26 February, 2013

Tahniah Buat Pasukan MEP IZISH Sesi 2012-2013

Sepertimana pasukan MEP sesi lalu, pasukan MEP sesi ini juga telah berjaya dengan cemerlang. Walaupun tempoh perkhidmatan mereka sebagai MEP masih panjang (hingga Jun 2013), biarlah saya  menjadi orang pertama mengucapkan tahniah dan berbangga dengan usaha cemerlang mereka. Mereka telah berjaya menganjurkan 19 projek dan sedang bertungkus lumus menjayakan baki dari 32 projek yang dirancangkan untuk semester satu dan semester dua ini. kesemua 32 projek ini adalah projek yang berdaftar di JPPEL. Masih ada beberapa projek yang bersifat dalaman kolej seperti majlis kesyukuran, majlis berbuka puasa, penerbitan dan perbincangan yang tidak didaftarkan tetapi turut dijayakan oleh MEP dan hanya perlu mendapat perakuan pihak pengetua kolej. Dengan peruntukan yang sangat kecil (sekitar hanya RM10,000 untuk lebih 40 aktiviti pelajar bersaiz kecil dan besar) MEP IZISH berjaya membuktikan keupayaan mereka menganjurkan berbagai aktiviti. Tentunya pada saya peranan dua felo akademik IZISH (Ybhg Dato Prof Wahid Samsudin dan Ybhg Dato Saharudin Ismail) banyak memberikan input pada para felo dan MEP. Tentunya juga kesungguhan rakan rakan pasukan majlis felo (sdr Nik, Badariah, Dr Elfit, YM Raja Nur Aina, Iejan, Chang Ee, Roova dan Sarah) telah banyak memainkan peranan menjayakan MEP sesi ini. Juga pada semua kelab dan urusetia pelajar yang bernaung di bawah MEP. Tahniah dari saya untuk semua yang menjayakan aktiviti demi pembangunan pelajar IZISH. Buat pasukan MEP, anda telah berjaya mencabar keupayaan anda...well done dan terus berusaha. Berikut senarai aktiviti MEP-IZISH sesi ini untuk tatapan warga IZISH sekalian dan juga para pembaca blog Ilmu Mutu dan Budi. (Terima kasih khususnya pada sdri Nurul Amani, Eksekutif Pentadbiran MEP yang telah menyediakan laporan ini)


Senarai Projek Pelajar IZISH Semester Satu 2012-2013.

BIL
NAMA PROGRAM
SINOPSIS

Tindakan
1.
Hari Keluarga iZISH


Hari keluarga iZISH diadakan bertujuan merapatkan hubungan antara keluarga baru iZISH iaitu pelajar junior sesi 2012/2013 yang baru mendaftar masuk dengan pelajar-pelajar senior di dalam iZISH. Pelbagai aktiviti diadakan seperti sukaneka, sorak antara pasukan, dan jamuan ringan.

(SELESAI)
2.
Sifar Polestrin


Program Sifar Polestrin adalah projek yang diadakan sepanjang sesi 2012/2013. Projek ini adalah kesinambungan dari projek yang sebelumnya pada sesi 2011/2012. Projek ini bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar iZISH disamping menjalankan salah satu langkah tindakan supaya mengurangkan penggunaan polestrin di dalam iZISH.

(SELESAI)
3.
Kursus Pengurusan Organisasi


KPO ini diadakan di Lubuk Manggis, Hulu Selangor selama 3 hari 2 malam. Kursus ini bertujuan memberi panduan dan bimbingan asas tentang peranan sebagai Majlis Tertinggi yang dipegang oleh ahli KPO di dalam kelab, program, atau persatuan di iZISH. Kursus ini banyak mendedahkan peranan sebenar secara teori dan pratikal tentang peranan Majlis Tertinggi.

(SELESAI) 
4.
Bengkel Setiausaha


Bengkel Setiausaha diadakan selama 1 hari di iZISH. Bengkel ini bertujuan memberi gambaran sebenar peranan dan skop kerja khusus kepada setiausaha yang akan berfungsi di dalam program, kelab, dan persatuan. Bengkel ini memberikan panduan secara teori dan pratikal kepada sekretariat setiausaha yang hadir ke bengkel ini.

(SELESAI)
5.
Bengkel Bendahari


Bengkel Bendahari diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada sekretariat bendahari tentang tugas dan peranan sebenar bendahari di dalam program, kelab, dan persatuan. Bengkel ini mendedahkan secara teori dan pratikal kepada secretariat yang hadir tetang bagaimana cara menguruskan wang masuk dan keluar secara sistematik dan kemas.

(SELESAI)
6.
Seminar Pemantapan Publisiti


Seminar ini bertujuan mendedahkan kepada  AJK publisiti di dalam program, kelab, persatuan bagaimana membuat persediaan awal dalam melancarkan publisiti sebelum program berlangsung. Selain itu, seminar ini juga mengajar bagaimana membuat poster dengan menggunakan photoshop.

(SELESAI)
7.
Pesta Tanglung


Pesta Tanglung ini merupakan salah satu aktiviti tahunan iZISH. Program ini bertujuan berkongsi tradisi dan budaya dari kaum cina bersama-sama kaum lain. Program ini menjalankan pelbagai aktiviti seperti jualan, persembahan kebudayaan, dan membawa tanglung ke sekitar kawasan iZISH

(SELESAI)
8.
Bengkel Pemasaran


Bengkel ini bertujuan memberi latihan dan bimbingan kepada ahli bagaimana mencari penajaan di dalam program. AJK pemasaran didedahkan dengan cara yang asas dan khusus bagaimana mencari penajaan, membuat penajaan, dan bagaimana mewujudkan kerjasama dari agensi luar bagi menambahkan penajaan di dalam program.

(SELESAI)
9.
Bengkel Pengurusan Seni


Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada ahli yang menyertai bengkel ini. Kebanyakkan ahli yang hadir adalah dari ahli jawatankuasa Festival Kesenian, Integrasi, dan Budaya (FESTKIB) yang akan diadaakan pada bulan Februari 2013. Bengkel ini diadakan sebelum FESTKIB ini berlangsung adalah bertujuan melatih dan memberi gambaran awal kepada AJK secara teori bagaimana FESTKIB sebenar akan dijalankan.

 (SELESAI)
10.
IZISH Corner


Program ini diadakan 2 kali dalam sebulan iaitu pada hujung minggu. Program yang berkonsepkan perniagaan makanan ini merupakan program dari Kelab Katering. Program ini melibatkan dua kemahiran asas iaitu kemahiran memasak dan kemahiran dalam perniagaan. Hanya dengan menggunakan modal permulaan sebanyak RM100 sahaja. Keuntungan yang diperolehi akan di digunakan semula sebagai modal bagi jualan seterusnya. Program ini amat mendapat sambutan di dalam dan luar Izish.

(SELESAI)
11.
 Aktiviti Kelab Rakan Siswa



Program berkala ini berkonsepkan kerohanian. Program ini hanya melibatkan pelajar di dalam iZISH sahaja. Penglibatan AJK program ini juga hanya melibatkan ahli Kelab Rakan Siswa sahaja.

- puasa perdana
- ceramah maal hijrah
- solat hajat & qunut nazilah
- solat hajat sempena peperiksaan akhir

BERTERUSAN DI SEMESTER 2
12.
Youth Business Challenge


Program ini telah berlangsung di Bilik Senat yang melibatkan IPTA/IPTS seluruh Malaysia. Program ini bertujuan mencari plan perniagaan yang lebih kreatif dan menarik. Program ini bersifat pertandingan. Plan perniagaan yang paling kreatif dan menarik akan dipilih sebagai pemenang.

(SELESAI)
13.
Konvensyen Kampus Lestari


Program ini juga berlangsung di Bilik Senat dan melibatkan IPTA/IPTS dan agensi kelestarian luar seperti YAWA. Program ini membentangkan plan kelestarian yang dilakukan di IPT masing-masing. Bukan sahaja IPT, kolej-kolej di dalam UKM juga turut membentangkan plan kelestarian yang diamalkan di dalam kolej itu sendiri.

