14 January, 2015

KAUM, PERKAUMAN DAN PEMERKAUMAN.... Pengalaman Malaysia.

(1) Dalam kerjaya saya, saya berpeluang meneliti tentang hubungan etnik di Malaysia. Tentang bagaimana hubungan ini terbentuk, berkembang dan berhadapan dengan cabaran dan ujian. Malaysia telah, sedang dan akan sentiasa diuji dalam hal ini. Dulu, kini dan juga pada masa akan datang. Hubungan etnik di Malaysia adalah antara fenomena kemasyakatan yang komplek di dunia. Ibarat satu makanan yang di dalam punya terlalu banyak ramuan. Sehingga kita sukar untuk memisahkan setiap satu ramuan tersebut. Inilah Malaysia, sebuah negara ramuan majmuk dalam bentuk dan rasanya yang tersendiri. dan sehingga kini, kita masih mampu bertahan.. soalnya sampai bila?
Biar saya permudahkan. 
(2) Era sebelum dan semasa kerajaan Kesultanan Melaka, tidak ada istilah orang Cina dan India. Tidak juga ada istilah orang Arab atau yang lain. Yang ada ketika itu ialah istilah Melayu berasakan suku suku etnik. Ada Melayu Banjar. Melayu Bugis, Melayu Siak, Mandailing, Sumatera, Melaka,Kedah, Johor, Jawa dan sebagainya. 
(3) Manakala yang datang dari negara China pula di panggil orang Canton, Kwantung, Peking, Hainan dan Hakka. Yang datang dari negara India dipanggil orang Goa, Ceylon, Tamil Nadu dan sebagainya. Ada juga yang datang dari Burma, Parsi dan Nepal. Istilah suku atau etnik diambil dari mana asalnya asal mereka. Belum wujud istilah kaum ketika itu.
(4) Bila British menjajah dan mentadbir negeri-negeri yang asalnya diperintah oleh etnik Melayu (Melayu Kedah, Melaka, Johor, Pahang etc), mereka mula perkenalkan istilah ras/kaum Melayu, Cina dan India mengikut fahaman mereka. Stamford Raffles adalah perancangnya. Kuasa Inggeris secara jelas mula membezakan kaum kaum melalui dokumen rasmi banci penduduk, dokumen undang-undang dan surat kuasa mereka, siapa itu Melayu, Cina dan India berasaskan dari mana asal mereka, bahasa, agama dan budaya mereka. 
(5) Maka istilah dan kategori KAUM mula wujud semasa penjajahan Inggeris. Berasaskan kategori kaum inilah kemudiannya Inggeris mendaftarkan dan merekodkan nama nama sekolah Melayu, Cina dan Tamil di negara ini. Begitu juga diiktiraf rumah ibadat secara kaum identiti mereka dan diiktirafkan agama agama mereka. Melayu-Islam, Cina-Buddha dan India-Hindu. Dengan ini istilah KAUM (individu) berkembang menjadi proses PERKAUMAN.
(6) Bila Tanah Melayu mula mencapai kemerdekaan, lalu dibina dasar dasar yang secara jelas mengenalpasti kaum dan mengiktiraf perkauman ini. Sekolah vernakular diiktiraf sebagai sekolah Cina untuk kaum Cina, sekolah Tamil untuk kaum India dan sekolah Melayu untuk kaum Melayu. Inilah bentuk PEMERKAUMAN (institusi) yang paling awal terbentuk di negara ini. 
(7) Pemerkauman bermaksud secara rasmi diiktiraf dan diwujudkan institusi untuk membina dan mengukuhkan identiti kaum tertentu secara eksklusif. Misalnya, diwujudkan identiti BUMIPUTERA-BUKAN BUMIPUTERA. Ini juga adalah satu proses pemerkauman di mana kaum kaum telah dikategorikan dan diinstitusikan melalui DEB.
(8) Hari ini, fenomena pemerkauman telah dikembangkan. Misalnya, apabila ada kajian akademik menunjukkan ada syarikat bukan Melayu dilaporkan tidak mahu menerima graduan Melayu. Atau ada syarikat Melayu yang tidak mahu menerima graduan bukan Melayu. Ini juga adalah satu bentuk pemerkauman. Tetapi jika ada keadaan bukan Melayu tidak berminat dengan kerja polis atau tentera, itu bukan satu pemerkauman. Kerana semua kaum digalakkan untuk sertai, cuma jika tidak berminat itu adalah pilihan individu.
(9) Apakah pemerkauman sesuatu yang negatif? Tidak juga. Misalnya apabila JHEOA ditubuhkan untuk menjaga kebajikan masyarakat orang asli, itu juga satu proses pemerkauman, yang positif. Apabila orang Melayu-bumiputera yang miskin (pada 1970 hanya ada ekuiti 2% dan orang Cina kuasai 60% kekayaan negara), dan diperkenalkan DEB untuk membantu mereka, ini adalah satu proses afirmatif (juga pemerkauman yang posiitif) dan perlu di lakukan. Tetapi jika Melayu atau Cina yang kaya dibantu melalui DEB, istilah affirmatif dan pemerkauaman positif sudah tidak terpakai lagi. 
(10) Bagi Malaysia yang ingin maju selepas 2020, apakah isu kaum, perkauman dan pemerkauman ini akan terus membelenggu masyarakat kita? Saya fikir.. ya, ia akan terus wujud dan membelenggu minda kita.

BILA PENDIDIKAN TANPA ROH...



(1) Sebagai satu pengetahuan, bila saya semak sebenarnya semakin banyak Fakulti Pendidikan dan Pusat Latihan guru di negara ini sudah tidak lagi mengajarkan kursus falsafah pendidikan. Ada dua sebab mengapa keadaan ini berlaku. Pertama, pemikir pendidikan yang lepas (1970an) telah membuat pemisahan antara falsafah ilmu pendidikan barat dan falsafah pendidikan Islam. Akhirnya sekitar 1982, aliran pendidikan Islam telah menang dan semua prinsip pendidikan dihalakan kepada pembentukan falsafah pendidikan yang diasaskan pada falsafah pendidikan Islam. maka kita perkenalkan KBSR dan KBSM. 
(2) Yang paling jelas, para pemikir ini telah membina falsafah pendidikan negara yang bersepadu dengan pemikiran dan falsafah Islam. Ini langkah yang baik, selari dengan konsep yang digagaskan dalam perlembagaan dan Rukunegara. Malangnya hanya di atas kertas dokumen rasmi sahaja. Dalam perlaksanaan di sekolah, semua kesepaduan ini telah dipinggirkan. Saya tidak pernah mendengar guru sains atau matematik yang bersungguh sungguh menyepadukan fenomena sains dalam kerangka falsafah Islam sepenuhnya, kecuali diselitkan di sana sini dalam pengajaran bila diperlukan (ditempelkan).
(3) Sebab kedua mengapa ilmu falsafah pendidikan tidak diajarkan ialah bila pengubal kurikulum pendidikan ketika itu telah mempunyai andaian ilmu faslafah pendidikan adalah sesuatu yang tidak kritikal untuk diajarkan pada para guru pelatih. Mereka (pengubal kurikulum) ketika itu 'dihambat pesona' dengan 'kemasukan' ilmu ilmu baru pendidikan dalam latihan guru. Ilmu ICT, pedagogi terkini serta program 'top down' (RIMUP,KBKK etc) telah mengambil tempat dalam senarai kursus latihan guru termasuk di fakulti pendidikan sehingga ilmu ilmu asas pendidikan khususnya ilmu falsafah pendidikan dipinggirkan.
(4) Apa kesannya bila guru yang dilatih tidak mempunyai ilmu falsafah pendidikan? Yang paling ketara mereka menjadi guru 'setengah masak'. Guru yang tidak ada asas dalam pembentukan pemikiran 'apa itu pendidikan (proses dan matlamat)?". Tanpa ilmu falsafah pendidikan mereka kemudian menjadi guru-guru 'robot' yang tidak perlu berfikir dan merasai apa itu pendidikan? Mereka menjadi guru yang wujud pada jasad tetapi kurang pada rohnya. Guru yang mahir membuat rancangan pengajaran tetapi terlupa potensi pelajar. Guru yang cekap dengan komputer dan LCD tetapi terlupa tentang interaksi, motivasi serta sokongan tanpa syarat pada pelajar. (Bukan semua tetapi kebanyakanya begitulah)
(5) Cuba tanya diri anda sendiri, jika anda seorang guru, apakah yang menyebabkan anda sayang dan cinta pada kerjaya anda sebagai guru? Betul atau tidak, kasih sayang itu sebenarnya datang apabila anda sendiri yang mula berfikir tentang "mengapa saya ingin menjadi guru?, bermula bila anda berfikir "apa pentingnya pendidikan untuk anak anak didik saya", bila anda mula bertanya pada diri sendiri "tentang masa depan, potensi, peluang dan perkembangan anak anak yang anda ajar setiap hari? Ini semua adalah ruanga falsafah pendidikan, tetapi kerana anda tidak dilatih dalam latihan guru, pemikiran falsafah pendidikan anda menjadi umum dan tidak terbentuk dalam kerangka falsafah pendidikan yang sebenar.
(6) Kerana tidak diajarkan tentang falsafah pendidikan, anda tidak tahu apa maknanya idealisme, pragmatisme, rekontstruknisme, strukturalisme, fungsionalisme dan sebagainya yang mendasari pemikiran falsafah pendidikan. Anda tidak sedar sebenarnya apa yang sedang anda fikirkan telah difikirkan oleh pemikir falsafah pendidikan ratusan tahun lalu di tempat lain. Sudah wujud berbagai aliran pemikiran yang jika dipelajari semasa kursus latihan guru akan menjelaskan semua pertanyaan 'falsafah' anda tadi. Anda pasti akan lebih tenteram bila tahu jawapan kepada persoalan ini, sebelum melangkah dalam kerjaya anda sebagai guru.
(7) Apa akibatnya bila tidak berpeluang belajar falsafah pendidikan? Yang pertama tamanya, anda sendirimula tidak selesa bila terlalu banyak perubahan berlaku dalam sistem pendidikan. Anda anggap perubahan sesuatu yang menyusahkan. Anda juga mungkin tidak selesa bila mendapat pelajar yang kurang prestasi akademik mereka, malah anda juga mungkin tidak gembira mendapat pelajar yang nakal. Isyarat ketidakselesaan ini disebabkan anda tidak ada pengetahuan dan maklumat falsafah pendidikan, yang jika ada, pasti akan membentuk kepercayaan anda "apakah itu pendidikan?.
(8) Sebab itu hari ini, bila guru pukul pelajar secara zalim, kita jadi hairan. Bila ada guru ambil mudah masalah pembelajaran pelajar kita jadi marah. Bila ada pengurusan sekolah yang membeza bezakan pelajar kita jadi bimbang dan kecewa. Mereka ini sebenarnya tidak ada lagi kepercayaan pada konsep pendidikan yang murni. Yang dimulakan kemurnian itu sebenarnya dari dalam ilmu falsafah pendidikan.
(10) Jika ingin dibangunkan kecemerlangan guru di negara ini, pada saya yang pertamanya ilmu falsafah pendidikan ini mestilah dikembangkan semula di fakulti, IPG dan semua pusat latihan pendidikan. Pada saya, tanpa ilmu falsafah pendidikan yang menjadi asas pemikiran pendidikan, sukar guru guru kita membina kerjaya pendidikan yang mempunyai roh dan kekal sentiasa insan sifatnya.... Anda boleh saja berbeza pandangan dengan saya.....apa salahnya..

