Sebagai pelajar UKM yang mengundi pemimpin anda, tentunya ini masa yang paling sesuai untuk meneliti, menilai dan mengkaji sejauh mana pimpinan pelajar yang anda pilih telah menunaikan tanggungjawab mereka. Apa pencapaian telah berlaku sebagaimana janji mereka di dalam manifesto, iaitu janji yang telah mempengaruhi keputusan anda untuk mengundi mereka.
Apa pencapaian dan kejayaan yang pimpinan pelajar telah capai samada di dalam kampus UKM lebih lebih di luar kampus. Apakah kegemilangan nama pelajar UKM telah mereka laungkan di arena kebangsaan dan antarabangsa. Apakah ada aktiviti pimpinan pelajar ini yang mengharumkan nama UKM dan menunjukkan kehebatan dan kekuatan pelajar UKM.
Sebagai pemimpin pelajar UKM, apakah perancangan yang mereka telah bentangkan kepada para pelajar dilaksanakan? Atau anda sendiri tidak tahu adanya perancangan perancangan ini? Sebagai pemimpin pelajar UKM apakah usaha kebajikan yang benar benar telah mereka berikan kepada anda? Tanyalah mereka...kerana itu hak anda.
Bandingkan dengan usaha kumpulan yang lain di UKM. Misalnya Majlis Eksekutif Pelajar di kolej kolej kediaman dan juga persatuan persatuan di fakulti dan di PUSANIKA. Apakah pimpinan yang menang melalui pilhanraya ini jauh lebih berjaya atau masih gagal berbanding kumpulan kumpulan ini.
Apakah dengan undi yang anda berikan menjadikan kualiti hidup anda sebagai mahasiswa UKM telah lebih baik? Atau apakah anda sebenarnya telah terpesona dan tertawan hanya dengan janji janji manis calon PRK yang tidak membawa ke mana? Tanyalah mereka yang menjadi pemimpin anda...
Inilah maknanya seni politik. Antara janji dan undi. Sehingga tibanya pemilihan kampus (PRK UKM) akan datang, berikan sedikit masa untuk anda fikirkan perkara ini...selepas anda mengundi calon pilihan anda, mereka yang menang terlantik sebagai MPP (dikecualikan membayar yuran penginapan kolej) siapa yang untung dan siapa pula yang rugi hasil dari undi anda?
Semoga kepemimpinan mahasiswa UKM akan jadi lebih hebat, demi membawa nama besar UKM sebagai sebuah universiti yang bergelar "Guardian of The Nation"....