Semua sudah selesai. GMUKM menang 19 kerusi ( 7 kerusi menang tanpa bertanding), Aspirasi gagal bertahan dengan cuma menang 9 kerusi. Maka GMUKM memiliki majoriti 2/3 yang tipis dalam MPP PMUKM sesi ini. Mengapa GMUKM menang dan mengapa ASPIRASI kalah telah diulas oleh banyak pihak termasuk blog ini minggu lepas.
Sekarang fasa dua akan bermula. Fasa penubuhan kerajaan pelajar di PUSANIKA. Tentunya telah ditentukan awal awal oleh mentor (dalang?) politik GMUKM siapakah antara calon GMUKM yang menang akan diberikan jawatan Presiden PMUKM, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari dan biro biro yang lain. Ini bukan urusan calon yang menang. Mereka hanya perlu 'mengangguk' bila diarahkan menerima mana mana jawatan. Itu sudah menjadi kelaziman. Samada suka atau tidak, samada bersedia tauapun tidak, mereka harus menerima seadanya.
Tanpa mengira calon GMUKM mana pun yang diberikan jawatan dalam PMUKM, jawatan kecil atau besar, penting atau remeh, sebagai pelajar, semuanya harus menghormati amalan demokrasi, keputusan tersebut mesti diterima. Samalah seperti sebuah kerajaan di Putrajaya. Kerajaan yang dibentuk adalah hasil undian rakyat majoriti. Samada suka atau tidak sebagai rakyat yang matang, kita harus menerima keputusan majoriti rakyat. Itulah tujuan piliharaya dan itulah demokrasi. Semua boleh berkempen, boleh berperang saraf dan sebagainya semasa proses piliharaya berjalan tetapi apabila sesebuah parti telah mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan, semua yang lain samada yang suka atau yang membangkang harus menghormati keputusan rakyat majoriti.
Malang sekali kalau sebagai rakyat, kita tidak boleh berlaku matang dan menolak kerajaan yang telah diterima majoriti oleh warganegara yang lain. Hal yang sama juga dengan kerajaan PMUKM di PUSANIKA. Setelah selesai piliharaya kampus UKM, semuanya harus kembali berpadu untuk menjayakan tranformasi UKM. Pada yang menang jangan menkhianati undi pelajar pada mereka dengan meminggirkan kepentingan pelajar sebaliknya mengutamakan kepentingan puak puak yang menjadi 'dalang politik' mereka di luar kampus. Pada yang kalah, haruslah mereka berlapang dada menerima kekalahan tersebut. Watak pemimpin tak akan hilang sekalipun mereka kalah kerana kekalahan itu bukanlah penamat kepada perjuangan mereka, itu sekadar satu pertempuran dari peperangan yang panjang.
Saya cuma ingin mengingatkan beberapa perkara agar MPP PMUKM yang menang sesi ini, tak kira dari GMUKM mahupun ASPIRASI supaya jangan mengulangi kesilapan abang abang dan kakak kakak MPP PMUKM sesi yang lalu. Ambillah iktibar dan jadikan sempadan kesilapan mereka yang lalu untuk menjadikan MPP sesi ini lebih baik.
1. Kesilapan yang paling besar dilakukan oleh PMUKM sesi lalu ialah memulakan konflik dengan pihak pengurusan tertinggi UKM. Satu satunya perkara yang tidak menguntungkan seluruh pelajar UKM. Di dalam UKM, piliharaya kampus bertujuan membentuk PMUKM adalah satu proses pendidikan semata mata. Melatih pemimpin pelapis dan melatih pelajar berorganisasi. Manakala pelembagaan Universiti masih tetap di bawah pihak pengurusan universiti. Sebagai satu contoh mudah, menguruskan pembinaan dan penyelenggaraan bangunan, membaiki jalanraya, membaiki sistem pengangkutan, melantik pengendali kafetaria dan segala macam pengurusan hal ehwal UKM samada akademik dan bukan akademik adalah tanggungjawab pihak pengurusan UKM. Samada wujudnya PMUKM atau tidak, samada piliharaya kampus diadakan atau tidak, semua urusan dalam UKM masih diuruskan sepenuhnya oleh pengurusan UKM. Apakah tanpa PMUKM, universiti ini tidak akan berjalan? tentulah tidak.
Tetapi cara PMUKM sesi lalu mengendalikan diri mereka dengan menganjurkan konflik terhadap pihak pengurusan UKM seolah olah mereka merasakan diri mereka 'sangat berkuasa'. Mereka mula menjadi pihak kumpulan pendesak atas tujuan yang tidak jelas (selain mungkin diarahkan dan ditunjukkan oleh mentor luar kampus). Akhirnya hubungan PMUKM dan pengurusan tertinggi UKM hambar, kurang perbincangan dilakukan untuk menjadikan kualiti hidup pelajar UKM lebih baik . PMUKM sesi lalu bergerak dalam ruang mereka sendiri. Tidak banyak yang dapat mereka lakukan selain terus menerus menyalahkan pengurusan UKM atas semua perkara yang kononnya mereka tidak dapat kerjasama pengurusan UKM, sedangkan merekalah yang merenggangkan hubungan tersebut sejak mula. Makanya, MPP PMUKM yang akan dilantik sesi ini haruslah mengubah kesilapan ini dengan menwujudkan hubungan baik dengan pengurusan UKM. Tidak rugi sedikit pun jika hubungan dieratkan antara PMUKM dan pengurusan UKM. Yang untungnya adalah pelajar. PMUKM boleh menjadi suara pelajar yang benar benar menjaga kebajikan pelajar untuk dijayakan bersama dengan pengurusan UKM. Pelajar tentu gembira jika kebajikan mereka diambil berat secara bersama antara PMUKM dan pengurusan UKM.