(SELESAI)
14.
Kursus Asas Fasilitator


Kursus ini bertujuan mendidik bagaimana menjadi fasilatator yang terbaik. Kursus ini banyak mendedahkan peranan dan tanggungjawab sebenar sebagai fasilitator. Fasilitator yang telah diberi kursus akan dipilih untuk menyertai apa saja program yang memerlukan fasilitator tidak kira sama ada program di dalam kolej atau universiti mahupun program jemputan dari luar.


(SELESAI)
15.
Hak Asasi Manusia
Sub-program (Menyusuli Pendidikan Orang Asli)


Program yang bertemakan khidmat masyarakat ini mendedahkan kepentingan pendidikan kepada semua rakyat di dalam Malaysia. Semua bangsa, kaum, dan agama layak menerima pendidikan. Penekanan dalam sub-program ini adalah kepada Pendidikan Orang Asli. Fasilitator yang telah diberi bengkel dipilih untuk menyertai program ini. Program ini melibatkan pelajar orang asli dari sekolah rendah dan menengah.

(SELESAI)
16.
TOT-Ekolestari


Program ini telah dijalankan di Hutan Pendidikan Alam UKM dan Hutan Libur. Program ini melibatkan ekorelawan dari Kelab Ekolestari iZISH. Tujuan program ini adalah memberi latihan yang lebih khusus kepada sukarelawan yang menyertai tentang pengamalan lestari di dalam kampus mahupun di luar kampus.

(SELESAI)
17.
Jingle Bell & Diwali Night


Program ini hanya melibatkan pelajar luar negara iZISH. Program ini merupakan salah satu program yang melibatkan pelajar luar negara secara keseluruhannya. Pelajar tempatan hadir hanya sebagai tetamu tetapi tidak terlibat sebagai AJK.

(SELESAI)





BIL

NAMA PROGRAM

TARIKH PROGRAM

SINOPSIS
PROGRAM

Tindakan
18.
Festival Kesenian dan Integrasi Budaya


13 hingga 16 Februari 2013
Festival ini merupakan program tahunan anjuran MEP iZISH dimana empat pertandingan akan diadakan iaitu Pesta Pantun Integrasi Budaya, Pertandingan Citra Tari, Pertandingan Voice of Unity dan Pertandingan Fotografi. Festival ini akan melibatkan pelajar IPTA/S serta pelajar sekolah-sekolah menengah dari seluruh Malaysia. Tujuan Festival Kesenian dan Integrasi Budaya 2013 ini diadakan adalah untuk memastikan elemen-elemen kebudayaan dan kesenian yang diwarisi akan terus dihayati dan dipertahankan oleh mahasiswa/i disamping memberi pendedahan tentang kepentingan untuk menjaga dan memahami kepelbagaian budaya dalam menjamin perpaduan bangsa. Melalui sudut pandangan ini, bakat-bakat baru dapat mencipta idea-idea yang baru yang lebih kreatif dan dapat dijadikan satu medium untuk menyatupadukan bangsa.


 SELESAI
19.
Beauty With Brain


24 Februari 2013
Program ini adalah untuk mendedahkan kepada para pelajar berkenaan dengan Online Business yang menjadi trend anak muda sekarang dan mendidik mereka supaya lebih terbuka serta bijak dalam membuat keputusan. Selain itu, kami juga ingin mendidik para pelajar untuk menghargai pihak yang kurang bernasib baik seperti anak- anak yatim dari Nur Hikmah Taman Baiduri supaya mereka juga diberi perhatian yang sewajarnya. Dalam program ini, sifat keusahawanan dapat digarap melalui program-program yang akan dianjurkan seperti Beauty Talk oleh pihak dari Cosmoderm dan Online Business Talk oleh panel yang dijemput usahawan yang berjaya.

SELESAI


20.
Interaksi Kepimpinan Pelajar IZISH-Universiti Lim Kok Wing
28 Februari 2013
Universiti Lim Kok Wing merupakan salah satu universiti swasta yang menawarkan pelbagai pengajian berasaskan teknologi kreatif dan inovasi. Universiti ini juga menawarkan kursus yg  menekankan penggunaan multimedia dan kreativiti. Disini juga mereka mendedahkan para pelajar kepada dunia pekerjaan yg melibatkan teknologi multimedia. Oleh yang demikian, Kelab Teknokreatif iZISH mengambil inisiatif untuk mengadakan Lawatan ke Universiti Lim Kok Wing bagi memberi info kepada para peserta berkenaan bidang kursus multimedia kreatif. Program ini juga bertujuan untuk membuka mata pelajar kepada pelbagai aplikasi multimedia kreatif.


DALAM TINDAKAN


21.
Kejohanan Sukan Izish (KeSIZ)
Sepanjang bulan Mac (hujung minggu)
Bahagian Sukan dan Rekreasi telah merancang untuk mengadakan Kejohanan Sukan Ibu Zain ( KeSIZ), di mana kejohanan ini juga sebagai sesi pemilihan untuk mencari atlet-atlet baru iZISH. Antara acara sukan yang akan dipertandingkan adalah acara sukan balapan seperti 100 meter, acara padang seperti lontar peluru, badminton, ping pong dan futsal.
DALAM TINDAKAN


22.
Bengkel Pengurusan Kelab Siswaniaga

2 Mac 2013
Kelab Siswaniaga iZISH atau dahulunya dikenali sebagai Kelab Katering merupakan sebuah kelab yang berasaskan perniagaan katering dan gerai. Kelab ini memupuk kemahiran kerja berpasukan, kepimpinan, pengurusan, perniagaan serta kemahiran memasak pada ahli-ahlinya selan mementingkan hubungan dan komunikasi yang baik antara ahli. Pada sesi 2012/2013 ini, Kelab Siswaniaga telah merancang dan sedang melaksanakan aktiviti seperti Izish Corner dan penerimaan tender-tender makanan. Selaras dengan itu, Kelab Siswaniaga iZISH ingin mengadakan Bengkel Pengurusan Kelab Siswaniaga Sesi 2011/2012 yang bertujuan untuk memberi pemantapan para ahli kelab tentang sistem-sistem pengurusan yang digunakan. Selain itu, program ini dapat memupuk semangat kerjasama antara ahli sepasukan selain mengeratkan hubungan silaturrahim.
DALAM TINDAKAN









23.
English Speaking Zone: Cameron Highlands Nature Trip 2013
1 hingga 3 Mac 2013
Kelab Amigos (kelab pelajar antarabangsa IZISH) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu lawatan ke Cameron Highlands bagi memberi peluang kepada pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa untuk berintreraktif bersama dalam bahasa Inggeris. Lawatan ini juga bertujuan untuk memperkenalkan Cameron Highland sebagai destinasi pelancongan yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa selain mendekatkan para pelajar dengan alam semula jadi
DALAM TINDAKAN


24.
“Fire Drill”


-Nil-
Program ini bertujuan memberi kesedaran dan pendedahan tentang perkara yang berlaku dan langkah yang perlu diambil semasa berlakunya kebakaran. Program ini juga diharapkan dapat memberi kesedaran yang mendalam kepada warga iZISH agar lebih berhati-hati dan lebih peka akan isu keselamatan di dalam kampus.

DALAM TINDAKAN


25.
Seminar Perisian Wordpress
19 hingga 20 Mac 2013
WordPress merupakan satu alatan blogging yang percuma dan boleh didapati dalam sumber terbuka. Wordpress juga merupakan satu sistem pengurusan isi kandungan (CMS) yang dinamik. WordPress menggunakan kod pengaturcaraan, iaitu, PHP, dan disimpan di dalam pangkalan data MySQL. WordPress mengandungi banyak ciri termasuklah plugin dan template. WordPress ialah salah satu CMS paling popular digunakan dalam Internet. Oleh yang demikian, Kelab Teknokreatif iZISH mengambil inisiatif untuk mengadakan Seminar Perisian WordPress bagi memberi input kepada para peserta berkenaan skop-skop WordPress. Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran menggunakan WordPress.

