14 January, 2015

PPSMI?

Saya hormati pejuang bahasa Melayu. Tetapi dalam keadaan sekarang, saya memilih untuk lebih utamakan masa depan bangsa Melayu. 
Dalam persekitaran dunia hari ini,menguasai bahasa Inggeris akan menjadi asas kepada survival ekonomi bangsa Melayu. Tanpa kuasa ekonomi, sedikit demi sedikit kuasa politik Melayu juga akan merosot. 
Sejak merdeka, teori ini terpakai. Lebih 57 tahun merdeka, semakin bangsa Melayu lemah kuasa ekonomi, semakin lemah kuasa politik mereka. 
Untuk kembali kukuh dalam politik, selain penyatuan Melayu, bangsa Melayu juga kena kukuhkan kuasa ekonomi mereka, dan jalannya ialah dengan seluruh anak anak orang Melayu kena kuasai bahasa ekonomi iaitu bahasa Inggeris. 
Hari ini puluhan ribu graduan Melayu tidak bekerja, menurut kajian salah satu sebabnya hanya kerana mereka tidak kuasai bahasa Inggeris. Ribuan peniaga Melayu tidak boleh kembangkan perniagaan kecil mereka lebih besar di luar negara atau luar kepompong pengguna Melayu, juga kerana mereka tidak mampu kuasai bahasa Inggeris. Ini fenomena hari ini. Anda boleh terus berdebat tentang betulkah akan hal ini. Tetapi saya sudah menyakini seriusnya fenomena ini.
Timbul soalan, bagaimana bangsa Jepun boleh berjaya tanpa bahasa Inggeris? Bagaimana bangsa Korea boleh berjaya tanpa bahasa Inggeris? 
Jawabnya, sebab kuasa politik orang Jepun dan orang Korea kuat. Mereka mampu pastikan hanya bahasa Jepun dan bahasa Korea sahaja digunakan di negara mereka. Pada mereka, Bahasa Inggeris adalah bahasa asing dan bukan bahasa utama mahupun bahasa kedua. Sesiapa juga di Jepun kena kuasai bahasa Jepun. Di Perancis dan German juga begitu. 
Itupun sekarang pemimpin mereka sudah buka pintu untuk anak anak bangsa mereka kuasai bahasa Inggeris. Di China, trend ini malah lebih hebat.
Kita sebuah negara majmuk di mana kuasa orang Melayu tidak kuat. Ini fakta. jangan percaya setakat slogan dan laungan sahaja. Bunyi mungkin kuat tetapi faktanya? Walaupun disebut dalam Perlembagaan tentang kedudukan bahasa Melayu, kita ada Akta bahasa 1967, ada pula UKM sebagai universiti pendaulat bahasa Melayu, pemimpin politik Melayu harus bertolak ansur dengan pemimpin bukan Melayu dan juga kuasa asing yang kuasai ekonomi negara sejak merdeka. 
Pemimpin bangsa Melayu tidak boleh buat apa apa kerana kuasa ekonomi negara ini bukan milik Melayu. Bahasa Melayu sudah menjadi satu 'trade off' atau bahasa lembutnya satu tolak ansur yang telah dijalankan sejak merdeka. 
Kalua nak bandingkan, ambil negara majmuk yang pribumi hanya 50% sahaja sebagai bandingan. Itu baru adil. Jadi janganlah gunakan Jepun atau Korea sebagai bandingan. itu tidak adil.
Dalam keadaan kuasa Melayu yang tidak kuat, mana lebih penting dan perlu di dahulukan? Antara bahasa Melayu atau masa depan bangsa Melayu?
Saya terpaksa pilih masa depan Melayu dan saya tidak mahu beremosi lagi tentang kata pujangga "bahasa jiwa bangsa"
Pada saya, kuat bangsa, kuatlah bahasa...tidak lagi sebaliknya.