05 November, 2014

GRADUAN DAN KERJAYA...

Sepanjang minggu ini (1-4 November 2014), berlangsung Majlis Konvokesyen berlangsung di UKM. Majlis yang meraikan pengijazahan untuk para pelajarnya.

Paling ramai adalah graduan dari kumpulan sarjanamuda pelbagai fakulti. Tahniah untuk mereka semua. Juga tahniah untuk ibubapa dan para pensyarah yang mendidik mereka sejak tiga atau empat tahun yang lalu. Kelihatannya mereka semua gembira dan berbahagia dengan pencapaian ini.

Sebagai ahli akademik, saya juga sempat bersama ramai bekas pelajar saya. Sebagai pengetua kolej pula, apatah lagi. 'Anak anak' saya di Kolej Ibu Zain UKM dari pelbagai fakulti dalam pelbagai bidang pengajian telah saya kenali sejak tiga dan empat tahun yang lalu.

Saya lihat mereka juga gembira, tersenyum dan ketawa bangga atas pencapaian mereka..dan hanya terdiam, tersentak dan sedikit gugup bila saya tanya " sudah kerja atau belum?"

Ini adalah soalan yang sebenarnya dibenci oleh ramai graduan. Terus terang, soalan ini 'sangat dibenci' oleh graduan Melayu, dan khususnya graduan wanita Melayu. Rata rata yang saya tanyakan soalan ini akan menjawab "belum lagi bekerja" dan "tak tahu bila akan dapat kerja".

Ada yang berkata walaupun sudah beberapa kali ditemuduga tetapi masih gagal. Ada juga yang kata akan sambung peringkat sarjana (sebab tak dapat kerja). Ada yang kata akan tinggal di rumah kawan kawan (sekitar Bangi) untuk terus mencari pekerjaan.

Soalan ini sepatutnya saya tanya awal dulu, sewaktu di tahun satu pengajian mereka. Sepatutnya soalan saya berbunyi, "Selepas graduan nanti, di mana anda nak bekerja?" Dengan syarikat apa?, atau dalam bidang kerjaya yang bagaimana? Betul, Saya seharusnya bertanya lebih awal lagi dan bukannya di hari para graduan sedang bergembira dan berbangga menerima ijazah mereka.

Kajian graduan UKM menunjukkan hanya 58% sahaja graduan UKM yang bekerja pada sesi yang lalu (2012-2013). Jumlah ini jauh lebih rendah dari purata kebangsaan (71%). Ini diukur selepas enam bulan graduan. bayangkan jika diukur dari tarikh tamat pengajian atau di hari keputusan akhir dikeluarkan? Berapa agaknya yang telah bekerja? Tentulah peratusnya jauh lebih rendah.

Ini juga mengambil kira graduan perubatan, kesihatan dan beberapa bidang pengajian yang kritikal (terus bekerja selepas graduan). Jika jumlah bidang kerjaya kritikal ini dikeluarkan dan hanya bidang bukan kritikal diambil, tentulah peratus graduan yang berjaya bekerja selepas enam bulan bergraduan akan jauh lebih rendah lagi.

Bagaimana isu ini dapat diselesaikan? atau sekurang kurang dikurangkan? agar bakal graduan yang akan berkonvo dapat dibantu.

Ada DUA perkara besar yang harus diletakkan sebagai keutamaan para bakal graduan selain telah memperolehi keputusan akademik yang cemerlang (maksud saya 3.50  ke atas).

Pertama, tidak dapat tidak setiap graduan mestilah tahu bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris. Jangan kata buat masa sekarang tak perlu, sebab menguasai bahasa bukan kerja semalaman. anda perlu latihan sehingga pertuturan di hujung lidah anda, bukan menghafal atau 'membaca skrip'. Ini kerja yang memakan setahun dua, malah dalam kebanyakan keadaan, anda perlukan empat lima tahun.

Kedua, sejak tahun satu lagi anda sudah ada sasaran syarikat dan majikan mana yang ingin anda mulakan kerjaya. Anda perlu ada angan angan, impian dan keinginan untuk tujuan ini. Oleh itu, maka mulakan hubungan kerjasama, jaringan dan mengenali majikan anda ini. Inilah pentingnya aktiviti ko-kurikulum, projek kolej dan program universiti.

Setiap kali menganjurkan projek, libatkan bakal majikan anda sebagai penaja, perasmi, juri, atau paling tidak jemputan VIP. Kenali dan sering berinteraksi dengan mereka. Inilah rahsia kejayaan kebanyakan pelajar yang ditawarkan bekerja walaupun belum sempat mereka berkonvokesyen.

Malang sekali jika di hari anda di panggil temuduga itu kali pertama anda lihat wajah bakal majikan yang akan menemuduga anda. Amat malang sekali.

Bayangkan anda sudah kenali beliau, dan lebih penting beliau juga telah mengenali anda. Bukan setakat tahu nama anda tetapi juga tahu cara anda bekerja, semangat dan sifat kerjaya anda.

Bayangkan betapa mudahnya sesi temuduga tersebut pada anda.!!! dan anda pun  akan mula bekerja dengan majikan dan syarikat yang anda cita citakan.... Bukan kah itu yang terbaik untuk kerjaya dan masa depan anda?