"Kaji Lebih Mendalam Program Sarapan Percuma Demi Kebaikan Rakyat"
Salam YB Menteri.
Didoakan semoga YB sentiasa sihat dan diberikan kesejahteraan oleh Allah swt.
Terlebih dahulu diucapkan tahniah dan setinggi penghargaan atas usaha dan cadangan YB untuk mengadakan program sarapan percuma untuk semua pelajar sekolah rendah mulai 1 Januari 2020.
Tentulah projek ini satu usaha yang sangat baik. Seperti kebanyakan rakyat, saya menyokong penuh usaha ini demi kebajikan anak-anak kita.
Sesuai dengan niat untuk menyokong usaha baik ini, izinkan saya memberikan sedikit pandangan sebagai seorang ahli pendidikan.
Yang dikasihi YBM,
Pertama, peruntukan sekitar RM2 billion ringgit adalah satu jumlah yang sangat besar. Soalnya adakah semua pelajar sekolah rendah di negara ini memerlukan sarapan percuma pada setiap pagi persekolahan?
Di dalam ilmu pembangunan manusia, kita tahu keperluan manusia berbeza-beza. Termasuklah di dalam hal berkaitan keperluan pemakanan.
Memang ada pelajar yang perlukan sarapan percuma kerana badan mereka kekurangan zat dan nutrisi.
Kajian oleh Prof Diraja Ungku Aziz pada tahun 1965 sudahpun mengesahkan perlunya pemakanan yang mencukupi untuk anak-anak kita sihat supaya ini dapat meningkatkan pembelajaran dan pendidikan mereka.
Tetapi kita juga tahu ada pula kumpulan pelajar yang tidak perlukan sarapan percuma tetapi mereka sangat perlukan bimbingan pemakanan sihat kerana mereka sudahpun dalam keadaan obesiti dan ukuran BMI mereka sudah melepasi apa yang sepatutnya.
Jangan kita lupa tentang masalah obesiti di Malaysia adalah antara yang paling tinggi di Asia. Hampir separuh kanak-kanak di Malaysia cenderung ke arah obesiti.
Kajian oleh "Nutrition Society of Malaysia" pada 2016 mengesahkan bahawa 30% kanak kanak dan remaja berumur antara 6-17 tahun terlebih berat badan dan alami obesiti. Peratus obesiti kanak-kanak ini meningkat setiap tahun.
Mereka yang mengalami masalah lebih berat badan dan obesiti ini lebih perlukan bimbingan kaunselor pemakanan sihat dan guru jasmani yang mahir untuk mendidik mereka menjaga kesihatan dan berat badan. Mereka tidak perlukan sarapan percuma.
Oleh itu, bukankah lebih baik cadangan asal program sarapan percuma berharga RM2 bilion ini diangkat sebagai agenda lebih besar sebagai "PROGRAM PEMAKANAN DAN GAYA HIDUP SIHAT KEBANGSAAN" untuk pelajar sekolah rendah?
Bukankah lebih baik KPM mula berjiwa besar dan bercita- cita menyediakan kanak-kanak yang 20 tahun lagi akan menjadi dewasa yang lebih sihat berbanding orang dewasa sekarang?
Bukankah dengan membelanjakan RM2 billion hari ini, kita akan mengurangkan berbilion billion kos perubatan kerajaan pada masa depan?
Bukankah dengan kos RM2 billion ini, Malaysia akan menghasilkan lebih ramai warganegara yang sihat pada masa depan?
Oleh itu, KPM sepatutnya boleh merancang projek sarapan percuma ini mengikut keperluan tumbesaran dan tahap kesihatan pelajar.
Sebaiknya pada pelajar kurang zat dan nutrisi, atas sebab kemiskinan atau masalah kesihatan, mereka perlukan sarapan, maka disediakan sarapan.
Pada pelajar yang mengalami obesiti pula eloklah disediakan guru dan kaunselor diet pemakanan untuk membimbing mereka secara individu.
Malah sebahagian kecil bajet RM2 billion itu bukankah sebaiknya disediakan gimnasium sekolah yang berkualiti untuk kegunaan pelajar supaya mereka dilatih tentang gaya hidup sihat sejak awal?
Setiap 3 bulan, adakan juga pemeriksaan tahap kualiti kesihatan dan rekodkan berat badan pelajar untuk pantauan oleh pihak sekolah.
Biarlah bajet RM2 billion digunakan sebaiknya mengikut keperluan pemakanan dan kesihatan pelajar.
Yang dikasihi YB,
Perkara kedua untuk perhatian YB Menteri ialah bagaimana sepatutnya rezeki dari peruntukan RM2 billion ini dapat juga disebarluaskan untuk menyambut konsep kemakmuran bersama yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri.
Idea sarapan percuma adalah baik. Anak-anak bertuah dapat makanan percuma. Dijangkakan 2.7 juta pelajar akan menerima rezeki ini. Sepatutnya KPM boleh kembangkan lagi faedah rezeki ini.
Bagaimana?
Pihak KPM sebaiknya juga melibatkan para pekebun kecil sayur, perternak ikan kecilan, pekebun buah-buahan dan nelayan kecil di kawasan kedaerahan komuniti sekitar sekolah sebagai pembekal tetap bahan mentah di dalam program sarapan percuma ini.
Secara langsung limpahan rezeki dari 2 billion ini akan dapat dinikmati oleh para pekebun kecil ini. Libat uruskan pihak sekolah, PIBG dan PPD. Juga majlis Daerah, pusat Kesihatan Daerah bersama para pekebun dan nelayan ini.
Untuk lebih baik, tetapkan syarat dan sediakan bimbingan penanaman dengan bantuan kepakaran dari Jabatan Pertanian Daerah supaya pekebun kecil tidak menggunakan racun serangga dan sebagaimananya.
Mereka juga boleh belajar bagaimana kaedah pembungkusan dan penyimpanan bahan mentah yang lebih sistematik.
Dan percayalah, pekebun akan pasti lebih berhati-hati untuk menjaga kualiti bahan mentah kerana sebahagian anak-anak mereka juga mungkin makan sarapan percuma hasil dari kebun mereka sendiri.
Inilah kemakmuran bersama yang harus dimulakan oleh KPM. Bukan sahaja pelajar dapat.rezeki, komuniti setempat juga akan merasai rezekinya.
Sekian YB Menteri.
Saya memohon maaf jika pandangan ini tidak manis di mata YB Menteri. Sesungguhnya apa yang baik adalah untuk kebaikan anak-anak kita di sekolah.
Semoga usaha YB dan pasukan KPM berjaya dan akan dirahmati oleh Allah swt. Ameen.
Yang Benar,
ANUAR AHMAD,
Fakulti Pendidikan, UKM
*****
Rujukan:
Ungku Aziz, A. (1965) “Poverty, Proteins and Disguised Starvation”, Kajian Ekonomi Malaysia, 2(1).:7-48.
www.nst.com.my/node/502533/amp
https://today.mims.com/fattest-kids-in-asia--malaysia-s-childhood-obesity-a-fast-growing-concern