DALAM TINDAKAN


26.
Penyelidikan dan Kem Integrasi Siswa Untuk Perpaduan (KISUP)
22 hingga 24 Mac 2013
KISUP merupakan antara pendekatan yang bersesuaian dengan saranan kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Selain itu, program ini merupakan antara program yang mengaplikasikan pelbagai elemen yang mampu dipraktikkan oleh para peserta dalam menjalani kehidupan seharian bagi membina dan mengukuhkan ikatan perpaduan tanpa mengira kaum. Pengisian kem ini padat dengan aktiviti-aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) yang menerapkan ciri-ciri perpaduan yang menarik.
Pada penghujung program ini, peserta akan menjadi responden bagi kajian yang akan kami jalankan. Peserta akan diberikan soal selidik bagi mengkaji tentang peranan mahasiswa dalam membina kesepaduan sosial di Malaysia. Data yang diperoleh daripada penyelidikan ini akan diterbitkan dalam bentuk artikal. Hasil kajian ini juga akan dijadikan sebagai sumber rujukan bagi pelajar – pelajar pada masa hadapan.

DALAM TINDAKAN


27.
Bengkel Fotografi
29 &30 Mac 2013
Pada era globalisasi ini, teknologi masa kini telah banyak membantu kita untuk memudahkan urusan seharian dan telah pun berkembang begitu pantas tanpa kita sedari. Hampir semua pengeluar kamera dan pereka perisian computer (Software Designer) didunia telah pun berlumba-lumba untuk memperkenalkan produk digital terbaru mereka di pasaran dunia. Selain itu, generasi muda pada zaman sekarang lebih meminati seni tampak kerana mereka dapat melihat sesuatu dengan perspektif yang berbeza dan menarik.  Ini membuktikan bahawa fotografi digital menguasai media visual pada masa sekarang dan akan datang. Oleh yang demikian, Kelab Teknokreatif iZISH mengambil inisiatif untuk mengadakan Kursus Asas Fotografi bagi memberi input kepada para peserta berkenaan skop-skop kemahiran fotografi. Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman teknik dan kemahiran mengambil gambar.

DALAM TINDAKAN

28.
" Ict Battle"

31 Mac 2013
Pada era globalisasi ini, teknologi dan ICT telah banyak membantu memudahkan  dan mempercepatkan urusan seharian. Lebih-lebih lagi, remaja pada masa kini sangat meminati  seni tampak iaitu satu bentuk seni yang menumpukan kepada hasil penciptaan yang berbentuk visual seperti lukisan, fotografi, grafik dan filem. Hasil atau karya adalah bersumberkan daya pemikiran yang kreatif dan kesenian yang mutlak dalam diri seseorang.
Oleh yang demikian, Kelab Teknokreatif iZISH telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Pertandingan 'Interblock ICT Battle' bagi memberi peluang kepada peserta bagi menonjolkan bakat yang terpendam dalam bidang fotografi dan membuat poster disamping menunjukkan kepakaran masing-masing dalam permainan online yang mencabar. Dengan ini, peserta dapat mempamerkan hasil kreativiti masing-masing dan seterusnya dapat menjadi seorang yang kreatif dalam penghasilan fotografi dan publisiti.

DALAM TINDAKAN


29.
Hak Asasi Manusia (HAM)
15 hingga 18 April 2013
Minggu Hak Asasi Manusia sesi ke-1 yang telah dijalankan dengan memperjuangkan isu Palestin berlangsung dengan jayanya. Pada kali ini pula, atas inisiatif Kelab Rakan Siswa, iZISH akan membawa isu pendidikan di Malaysia yang masih lagi tidak jitu pengukuhannya dalam kalangan masyarakat luar bandar. Hal ini telah diangkat sebagai satu isu bagi menuntut Hak Asasi Manusia dalam aspek kebebasan bersuara. Pendidikan luar bandar masa kini berada pada tahap rendah kerana beberapa faktor iaitu tiada kesedaran ibu bapa, kemiskinan keluarga, sikap pelajar, kekurangan bahan bantu mengajar, kemudahan infrastruktur, dan jurang hasil pendapatan penduduk yang ketara. Oleh yang demikian, Bahagian Kerohanian dan Sivik, MEP iZISH berhasrat untuk menganjurkan Minggu Hak Asasi Manusia sesi ke-2 bagi memberi kepekaan mahasiswa/I terhadap kelemahan pendidikan dalam sesetengah kelompok masyarakat hari ini khususnya.

DALAM TINDAKAN


30.
Simulasi Kebolehpasaran dan Pembangunan Kerjaya
26 &27 April 2013
Program ini berkonsepkan kerjaya dengan mengambil kesinambungan dari program kerjaya “career expo” pada sesi lepas. Program ini lebih kepada pendedahan tentang ciri-ciri yang diperlukan oleh majikan kepada seseorang pekerja. Program ini akan mendapat kerjasama daripada beberapa buah syarikat dan akan memberi tips kepada mahasiswa/I  akan keperluan pekerja pada masa kini. Program ini juga diharapkan dapat mengubah prespektif mahasiswa/I bahawa pentingnya kemahiran insaniah dan kepimpinan dalam diri bagi memenuhi keperluan majikan apabila menceburi dunia pekerjaan kelak.

DALAM TINDAKAN

31.
Malam Anugerah Tahunan Kolej
11 Mei 2013
Malam Anugerah Tahunan Kolej atau lebih dikenali sebagai MATK adalah merupakan acara tahunan iZISH  yang dianjurkan oleh Sekretariat Majlis Anugerah Tahunan Kolej yang dipimpin oleh MEP iZISH. MATK yang dianjurkan untuk kali ke-17 merupakan acara makan malam tahunan dan juga hari penyampaian anugerah penghargaan bagi warga kolej di IZISH. Tujuan utama program ini diadakan adalah acara makan malam tahunan yang melibatkan pentadbiran UKM, pentadbiran kolej, pelajar IZISH, dan wakil dari  pihak tajaan program di IZISH sepanjang sesi pengajian pada kali ini. MATK kali ini akan dijadikan sebagai platform jaringan dengan syarikat dan tajaan  dari luar. MATK juga merupakan medium untuk menghargai pelajar cemerlang dan pelajar tahun akhir pengajian di bumi IZISH yang tercinta. Program ini juga bertujuan memenuhi misi Universiti Kebangsaan Malaysia dalam menerapkan nilai-nilai profesionalisme dan kebertanggungjawaban dalam kalangan mahasiswa/i.

DALAM TINDAKAN

32.
Inspirasi Kerjaya Mencipta Masa Depan
5 hingga 8 April 2013
Program Inspirasi Kerjaya Mencipta Masa Depan ini merupakan sebuah program interaksi mahasiswa UKM bersama pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdullah II, Semporna Sabah. Program ini merupakan platform terbaik kepada mahasiswa untuk memberi pendedahan dan gambaran sebenar kehidupan di kampus di samping dapat berkongsi pengalaman serta memberi panduan memilih kerjaya kepada pelajar. Melalui program ini, pelajar akan didedahkan mengenai alam kehidupan dan budaya pembelajaran di kampus serta membantu para pelajar memilih kerjaya yang selari dengan keinginan dan kebolehan para pelajar supaya mampu memberi nilai tambah dan pengalaman kepada setiap peserta. Oleh yang demikian, Majlis Eksekutif Pelajar IZISH berhasrat untuk menganjurkan program ini bagi memupuk minat para pelajar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti selain berupaya memberi nilai tambah kepada mahasiswa/mahasiswi itu sendiri.
DALAM TINDAKAN





25 February, 2013

Mengapa Saya Tolak Pendidikan Percuma di Universiti?


Semalam (Ahad 24 Feb)) saya kebetulan sempat berbincang atas talian bersama beberapa pelajar  dalam FB. Isunya tentang pendidikan percuma. Terimakasih pada sdr Haziq Asyraf, Noor Atiqah Rozemi, Elya Dayana, Lim Hong Seng, Atiqah Yusop, Zullizam Izany Othman, Khairyl Areef dan beberapa orang lagi yang turut ikut sama berbincang isu ini. Seperti biasa, pelajar akan terbahagi kepada tiga kumpulan. Pada ketika satu pihak menentang, akan ada satu menyokong dan satu lagi pihak tak kisah. Ketiga tiganya kumpulan ini ada dalam perbincangan tersebut.