Pendidikan Islam...

Dalam satu kajian yg pernah dijalankan oleh Prof Emeritus Dr Isahak Haron (UPSI) didapati 80% pelajar sekolah tidak memahami surah AlFatihah. Sebahagian dari mereka sekadar menghafal tanpa memahami maksud surah tersebut. 
Jika surah besar seperti al Fatihah tidak dikuasai, apatah lagi surah surah lazim yang lain. Dan tentunya jauh sekali untuk mereka memahami ayat ayat al quran yang lain. 
Pada saya ini bukan salah pelajar, ini adalah kesilapan besar para pengubal kurikulum pendidikan Islam di negara kita. Jika kita mahu berterus terang itulah jawapannya.
Sejak begitu lama kita di didik membaca al quran bagi tujuan mendapatkan ganjaran pahala. Pahala maksudnya akhirat. Maka kita sejak dulu diberikan ilmu membaca al quran dengan bacaan yang betul, malah dianjurkan supaya menghafal surah surah al quran. Lagi banyak di baca seharian, lagi baik, lagi banyak pahalanya, lagi banyak dihafal itu paling baik. 
Saya setuju ini amalan yang mulia dan baik. Mesti diteruskan untuk mendapat ganjaran pahala dan bekalan masing masing di akhirat kelak.
Cuma ada satu lagi sisi penting tujuan ayat ayat al quran di turunkan yang sering dilupakan dalam sistem pendidikan Islam kita. Iaitu mengkaji Al quran untuk panduan hidup di dunia. 
Ini jelas tidak diberikan perhatian dalam kurikulum pendidikan Islam kita. Yang diberikan brrsifat harfiah .. Apa yang boleh dan apa yang tidak. Sekadar tentang haram, harus, makruh, sunat, wajib...atas perkara perkara yang mutlak. Al Quran mesti digunakan sebagai memberikan kefahaman dalam menjalani kehidupan.
Apa maksudnya? Ayat ayat Al quran diturunkan sebagai panduan bagaimana untuk kita hidup di dunia. Untuk itu al quran mestilah di baca, difahami bacaan itu, diulas dan di kaji secara bersungguh sungguh dan seterusnya dikaitkan dengan kehidupan di dunia sebagai panduan hidup. 
Menghafal sahaja akan mendapat pahala, tetapi menghafal tanpa memahami akan mengurangkan satu daripada tujuan al quran diturunkan sebagai panduan hidup.
Di Tanah Melayu, sejak dulu sekolah kebangsaan mengajarkan ilmu al quran tanpa mementingkan soal pengkajian al Quran. 
Manakala pengajian al quran di sekolah pondok dibataskan pada pengajian agama. Ilmu Al Al quran tidak dikaji dan dikaitkan dengan ekonomi semasa, politik mahupuj undamg undang semasa. Itu di sekolah pondok. 
Di sekolah kebangsaan pula, ilmu matetatik, ekonomi, bahasa, sains dan sebagainya tidak dikaitkan dengan Al Quran sepenuhnya.
Ketika dulu, di saat masyarakat Melayu masih homogenous, tidak banyak isu timbul. Tetapi hari ini jika Islam ingin dipastikan kukuh dalam anak anak kita, cara pendidikan berasaskan hafalan mestillah dikembangkan kepada pengkajian al quran. 
Bagaimana anak kita mahu berhadapan dengan gerakan Syiah, ajaran sesat, fahaman liberalisme, pluralisme dan pelbagai perspektif baru ilmu sesat yang dibawa arus globalisasi? Bagaimana dan dengan apa semua ini mampu di tapis dan di tepis?
Tanpa ilmu pengajian Al quran, anak anao kita mungkin tidak dapat membezakan agamawan yang asli dan tiruan, ustaz betul dan ustaz tiruan. Silap langkah, kita mungkin menempuh kesesatan dalam beragama.
Sekadar menghafal al quran ( walaupun sangat baik), mampukah anak anak ini berhadapan dengak semua ideologi baru ini? Saya yakin sukar sekali untuk mereka.
Sebab itu pengajian al quran sebagai panduan hidup mestilah di mulakan sekarang. Bukan setelah semuanya terlambat.

Sekolah Kita Bukan Wajah Kita?

Semakin ramai pelajar Tiong Hua tidak mendaftar ke SRJKC? Ke mana agaknya mereka bersekolah? Ke sekolah Kebangsaan kah?
Anda tahu ke mana? Data pendaftaran sekolah menunjukkan semakin ramai anak anak Tiong Hua ke sekolah antarabangsa.
Dulu sebelum 2006, sekolah antarabangsa hanya untuk para ekspetriat sahaja. Pelajar warganegara Malaysia hanya dibenarkan atas syarat menyambung pelajaran jika mereka pulang dari negara luar yang ada kurikulum yang sama di sekolah antarabangsa. Misalnya ibubapa balik dari belajar PhD, anak yang belajar di sekolah UK boleh terus sambung di sekolah antarabangsa di negara ini. 
Mulai 2006, KPM telah membuat kejutan dasar buka pintu untuk pelajar tempatan masuk ke sekolah antrabangsa dengan mensyaratkan kuota pengambilan pelajar antarabangsa 60% dan pelajar tempatan 40%. 
Ini berikutan desakan para ibubapa (kelas elit yang pandang rendah sekolah kebangsaan ) yang ingin anak mereka belajar di sekolah antarabangsa. 
Banyak pandangan jujur yang melihat kebenaran KPM ini tidak sesuai kerana sistem pendidikan sekolah antarabangsa yang didapati tidak menitikberatkan soal pembinaan nilai dan jatidiri kebangsaan. 
Malangnya pandangan ini tidak cukup kuat untuk menandingi desakan kumpulan elit sekolah antarabangsa untuk mengubah keinginan KPM.
Selepas 12 Okt 2011, KPM membuat kejutan baru sekali lagi. Dasar lebih terbuka. Kali ini tiada lagi kuota 60-40 digunakan. Ini hasil desakan politik masyarkat Tiong Hua dan di sokong penguasa melayu elit. Matematiknya mudah, untuk selamatkan perniagaan sekolah antarabangsa yang tinggi kos operasinya. Setakat mengharapkan yuran pelajar asing, pasti tidak akan menguntungkan.
Dasar ini secara langsung telah membenarkan mana mana pelajar tempatan boleh mendaftar untuk belajar di sekolah antarabangsa tanpa had lagi. 
Bilangan Sekolah antarabangsa bertambah mendadak dari 86 buah pada 2011 menjadi 125 buah selepas itu. Dan sedang bertambah. Ini menjadi satu perniagaan yang sangat sangat menguntungkan. 
Sebagai 'gula gula', pihak pengurusan sekolah antarabangsa bersetuju menerima kurikulum sejarah Malaysia, pendidikan Islam dan Moral di dalam amalan sekolah mereka untuk pelajar tempatan. Asalkan mereka dibenarkan menjalankan perniagaan sekolah antarabangsa (yang aebenarnya sekolah persendirian swasta). 
Di beberapa sekolah antarabangsa, budaya sekolah antarabangsa sudah berubah menjadi sekolah budaya Tiong Hua kelas atasan.
Yuran untuk sekolah antarabangsa antara 25k hingga 65k setahun. Mana mana ibubapa yang mampu, boleh daftar anak anak mereka. Tidak ada had lagi. Inilah kebebasan sistem pendidikan di negara ini. 
Di Singapura, anak anak tempatan tidak dibenarkan ke sekolah antarabangsa. Sekolah antarabangsa hanya untuk ekspetariat yang menetap sementara di Singpura. Mereka tegas dalam hal ini. Malaysia?
Apa kesannya sekolah antarabangsa pada anak anak kita? Jika anda sebagai ayah dan jika anda mampu, apakah anda tidak ingin hantar anak anda ke sekolah antarabangsa? Kemudahan pembelajaran di sana jauh lebih baik dari sekolah kebangsaan!!
Soalan yang lebih besar, apakah pula akan jadi kepada pembentukan struktur masyarakat? Jika dulu sekolah vernakular memisahkan Melayu , Cina dan India, sekarang sekolah antarabangsa memisahkan yang kaya dan yang miskin...
Tapi dalam dunia serba mencabar pada hari ini, jawab paling jujur ialah "ada aku kisah"

PPSMI?

Saya hormati pejuang bahasa Melayu. Tetapi dalam keadaan sekarang, saya memilih untuk lebih utamakan masa depan bangsa Melayu. 
Dalam persekitaran dunia hari ini,menguasai bahasa Inggeris akan menjadi asas kepada survival ekonomi bangsa Melayu. Tanpa kuasa ekonomi, sedikit demi sedikit kuasa politik Melayu juga akan merosot. 
Sejak merdeka, teori ini terpakai. Lebih 57 tahun merdeka, semakin bangsa Melayu lemah kuasa ekonomi, semakin lemah kuasa politik mereka. 
Untuk kembali kukuh dalam politik, selain penyatuan Melayu, bangsa Melayu juga kena kukuhkan kuasa ekonomi mereka, dan jalannya ialah dengan seluruh anak anak orang Melayu kena kuasai bahasa ekonomi iaitu bahasa Inggeris. 
Hari ini puluhan ribu graduan Melayu tidak bekerja, menurut kajian salah satu sebabnya hanya kerana mereka tidak kuasai bahasa Inggeris. Ribuan peniaga Melayu tidak boleh kembangkan perniagaan kecil mereka lebih besar di luar negara atau luar kepompong pengguna Melayu, juga kerana mereka tidak mampu kuasai bahasa Inggeris. Ini fenomena hari ini. Anda boleh terus berdebat tentang betulkah akan hal ini. Tetapi saya sudah menyakini seriusnya fenomena ini.
Timbul soalan, bagaimana bangsa Jepun boleh berjaya tanpa bahasa Inggeris? Bagaimana bangsa Korea boleh berjaya tanpa bahasa Inggeris? 
Jawabnya, sebab kuasa politik orang Jepun dan orang Korea kuat. Mereka mampu pastikan hanya bahasa Jepun dan bahasa Korea sahaja digunakan di negara mereka. Pada mereka, Bahasa Inggeris adalah bahasa asing dan bukan bahasa utama mahupun bahasa kedua. Sesiapa juga di Jepun kena kuasai bahasa Jepun. Di Perancis dan German juga begitu. 
Itupun sekarang pemimpin mereka sudah buka pintu untuk anak anak bangsa mereka kuasai bahasa Inggeris. Di China, trend ini malah lebih hebat.
Kita sebuah negara majmuk di mana kuasa orang Melayu tidak kuat. Ini fakta. jangan percaya setakat slogan dan laungan sahaja. Bunyi mungkin kuat tetapi faktanya? Walaupun disebut dalam Perlembagaan tentang kedudukan bahasa Melayu, kita ada Akta bahasa 1967, ada pula UKM sebagai universiti pendaulat bahasa Melayu, pemimpin politik Melayu harus bertolak ansur dengan pemimpin bukan Melayu dan juga kuasa asing yang kuasai ekonomi negara sejak merdeka. 
Pemimpin bangsa Melayu tidak boleh buat apa apa kerana kuasa ekonomi negara ini bukan milik Melayu. Bahasa Melayu sudah menjadi satu 'trade off' atau bahasa lembutnya satu tolak ansur yang telah dijalankan sejak merdeka. 
Kalua nak bandingkan, ambil negara majmuk yang pribumi hanya 50% sahaja sebagai bandingan. Itu baru adil. Jadi janganlah gunakan Jepun atau Korea sebagai bandingan. itu tidak adil.
Dalam keadaan kuasa Melayu yang tidak kuat, mana lebih penting dan perlu di dahulukan? Antara bahasa Melayu atau masa depan bangsa Melayu?
Saya terpaksa pilih masa depan Melayu dan saya tidak mahu beremosi lagi tentang kata pujangga "bahasa jiwa bangsa"
Pada saya, kuat bangsa, kuatlah bahasa...tidak lagi sebaliknya.

