09 November, 2012

Rupanya Masih Ada Pelajar UKM Yang Hebat

Saya seorang yang agak kritikal dan kadangkala 'vokal' bila berbicara soal aktiviti pelajar. Ramai pelajar di IZISH sedar hal ini. Apatah lagi di kalangan felo felo IZISH. Mungkin kerana saya mempunyai keinginan yang tinggi untuk melihat aktiviti pelajar UKM sentiasa baik dan berimpak tinggi.

Saya juga jarang berpuashati dengan aktiviti pelajar. Juga jarang memberikan pujian sembrono terhadap pencapaian sesuatu projek pelajar. Mungkin salah saya juga kerana saya sering meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada mereka.

Tetapi saya sangat yakin pelajar UKM adalah pelajar yang baik dan cemerlang. Mereka punyai potensi yang sangat besar. Potensi itu perlu digilap dan dicabar supaya 'keluar' dari dalam diri mereka. Buktinya mereka berjaya masuk dan belajar di UKM mengalahkan puluhan ribu yang sama sama bersaing semasa memohon ke UKM dulu. Jika di sekolah dulu mereka diasak supaya sentiasa cemerlang akademik, mereka telah berjaya buktikan yang mereka boleh lakukan, tentunya apabila masuk ke UKM mereka harus sedar pencapaian akademik sahaja sudah tidak lagi mencukupi. Berada di UKM, mereka perlu cari  X factor yang lain juga. Ada pendapat yang kata pelajar UKM kena kuasai bahasa Inggeris selain kecemerlangan akademik, saya setuju. Ada pula yang kata, pelajar UKM kena kuasai 8 soft skills yang utama, itupun saya setuju juga. Tetapi saya lebih setuju bahawa kecemerlangan akademik, kemahiran bahasa Inggeris dan kemahiran softskills sahaja sudah tidak memadai pada hari ini. Pelajar UKM perlu ada X factor yang lain. Passion+fokus, berdayasaing+networking, kreatif+talent, multi-tasking + disiplin dan communication + negotiation adalah contoh contoh X factor yang diperlukan oleh pelajar UKM. Soalnya mana nak dapatkan semua X factor ini? Aktiviti picisan? aktiviti ala pasar malam? Saya yakin anda tidak akan berjumpa X factor yang anda cari di sana. X factor hanya muncul di dalam aktiviti aktiviti yang mempunyai persediaan rapi, disertai kerana minat yang mendalam, tahan ujian, berfikiran positif serta ikhlas untuk meningkatkan keupayaan diri. Di dalam mencari X factor, pada masa yang sama soal iman, ilmu dan amal tidak boleh sama sekali dikesampingkan.

Seperti yang saya sebut awal tadi, saya jarang memberikan pujian sembrono pada pelajar. Walaupun saya sedar sebagai pelajar memang sukar dan bukan senang untuk anjurkan sesuatu aktiviti dalam kampus (saya juga telah lalui dulu), tetapi saya juga sedar tak semua aktiviti yang sukar itu berkualiti. Saya berpeluang meneliti aktiviti pelajar (semasa bertugas di PPP menguruskan aktiviti pelajar) hampir 80% aktiviti pelajar tergolong dalam kategori tidak mempunyai kualiti yang tinggi walaupun ada di antara sangat sukar dijayakan. Tetapi ada juga sebahagian kecil aktiviti yang berkualiti. Itu harus diberikan pujian.

Tetapi jika yang berkualiti itu datangnya dari idea tenaga akademik atau mendapat peruntukan dan kerjasama sepenuhnya dari fakulti atau kolej, masih pada saya ia tidak banyak memberikan pengalaman pada X factor pelajar. Misalnya ada fakulti yang anjurkan seminar antarabangsa, pelajar sekadar menjadi urusetia kecil jamuan, menjaga keselamatan dewan atau pemegang dulang cenderamata sahaja, apalah maknanya.

Dalam banyak banyak aktiviti pelajar (tidak termasuk di kolej kediaman), sejak tahun lepas saya meletakkan pasukan sidang Redaksi Majalah Aspirasi sebagai pasukan terbaik di UKM di dalam menganjurkan aktiviti. Tahun lepas saya memberikan pujian secara terbuka kepada pasukan majalah aspirasi (MA-UKM). Tahun ini, sekali lagi mereka berjaya menerbitkan Majalah Aspirasi dengan begitu cemerlang sekali. Saya sendiri menyimpan kedua dua majalah 2011 dan 2012 sebagai koleksi peribadi saya. Pada saudara Shafiq (ketua editor) dan pasukannya, setinggi tinggi tahniah sekali lagi dari saya. Saya cuba mencari apa yang tidak kena dalam MAUKM kali ini, memang saya jumpa tetapi terlalu kecil untuk disebut di sini. Saya bangga mereka telah berjaya melalui berbagai kerja kerja penerbitan yang perlu dilakukan dengan penuh kreatif, passion, berbakat, berpasukan dan penuh kesabaran.

Saya mengharapkan lebih banyak aktiviti pelajar mempunyai kualiti sebegini. Ini bukan soal politik kampus. Ini soal menetapkan kualiti aktiviti pelajar. Pada saya yang berkualiti dan baik harus diberikan pujian. Yang lemah dan tidak berkualiti harus diberikan teguran. Projek yang tidak ada persediaan rapi, dilakukan semata mata kerana terpasa siapkan, tidak ada minat sepenuhnya eloklah dibatalkan. Mulakanlah pemikiran baru untuk anjurkan aktiviti aktiviti yang memberikan cabaran pada anda. Saya yakin ramai lagi pelajar UKM yang hebat seperti Shafiq rakan rakan rakannya..soalnya di mana mereka?