Yang menyokong pendidikan percuma- kelihatanya seperti di kalangan yang pro-pakatan pembangkang bermatian mengatakan negara kita boleh memberikan pendidikan percuma kepada mahasiswa. Mereka percaya sumber wang untuk digunakan ialah dari wang hasil khazanah negara -wang Petronas. Setiap tahun pendapatan Petronas dikatakan berjumlah hampir 90 billion dan 33 billion daripadanya akan diberikan kembali kepada negara sebagai royalti, cukai dan sebagainya. Sebahagian wang inilah yang dicadangkan untuk membiayai pendidikan percuma kepada semua pusat pengajian tinggi di negara ini melalui pemansuhan PTPTN dan tabung tabung pinjaman pembiayaan yang lain ( pinjaman kerajaan negeri, JPA, Kementerian etc)

Kumpulan yang menolak cadangan pendidikan percuma menegaskan hari ini pendidikan memangpun telah percuma bila kerajaan memutuskan pelajar yang mendapat kelas pertama secara automatik tidak perlu membayar apa juga bayaran pinjaman PTPTN. Yang perlu dilakukan oleh mahasiswa ialah belajar dan berusaha untuk mendapat kelas pertama.Yang tak kisah tak perlu saya ulas kerana mereka tak kisah samada percuma atau berbayar.

Pada saya isu ini menarik bukan kerana topiknya tetapi melihat bagaimana keupayaan mahasiawa kita berfikir dan memahami senario isu negara. Alhamdullillah, bila ada segelintir mahasiswa UKM mahu berbincang soal soal yang tidak ada dalam dewan dewan kuliah. Soal pendidikan percuma juga tidak ada dalam nota kuliah. Tentu juga tiada dalam soalan peperiksaan. Jadi tentulah bukan sesuatu yang semua pelajar lakukan. Hanya pada mahasiswa yang berjiwa besar dan ingin mencabar minda intelektual masing masing sahaja ingin menilai situasi ini. Bila sudah ada keinginan untuk berbincang, tentulah secara peribadi  merasa sangat bangga mempunyai anak anak muda sebegini di UKM.

Kedua, perbincangan ini saya tuliskan sebagai menghargai keupayaan mereka dalam mengekpresikan kebebasan berfikir, berani bersuara secara terbuka. Tetapi pada masa yang sama bangga  melihat keupayaan mereka dalam menggunakan bahasa yang sopan, sifat budi bahasa serta menghormati pandangan orang lain. Tahniah anak muda UKM yang saya sebutkan nama mereka di atas.

Saya juga punya pandangan tentang pendidikan percuma. Saya akan kemukakan pandangan saya di bawah. Mungkin ada yang tidak bersetuju. Itu biasa. Yang penting kita punya pandangan. Lebih merisaukan bila ada mahasiswa yang langsung tidak ada pandangan.

Kita telah mendengar isu ini dimainkan dalam pentas politik. Di peringkat mula pun bukan anak muda mahasiswa yang menuntut pendidikan percuma. Semuanya bermula dari gelojak mainan politik pakatan  pembangkang. Itu biasa dalam politik.Tujuannya juga sangat mudah kita fahami. Untuk mendapat sokongan anak muda di menara gading. Ini satu permainan 'politik harapan' yang jika berjaya diprovokasikan akan membuahkan sokongan pada pakatan pembangkang dan mereka berjaya. Ada parti politik menggunakan agama sebagai politik harapan, ada yang menggunakan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memacu pembangunan sebagai politik harapan. Itu biasa dilakukan.

 Ramai anak muda yang melihat perjuangan mendapatkan pendidikan percuma sebagai satu yang 'real', mudah dilakukan dan tidak ada  implikasi jangka panjang. Saya juga kalau boleh hendakkan pendidikan percuma. Siapa yang tak mahu. Kalau saya ada tiga anak yang akan masuk universiti tidak lama lagi, bayangkan berapa banyak wang saya dapat dijimatkan. Jika anak saya melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran, ratusan ribu ringgit wang saya dapat dijimatkan. Tentu sahaja kalau  saya mahu mencapai matlamat jangka pendek dan atas sifat ketamakkan peribadi, saya akan menyokong sepenuhnya pendidikan percuma.

Tetapi kita tidak harus tamak dan hanya pentingkan diri sendiri. Kita harus lebih insaf akan keperluan dan keupayaan masyarakat negara kita dalam tempoh sepuluh, dua puluh atau lima puluh tahun akan datang. Kita juga harus memastikan masyarakat kita terus bersatu, berpadu dan seboleh bolehnya jurang antara masyarakat diminimakan, kalaupun tidak dapat dihapuskan smasa sekali.Jika setiap warga punyai harapan sedemikian, itulah yang terbaik untu generasi masa depan.

Kita semua mungkin sudah menonton perdebatan antara Khairy dan Rafizi tentang isu pendidikan percuma. Maaf cakap pada saya, mereka kedua duanya gagal memberikan pandangan yang kita perlukan. Betul mereka telah berikan angka-angka ringgit dan sen untuk mengukuhkan hujah mereka. Khairy kata wang Petronas tidak cukup untuk biayai pendidikan percuma, Rafizi bermatian berkata, "wang peronas cukup untuk biayai pendidikan percuma". Pada saya ini bukan soal cukup atau tidak cukup, tetapi ini soal sustainable. Apakah wang Petronas boleh digunakan sepanjang zaman untuk terus membiayai pendidikan percuma. Apakah wang dari Petronas boleh biayai pendidikan percuma berpuluh tahun dari sekarang.

 Kita semua tahu simpanan minyak Petronas ada hadnya. Mungkin lima belas ke dua puluh tahun dari sekarang simpanan minyak di perut bumi Malaysia akan mulai kering. Sebab itu Petronas sekarang semakin aktif mencari telaga telaga baru di luar negara. Mereka juga semakin aktif membuat penyelidikan tenaga terbaharu sebagai alternatif pada minyak. Kita semua tahu bahawa menggunakan hasil minyak untuk membiayai pendidikan pencuma tidak akan lestari sifatnya. Ada masanya semua ini akan tiada lagi.

Pasti sampai satu masa, anak cucu kita  tidak mampu lagi dibiayai pendidikan percumanya bila Petronas sudah tiada lagi sumbernya seperti sekarang. Pada ketika itu apakah masyarakat tidak akan berdebat lagi soal pendidikan percuma, ketika negara terpaksa membatalkan pendidikan percuma kerana ketiadaan sumber? Saya pasti pendebatannya kan jauh lebih hebat dari cadangan memberikan pendidikan percuma sekarang.Siapapun tidak akan setuju bila pendidikan percuma tiba-tiba sudah tidak lagi percuma semata mata lagi kerana sumber minyak sudah tiada? Ketika sudah menjadi budaya pendidikan percuma tiba tiba lagi tidak percuma.

Mungkin akan ada yang berkata, biarlah kerajaan ketika itu memkirkan bagaimana untuk meneruskan pendidikan percuma walaupun sumber Petronas sudah tiada, itu bukan lagi zaman kita. Jika itulah prinsipnya, kita bolehlah menghalalkan penebangan balak tanpa had, atau kita izinkan untuk mana mana syarikat menarah bukit dan membina sebanyaknya rumah di lereng bukit, kita beri laluan yang sepenuhnya apa juga yang akan mendatang pulangan ekonomijangkapendek tanpa perlu fikirkan tentang isu alam sekitar dagenerasi masa depan kerana biarlah pemimpin negara masa depan fikirkan bagaimana mereka harus selesaikan isu tersebut. Itu sikap yang tidak betul dan sangat tidak bertanggunjawab.