26 December, 2014

ISU PT3....

1) Nampaknya PBS-PT3 menjadi isu lagi. Jika dulu isu perlaksanaan akibat kerja yang terlalu membebankan guru dan isu sistem 'online' yang bermasalah, kali ini lebih serius. Ibu bapa kecewa kerana prestasi majoriti anak anak mereka yang buruk. Sangat kurang pelajar dapat semua A dalam PT3. Ibu bapa mula salahkan PT3 yang dikatakan dilaksanakan secara tergesa gesa dan tidak jelas tujuan serta mekanismenya. Memang betul dan tidak salah pandangan para ibu bapa itu.
2) Para pengetua juga tergamam dengan prestasi PT3 sekolah mereka. Ada yang seperti tidak percaya begitu ramai anak anak pelajar mereka yang tidak berjaya mencapai seperti yang di harapkan. tentunya pelajar yang menduduki PT3 paling terkesan jiwa dan psikologi mereka. Melihat keputusan gred B C,D dan gred lebih lemah lagi atas slip keputusan adalah sesuatu yang memang mengecewakan mereka.
3) Apa pandangan saya? Pertama, ini PT3 dan bukan PMR. Kedua, yang dinilai dalam PT3 ialah kriteria (individu) yang perlu dicapai berbanding PMR yang dinilai adalah norma (satu gred yang sama untuk semua). Pastilah keduanya berbeza, Ketiga, sifat PT3 ialah lebih dari satu bentuk penilaian kerana ia adalah gabungan 4 peperiksaan (berpusat, penilaian sekolah, penilaian ko kurikulum dan ujian psikometrik).
4) Katakanlah proses ini semua sukar difahami dan ibu bapa masih tidak dapat terima hakikat ini, cuba fahami situasi in pula. Dulu semasa PMR 2013, sekitar 30,988 orang pelajar dapat semua A. Hebat kah? Sedangkan kalau kita letakkan prestasi pelajar kita dalam peperiksaan antarabangsa PISA dan TIMMS, negara kita adalah di kalangan 7 negara paling tercorot di dunia. Itu buktinya walaupun anak anak kita ramai yang dapat semua A dalam PMR, sesungguhnya prestasi sebenar mereka jika dibandingkan dengan anak anak seumur dengan mereka dari negara lain, prestasi anak anak kita secara keseluruhannya sangat sangat terkebelakang.
5) Berbanding PMR, keputusan penilaian PT3 ini menunjukkan keadaan sebenar kualiti pendidikan kita yang masih rendah. Inilah keadaan yang sebenarnya sedang berlaku. Sangat ramai anak anak kita yang belajar masih tidak mencapai prestasi pendidikan yang sebenar. Masih banyak potensi mereka yang tidak dijana. Bayangkan begitu ramai dapat gred A subjek bahasa Inggeris dalam PMR tetapi tidak mampu bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa bekenaan. Ramai juga yang dapat gred A PMR dalam subjek bahasa Melayu, tetapi pertuturannya hancur!! lansung tidak mampu menunjukkan prestasi A sebenar yang dicapai oleh mereka.
6) Sebab itu, saya syukur PT3 ini dilaksanakan. Inilah gambaran sebenar kualiti pendidikan di negara kita. Jangan salahkan Kementerian Pelajaran atas keputusan buruk PT3 2014, tetapi jika masih ingin salahkan, saya syorkan tumpukan kesalahan itu pada kegagalan perencanaan kualitti pendidikan yang KPM lakuakan sejak dulu sebelum PT3 dimulakan.
7) Melalui PT3, sekarang kita sudah dapat kedudukan yang sebenar prestasi sebenar pendidikan Negara. Saya setuju, PT3 dilaksanakan agak tergesa-gesa akibat 'tekanan' apabila melihat prestasi pendidikan negara sangat rendah di peringkat antarabangsa.
8) Kita dalam beberapa tahun lagi akan mencapai tahun keramat 2020, tetapi mampukah sistem pepndidikan di era PMR melahirkan anak anak pelajar yang setanding negara Singapura (no 2 terbaik dunia) atau Korea selatan ( no 4 terbaik dunia). Mereka sudah lama laksanakan pendidikan kemahirn aras tinggi, inovasi sejak 1990. dan jika saya memang kita tidak bersedia pun sebelum PT3 dimulakan.
9) Betul anak anak pelajar ini jadi bahan ujikaji. Saya setuju. Betul anak anak ini tidak gembira dengan keputusan mereka. Saya juga setuju. Saya juga sedar ramai ibubapa sangat marah pada Kementerian Pelajaran dan pihak kerajaan apabila melihat keputusan anak anak mereka. Malah ramai pengetua juga mengeleng gelengkan kepada melihat keputuan sekolah mereka.
10) Tetapi mahukah kita berterusan 'di tipu dengan prestasi hebat PMR' dulu sedangkan jelas ia tidak mengambarkan kualiti sebenar pendidikan negara kita. Mahukah kita terima keadaan itu,walaupun anak anak kita hebat dalam PMR, hakikatnya anak anak kita masih terlalu jauh di belakang rakan rakan mereka di negara lain?
11) KPM kena akui memang mereka ada kelemahan. Mereka kena akui mereka lemah mengurus, merancang dan memantau perkembangan PBS-PT3. Bukan mereka tidak bekerja, tetapi PT3 dilakukan dalam keadaan yang sangat tergesa gesa. Kita harapkan mereka sedar dan segera memikirkan perubahan dan tambah baik PT3. Sebab pada asasnya, tujuan perlaksanaan PT3 itu adalah baik dan perlu diteruskan untuk meningkatkan kualiti pendidikan

Di Mana Kualiti Pendidikan Kita?

1) PISA (Programme of International Students Assesment (OECD 2012) disertai oleh 65 buah negara di dunia. Malaysia juga ikut serta. Pada 2012, kedudukan Malaysia ialah Matematik (52/65), Sains (53/65) dan Kemahiran membaca (59/65).
2) Malaysia berada di dalam kelompok 1/3 paling bawah di dalam penilaian PISA bagi prestasi Sains, Matematik dan Membaca. Jika ini berterusan, bagaimana Malaysia mampu untuk m...enghasilkan golongan profesional dan sumber manusia yang hebat untuk bersaing dengan guna tenaga luar negara?
3) Lihat jelas sekali prestasi Malaysia di belakang Singapura, Thailand dan Vietnam. Sangat jauh ketinggalan prestasi pelajar kita berbanding negara negara ini. Kita di hadapan sedikit dari Indonesia. Bagaimana kita akan boleh menjadi negara pemimpin di kalangan negara ASEAN kalau kita tidak segera mengatasi cabaran ini?
4) Kita pergi lebih mendalam lagi. Di kalangan sekolah sekolah di Malaysia, sekolah swasta paling cemerlang dan diikuti oleh sekolah vernakular (aliran agama Islam dan aliran sekolah Cina) Apa jadi dengan sekolah menengah kebangsaan yang bertaraf premier? Bukankah PMR pada tahun 2012 mencatatkan 30,474 pelajar mendapat semua 8A? Bukankah majoriti mereka ini datangnya dari sekolah menengah kebangsaan beridentitikan premier. Saya tertanya tanya juga apakah bentuk pemngajaran di sekolah 'hebat hebat' dalam senarai PMR, SPM hanya sesuai untuk peperiksaan hafalan dan latih tubi sahaja?
5) Kita tentu tertanya, mengapa dengan begitu banyak yang mendapat semua A, bila diukur keupayaan dalam pepriksaan antarabangsa, pelajar kita masih terlalu jauh di belakang? dan kita masih 'syok sendiri' riang ria melihat anak, adik atau cucu kita dapat semua A dalam PMR? Dan kita jadi marah bila dalam PT3, mereka tidak dapat kumpul sebanyak banyaknya A? Apakah itu bukan satu perasaan 'penipuan' yang kita sedang raikan?
6) Bukan kerajaan sahaja yang mesti muhasabah dengan perlaksanaan PT3 yang memang kucar kacir, ibubapa dan masyarakat juga kena muhasabah ke arah mana kita inginkan pendidikan anak anak dihalatujukan? PT3 adalah satu usaha untuk menghadapi cabaran baru ini... kerajaan harus berani dan melaksanakan tanggungjawan. Dan pemimpin politik dalam kerajaan harus bersedia untuk menjadi tidak popular demi masa depan anak bangsa.
7) Ramalan saya, untuk tahun tahun akan datang akan berlaku 'tarik tali' yang hebat antara mereka yang ingin kembali kepada budaya kumpul sebanyak banyak A dengan kumpulan yang inginkan kualiti pendidikan yang terbaik untuk pelajar tanpa kisah samada ada A atau tidak.

Lemahnya ilmu kepenggunaan kita...

