Nota Pendek Buat Pemimpin Pelajar UKM...
Pemimpin pelajar UKM samada MPP PMUKM, JAKSA, urusetia mahupun persatuan harus mula segera menganjak paradigma di dalam mendefinisikan makna 'memperjuangkan kebajikan pelajar'. Jika dulu maksudnya merujuk kepada memperjuangkan soal kemudahan untuk pelajar seperti pengangkutan bas dalam kampus, yuran dan kemudahan penginapan di kolej, kemudahan perpustakaan, isu tempat letak kenderaan pelajar, masalah air dan isu keselamatan, hari ini maksud 'memperjuangkan kebajikan pelajar' telah BERKEMBANG (dengan tidak meninggalkan sama sekali makna yang lama) kepada memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar merancang dan melaksanakan program untuk memastikan masa depan pelajar UKM menjadi lebih baik, memiliki tahap kebolehpasaran yang lebih tinggi, memiliki keupayaan keusahawanan, kualiti berfikir, keupayaan melakukan inovasi dan sebagainya. Tak tercapai maksud 'perjuangan untuk kebajikan pelajar' jika semasa di kampus segala kemudahan pelajar telah berjaya diperjuangkan tetapi sebaik sahaja tamat pengajian, para pelajar tidak dibekalkan dengan kemahiran, pengalaman serta keupayaan untuk bersaing untuk mencipta atau mendapat pekerjaan. "Musuh" atau lawan sebenar pelajar UKM bukanlah polemik 'politik remeh' sesama pelajar UKM tetapi lawan sebenarnya ialah mengubah persepsi negatif majikan pada pelajar UKM (baca skor review kategori kebolehpasaran pelajar UKM oleh majikan di dalam World University Ranking (WUR) mengapa UKM sedikit jatuh pada 2010). Jika pemimpin pelajar UKM bersatu menentang 'musuh' yakni persepsi negatif sebahagian majikan, mereka tentunya dengan segera akan membina keupayaan dan potensi pelajar UKM dengan kemampuan yang ada. Maka sebagai pimpinan pelajar UKM, anda sebenarnya telah berjaya melaksanakan amanah anda dalam memperjuangkan kebajikan pelajar UKM untuk kesejahteraan hidup mereka. Tentunya pada masa yang sama sebagai pimpinan pelajar, anda juga memegang amanah untuk terus menerus meningkatkan kesedaran pelajar tentang soal mendapatkan keredhaan Allah swt di dunia dan di akhirat. Insyaallah...
...Selasa 16 Oktober 2012 (12.30 tengahari)