Keduanya, apakah kesannya bila pendidikan percuma disediakan. nampaknya suci tetapi hakikatnya tidak. Paling nyata ialah kualiti pendidikannya tidak boleh diangkat ke paras yang tertiinggi. Kita kaji dan lihat negara negara yang sudah memberikan pendidikan percuma. Lihat Sri Lanka, lihat Cuba, negara yang berada dalam kumpulan negara membangun dan kadar GDP yang rendah dan sederhana (seperti Malaysia).

Jangan lihat German sahaja kerana mereka hanya menyediakan pendidikan percuma (bukan untuk semua bidang pengajian) bila sudah ada infra pendidikan yang jauh lebih hebat. Pendapatan negara German juga sudah sangat jauh ke hadapan. Pendidikan percuma di German juga tidak menggunakan hasil sumber alam tetapi dari pendapatan yang lebih sustainable, industri berteknologi tinggi, perkilangan, pelaburan antarabangsa serta penjanaan penyelidikan di IPT sendiri. Kita belum di kelas itu. Masih jauh lagi. maka kita kena lihat Sri Lanka sebagai contoh terdekat.

 Apakah pelajar universiti di Sri Lanka yang mendapat pendidikan percuma disediakan prasarana universiti yang hebat dan bertaraf dunia. Apakah dewan kuliah, perpustakaan, tenaga akademik, peralatan makmal dan sebagainya sangat tinggi tahap teknologi dan bersifat menerajui pendidikan tinggi? Saya sudah ke sana dan saya tahu ia tidak memberansangkan. Ramai rakan rakan akademi saya yang juga ke sana juga berpandangan yang sama.

Pendidikan percuma tidak bermaksud pendidikan itu secara sendirinya akan berkualiti. Mengapa? Bila kita memberikan pendidikan percuma, kualiti pendidikan akan secara sendirinya terpaksa dikurangkan kerana peruntukan yang ada telah diagihkan untuk digunakan bagi membiayai pendidikan percuma. Tentu tidak mampu untuk negara membiayai pendidikan percuma dan pada masa yang sama membiayai pendidikan berkualiti tinggi.

Kita faham dan tahu konsep "kos Melepas" dalam ekonomi. Analogi mudahnya, kalau dua keluarga masing masing berpendapatan RM3,000 sebulan, mampukan keluarga yang punyai ramai anak menyediakan laptop, telefon dan segala macam kemudahan bagi setiap anaknya berbanding keluarga yang punyai satu atau dua anak? Yang ramai anak tentulah amalkan kena berkongsi, yang sedikit anak pula boleh sahaja untuk menggunakan sepenuhnya searang diri. Samalah juga dengan pendidikan percuma, kerana kos yang tinggi, penyediaan segala kemudahan di IPTA yang amalkan pendidikan percuma harus dikongi dengan ramai orang pelajar.

Apa keasn sampingan yang akan berlaku bila pendidikan percuma disediakan? Pendidikan tinggi swasta akan tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Akan wujud banyak IPTS swasta yang bersedia menjadikan pendidikan tinggi  berkualiti sebagai perniagaan mereka. Maka apa yang berlaku, seperti sejarah sekolah Melayu dan sekolah Inggeris pada awal abad ke 20 di negara ini, anak anak orang kaya dan atasan akan belajar di universiti swasta. Alasanya, kerana inginkan pendidikan yang berkualiti.

Anak anak orang miskin, terutamanya anak anak Melayu akan belajar di universiti awam yang percuma. Tentunya dengan peruntukan yang semakin terhad (sebahagian besarnya untuk sediakan pendidikan percuma), IPTA tidak mampu menyediakan pendidikan tinggi yang hebat, berkualiti dan berteknologi tinggi sebagaimana IPTS. Lihat sahaja di peringkat sekolah rendah dan sekolah menegah kerajaan yang percuma dan bandingkan kualiti pengajaran, fasiliti, sistem dan persekitaran dengan sekolah antarabangsa atau sekolah persendirian yang mengenakan bayaran tinggi.

Ada sistem keselamatan yang canggih, ada kolam renang, ada kelas seni, ada lawatan ke luar negara dan sebagainya. mampukan sekolah kerajaan yang percuma sediakan semua ini di semua lebih 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia? pada akhirnya, lihat produk kedua dua aliran sekolah ini. Sangat berbeza sekali. jadi jangan kita terkejut bila ramai anak Pak Menteri dan anak anak orang kaya menghantar anak anak mereka ke sekolah antarabngsa dan swasta. Bukan salah mereka, kerana mereka inginkan pendidikan yang terbaik untuk anak anak mereka. Kita juga akan begitu jika kita punyai kewangan yang baik. Apa salahnya, bukan?

Maka pendidikan percuma akan membentuk dua kumpulan masyarakat yang terpisah jauh antara satu sama lain. Yang miskin di IPT awan berpendidikan percuma, yang kaya diberikan pendidikan berkualiti di IPTS yang mengenakan yuran pengajian yang tinggi. Jika kita membenarkan pendidikan percuma kita sebenarnya membina sebuah masyarakat yang jurang kehidupan mereka akan semakin menjauh antara satu sama lain. Percayalah...

Sebab itu saya berpendirian kita tidak perlu menyediakan pendidikan percuma. Pertama, kerana pendidikan  percuma yang mengharapkan sumber hasil minyak sifatnya tidak sustainable atau berjangka panjang, Keduanya, pendidikan percuma menggalakan pertumbuhan pendidikan tinggi swasta yang akhirnya pasti akan membina sebuah masyarakat yang jurang budaya, pemikiran , kekayaan dan sebagainya begitu ketara sekali. Saya lebih cenderung berpendirian kita memerlukan satu dasar pendidikan tinggi yang sentiasa minina kos pengajiannya.

Pendidikan tinggi perlukan perlindungan supaya tidak dijadikan perniagaan yang keterlaluan sifatnya. Kos minima ada satu dasar yang lebih pragmatik dan sustainable untuk jangka panjang. Tentunya dari masa ke semasa kos pengajian akan tetap meningkat. Itu tidak dapat dielakan. Tetapi kadar peningkatanya harus dipastikan pada tahap yang paling minima dan munasabah. Manakala pada masa yang sama perlu diperkukukuhkan juga satu dasar affimative (sokongan) kepada kumpulan isu rumah yang miskin (misalnya pendatan RM3,000 ke bawah) untuk anak anak mereka mendapat peluang pendidikan tinggi dengan kos yang lebih rendah dari kos minima kalaupun tidakpun secar percuma. Kita perlu objektif dalam memahami isu ini.

Pendidikan percuma boleh dilaksanakan untuk membantu kumpulan yang memerlukannya secara kritikal. Bukan untuk semua orang. Apa logiknya memberikan pendidikan percuma pada isirumah yang berpendapatan RM50,000 ke atas sebulan? Atau RM 100,000 sebulan? Atas dasar hak? Pendidikan percuma bukan hak asasi. Hak asasi terhadap pendidikan merujuk kepada  "tiada halangan bagi mana mana individu untuk akses kepada pendidikan dan dalam konteks negara ini tiada sekatan  untuk sesiapa mendapat peluang pendidikan yang berkualiti. Makanya, memberikan pendidikan percuma pada si kaya dengan menggunakan wang rakyat adalah sesuatu yang tidak produktif sifatnya. Tetapi memberikan bantuan pendidikan termasuk pendidikan percuma pada si miskin sangat besar maknanya. Apa yang penting ialah menyediakan pendidikan yang minima kosnya dan yang miskin dibantu sepenuhnya...supaya kita boleh terus sustain untuk jangka panjang.

Saya telah berikan pandangan peribadi saya, saya kemukakan cadanganbalas saya dan saya  nyatakan apakah rasionalnya . Pasti ada yang setuju, tidak kurang juga tentu ada yang tidak bersetuju. Dalam memberikan pandangan saya tidak menyebelahi mana pihak, ke kanan tidak ke kiripun tidak.Yang penting kita harus bersifat objektif dalam membuat penilaian. Yang penting ialah natijahnya kepada masyarakat kita, bukan untuk jangka pendek tetapi lebih penting untuk jangka panjang.