1. Secara kebetulan, malam ni saya sekeluarga ke TESCO Kajang. Pada kebiasaannya pada setiap hujung minggu kami akan membeli barangan dapur di Ben's Independent Grocer di Publika Mont Kiara.
2. Tiga sebab mengapa saya memilih untuk berbelanja Ben's Publika. Pertama, ia dekat dengan rumah kami. Kedua, peragaan dan susunan barangan jualan yang kemas dan cantilk. Ya, sangat selesa dengan khidmat stafnya yang cukup mesra.
3. Tetapi yang lebih penting ialah sebab yang ketiga, ha...rga barangan jauh lebih murah berbanding hypermarket biasa. Betul, walaupun nampak eksklusif, harganya memang lebih murah...
4. Sebagai contoh, sebotol air mineral Spritzer 600ml di TESCO harganya RM1.59, sedangkan di Ben's Publika hanya Rm1.20 sahaja. Malah hampir semua barangan asas yang selalu saya beli harganya lebih murah di Ben's.
5. Dulu saya seperti juga anda sangat percaya bahawa hypermarket tentulah barangannya lebih murah dari kedai kecil tetapi rupanya tidak.
6. Cara mereka membuat promosi menyebakan kita percaya mereka telah menawarkan harga yang rendah. Kalau dibuat bandingan harga, kedai rangkaian 99 Mart adalah antara kedai paling murah sebenarnya. Bukannya hypermarket!!
7. Di dalam keadaan kos hidup yang tinggi ilmu kepenggunaan sangat penting dalam melestarikan kehidupan kita.
8. Malangnya, di dalam sistem pendidikan kita, ilmu kepenggunaan masih tidak wujud. Sedangkan ilmu menjadi pengguna yang bijak sangat penting dalam kehidupan hari ini, apatah lagi masa depan.
9. Kisah rakan rakan ditipu syarikat MLM, tawaran hadiah yang tidak masuk akal dan berbagai kegiatan salah atas nama perniagaan selalu kita dengar. Tapi tidak ada apa pun yang sektor pendidikan boleh bantu sehingga kini.
10. Kita punya sistem pendidikan yang masih konservatif. Kita masih kekal dalam kepompong pengajaran mengikut disiplin ilmu abad 19. Ilmu alam, sejarah, kenegaraan, sastera, sains dan matetatik diajarkan secara terpisah pisah. Ini cara lama.
11. Kita masih belum bersedia mendidik anak anak kita dengan ilmu ilmu yang lebih terkini. Ilmu kepenggunaan, undang undang diri dan harta, kesihatan, kelestarian, inovasi dan sebagainya.
12. Akibatnya, tanpa ilmu ilmu baru untuk berhadapan dengan persekitaran yang baru, anak anak kita pasti akan selalu kena tipu...dan lebih malang jika mereka tidak mampu menguruskan hidup dengan baik.
13. Kisah malam ini sangat mendalam untuk saya sebagai pengguna. Nampaknya saya tidak akan ke hypermarket ini lagi selepas ini jika tidak benar benar sangat terdesak...

Pendidikan Generasi Baru..

1. Setahu saya semua subjek yang diajarkan di sekolah memang membangunkan kemahiran berfikir. Itu juga yang mungkin semua dari kita tahu dan percaya selama ini.
2. Tetapi tahukah kita bahawa sebenarnya jenis kemahiran berfikir yang dibangunkan adalah tidak sama kesannya antara satu subjek dengan subjek yang lain.  Subjek Matematik punyai kekuatan paling tinggi dalam membangunkan kemahiran berfikir jenis penyelesaian masalah, subjek sains&teknologi pula paling kuat kesannya dalam me...mbangunkan kemahiran berfikir jenis kreativiti, inovasi dan menjana idea baru.
3. Manakala subjek sejarah pula paling tinggi kesannya dalam membangunkan kemahiran berfikir jenis pemikiran kritis. Inilah dapatan dari kajian yang mutakhir.
4. Saya sempat semak tentang hal ini untuk kertas akademik saya, nyata guru di sekoah tidak berpeluang mendapat latihan untuk memahami pembangunan kemahiran berfikir secara mendalam.
5. Jadi, kebanyakan guru punya anggapan semua kemahiran berfikir adalah sama sahaja. Dan sebab itu juga semua subjek di sekolah dirancang membangunkan kemahiran pemikiran yang sama sahaja.
6, Pandangan ini adalah agak tersasar jika guru benar benar ingin membangunkan kemahiran berfikir pelajar mereka. Ini juga menjelaskan mengapa dulu agenda KBKK yang dijalankan sekitar 2000-2005 telah gagal sepenuhnya.
7. Puncanya, KPM tidak mahir dalam merencanakan agenda kemahiran berfikir yang selari dengan prinsip bidang ilmu. Subjek Sains, ekonomi, sejarah atau bahasa mempunyai prinsip bidang ilmu yang berbeza. Dan jika di sekolah hal ini diremehkan, pasti hasilnya adalah kegagalan pengajaran!!
8. Apa pun guru hanyalah pelaksana pendidikan. Soalan mengapa latihan yang komprehentif tidak disediakan dalam meningkatkan kemahiran berfikir pelajar sepatutnya ditanyakan pada pembuat dasar dan penyedia latihan keguruan di peringkat IPT, IPG dan KPM... Bukan pada guru...

11 December, 2014

GRADUAN UKM DAN KERJAYA...

Sepanjang minggu ini, Majlis Konvokesyen berlangsung di UKM. Majlis yang meraikan pengijazahan untuk para pelajarnya. Paling ramai adalah graduan dari kumpulan sarjanamuda pelbagai fakulti. Tahniah untuk mereka semua. Juga tahniah untuk ibubapa dan para pensyarah yang mendidik mereka sejak tiga atau empat tahun yang lalu. Kelihatannya mereka semua gembira dan berbahagia dengan pencapaian ini.

Sebagai ahli akademik, saya juga sempat bersama ramai bekas pelajar saya. Sebagai pengetua kolej pula, apatah lagi. 'Anak anak' saya di Kolej Ibu Zain UKM dari pelbagai fakulti dalam pelbagai bidang pengajian telah saya kenali sejak tiga dan empat tahun yang lalu. Saya lihat mereka juga gembira, tersenyum dan ketawa bangga atas pencapaian mereka..dan hanya terdiam, tersentak dan sedikit gugup bila saya tanya " sudah kerja atau belum?"

Ini adalah soalan yang sebenarnya dibenci oleh ramai graduan. Terus terang, soalan ini 'sangat dibenci' oleh graduan Melayu, dan khususnya graduan wanita Melayu. Rata rata yang saya tanyakan soalan ini akan menjawab "belum lagi bekerja" dan "tak tahu bila akan dapat kerja".
Ada yang berkata walaupun sudah beberapa kali ditemuduga tetapi masih gagal. Ada juga yang kata akan sambung peringkat sarjana (sebab tak dapat kerja). Ada yang kata akan tinggal di rumah kawan kawan (sekitar Bangi) untuk terus mencari pekerjaan.

Soalan ini sepatutnya saya tanya awal dulu, sewaktu di tahun satu pengajian mereka. Sepatutnya soalan saya berbunyi, "Selepas graduan nanti, di mana anda nak bekerja?" Dengan syarikat apa?, atau dalam bidang kerjaya yang bagaimana? Betul, Saya seharusnya bertanya lebih awal lagi dan bukannya di hari para graduan sedang bergembira dan berbangga menerima ijazah mereka.
Kajian graduan UKM menunjukkan hanya 58% sahaja graduan UKM yang bekerja pada sesi yang lalu (2012-2013).

Jumlah ini jauh lebih rendah dari purata kebangsaan (71%). Ini diukur selepas enam bulan graduan. bayangkan jika diukur dari tarikh tamat pengajian atau di hari keputusan akhir dikeluarkan? Berapa agaknya yang telah bekerja? Tentulah peratusnya jauh lebih rendah.

Ini juga mengambil kira graduan perubatan, kesihatan dan beberapa bidang pengajian yang kritikal (terus bekerja selepas graduan). Jika jumlah bidang kerjaya kritikal ini dikeluarkan dan hanya bidang bukan kritikal diambil, tentulah peratus graduan yang berjaya bekerja selepas enam bulan bergraduan akan jauh lebih rendah lagi. Bagaimana isu ini dapat diselesaikan? atau sekurang kurang dikurangkan? agar bakal graduan yang akan berkonvo dapat dibantu.

Ada DUA perkara besar yang harus diletakkan sebagai keutamaan para bakal graduan selain telah memperolehi keputusan akademik yang cemerlang (maksud saya 3.50 ke atas).
Pertama, tidak dapat tidak setiap graduan mestilah tahu bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris. Jangan kata buat masa sekarang tak perlu, sebab menguasai bahasa bukan kerja semalaman. anda perlu latihan sehingga pertuturan di hujung lidah anda, bukan menghafal atau 'membaca skrip'. Ini kerja yang memakan setahun dua, malah dalam kebanyakan keadaan, anda perlukan empat lima tahun.

Kedua, sejak tahun satu lagi anda sudah ada sasaran syarikat dan majikan mana yang ingin anda mulakan kerjaya. Anda perlu ada angan angan, impian dan keinginan untuk tujuan ini. Oleh itu, maka mulakan hubungan kerjasama, jaringan dan mengenali majikan anda ini. Inilah pentingnya aktiviti ko-kurikulum, projek kolej dan program universiti.

Setiap kali menganjurkan projek, libatkan bakal majikan anda sebagai penaja, perasmi, juri, atau paling tidak jemputan VIP. Kenali dan sering berinteraksi dengan mereka. Inilah rahsia kejayaan kebanyakan pelajar yang ditawarkan bekerja walaupun belum sempat mereka berkonvokesyen.
Malang sekali jika di hari anda di panggil temuduga itu kali pertama anda lihat wajah bakal majikan yang akan menemuduga anda. Amat malang sekali.

Bayangkan anda sudah kenali beliau, dan lebih penting beliau juga telah mengenali anda. Bukan setakat tahu nama anda tetapi juga tahu cara anda bekerja, semangat dan sifat kerjaya anda.
Bayangkan betapa mudahnya sesi temuduga tersebut pada anda.!!! dan anda pun akan mula bekerja dengan majikan dan syarikat yang anda cita citakan.... Bukan kah itu yang terbaik untuk kerjaya dan masa depan anda?

DEMOKRASI YANG MATI

Tepat jam 12 semalam, tamatlah tempoh berkempen bagi PRK UKM sesi 2014-2015 ini. Berbagai gelagat sepanjang 3 hari berkempen dapat dilihat. Ada yang tegang, lucu, keanakan dan tidak kurang juga perilaku yang merisaukan. Insiden cat mungkin antara yang paling menarik perhatian warga UKM. 

Pada saya, ini semua adalah satu pengalaman 'bermain politik' yang jika dibiarkan akan menatijahkan sesuatu yang sukar dikawal kemudian hari. Tetapi tentunya juga ini satu pengalaman yang harus diambil iktibar. Pengundi muda UKM harus melihat dari sisi sisi pendidikan bagaimana perkara sebegini dapat disempadankan.

Satu isu yang tidak diperbincangkan langsung dalam PRK kali ini ialah kemenangan tanpa bertanding calon GMUKM di Fakulti Pengajian Islam. FPI ialah kubu kuat GMUKM sejak sekian lama. 

Kondisi GMUKM yang dilihat dimonopoli oleh pimpinan mahasiswa dari FPI , secara langsung mengaitkan imej Pengajian ISLAM pada GMUKM. Hakikatnya tidak semestinya begitu. Malah semua pelajar seakan sudah menerima bahawa menang tanpa bertanding untuk GMUKM di FPI adalah satu kebiasaan, bersifat tradisi dan tidak perlu diperdebatkan lagi. Bukan hanya pelajar FPI, malah seluruh pelajar UKM mempunyai pemikiran yang sama. FPI adalah GMUKM.

Apa yang berlaku di FPI, pada saya ialah satu keadaan di mana DEMOKRASI TELAH MATI SEPENUHNYA. Di FPI amalan demokrasi sudah tidak diraikan lagi. Di FPI, pendidikan demokrasi telah dimatikan dan sedang melalui proses penghapusan. Anda mungkin menolak pandangan ini tetapi lihat dulu sejarah politik mahasiswa di FPI. Sekian lama menang GMUKM tanpa bertanding. Mungkin ada yang berkata itu menunjukkan GMUKM kukuh di FPI, tetapi pada saya isyaratnya mungkin berbeza. Kukuh kerana menang dalam pertandingan, dan kukuh kerana menang tanpa bertanding, kerana tiada pihak "berani" bertanding dengan GMUKM adalah dua perkara yang berbeza.

