berjaya membuka kepada 'celik agama' dan mengubah dimensi menjadikan orang Melayu lebih memahami Islam sebagainya yang sepatutnya.

Celik politik juga sedang dan akan melalui proses yang sama. Perdebatan idea, konflik mendapatkan sokongan, saling bertentangan agenda akan membuka dimensi baru kepada cara orang Melayu memahami politik mereka. Tapi tentulah ada sempadannya. Bila misalnya ada parti melayu yang telah menolak demokrasi sebagai cara kita menguruskan politik, memilih anarki atau sebagainya maka keadaan itu sudah terkeluar dari maksud 'celik politik' yang kita pegang sekarang.

Maka kebebasan bersuara dengan mengambilkira sensitiviti agama, kaum dan budaya perlu diraikan. Pemeliharaan dan perlindungan kepada hak hak asasi individu mestilah ditegakkan. Selebihnya setiap orang Melayu sendirilah menentukan kepada siapa sokongan yang ingin mereka berikan.

Ada kumpulan politik melayu gunakan agenda pembangunan dan kesejahteraan ekonomi serta Islam yang berorientasikan kesederhanaan. Ada pula menggunakan syariah Islam sebagai tawaran untuk mereka disokong, ada pula menggunakan konsep kesamarataan dan adil untuk memikat hari orang Melayu. Maka orang melayu yang terdedah kepada 'celik politik' boleh membuat keputusan mereka sendiri.

Jadi pada saya, tiada perlu ada kerisauan dengan apa yang sedang berlaku. Ini adalah satu proses pendidikan 'celik politik' kepada orang Melayu. Saya juga yakin semua pemimpin Melayu ingin bangsanya berada dalam 'celik politik'. Baik di kalangan pemimpin UMNO, PAS atau Keadilan. Mereka semua ingin bangsa Melayu berkembang maju dalam sebuah masyarakat yang demokratik. Kalau itulah prinsip politik mereka, itu tandanya mereka ikhlas memimpin orang Melayu di negara ini.

Apa yang saya bimbang dan risaukan bila semakin ramai anak muda Melayu yang tidak mengendahkan tentang politik, "kerana politik itu kotor"..kata mereka.