Impiannya biarlah perjuangan untuk menghasilkan pendidikan berkualiti diutamakan. Pada masa yang sama setiap warga tidak dinafikan hak untuk mendapat pendidikan yang berkualiti. Yang miskin mesti di bantu. Saya berpendirian sementara hasil minyak Petronas masih ada untuk satu tempoh yang tidak terlalu lama, negara harus menggunakan sumber ini untuk menyediakan sebanyak mungkin prasarana kepada masyarakat. Gunakanlah wang petronas untuk membina lebih banyak jalanraya, lebih banyak sekolah yang berkualiti dibandar dan luar bandar, bina tadika, masjid, institusi teknikal, jalur lebar, kemudahan air bersih, tenaga elektrik pusat pendidikan tinggi dan sebagainya. Ini penting untuk masyarakat, jauh lebih penting dari isu pendidikan percuma yang tidak spesifik sifatnya.

Pendidikan sampai bila bila pun bukan untuk dijualbeli, tetapi mengharapkan pendidikan yang percuma sepenuhnya dalam kondisi masyarakat masakini bukanlah juga sesuatu yang sempurna sifatnya. Biarlah kita ambil jalan yang lebih sederhana tetapi sudah pasti arahnya...

21 February, 2013

Mengapa Nama JAKSA Kolej Berubah Menjadi Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Kediaman ?


Pejabat Majlis Eksekutif Pelajar IZISH
  1. Mungkin ramai pelajar UKM yang belum menyedari bahawa mulai semester 2 ini, Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) kolej kediaman telah ditukarkan namanya kepada Majlis Eksekutif Pelajar (MEP). Ya, sekarang nama barunya ialah Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Kediaman UKM. Kita ada 12 kolej maka secara langsung akan ada 12 MEP kolej kediaman. Mengapa namanya ditukar? Apa rasionalnya JAKSA menjadi MEP? dan apakah hasrat pengurusan HEPA UKM dengan perubahan nama baru ini?
  2. Sejak kolej kediaman UKM ditubuhkan, nama yang telah digunakan dan kekal sekian lama ialah Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) Kolej kediaman. JAKSA mempunyai peranan menjaga kebajikan pelajar di kolej kolej kediaman. Sesuai dengan namanya yang berstatus 'kebajikan', maka semua exco JAKSA diagihkan untuk menguruskan hal ehwal sukan, kerohanian, kesihatan, keselamatan, makanan, kesenian, perpaduan kaum dan pendidikan. Tugas  exco JAKSA ini meliputi perkara perkara asas yang secara terfokus memastikan kebajikan pelajar kolej terpelihara.
  3. Itu dulu, hari ini hampir semua urusan kebajikan telah diuruskan secara terus di bawah JPPEL. Kita sudah punya pusat kewangan pelajar, pusat zakat, pusat kesihatan yang jauh lebih baik, pusat sukan yang lebih besar, program akademik di fakulti, pusat kebudayaan yang jauh berkualiti, bahagian keselamatan yang lebih besar dengan sistem keselamatan yang sentiasa dipertingkatkan, cafetaria yang dipantau terus oleh pihak bendahari dan pusat kesihatan. Malah berbagai lagi 'soal kebajikan pelajar telah dinaiktarafkan' berbanding dulu. Mungkin belum sempurna, tetapi yang nyata kita jauh lebih baik dari dulu. Kita juga sudah punyai khidmat kaunseling, ISC, PAP, JPPEL yang telah membangunkan sistem online sepenuhnya . Dulu ini semua tidak pun dibayangkan oleh pelajar. 
  4. Kesannya pelajar hari ini boleh berurusan secara terus dengan unit unit JPPEL, fakulti dan pusat pusat perkhidmatan  tanpa perlu mengaharapkan masalah mereka disalurkan atau dijaga oleh JAKSA seperti satu masa dulu. Dulu exco JAKSAlah yang akan ke hulu hilir mencari kenderaan untuk membawa pelajar yang sakit di tengah malam ke Hospital Kajang kerana pusat kesihatan UKM hanya dibuka pada waktu pejabat sahaja. Tidak ada konsep 'on call' di Pusat Kesihatan UKM seperti sekarang.
  5. Bila semua pelajar UKM sudah boleh berurusan terus dengan semua unit yang menjaga kebajikan mereka, apa perlunya JAKSA lagi. JAKSA semakin lama pasti akan semakin kurang relevan untuk terus menjaga kebajikan pelajar seperti dahulu.  Hari ini saya sudah tidak mendengar lagi exco JAKSA ke hulu ke hilir mencari kenderaan untuk hantar pelajar sakit lagi. Felo pun tidak lagi menghantar pelajar ke hospital seperti dahulu. Hari ini sudah ramai pelajar  yang berkenderaan sendiri, atau berkongsi dengan rakan rakan, malah jika sakit pun tidak perlu lagi ke Hospital Kajang kerana di Bandar Baru Bangi juga sudah banyak klinik dan pusat pakar perubatan.
  6. Maka, institusi JAKSA perlu mencari definisi baru dalam memastikan kesinambungannya. Demi memastikannya terus relevan untuk pelajar pada masa mendatang. Maka konsep JAKSA harus berubah, bukan berubah sedikit tetapi berubah secara menyeluruh kepada wajah serta tanggungjawab yang lebih baru dan segar, selari dengan perkembangan semasa warga kampus.
  7. Paling penting, hari ini maksud kebajikan pelajar bukan lagi sekadar soal menjaga sakit atau deman pelajar. Maksud baru menjaga kebajikan pelajar merujuk kepada menguruskan 'kebolehpasaran' para pelajar UKM. 
  8. JAKSA hari ini bertanggungjawab berkaitan pembangunan bahasa Inggeris, bahasa Melayu atau bahasa ketiga supaya dikuasai oleh pelajar kolej masing masing. Hari ini JAKSA harus mendidik pelajar kolej tentang pengurusan masa yang berkesan, pengurusan kemasan diri, pengurusan kewangan yang betul, pengurusan kesihatan (masa tidur yang cukup, masa belajar, masa riadah, makanan yang diambil etc). Hari ini Jaksa bertanggungjawab mendedahkan pelajar kepada kemahiran keusahawanan, memahami politik matang yang harmoni, menguasai kemahiran komunikasi dan sebagainya. Inilah bentuk JAKSA yang baru dan sedang dituntut oleh para pelajar.
  9. Bagi mencapai tujuan tersebut, JAKSA harus menganjurkan aktiviti yang bersifat berpusatkan kebolehpasaran, berpusatkan pembangunan kemahiran insaniah, berpusatkan kemahiran berbahasa Melayu/Inggeris/Arab/Madarin etc.
  10. JAKSA harus berubah mindanya kepada menganjurkan aktiviti yang mempunyai kerangka seperti sebuah syarikat. Sebuah syarikat tentulah mempunyai cara kerja yang berbeza. Syarikat mementingkan outcomes dalam urusannya. Maka persoalan keberkesanan kos, strategi pemasaran, penjenamaan, jaringan dengan pihak industri menjadi sangat penting untuk dikuasai oleh semua ahli JAKSA.
  11. Maka itu sebagai langkah yang utama, nama JAKSA harus diberikan jenama baru iaitu Majlis Eksekutif Pelajar. MEP ini akan diketuai oleh seorang Ketua Eksekutif. Di bawahnya akan ada eksekutif pentadbiran (nama lamanya setiausaha JAKSA), eksekutif kewangan (bendahari JAKSA) dan pengurus pengurus bahagian (exco JAKSA). 
  12. Kebetulan, IZISH telah menjadi kolej yang pertama dan perintis menggunakan istilah MEP sejak ditubuhkan pada tahun 1996. Maka sudah hampir 16 tahun MEP wujud di IZISH. Peranan MEP IZISH ibarat sebuah syarikat yang menguruskan projek projek secara berterusan. Maka sebagai contoh MEP IZISH menguruskan projek KOLEJ LESTARI, FESTKIB, CAREER EXPO, HAK ASASI MANUSIA, IDEA CHALLENGE dan banyak lagi. Dua matlamat utama yang menjadi dasar setiap projek MEP IZISH ialah outcomes yang mesti dicapai ialah secara jelas memenuhi tujuan softskills dan keduanya berorientasikan penjanaan kewangan sendiri.
  13. Perubahan nama JAKSA kepada MEP tidak akan memberikan apa-apa makna jika 'mindset' tidak berubah. Dua perkara  yang perlu diingat ialah konsep kebajikan telah berubah bila MEP dilaksanakan mengantikan JAKSA. Kedua, bentuk aktiviti harus berubah selari dengan konsep MEP itu sendiri. Tentunya juga masih banyak pemikiran baru diperlukan untuk memantapkan konsep MEP ini.
  14. Semoga usaha ini menjadi satu anjakan paradigma baru yang besar dalam memperkasakan kepimpinan pelajar di kolej kediaman UKM.