Pernah juga sekali dua ada calon bukan GMUKM bertanding. Tahun lepas ada juga yang telah bertanding. Tetapi natijahnya mereka bukan sahaja kalah teruk tetapi telah diberikan pandangan yang 'pelik' di FPI. Mereka diberikan isyarat seperti mereka tidak diterima oleh warga FPI. Sepertinya budaya dan norm FPI tidak selari dengan mereka yang telah bertanding atas tiket bukan GMUKM. Mereka di layan seperti orang asing di FPI.

Ramai tahu bagaimana jika ada calon bukan GMUKM termasuk calon bebas cuba bertanding di FPI, mereka bukan sahaja akan dipandang serong malah akan turut di pulau oleh warga fakulti. 

Bukan rahsia lagi melihat bagaimana anak anak muda yang ingin bertanding bagi tiket bukan GMUKM di FPI akan melalui tahun tahun yang sukar dalam pengajiannya. Dalam pergaulannya dan dalam membina kepimpinannnya. Hanya yang tabah dan cekal akan dapat teruskan niat mereka, itupun "nyawa nyawa ikan". Apa salah mereka?

Saya selalu mendengar slogan slogan tuntutan "mencari kebebasan bersuara", "mempertahankan demokrasi" dari pihak pimpinan mahasiswa GMUKM ( yang kebanyakkanya dari FPI,) tetapi mereka mungkin terlupa atau mungkin juga sengaja sembunyikan bahawa di bumi UKM ini, hanya FPI sahajalah tempatnya si mana demokrasi telah mati sepenuhnya.. Maka saya ucapkan takziah buat demokrasi di FPI UKM.

Perancangan lebih besar sedang berlaku sebenarnya. UKM punya 12 fakulti. Tetapi mengapa pada kali ini dari 11 calon Umum GMUKM, 8 adalah dari FPI.. Apakah tidak ada calon GMUKM yang hebat dari 11 fakulti lain untuk bertanding kerusi umum? Apakah ini satu lagi perancangan besar untuk mematikan amalan demokrasi di UKM. Sebagaimana apa yang telah berlaku di FPI?

Walaupun ada kecenderungan itu, saya fikir tidak semudah itu kerana mahasiswa di berbagai fakulti lain masih boleh melihat perancangan jangka panjang ini. Mereka tentu tidak mahu apa yang sedang berlaku di FPI, juga akan berlaku pada seluruh UKM.

SEKOLAH VERNAKULAR: APA PERLUNYA DITUTUP?

1. Saya tidak bersetuju sekolah vernakular dimansuhkan. Sekurang kurangnya atas tiga sebab.
Pertama, walaupun sekolah vernakular tidak tercatat di dalam perlembagaan, penubuhan sekolah vernakular Cina dan Tamil merupakan satu kontrak sosial yang telah berjaya kita amalkan sekian lama.

2. Kedua, sekolah vernakular telah diuruskan dengan baik, menunjukkan pencapaian yang baik serta satu model pen...didikan yang membuktikan pendidikan boleh diuruskan melalui perkongsian bijak antara ibu bapa, masyarakat dan kerajaan.

3. Ketiga, ketiadaan sekolah vernalukar akan menyebabkan sekolah kebangsaan akan hilang 'penanda aras' di dalam negara. Bagaimana kita akan katakan sekolah kebangsaan baik jika masyarakat tidak boleh bandingkan dengan sekolah vernakular? Membanding dengan sekolah luar negara masih relevan, tetapi berapa orang yang nampak perbandingan tersebut?

4. Oleh itu saya ambil pandangan agar kekalkan dan benarkan sahaja sekolah vernakular terus dilaksanakan. Apa yang perlu dilakukan sekarang? Kita harus mula berfikir dengan cara BLUE OCEAN STRATEGY. Lupakan tentang sekolah vernakular dan mula perkasakan sekolah rendah dan menengah kebangsaan. Perhebatkan kemudahan, tingkatkan amalan pengajaran guru, bina persekitaran sekolah kebangsaan yang lebih menyakinkan para ibubapa dan guru bahawa apabila anak anak mereka ke sekolah kebangsaan, anak anak mereka akan mendapat peluang yang lebih banyak, hebat dan menguntungkan masa depan. Mulakan amalan pendidikan percuma untuk rakyat.

5. Kita tahu ada sekolah sekolah kebangsaan yang hebat, berstatus premier, penuh dengan segala kemudahan dan guru guru yang hebat. Anak anak di sekolah ini bukan sahaja belajar bahasa Melayu, Inggeris dan Arab, malah diperkenalkan dengan bahasa Mandarin,Jepun, Korea, Perancis dan Sepanyol. Tetapi sekolah jenis ini sangat terhad. Malah lebih ketara sekarang, sekoah ini dipenuhi dengan anak anak dari kalangan orang berada, ahli politik dan keluarga kelas atasan.

6. Oleh itu, strategi politik Melayu yang memberikan tekanan supaya menutup sekolah vernakular adalah tidak tepat, kerana yang diperlukan ialah politik Melayu harus mula memberikan tekanan pada pihak kerajaan agar tindakan radikal memperkasakan sekolah kebangsaan mestilah dimulakan.

7. Pemerkasaan sekolah kebangsaan akan menarik perhatian ibubapa semua kaum untuk mendaftar anak anak mereka ke sekolah kebangsaan. Jangan buang masa berkonflik tentang sekolah vernakular, tumpukan masa, tenaga, idea dan wang untuk perkasakan sekolah kebangsaan.

MELAYU MASIH BEGITU....

1. Pada tahun 1885, Frank Swettenham, Residen Inggeris di Selangor telah menulis sebuah buku bertajuk Malay Sketches (Perihal Melayu).

2.Tulisan ini berkaitan pemerhatian beliau tentang orang Melayu. Antara lain disebut orang Melayu adalah satu kaum yang suka bermain main dalam pekerjaan mereka. Mereka tidak bersungguh bekerja untuk memajukan diri. Beliau juga menulis sikap melayu yang mahu kerja yang dapat upah yang cepat. Juga sikap melayu yang suka pada hal hal merebut kuasa hatta di peringkat menjadi ketua kampung sekalipun. Orang Melayu juga pada beliau suka membesarkan benda benda benda yang remeh temeh dan tidak mahu melihat perkara lebih penting.

3. Orang Melayu bila bersengketa sesama sendiri, suka menjemput orang luar menyokong mereka. Sejarah perebutan kuasa orang Melayu di Perak dan Selangor membuktikannya. Pemimpin Melayu sanggup bersama kumpulan kongsi gelap Ghee Hin Dan Hai San bila bergaduh sesama sendiri. Akhirnya kuasa hilang kepada Inggeris.

4. 130 tahun kemudian, Prof Dr Muhammad Abdul Khalid pula menulis sebuah buku bertajuk "the Colour of Inequality"(2014). Di dalam kajian empirikal beliau, bangsa Melayu nampaknya telah hilang banyak yang dulunya milik mereka. Ekonomi 100 peratus milik Melayu, sekarang tinggal 20 peratus sahaja. Kuasa politik yang dulunya 100 peratus milik Melayu sekarang tinggal sekitar 61 peratus sahaja (kerusi Melayu dalam parlimen). Bilangan melayu miskin paling ramai dalam negara ini. Bilangan bangunan dan hartanah milik Melayu sangat rendah khususnya di bandar besar. Syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia hanya tak sampai 1/3 milik 100% bumiputera.Tanah simpanan Melayuberjuta ekar pun kini sudah tinggal hanya 12 peratus sejak mula diperkenalkan pada tahun 1932. Itupun hampir semuanya tanah pimggir hutan yang belum dibangunkan.

5. Ada pihak yang salahkan UMNO menyebabkan ini semua berlaku. Saya rasa tidak benar sepenuhnya. Tepuk sebelah tangan tak kan berbunyi. Hakikatnya, bangsa Melayu seluruhnya yang suka bertelagah sesama sendiri adalah puncanya. UMNO, PAS, PKR adalah penyumbangnya. Kerana melayu suka bertelagah maka masing masing terpaksa bergantung pada bangsa lain mencari kekuatan. Akhirnya, Melayu menjadi bangsa yang semakin lemah kerana tidak putus putus seronok merebut kuasa.

6. Apa akan ada lagi bangsa Melayu 100 tahun akan datang? Apakah akan ada lagi tanah rezab Melayu, kuasa politik Melayu? Ekonomi Melayu? Akan adakah lagi Perhimpunan Agung Umno atau Muktamar Pas?

7. Jika dilihat tulisan "Perihal Melayu" oleh Sir Frank Swettenham 130 tahun yang lalu, beliau telah memberikan jawapan yang jelas bahawa tidak akan ada lagi kuasa Melayu di negara ini 100 tahun akan datang. Kecuali Bangsa Melayu seluruhnya segera berubah. yang pada saya mustahil Melayu akan berubah...

Hanya Allah yang lebih mengetahui...

POLITIK DAN KEMISKINAN

1. Saya langsung tidak rasa gembira atau bangga apatah lagi kagum melihat berita-berita di media
bila ahli politik mana mana parti begitu ghairah menyampaikan sumbangan seperti beras, makanan, duit poket atau basikal kepada orang orang miskin di dalam kawasan DUN atau Parlimen mereka. Tapi saya rasa bangga, gembira dan bersyukur bila lihat ada ahli politik turun padang sampaikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana atau musibah.

2. Saya punya definisi yang berbeza antara orang miskin dengan orang yang ditimpa bencana/musibah. Jika seseorang ditimpa bencana seperti rumah terbakar, banjir, sakit yang kronik menerima bantuan beras, gula, tepung dan duit buat membeli ubat, itu adalah sewajarnya dan harus dipertingkatkan bantuan demikian.

3.Tetapi bila ada ahli politik mencari cari orang miskin dalam kawasannya, menyampaikan bantuan dengan begitu meriah pula bergambar untuk di "upload' ke FB, Instragram atau Twitter, ini menunjukkan beliau bukanlah ahli politik yang berjaya. Beliau sebenarnya ahli politik yang lemah dan suka mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Mereka sebenarnya "miskin politik"...

4. Pada saya, kemiskinan dalam masyarakat bukan bencana. Ia adalah sesuatu yang disebabkan kelemahan ahli politik atau pemimpin setempat menguruskan sumber yang ada. Jika ahli politik yang dipilih dalam piliharaya gagal untuk menjana kekayaan kawasannya dan ramai orang miskin dikawasannya, itu bukti kelemahan beliau sebagai seorang pemimpin.

