(1) Sebagai satu pengetahuan, bila saya semak sebenarnya semakin banyak Fakulti Pendidikan dan Pusat Latihan guru di negara ini sudah tidak lagi mengajarkan kursus falsafah pendidikan. Ada dua sebab mengapa keadaan ini berlaku. Pertama, pemikir pendidikan yang lepas (1970an) telah membuat pemisahan antara falsafah ilmu pendidikan barat dan falsafah pendidikan Islam. Akhirnya sekitar 1982, aliran pendidikan Islam telah menang dan semua prinsip pendidikan dihalakan kepada pembentukan falsafah pendidikan yang diasaskan pada falsafah pendidikan Islam. maka kita perkenalkan KBSR dan KBSM.
(2) Yang paling jelas, para pemikir ini telah membina falsafah pendidikan negara yang bersepadu dengan pemikiran dan falsafah Islam. Ini langkah yang baik, selari dengan konsep yang digagaskan dalam perlembagaan dan Rukunegara. Malangnya hanya di atas kertas dokumen rasmi sahaja. Dalam perlaksanaan di sekolah, semua kesepaduan ini telah dipinggirkan. Saya tidak pernah mendengar guru sains atau matematik yang bersungguh sungguh menyepadukan fenomena sains dalam kerangka falsafah Islam sepenuhnya, kecuali diselitkan di sana sini dalam pengajaran bila diperlukan (ditempelkan).
(3) Sebab kedua mengapa ilmu falsafah pendidikan tidak diajarkan ialah bila pengubal kurikulum pendidikan ketika itu telah mempunyai andaian ilmu faslafah pendidikan adalah sesuatu yang tidak kritikal untuk diajarkan pada para guru pelatih. Mereka (pengubal kurikulum) ketika itu 'dihambat pesona' dengan 'kemasukan' ilmu ilmu baru pendidikan dalam latihan guru. Ilmu ICT, pedagogi terkini serta program 'top down' (RIMUP,KBKK etc) telah mengambil tempat dalam senarai kursus latihan guru termasuk di fakulti pendidikan sehingga ilmu ilmu asas pendidikan khususnya ilmu falsafah pendidikan dipinggirkan.
(4) Apa kesannya bila guru yang dilatih tidak mempunyai ilmu falsafah pendidikan? Yang paling ketara mereka menjadi guru 'setengah masak'. Guru yang tidak ada asas dalam pembentukan pemikiran 'apa itu pendidikan (proses dan matlamat)?". Tanpa ilmu falsafah pendidikan mereka kemudian menjadi guru-guru 'robot' yang tidak perlu berfikir dan merasai apa itu pendidikan? Mereka menjadi guru yang wujud pada jasad tetapi kurang pada rohnya. Guru yang mahir membuat rancangan pengajaran tetapi terlupa potensi pelajar. Guru yang cekap dengan komputer dan LCD tetapi terlupa tentang interaksi, motivasi serta sokongan tanpa syarat pada pelajar. (Bukan semua tetapi kebanyakanya begitulah)
(5) Cuba tanya diri anda sendiri, jika anda seorang guru, apakah yang menyebabkan anda sayang dan cinta pada kerjaya anda sebagai guru? Betul atau tidak, kasih sayang itu sebenarnya datang apabila anda sendiri yang mula berfikir tentang "mengapa saya ingin menjadi guru?, bermula bila anda berfikir "apa pentingnya pendidikan untuk anak anak didik saya", bila anda mula bertanya pada diri sendiri "tentang masa depan, potensi, peluang dan perkembangan anak anak yang anda ajar setiap hari? Ini semua adalah ruanga falsafah pendidikan, tetapi kerana anda tidak dilatih dalam latihan guru, pemikiran falsafah pendidikan anda menjadi umum dan tidak terbentuk dalam kerangka falsafah pendidikan yang sebenar.
(6) Kerana tidak diajarkan tentang falsafah pendidikan, anda tidak tahu apa maknanya idealisme, pragmatisme, rekontstruknisme, strukturalisme, fungsionalisme dan sebagainya yang mendasari pemikiran falsafah pendidikan. Anda tidak sedar sebenarnya apa yang sedang anda fikirkan telah difikirkan oleh pemikir falsafah pendidikan ratusan tahun lalu di tempat lain. Sudah wujud berbagai aliran pemikiran yang jika dipelajari semasa kursus latihan guru akan menjelaskan semua pertanyaan 'falsafah' anda tadi. Anda pasti akan lebih tenteram bila tahu jawapan kepada persoalan ini, sebelum melangkah dalam kerjaya anda sebagai guru.
(7) Apa akibatnya bila tidak berpeluang belajar falsafah pendidikan? Yang pertama tamanya, anda sendirimula tidak selesa bila terlalu banyak perubahan berlaku dalam sistem pendidikan. Anda anggap perubahan sesuatu yang menyusahkan. Anda juga mungkin tidak selesa bila mendapat pelajar yang kurang prestasi akademik mereka, malah anda juga mungkin tidak gembira mendapat pelajar yang nakal. Isyarat ketidakselesaan ini disebabkan anda tidak ada pengetahuan dan maklumat falsafah pendidikan, yang jika ada, pasti akan membentuk kepercayaan anda "apakah itu pendidikan?.
(8) Sebab itu hari ini, bila guru pukul pelajar secara zalim, kita jadi hairan. Bila ada guru ambil mudah masalah pembelajaran pelajar kita jadi marah. Bila ada pengurusan sekolah yang membeza bezakan pelajar kita jadi bimbang dan kecewa. Mereka ini sebenarnya tidak ada lagi kepercayaan pada konsep pendidikan yang murni. Yang dimulakan kemurnian itu sebenarnya dari dalam ilmu falsafah pendidikan.
(10) Jika ingin dibangunkan kecemerlangan guru di negara ini, pada saya yang pertamanya ilmu falsafah pendidikan ini mestilah dikembangkan semula di fakulti, IPG dan semua pusat latihan pendidikan. Pada saya, tanpa ilmu falsafah pendidikan yang menjadi asas pemikiran pendidikan, sukar guru guru kita membina kerjaya pendidikan yang mempunyai roh dan kekal sentiasa insan sifatnya.... Anda boleh saja berbeza pandangan dengan saya.....apa salahnya..