19 February, 2013

Felo Kolej Kediaman UKM Bukan Warden Asrama...

Seingat saya, ini kali keempat saya menulis tentang institusi felo UKM untuk blog Ilmu Mutu dan Budi. Mengapa? Kerana saya sentiasa yakin institusi ini sangat penting dalam menguruskan pembangunan dan kesejahteraan hampir 12,000 pelajar UKM di kolej kolej kediaman. Menariknya, setiap kali isu ini dinukilkan, 'hit' pembaca cukup tinggi. Malah 'isu felo' adalah antara yang tertinggi di kalangan semua post yang lain. Ini juga satu bukti bahawa ramai khususnya pelajar percaya institusi felo ini penting dan perlu diperkasakan supaya sentiasa relevan.

Semalam (Isnin 18 Februauri 2013) saya dimaklumkan telah diadakan satu mesyuarat felo felo kanan/wakil felo dan juga wakil MEP (nama baru JAKSA) di bangunan Canselori UKM. Saya ingin ucapkan tahniah dan berbangga kerana saranan supaya pasukan felo atas iniasitif sendiri menganjurkan perbincangan sesama mereka telah berjaya direalisasikan. Saya tidak tahu apa isi perbincangan tersebut, tentunya saya yakin semua ini diusahakan demi memperkasakan institusi felo dan pembangunan pelajar di kolej kediaman UKM.

Lama dulu seingat saya, telah ada usaha menganjurkan pertemuan sesama felo atas kapasiti 'majlis felo kolej kediaman UKM'  dilakukan. Tetapi kemudian terhenti agak lama. Tetapi  berlangsung kembali seketika. Dan berhenti pula kemudiannya. Fenomena "hidup segan, mati tak mahu" ini menghantui institusi felo dalam meningkatkan keupayaan kendiri mereka sebagai felo. Akhirnya, mereka lebih senang menunggu arahan atau menerima sahaja apa yang diputuskan oleh pihak lain (JPPEL, Majlis Pengetua etc) tanpa bersedia memberikan input tambahan atau cadangan balas. Itu kisah dulu.

Pada saya Felo Kolej bukan Warden Asrama (walaupun suara nakal pelajar ada juga mengunakan istilah 'warden' kepada institusi felo, bila ada segelintir felo yang 'tertidur'). Pada saya felo jauh lebih penting daripada itu. Felo adalah satu badan unik yang ditubuhkan oleh pihak UKM melalui HEPA untuk menjadi mentor, pembimbing, 'rakan contoh' dan peneraju kepada usaha membangunkan pelajar di kolej kediaman UKM.

Sebab itu, bila pelantikan felo dilakukan, kriteria utama ialah "apakah kekuatan seseorang calon dalam membantu pembangunan pelajar".Ada felo yang cemerlang penguasaan bahasa Inggeris/Arab/ Mandarin maka itu satu kekuatan, ada pula felo yang bagus kemahiran komunikasinya, ada felo cemerlang sukan, kesenian, kebudayaan. manakala sesetengah felo hebat dari segi keusahawanan, kelestarian, kepimpinan, ICT atau kerohanian.

Malang sekali jika seseorang felo yang dilantik, pelajar tidak tahu apakah kekuatan felo tersebut yang boleh disumbangkan untuk membangunkan pelajar di kolej. Lebih malang lagi jika felo itu sendiri pun tidak tahu apakah kekuatannya yang boleh disumbangkan pada pelajar!

Maka itu acara perbincangan sesama felo bagi memberikan cadangan, pandangan yang konstruktif sangat diperlukan oleh pihak universiti. Mungkin felo bukan pakar yang menyelidik pembangunan pelajar di UKM, jauh sekali menulis artikel atau laporan dalam jurnal, tetapi kita tidak nafikan bahawa hasil pemerhatian, interaksi, hubungan seharian dengan pelajar di kolej telah memberikan setiap felo peluang untuk cekap dan mahir dalam menilai apakah penyelesaian terbaik untuk membantu pembangunan pelajar.

Jika pelajar lemah bahasa Inggeris, seseorang felo yang boleh menguasai bahasa Inggeris tentu ada idea bagaimana membantu mereka, jika pelajar ada masalah sahsiah dan moral, felo yang ada kemahiran dalam bidang kerohanian atau kaunseling tentu tahu langkah-langkah membantu pelajar tersebut. Saya yakin jika setiap felo mengerakkan isihati dan 'passionate' mereka untuk membantu pelajar, banyak perkara dan isu dapat diselesaikan dengan baik.

Harapnya institusi felo hari ini bergerak ke hadapan dalam ruang pemikiran dan cara kerja yang baru. Pelajar UKM sekarang sedang berhadapan dengan pelbagai isu yang perlukan bantuan dan input dari semua pihak, dari pengurusan UKM, JPPEL, Kolej Kediaman, tenaga akademik di fakulti, tidak terkecuali institusi  felo.

Isu kebolehpasaran paling mendesak, isu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, isu kualiti projek, bagaimana mencapai kemahiran insaniah melalui aktiviti berimpak tinggi, isu penjanaan kewangan aktiviti pelajar, isu sahsiah, isu kemahiran menguruskan masa dan kemasan diri, isu pengurusan kewangan, soal keselamatan dan kesihatan etc.  Semua isu ini tak akan selesai sepenuhnya, kadangkan berjaya dibantu, kadangkala hanya masa yang menentukannya. Isu akan sentiasa wujud dan berterusan. Maka inilah perlunya institusi felo bersama pelajar di kolej kediaman.

Malah kita sebagai felo juga perlu menanggap isu-isu baru yang tidak ada masa kini. Misalnya UKM sebagai universiti penyelidikan membawa bersama implikasi akan lebih ramai 'warga warga baru' di kalangan pelajar siswazah di UKM. Pra siswazah akan berkurangan. Akan lebih ramai pelajar siswazah tinggal di kolej kolej kediaman pada masa depan. Apakah persediaan kita di kalangan felo dalam menguruskan situasi baru ini. Bagaimana dengan menguruskan pelajar antarabangsa di kolej kediaman masing masing? Bagaimana pula bentuk aktiviti yang sesuai dengan keperluan 'warga-warga baru' ini nanti.

Semoga pertemuan sesama felo akan membuahkan lebih banyak input-input segar untuk dikongsi dan diteliti oleh pihak kepengetuaan dan JPPEL. Ini adalah satu usaha untuk menjadikan institusi felo benar benar satu badan yang 'tinggi darjatnya' di mata warga UKM. Bukan sekadar 'warden asrama'...

18 February, 2013

Mahasiswa UKM Jangan Sampai Menang Sorak Kampung Tergadai !

Perbualan saya dengan ramai pelajar UKM menunjukkan majoriti daripada mereka masih kurang jelas mengapa aktiviti ko-kurikulum dijalankan. Mereka memberikan jawapan yang hampir sama."Untuk meningkatkan softskills!" Bila diajukan soalan soalan yang lebih mendalam apakah yang mereka maksudkan dengan softskills dan bagaimana mereka boleh mencapainya melalui aktiviti ko-kurikulum, jawapan yang diberikan tidak menunjukkan mereka benar benar faham atau bergerak ke arah yang sepatutnya. Mereka tidak dapat menerangkan bagaimana proses pencapaian softskills dapat dilakukan untuk diri mereka sendiri.