5. Sepatutnya KPI seorang wakil rakyat ialah mengurangkan tahap kemiskinan di kawasannya, bukan sekadar bergambar dengan penduduk miskin sambil menyerahkan sekampit dua beras buat membeli undi. Lebih melemaskan bila mereka bergambar berlatar belakangkan rumah usang hampir rebah ke bumi. Wakil rakyat wajib ada agenda dan master plan untuk uruskan isu kemiskinan dalam kawasan mereka. Sekampit dua beras tak akan selesaikan masalah kemiskinan. Tetapi bantuan ini sangat membantu untuk mereka yang ditimpa bencana yang bersifat sementara.

6.Malaysia memerlukan wakil rakyat yang lebih baik dari itu. Wakil rakyat yang memahami kemiskinan bukan satu bencana tidak dijangka. Mereka tahu kemiskinan rakyat adalah berpunca dari kelemahan merancang dan mengurus. Kemiskinan ialah kelemahan melihat potensi ahli masyarakat dan kegagalan mengenalpasti sumber penciptaan kekayaan di kawasannya.

7. Wakil rakyat Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada kemiskinan rakyat untuk dijadikan modal politik mereka. Kemiskinan mesti dihapuskan atau sekurang kurang dikurangkan seminima mungkin.. Menggunakan bantuan kemiskinan seperti beras, gula dan kopi sebagai gula gula politik pada si miskin demi meraih undi simpati adalah politik kolot dan menjijikan. 'Si miskin harus diberikan pancing bukansekadar ikan sekor dua begitu...'. dan menjadi tugas wakil rakyat untuk mencari pancing pancing tersebut. Jika tidak maka gagal lah wakil rakyat tersebut.

8. Jika mana mana parti politik mahu terus mempunyai wakil rakyat yang hebat, berikan KPI yang jelas pada wakil rakyat mereka. Jika ada wakil rakyat yang menang pilihanraya tapi selepas lima tahun masih gagal capai progres indek KPI pembasmian kemiskinan di kawasannya, eloklah minta mereka berundur dan gantikan dengan pemimpin lain pula...yang lebih muda dan berdayasaing....

9. Semakin negara kita ke depan, kemiskinan tidak boleh digunakan lagi untuk tujuan raih undi politik. Kemiskinan adalah sesuatau yang mesti dikurangkan, tanpa mengira penyokong parti manapun si miskin itu.

10. Kemiskinan adalah penyakit dalam masyarakat, yang mesti diubati. Kerana miskin, anak anak tidak ke sekolah, kerana miskin berbagai penyakit melanda keluarga mereka, dan kerana miskin jenayah dan gejala sosial bermaharaja lela. Jangan politikkan kemiskinan... ia hanya akan merosakkan hidup masyarakat seluruhnya.

19 November, 2014

10 Perkara Menarik Tentang PRK UKM 2014

Saya sudah kurang menulis tentang PRK UKM. Ada dua sebab yang melemahkan semangat saya buat masa ini. Pertama, sejak kebelakangan ini, pemimpin yang menang PRK seperti sudah tidak relevan lagi dalam kehidupan kampus. Pelajar lebih berminat beraktiviti di kolej, fakulti atau di persatuan persatuan (bukan semua persatuan aktif) yang berada di PUSANIKA. Mereka yang menang dan 'memerintah' kerajaan pelajar seperti hanya berada dalam kelompok mereka (bersifat eksklusif) dan tidak mengamalkan dasar buka pintu (inklusif) pada pelajar teramai di UKM. PMUKM sudah menjadi 'kelab ungu' pada kebanyakan pelajar UKM.

Kedua, saya secara peribadi merasakan pelajar yang masuk bertanding sebagai calon PRK mestilah sekurang kurangnya pernah menjadi pemimpin di mana mana peringkat samada aktiviti di kolej, fakulti atau persatuan. Atau pernah menjawat jawatan EXCO mana mana MEP, persatuan, kelab atau urusetia. Ataupun di kalangan mereka yang pernah memenangi dalam apa apa acara di peringkat universiti, kebangsaan atau antarabangsa. Pemerhatian saya menunjukkan (kebanyakan) calon yang bertanding tahun lepas adalah di kalangan mereka yang tiada langsung pengalaman berorganisasi. Soalanya, bagaimana untuk menjadi MPP UKM yang baik jika mereka tidak langsung ada kemahiran untuk berorganisasi dan beraktiviti di kampus. Apatah lagi berupaya untuk mempengaruhi pelajar lain ikut serta dalam aktiviti anjuran mereka. Sebab itu, saya rasa PRK ini tidak ke mana perginya. Ia hanya bersifat kelompok dan dianggotai oleh kalangan MPP yang tidak punya pengalaman untuk membawa pelajar UKM jauh  ke depan.

Apa pun, saya rasa elok juga saya menghangatkan blog ini dengan isu PRK kali ini (sekurang kurang supaya blog ini tidak dihumban ke sungai seperti yang diminta oleh seorang penyokong GMUKM di dalam FB mereka). Saya juga ingin berkongsi pandangan (ini pandangan peribadi dan tidak bersifat kajian) sebagai meraikan kemeriahan demokrasi PRK UKM 2014, maka saya senaraikan 10 perkara menarik (pada pandangan saya ) tentang PRK kali ini setakat hari ini (18 Nov 2014).

  1. Kemenangan sekian lama GMUKM tanpa bertanding di Fakulti Pengajian Islam adalah satu rekod. FPI kekal sebagai kubu kuat GMUKM. Walaupun khabarnya ada cubaan 2 calon bebas ingin bertanding, di saat akhir menarik diri kerana tidak yakin dengan sokongan pengundi FPI. Saya yakin GMUKM akan selesa dengan apa yang berlaku di FPI. saya rasa cukup sukar untuk ASPIRASI menembusi kubu kuat GMUKM ini. Soalnya, jika keadaan ini berterusan apakah demokrasi yang ingin diraikan oleh mahasiswa akan benar benar telus dan bebas boleh wujud di FPI? Atau demokrasi sebenarnya telah mati di FPI sejak sudah tiada lagi pertandingan di kerusi FPI? 
  2. Fakulti Pendidikan yang dulunya kubu kuat GMUKM semakin kurang kukuh. Walaupun masih dianggap 'simpanan tetap' GMUKM, memenangi kerusi FPend bukanlah semudah dulu lagi. 
  3. ASPIRASI mula mengukuhkan pengaruhnya di KKL. Semakin ramai pelajar di KKL yang serasi dengan angin perubahan yang di bawakan oleh ASPIRASI. Ini tidak berlaku dulu di KKL.
  4. Ada MPP ASPIRASI sesi lepas yang bertanding semula. Ini memberikan kekuatan tambahan kepada team ASPIRASI yang mengabungkan tenaga baru dan tenaga yang berpengalaman. Dengan prestasi cemerlang MPP Aspirasi ini pada sesi yang lalu, laluan untuk mereka mengulangi kemenagan pada kali ini nampaknya lebih mudah.
  5. Aspirasi tahun ini membawa slogan CALON PERUBAHAN, satu slogan yang menarik, tetapi perlu dirungkaikan secara detail apakah agenda perubahan yang ingin dibawa? sekurang kurangnya apakah perubahan yang paling besar akan berlaku jika ASPIRASI menang nanti?
  6. Selepas tiga tahun agak hambar, ASPIRASI tahun ini nampaknya begitu bersedia. Tetapi mereka terpaksa bekerja kuat untuk menghadapi pasukan GMUKM yang pasti bersungguh sungguh untuk mempertahankan kuasa mereka. Sebaliknya, GMUKM tahun ini yang bermula dengan 'perselisihan dalaman' nampaknya masih tidak pulih sepenuhnya. Kemeriahan GMUKM pada hari penamaan calon agak suram berbanding sesi lepas. Ternyata pemimpin GMUKM sesi ini (maaf saya belum ingat nama penuhnya) nyata tidak selantang pemimpin GMUKM yang lalu sdr Abdullah Sani.
  7. Budaya 'rasuah rasuah' telah bermula di dalam PRK UKM. Pengedaran barangan seperti pen ungu, air mineral berlogo sebagai hadiah dan jamuan kecil adalah titik mula kepada penularan budaya kotor ini.
  8. Calon Umum GMUKM seperti dimonopoli sepenuhnya oleh pelajar FPI, 8 dari 11 adalah dari FPI. Peratus yang sedikit sahaja yang diberikan pada pelajar fakulti lain. Ini sesuatu yang agak janggal. Kerana UKM punya 12 fakulti semuanya. Mungkin pelajar FPI yang dicalonkan adalah proksi atau GMUKM memang tidak ada pilihan/kekuatan di fakulti fakulti yang lain,apa pun biarlah pengundi yang tentukan pada 20 November ini.
  9. Semakin jelas kekuatan GMUKM datanganya dari jentera siswi. Sejak hari penamaan lagi kelihatan pelajar siswi yang lebih mendominasi GMUKM. Begitu juga kempen dan konvoi yang ramainya siswi. Tak begitu ramai pelajar siswa yang ikut serta. Ini agak berbeza berbanding dulu. Mungkin kerana FPI (kubu kuat GMUKM) sekarang lebih ramai pelajar wanita? Atau semakin kurang kekuatan lelaki di dalam GMUKM, hanya pimpinan mereka yang boleh tentukan.
  10. Seperti amalan tahun tahun yang lalu, provokasi seperti slogan kezaliman dan ketidakadilan pentadbiran UKM mula digunakan oleh GMUKM untuk menutup kelemahan sendiri. Menarik seperti apa yang berlaku di beberapa kolej dua hari lepas, bila peraturan universiti mensyaratkan supaya mana mana calon yang ingin membentangkan manifesto di kolej perlu memohon kebenaran. Mengapa perlu memohon? Ada sebabnya. Semua tahu, ada dua pasukan yang ingin segera membentangkan manifesto mereka. satu Aspirasi dan satu GMUKM. Ada lebih 60 calon yang bersemangat mahu membentangkan manifesto mereka di kolej. Bayangkan jika semuanya datang serentak ke kolej? Bayangkan dalam kehangatan kempen PRK ada yang berniat jahat menimbulkan provokasi sehingga membawa kepada konflik yang tidak terkawal di kolej? Maka itu, peraturan memohon kebenaran dari pihak kepengetuaan ini diwujudkan. Dengan adanya sisitem permohonan ini, pihak kepengetuaan boleh menyusun secara adil mengikut giliran untuk semua calon berpeluang membentangkan manisfesto masing masing. Calon hanya ada tiga hari untuk berkempen, jika tidak disusun secara kemas, pasti akan berlaku ketidakaturan dalam soal pembentangan manifesto ini. Malangnya, apa yang berlaku di KDO, KAB dan KPZ agak mendukacitakan. Pasukan GMUKM secara sengaja telah engkar peraturan ini dan sengaja melakukan provokasi dengan melibatkan pihak pengurusan kolej. Mereka juga menuduh pengurusan kolej telah melakukan ketidakadilan dan kezaliman pada mereka. Sedangkan pihak pengurusan kolej telah memaklumkan dengan bukti bukti bahawa telah berlakukannya keengkaran di sebelah GMUKM dalam menghormati peraturan universiti. 
Pilihan di tangan para pengundi... mengundilah dengan bijaksana..demi kebaikan dan peribahan kualiti kehidupan kampus anda yang lebih baik.


05 November, 2014

GRADUAN DAN KERJAYA...