2. Kesilapan besar yang kedua ialah meminggirkan pelajar kaum bukan muslim-melayu di UKM. Sangat ketara PMUKM yang lalu meminggirkan seawal memegang kuasa di PUSANIKA. Bayangkan hanya seorang pelajar Cina yang diberikan jawatan tidak penting dalam Pesta Konvo dan tiada pelajar India dalam MT Pesta Konvo yang memerlukan ramai pelajar Cina dan India untuk turut serta. Malah tiada program untuk menghargai pelajar dari masyarakat Tiong Hua dan India dalam Pesta Konvo. Begitu juga dengan sokongan kepada persatuan Pelajar Cina dan India yang berada di bawah PMUKM. Bagi pelajar antarabangsa lebih menyedihkan. Tiada dialog dan perjumpaan PMUKM dengan pelajar antarabangsa secara berterusan. Malah tiada langsung program PMUKM khusus untuk persatuan pelajar antarabangsa. Pihak PMUKM seharusnya boleh hadir mengadakan lawatan untuk meneliti kebajikan yang diperlukan oelh pelajar antarabangsa. MPP PMUKM sesi ini diharapkan lebih bersedia membuka pintu PMUKM untuk pelajar Tiong Hua, India dan pelajar antarabangsa, janganlah diulang kesilapan MPP PMUKM sesi yang lalu.(untuk makluman MPP PMUKM yang akan dilantik, pihak pengurusan IZISH telah sejak enam bulan lalu menyediakan 10 bilik pejabat persatuan pelajar antarabangsa di blok K19A).
3. PMUKM adalah induk kepada puluhan persatuan dan kelab pelajar di UKM. Bukan ISIUKM sahaja. Oleh itu diharap MPP PMUKM sesi ini bersedia melihat keberadaan semua persatuan, kelab dan urusetia selain ISIUKM agar makna PMUKM mewakili semua pelajar UKM benar benar diterjemahkan. Jika itu gagal dilakukan, walaupun menang piliharaya, kemenangan sebenar masih belum diperolehi kerana gagal menguruskan semua ahli di bawahnya.
4. Itu kisah MPP PMUKM di bawah GMUKM. Hal yang sama ingin diperingatkan kepada MPP Aspirasi yang menang sesi ini. Jumlah 9 kerusi yang dimenangi harus jangan sampai menyebabkan anda kecewa dan meninggalkan kepercayaan pelajar yang memberikan undi mereka kepada anda. Anda harus melihat gelas air yang separuh penuh dan tidak sekali kali melihat gelas yang separuh kosong. Cara anda melihat kekalahan dalam PRK harus lebih baik berbanding MPP Aspirasi sesi lepas. Bukan sahaja mereka tidak bersatu dengan baik, mereka juga tidak mengemaskinikan organisasi mereka sebaik sahaja kalah. Jumlah kerusi menang kalah dalam politik UKM bukanlah penting sangat. samada anda kumpulan majoriti atau minoriti, itu sebenarnya tidak memberikan apa apa kesan kerana MPP PMUKM tidak menguruskan hal hal bersifat dasar di UKM. Yang penting ialah bekerja dengan teliti, istiqamah, bermula dari awal dan membina kekuatan untuk adik adik anda bertanding pada sesi hadapan. Malangnya sesi lalu, MPP Aspirasi hampir lumpuh akibat trauma kalah buat kali pertama setelah tujuh sesi menguasai PMUKM. Mereka menjadi longlai tidak bermaya, usaha sebagai MPP Aspirasi menjaga kebajikan pelajar UKM juga tidak kelihatan berjaya. Jangan anda semua ulangi kesilapan tersebut. Kembali bersatu, merancang dan bekerja keras untuk kebajikan pelajar.
5. MPP Aspirasi sesi dulu sangat ketandusan program, diharap MPP Aspirasi sesi ini segera menggerakkan program untuk disertai oleh pelajar. tentukan program yang dianjurkan membawa kebaikan kepada pelajar. Program kerohanian, program kecemerlangan akademik, program khidmat masyarakat, keusahawanan, inovasi dan sebagainya. Jika anda boleh ambil iktibar dari kesilapan MPP Aspirasi sesi lepas, anda telah berjaya memulakan satu episod baru kejayaan Aspirasi. UKM bermula dengan Aspirasi Rakyat, UKM bermula dari pengorbanan rakyat mengimpikan sebuah universiti yang menjulang bahasa Melayu/kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan Islam sebagai nilai jati diri warganya. Itulah sebabnya falsafah UKM berteraskan Iman, Ilmu dan Amal. Jika nenek moyang kita sejak 1917 berjuang membina UKM, hari ini MPP Aspirasi harus mula berjuanag menggerakkan semangat aspirasi rakyat yang murni ini untuk diresapi oleh seluruh warga UKM khususnya pelajar.
Sebagai ahli MPP, samada GMUKM ataupun Aspirasi, anda semua telah berjaya memenangi undi rakyat UKM. Kini anda akan dihadapkan dengan tanggungjawab dan amanah. Maka anda juga seperti pemimpin yang lain akan dipersoalkan dengan setiap apa yang anda lakukan. Berlaku adil pada kawan dan lawan. Selamat berkhidmat Yang Berhormat sekalian...