Dalam satu kajian yg pernah dijalankan oleh Prof Emeritus Dr Isahak Haron (UPSI) didapati 80% pelajar sekolah tidak memahami surah AlFatihah. Sebahagian dari mereka sekadar menghafal tanpa memahami maksud surah tersebut.
Jika surah besar seperti al Fatihah tidak dikuasai, apatah lagi surah surah lazim yang lain. Dan tentunya jauh sekali untuk mereka memahami ayat ayat al quran yang lain.
Pada saya ini bukan salah pelajar, ini adalah kesilapan besar para pengubal kurikulum pendidikan Islam di negara kita. Jika kita mahu berterus terang itulah jawapannya.
Sejak begitu lama kita di didik membaca al quran bagi tujuan mendapatkan ganjaran pahala. Pahala maksudnya akhirat. Maka kita sejak dulu diberikan ilmu membaca al quran dengan bacaan yang betul, malah dianjurkan supaya menghafal surah surah al quran. Lagi banyak di baca seharian, lagi baik, lagi banyak pahalanya, lagi banyak dihafal itu paling baik.
Saya setuju ini amalan yang mulia dan baik. Mesti diteruskan untuk mendapat ganjaran pahala dan bekalan masing masing di akhirat kelak.
Cuma ada satu lagi sisi penting tujuan ayat ayat al quran di turunkan yang sering dilupakan dalam sistem pendidikan Islam kita. Iaitu mengkaji Al quran untuk panduan hidup di dunia.
Ini jelas tidak diberikan perhatian dalam kurikulum pendidikan Islam kita. Yang diberikan brrsifat harfiah .. Apa yang boleh dan apa yang tidak. Sekadar tentang haram, harus, makruh, sunat, wajib...atas perkara perkara yang mutlak. Al Quran mesti digunakan sebagai memberikan kefahaman dalam menjalani kehidupan.
Apa maksudnya? Ayat ayat Al quran diturunkan sebagai panduan bagaimana untuk kita hidup di dunia. Untuk itu al quran mestilah di baca, difahami bacaan itu, diulas dan di kaji secara bersungguh sungguh dan seterusnya dikaitkan dengan kehidupan di dunia sebagai panduan hidup.
Menghafal sahaja akan mendapat pahala, tetapi menghafal tanpa memahami akan mengurangkan satu daripada tujuan al quran diturunkan sebagai panduan hidup.
Di Tanah Melayu, sejak dulu sekolah kebangsaan mengajarkan ilmu al quran tanpa mementingkan soal pengkajian al Quran.
Manakala pengajian al quran di sekolah pondok dibataskan pada pengajian agama. Ilmu Al Al quran tidak dikaji dan dikaitkan dengan ekonomi semasa, politik mahupuj undamg undang semasa. Itu di sekolah pondok.
Di sekolah kebangsaan pula, ilmu matetatik, ekonomi, bahasa, sains dan sebagainya tidak dikaitkan dengan Al Quran sepenuhnya.
Ketika dulu, di saat masyarakat Melayu masih homogenous, tidak banyak isu timbul. Tetapi hari ini jika Islam ingin dipastikan kukuh dalam anak anak kita, cara pendidikan berasaskan hafalan mestillah dikembangkan kepada pengkajian al quran.
Bagaimana anak kita mahu berhadapan dengan gerakan Syiah, ajaran sesat, fahaman liberalisme, pluralisme dan pelbagai perspektif baru ilmu sesat yang dibawa arus globalisasi? Bagaimana dan dengan apa semua ini mampu di tapis dan di tepis?
Tanpa ilmu pengajian Al quran, anak anao kita mungkin tidak dapat membezakan agamawan yang asli dan tiruan, ustaz betul dan ustaz tiruan. Silap langkah, kita mungkin menempuh kesesatan dalam beragama.
Sekadar menghafal al quran ( walaupun sangat baik), mampukah anak anak ini berhadapan dengak semua ideologi baru ini? Saya yakin sukar sekali untuk mereka.
Sebab itu pengajian al quran sebagai panduan hidup mestilah di mulakan sekarang. Bukan setelah semuanya terlambat.