Sepanjang minggu ini (1-4 November 2014), berlangsung Majlis Konvokesyen berlangsung di UKM. Majlis yang meraikan pengijazahan untuk para pelajarnya.

Paling ramai adalah graduan dari kumpulan sarjanamuda pelbagai fakulti. Tahniah untuk mereka semua. Juga tahniah untuk ibubapa dan para pensyarah yang mendidik mereka sejak tiga atau empat tahun yang lalu. Kelihatannya mereka semua gembira dan berbahagia dengan pencapaian ini.

Sebagai ahli akademik, saya juga sempat bersama ramai bekas pelajar saya. Sebagai pengetua kolej pula, apatah lagi. 'Anak anak' saya di Kolej Ibu Zain UKM dari pelbagai fakulti dalam pelbagai bidang pengajian telah saya kenali sejak tiga dan empat tahun yang lalu.

Saya lihat mereka juga gembira, tersenyum dan ketawa bangga atas pencapaian mereka..dan hanya terdiam, tersentak dan sedikit gugup bila saya tanya " sudah kerja atau belum?"

Ini adalah soalan yang sebenarnya dibenci oleh ramai graduan. Terus terang, soalan ini 'sangat dibenci' oleh graduan Melayu, dan khususnya graduan wanita Melayu. Rata rata yang saya tanyakan soalan ini akan menjawab "belum lagi bekerja" dan "tak tahu bila akan dapat kerja".

Ada yang berkata walaupun sudah beberapa kali ditemuduga tetapi masih gagal. Ada juga yang kata akan sambung peringkat sarjana (sebab tak dapat kerja). Ada yang kata akan tinggal di rumah kawan kawan (sekitar Bangi) untuk terus mencari pekerjaan.

Soalan ini sepatutnya saya tanya awal dulu, sewaktu di tahun satu pengajian mereka. Sepatutnya soalan saya berbunyi, "Selepas graduan nanti, di mana anda nak bekerja?" Dengan syarikat apa?, atau dalam bidang kerjaya yang bagaimana? Betul, Saya seharusnya bertanya lebih awal lagi dan bukannya di hari para graduan sedang bergembira dan berbangga menerima ijazah mereka.

Kajian graduan UKM menunjukkan hanya 58% sahaja graduan UKM yang bekerja pada sesi yang lalu (2012-2013). Jumlah ini jauh lebih rendah dari purata kebangsaan (71%). Ini diukur selepas enam bulan graduan. bayangkan jika diukur dari tarikh tamat pengajian atau di hari keputusan akhir dikeluarkan? Berapa agaknya yang telah bekerja? Tentulah peratusnya jauh lebih rendah.

Ini juga mengambil kira graduan perubatan, kesihatan dan beberapa bidang pengajian yang kritikal (terus bekerja selepas graduan). Jika jumlah bidang kerjaya kritikal ini dikeluarkan dan hanya bidang bukan kritikal diambil, tentulah peratus graduan yang berjaya bekerja selepas enam bulan bergraduan akan jauh lebih rendah lagi.

Bagaimana isu ini dapat diselesaikan? atau sekurang kurang dikurangkan? agar bakal graduan yang akan berkonvo dapat dibantu.

Ada DUA perkara besar yang harus diletakkan sebagai keutamaan para bakal graduan selain telah memperolehi keputusan akademik yang cemerlang (maksud saya 3.50  ke atas).

Pertama, tidak dapat tidak setiap graduan mestilah tahu bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris. Jangan kata buat masa sekarang tak perlu, sebab menguasai bahasa bukan kerja semalaman. anda perlu latihan sehingga pertuturan di hujung lidah anda, bukan menghafal atau 'membaca skrip'. Ini kerja yang memakan setahun dua, malah dalam kebanyakan keadaan, anda perlukan empat lima tahun.

Kedua, sejak tahun satu lagi anda sudah ada sasaran syarikat dan majikan mana yang ingin anda mulakan kerjaya. Anda perlu ada angan angan, impian dan keinginan untuk tujuan ini. Oleh itu, maka mulakan hubungan kerjasama, jaringan dan mengenali majikan anda ini. Inilah pentingnya aktiviti ko-kurikulum, projek kolej dan program universiti.

Setiap kali menganjurkan projek, libatkan bakal majikan anda sebagai penaja, perasmi, juri, atau paling tidak jemputan VIP. Kenali dan sering berinteraksi dengan mereka. Inilah rahsia kejayaan kebanyakan pelajar yang ditawarkan bekerja walaupun belum sempat mereka berkonvokesyen.

Malang sekali jika di hari anda di panggil temuduga itu kali pertama anda lihat wajah bakal majikan yang akan menemuduga anda. Amat malang sekali.

Bayangkan anda sudah kenali beliau, dan lebih penting beliau juga telah mengenali anda. Bukan setakat tahu nama anda tetapi juga tahu cara anda bekerja, semangat dan sifat kerjaya anda.

Bayangkan betapa mudahnya sesi temuduga tersebut pada anda.!!! dan anda pun  akan mula bekerja dengan majikan dan syarikat yang anda cita citakan.... Bukan kah itu yang terbaik untuk kerjaya dan masa depan anda?

18 September, 2014

UKM DAN MAHASISWA

UKM ditubuhkan pada 18 Mei 1970. Usaha awal ini dimulakan sejak tahun 1903 lagi. Pemimpin UMNO sejak 1946 telah mula berusaha sedaya upaya menjayakan penubuhan sebuah universiti yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Usaha ini mendapat dukungan rakyat Melayu tak kira miskin dan kaya. Akhirnya kampus induk UKM terbina megah di bumi Bangi. Kekal sehingga hari ini.
Kini, UKM telah berjaya menempatkan dirinya di kedudukan 259 universiti terbaik di dunia dan tempat ke 56 terbaik di Asia. Betul kita masih jauh dari menjadi yang terbaik, tetapi dengan usia UKM yang baru 44 tahun, perjalanan UKM pasti lebih cemerlang di masa hadapan.
Ini semua bermula dengan usaha bersungguh sungguh pemimpin UMNO terdahulu. Jangan kita nafikan hal ini. Sekalipun anda bukan penyokong UMNO. Ini sejarah yang telah dicatatkan. Pemimpin UMNO ketika itu berjuang untuk menjayakan UKM ini. Tun Syed Nasir, Tun Mahathir, Zainal Abidin Wahid, Tun Ghazali Shafie dan ramai lagi pimpinan UMNO yang mengerakkan usaha ini. sehingga berjaya. pastinya bukan untuk kesenagan mereka, tetapi demi memastikan bahasa melayu kekal subur menjadi bahasa ilmu.
Hari ini, UKM sudah maju dan hebat. Anak anak muda yang bergelar mahasiswa sudah sampai ke angka 25 ribu orang di kampus ini. UKM sendiri sudah menghasilkan 160,000 graduan sejak 44 tahun yang lalu. Hari ini anak anak muda di UKM mungkin hanya kenal sejarah UKM melalui buku, internet dan keratan akhbar. Mereka yang menjayakan penubuhan UKM dulu juga sudah ramai yang pergi meninggalkan kita. Yang ada juga kebanyakkan sudah meningkat usia mereka.
Hari ini, anak anak muda UKM selalu bercakap soal perjuangan. Baguslah. Semoga mereka juga faham dan tahu menghargai perjuangan pimpinan UMNO yang telah pergi. Semoga anak muda di UKM tahu dan ingin meneruskan perjuangan pemimpin UMNO dahulu memartabatkan UKM demi kemajuan bahasa Melayu dan jatidiri kebangsaan.
Jangan hendaknya anak muda UKM hanya tahu bersorak inginkan apa yang mereka mahu sehingga mereka tidak lagi mengenal perjuangan orang yang terdahulu. Jangan kerana mereka inginkan rasa bebas, mereka lupa tanah UKM yang mereka pijak ini juga menuntut anak anak muda ini 'membayar kembali' budi pejuang terdahulu.
Balaslah jasa mereka yang terdahulu dengan kecemerlangan akademik dan penguasaan ilmu yang tinggi. Balaslah jasa pemimpin- pemimpin UMNO terdahulu dengan bangun mempertahankan bahasa melayu dan budaya Melayu. Balaslah budi baik pemimpin Melayu terdahulu dengan menjadikan Islam sebagai pegangan hidup mahasiswa di UKM.
Balaslah budi baik rakyat yang membina UKM dengan kembali berkhidmat dalam masyarakat. Bantu dan bimbinglah masyarakat terpinggir, yang tertinggal dan yang kurang bernasib baik.
Anjurkan apa juga acara untuk menyuarakan kerisauan dan kebimbangan rasahati mahasiswa tentang kebejatan sosial dan amalan yang tidak betul. Tegurlah pemimpin yang melakukan kesilapan dengan hikmah dan musyawarah. Anggaplah pemimpin negara sebagai rakan untuk membantu masyarakat.
Percayalah, mahasiswa punyai idealisme yang murni. Kemurnian idealisme ini jangan dibiarkan begitu sahaja. Idealisme yang murni perlu disemarakkan dengan tindakan yang murni juga Berrbincang dengan hemah dan berbudi bahasa. Berbincang dengan akal yang bijak dan hikmah. dan berbincanglah dengan sabar dan tenang.
Semoga mahasiswa UKM benar benar menjadi "The Guardian of The Nation"

20 August, 2014

BILA SISTEM PENDIDIKAN TIDAK LAGI MENDIDIK HIDUP BERTAMADUN...

1) Anak saya mengadu sudah beberapa kali kelas Siviks dan kewarganegaraan guru tidak masuk mengajar. Saya hanya senyum dan katakan "Cikgu sibuk mungkin? Kebetulan guru yang mengajar ialah guru penyelia petang.

2)Saya sudah lama perhatikan, memang menjadi amalan di sekolah negara ini, matapelajaran Siviks dan Kewarganegaraan akan diajar oleh samada pengetua, penolong kanan atau penyelia petang. Jarang jarang guru biasa yang mengajar mata pelajaran ini.

3) Ada beberapa sebab. Yang pertama, guru tidak cukup untuk mengajar matapelajaran ini. Kedua, guru yang major dalam matapelajaran siviks dan kewarganegaraan memang tidak ada di negara ini.  Yang ada ialah guru 'bidan terjun' sahaja.

4) Ketiga, yang paling utama ialah sikap dan persepsi di kalangan ahli politik yang memikirkan dasar pendidikan, ahli akademik, pegawai KPM, hinggalah pegawai JPN, PPD, pengetua, guru di sekolah dan ibubapa sendiri yang menganggap matapelajaran siviks dan kewarganegara sebagai tidak penting, tidak berfaedah dan tidak perlu pada pelajar.

5) Betul, memang ada dokumen kurikulum mata pelajaran ini, memang ada buku teks dan segala macam dokumen seolah olah memaklumkan matapelajaran ini kelihatan penting, tetapi biarlah kita semua jujur. jawablah samada Betul atau tidak kita semua menganggap matapelajaran siviks dan kewarganegaraan ini tidaklah sepenting  Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains? Maaf jika bahasa saya yang agak berterus terang, tetapi kita kena jawab secara jujur betul atau tidak?

6) Jika matapelajaran ini penting, mengapa matapelajaran ini diajarkan oleh pengetua yang sangat sibuk dengan pentadbiran sekolah, mesyuarat PPD, JPN dan KPM. Mengapa matapelajaran ini tidak ada status yang tinggi sebagai pengiktirafan kita pada BI, Matematik, Sains, BM atau sejarah?

7) Pendidikan Siviks dan kewarganegaraan ini sangat penting. Di dalamnya terbina ilmu pendidikan sahsiah, celik demokrasi, menghormati pemimpin yang sah, celik pengguna, celik undang undang, belajar cara hidup bermasyarakat yang harmoni, membina perpaduan apatah lagi negara multi etnik seperti malaysia, belajar toleransi, menikmati dan bersyukur dengan keamaman dan muhibbah dan belajar saling menghormati agama, budaya dan cara hidup rakan rakan sesama warganegara Malaysia.

8) Hari ini kita melihat ada orang yang kurang ajar dan biadap membakar bendera Malaysia hanya kerana tidak bersetuju dengan parti yang menjadi kerajaan. Mereka sudah tidak mampu membezakan antara bendera Malaysia yang lambang kenegaraan dengan dengan hal politik. Hari ini kita lihat  ramai 'orang gila' membuang sampah ikut tingkap kenderaan, kita lihat  semakin 'haiwan bernama manusia' mendera anak kecil, isteri, ibubapa sendiri. Kita mengeluh dan bersedih sedangkan puncanya kerana generasi kita sudah hilang adap dan moral kemanusiaan.

9) Kita juga sudah lihat orang 'kurang akal yang berani mati' melintas jalan yang sibuk tanpa menghormati undang undang jalanraya, orang yang memandu laju sehingga membunuh orang lain. Kita keluh dan marah tetapi kita juga salah kerana tidak mendidik apa maknanya moral dan sahsiah yang baik pada anak anak kita.

10) Di Jepun misalnya, semua anak kecil diajarkan nilai siviks dan kewarganegaraan. Anak anak mereka diajarkan makna bantu membantu di sekolah. mencuci meja makan bersama, mengaturkan kasut rakan, menyusun buku rakan rakan sekelas dan sebagainya. Adap dan moral dahulu yang diajarkan dulu di Jepun untuk bangunkan  pembangunan diri, baru belajar kemahiran matematik sains atau apa juga ilmu pembangunan material.

11) Sistem pendidikan kita sebenarnya betul tetapi sedikit demi sedikit semakin sudah tersasar. Kita semakin tersilap dalam merangka kurikulum dan dasar pendidikan untuk masa depan.

12) Dulu sebab kita dunia negara ketiga, kita ingin segera keluar dari kelompok itu, jadi kita tumpukan kepada ilmu pembangunan material negara. Kita mahu anak kita jadi jurutera, doktor, peguam, arkitek dan berbagai lagi. Kita (pembuat dasar terdahulu) telah pinggirkan ilmu berkaitan agama, moral, sivik dan kewarganegaraan) berbanding matapelajaran yang di anggap sangat penting.

13) Hari ini alhamdullilah, kita sudah lebih baik dari sudut pembangunan material negara. Tetapi data jenayah, data pelanggaran peraturan, data gejala moral dan jauhnya anak anak kita dari agama sudah tidak boleh kita abaikan sahaja. betulkanlah keadaan ini. Bukan saya atau anda tetapi pihak kementerian Pendidikan harus ambil tindakan membaiki keadaan ini.

14) Pendidikan seharus membina tamadun, moral dan kesejahteraan untuk manusia. maju dalam teknologi, bangunan yang tinggi adalah sebahagian daripadanya. Kita juga perlu kemajuan moral, sahsiah, budaya baik dan amalan beragama.

15) Apakah kita sedang tersasar dari membina sistem pendidikan yang membina masyarakat yang bertamadun, besar jiwa dan jatidirinya? Ya, pada saya, kita semakin tersasar ....

20 April, 2014

KUASA POLITIK MELAYU: DULU DAN SEKARANG...

Di dalam kesibukan menyediakan kertas kajian akademik, saya sempat meneliti data berkaitan kuasa politik Melayu sejak merdeka. Saya permudahkan di sini untuk perkongsian bersama. 
Di Malaysia sejak dulu, parti yang benar benar BERJAYA mewakili orang Melayu hanya ada dua iaitu UMNO dan PAS. Parti lain walaupun ada pimpinan dari kalangan orang Melayu, biasanya secara dasar, parti tersebut tidak bersedia menjadikan teras perjuangan parti mereka untuk menjayakan perjuangan Melayu (perjuangan yang berteraskan Islam, Raja dan Budaya Melayu).

Sebab itu secara psikologinya, orang Melayu walaupun terkejut bila ahli politik PAS masuk UMNO atau sebaliknya, kejutan itu hanya bersifat sementara sahaja. Selepas beberapa ketika, mereka boleh menerima tindakan itu. Tanpa sedar, orang melayu seluruhnya menerima bahawa PAS dan UMNO adalah jiwa orang Melayu.

PAS dan UMNO walaupun seperti berbeza, jauh di dalam intipati perjuangan mereka sama sahaja. PAS menggunakan politik Islam untuk mendaulatkan Islam dalam jiwa Melayu, manakala UMNO pula menggunakan tuntutan ekonomi yang dianjurkan oleh Islam untuk menjayakan kehidupan orang Melayu yang beragama Islam. Akhirnya kedua dua parti ini membawa tujuan yang sama untuk menjadikan Melayu beragama Islam maju di dunia dan di akhirat.

Kisahnya, selepas Persekutuan Tanah Melayu merdeka (1957), sebuah pilihanraya umum pertama pasca merdeka di Tanah Melayu telah diadakan pada tahun 1959. Sebanyak 104 kerusi parlimen telah dipertandingkan. Parti Perikatan menang. Orang Melayu, Cina dan India dalam Perikatan berjaya menguasai pentadbiran negara secara konsensus.

Pada 1959, UMNO memenangi 52 kerusi daripada kerusi parlimen yang dipertandingkan. PAS (nama lama PIMP) pula memenangi 13 kerusi. Manakala parti lain walaupun ada ramai pimpinan Melayu tetapi tidak berjuang berteraskan Melayu-Islam ada yang menang tetapi tidak siknifikan. Misalnya Parti Negara hanya 1 kerusi.

Jika digabung kerusi parlimen 1959 (baca kuasa politik Melayu) yang dimenangi oleh UMNO dan PAS, jumlahnya ialah 65 kerusi dari 104 atau 62.5%. Manakala MCA (19 kerusi), MIC (3 kerusi), PPP (4 kerusi), Parti Malaya (1 kerusi), Barisan Sosialis (8 kerusi), bermakna bukan Melayu menguasai 35 kerusi atau hampir 33.7% kuasa politik negara ketika itu. Selebihnya dimenangi calon bebas. Itulah senario piliharaya Persekutuan Tanah Melayu 1959 yang pertama selepas merdeka dulu.

Menariknya pada 2013, apabila pilihanraya umum ke 13 berlangsung dengan 222 kerusi parlimen dipertandingkan, UMNO telah memenangi 88 kerusi (39.64%) dan PAS menguasai 21 kerusi (9.46%). Jika digabungkan dua kuasa dua parti utama politik Melayu ini, kerusi parlimen yang mewakili perjuangan orang Melayu hanyalah 49.10% sahaja. Telah merosot hampir 13% berbanding 1959!

Di dalam kesibukan UMNO dan PAS bertelagah sesama sendiri merebut kuasa politik Melayu di negara ini, sebenarnya kuasa politik Melayu yang mereka wakili bersama telah merosot dari 62.50% (tahun 1959) kepada 49.10% pada tahun 2013. Apakah kuasa Melayu akan terus merosot 10-20 tahun akan datang? Saya pasti ia akan berlaku jika pemimpin politik Melayu ingin terus 'menang sorak' di bumi sendiri...Begitulah kisahnya orang Melayu Malaysia...

Sumber: (a) Hng Hung Yong " Five Men & Five Ideas, (b) Wikipedia, (c)Milner 'The Malays', Crouch H. "Goverment and Society in Malaysia"

06 April, 2014

Pilihanraya Kampus UKM Dan Pencapaian Manisfesto Kebajikan Pelajar: Siapa yang Untung dan Siapa Pula yang Rugi?

Kurang 60 hari dari sekarang, sesi pengajian 2013-2014 di UKM  akan ditutup. Pada September depan kita akan masuk ke sesi pengajian yang baru. Jika 60 hari ini ditolak minggu minggu peperiksaan, cuti dan sebagainya, tinggal sekitar 30 hari sahaja lagi minggu minggu perkuliahan dan aktiviti pelajar yang tinggal.

Sebagai pelajar UKM yang mengundi pemimpin anda, tentunya ini masa yang paling sesuai untuk meneliti, menilai dan mengkaji sejauh mana pimpinan pelajar yang anda pilih telah menunaikan tanggungjawab mereka. Apa pencapaian telah berlaku sebagaimana janji mereka di dalam manifesto, iaitu janji yang telah mempengaruhi keputusan anda untuk mengundi mereka.

Apa pencapaian dan kejayaan yang pimpinan pelajar telah capai samada di dalam kampus UKM lebih lebih di luar kampus. Apakah kegemilangan nama pelajar UKM telah mereka laungkan di arena kebangsaan dan antarabangsa. Apakah ada aktiviti pimpinan pelajar ini yang mengharumkan nama UKM dan menunjukkan kehebatan dan kekuatan pelajar UKM.

Sebagai pemimpin pelajar UKM, apakah perancangan yang mereka telah bentangkan kepada para pelajar dilaksanakan? Atau anda sendiri tidak tahu adanya perancangan perancangan ini? Sebagai pemimpin pelajar UKM apakah usaha kebajikan yang benar benar telah mereka berikan kepada anda? Tanyalah mereka...kerana itu hak anda.

Bandingkan dengan usaha kumpulan yang lain di UKM. Misalnya Majlis Eksekutif Pelajar di kolej kolej kediaman dan juga persatuan persatuan di fakulti dan di PUSANIKA. Apakah pimpinan yang menang melalui pilhanraya ini jauh lebih berjaya atau masih gagal berbanding kumpulan kumpulan ini.

Apakah dengan undi yang anda berikan menjadikan kualiti hidup anda sebagai mahasiswa UKM telah lebih baik? Atau apakah anda sebenarnya telah terpesona dan tertawan hanya dengan janji janji manis calon PRK yang tidak membawa ke mana? Tanyalah mereka yang menjadi pemimpin anda...

Inilah maknanya seni politik. Antara janji dan undi. Sehingga tibanya pemilihan kampus (PRK UKM) akan datang, berikan sedikit masa untuk anda fikirkan perkara ini...selepas anda mengundi calon pilihan anda, mereka yang menang terlantik sebagai MPP (dikecualikan membayar yuran penginapan kolej) siapa yang untung dan siapa pula yang rugi hasil dari undi anda?

Semoga kepemimpinan mahasiswa UKM akan jadi lebih hebat, demi membawa nama besar UKM sebagai sebuah universiti yang bergelar "Guardian of The Nation"....