Saya lihat seperti ada jurang yang besar antara apa yang mereka tahu tentang isikandungan softskills dengan kemahiran yang sepatutnya dicapai. Misalnya bila ditanya apakah yang dimaksudkan dengan kemahiran komunikasi (tentunya saya tidak bertanya secara formal tetapi secara berbual) saya dapati jawapannya akan ada dua yang utama iaitu (1) kemahiran berinteraksi dengan orang lain- membawa maksud kemahiran lisan dalam bentuk  pengucapan awam (public speaking), (2) kemahiran menguasai bahasa Inggeris.

Saya tidak mendapat jawapan yang lain misalnya kemahiran komunikasi juga tercerna dari kemahiran menulis (artikel, surat rasmi etc), kemahiran mendengar yang intiutif, kemahiran interaksi sosial bersemuka, penguasaan isu dan hal ehwal semasa, bagaimana memulakan perbualan dengan orang yang baru kita kenal, komunikasi dalam konteks (ada bezanya berbual dengan rakan karib, dengan orang kampung, dengan bakal majikan, semasa temuduga etc) dan kemahiran berkata "tidak' atau menolak pandangan orang lain dengan cara yang baik.

Saya timbulkan hal ini kerana rata-rata aktiviti ko-kurikulum/aktiviti pelajar yang berlaku di UKM mengabaikan komponen pendidikan ini. Pelajar cenderung menyiapkan aktiviti tanpa memikir dan berkeinginan untuk menggunakan aktiviti tersebut bagi tujuan meningkatkan kemahiran kemahiran insaniah yang sangat diperlukan dalam kehidupan masa depannya samada tujuan kerjaya atau tujuan kehidupan berkeluarga nanti.

Jika seorang pelajar merasakan dirinya lemah dalam komunikasi, misalnya 'bagaimana untuk memulakan perbualan dengan orang yang baru kita kenal", maka semasa beraktiviti inilah beliau mencari peluang untuk meningkatkan kemahiran tersebut. Bukannya dengan cuba melarikan diri disebalik rakan rakan yang lain.

Saya punya pengalaman di mana dalam satu majlis perasmian aktiviti pelajar, saya pernah 'menghalau' sekumpulan pelajar yang bertugas sebagai urusetia perasmian (termasuk pengarah projek) supaya mereka segera bertemu dengan penceramah yang mereka sendiri jemput. Bayangkan penceramah tersebut duduk seorang diri di dalam bilik menunggu, tiada pelajar yang bersama berbual dan berkomunikasi dengan beliau. Bila saya tanya mengapa biarkan penceramah seorang diri, ada pelajar yang menjawab "kami tak tahu apa yang nak dibualkan dengan beliau".  Begitu sekali sifat dan sikap yang ada pada pelajar. Sepatutnya jika sudah tahu lemah dalam kemahiran tersebut, inilah peluangnya untuk meningkatkan kemahiran tersebut. Mungkin tidak cukup sekali, dua kali atau tiga kali. Mungkin perlu berkali kali. Jika dibiasakan, lama kelamaan kemahiran 'memulakan perbualan dengan orang yang kita tidak kenal atau baru kenal" akan datang dalam diri setiap pelajar yang ingin meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.

Sebab itu saya risau bila semakin banyak aktiviti yang dianjurkan oleh pelajar UKM tidak mementingkan soal mencapai 'softskills' ini. Mottonya asalkan projek siap, asalkan selesai. pelajar harus faham  persediaan mereka untuk kuasai semua bentuk kemahiran ini sangat penting. Di UKM, pihak pengurusan dengan bantuan pakar pakar tel;ah menetapkan ada lapan kemahiran kritikal yang perlu dikuasai oleh pelajar melalui ko-kurikulum. Komunikasi, membuat penyelesaian masalah, kerja berpasukan, kemahiran mendapatkan maklumat, kepimpinan, keusahawanan etc. Tentunya banyak lagi yang lain tetapi lapan ini yang dianggap paling kritikal.

Maka itu kesedaran ini sangat penting untuk dilakukan. beraktiviti untuk pembangunan diri. Itu sebabnya saya selalu katakan pada pelajar saya di IZISH, bila kita beraktiviti, kita sebenarnya mencari masalah. Mencari masalah dan menyelesaikan masalah adalah teras mengapa kita ingin beraktiviti. Jika seseorang pelajar menjalankan aktiviti tetapi tidak ingin menghadapi masalah, sentiasa cuba melarikan diri bila berdepan dengan masalah atau cabaran, saya katakan lebih baik jangan beraktiviti, kerana anda hanya akan dapat penat dan lelah sahaja. Kemahiran diri tetap ditakuk lama. Misalnya jika cuba lari dari membuat pembentangan projek dan meminta orang lain melakukannya, lebih baik tidak payah beraktiviti. Jika cuba mengelak dari berjumpa dan berbincang dengan pihak penaja atau penyumbang, dan meminta orang lain melakukannya, elok berhenti sahaja dari beraktiviti.

Tentulah bila pelajar ingin mencuba menghadapi cabaran dan masalah, mereka tidak semestinya selalu berjaya. Mencabar diri bersemuka dan berbincang dengan pihak penaja tidak semestinya akan berjaya mendapat tajaan, tetapi pengalaman tersebut pada saya sudah dianggap satu kejayaan. Dalam beraktiviti di kampus tiada istilah BERJAYA atau GAGAL. Semua yang menganjurkan aktiviti adalah berjaya, walau sebagaimana tidak lancarnya aktiviti tersebut. Yang gagal ialah individu pelajar yang cuba lari dari cabaran dalam menganjurkan aktiviti. Sebab itu pada saya sebagaimana hebat pun sesuatu aktiviti dilaksanakan, jika ia tidak berjaya membangunkan softskills pelajar, saya anggap samalah seperti kisah Pak Kaduk "Menang Sorak Kampung Tergadai"..riuh rendah  menjalankan aktiviti, tetapi pada akhirnya untuk yang dapat hanya penat dan lelah sahaja..

22 January, 2013

Bila Tun Dr. Mahathir Berbicara...

Menonton Bicara Minda Tun Dr. Mahathir bertajuk "Masa Depan Melayu dan Islam selepas PRU13" di Dewan Karangkraf melalui siaran Astro AWANI sepatutnya memberikan kita satu 'pencerahan minda'. Seperti biasa, sejak dahulu beliau akan memulakan ucapannya dengan  sejarah bangsa dan sejarah negara, khususnya berkaitan orang Melayu. Beliau tak akan terlepas  untuk menggunakan sejarah bangsa sebagai pembuka bicara.

Saya tak berhajat mengulas tentang politik semasa untuk kali ini, biarlah saya mengulas tentang hal lain, yang pada saya lebih penting dan lebih perlu diselesaikan oleh orang Melayu. Lebih lebih lagi pelajar Melayu.

Ada dua perkara yang menjadi buah bicara Tun Mahathir dalam rancangan tersebut, Pertama, tentang sikap, budaya serta perangai orang Melayu. Kedua, tentang survival orang melayu dan kemenangan Islam. Saya setuju dengan apa yang Tun ucapkan tentang sikap, budaya dan perangai orang Melayu. Saya ingin tambah, juga tentang tabiat buruk di kalangan orang Melayu. Orang Melayu (bukan semua tetapi kebanyakannya) pada pandangan Tun adalah orang yang malas. Saya rasa ramai yang tak setuju. Tetapi elok juga kita bermuhasabah... tiada salahnya.

Ambil sajalah pelajar melayu di UKM sebagai contoh. Jika anda seorang pelajar Melayu, cuba tanya pada diri sendiri apakah anda telah belajar bersungguh sungguh atau belajar ala kadar sahaja? Atau hanya benar benar menelaah pelajaran pada minggu minggu terakhir sebelum peperiksaan. Cuba tengok nota dan cara anda mengambil catatan di kuliah? Kemas dan lengkapkah? Bermutukah nota anda? Adakah  input tambahan nota telah dilakukan? Berapa pula buku tambahan yang digunakan untuk melengkapkan nota nota kuliah tersebut? Saya tak berani menjawab, tentu tuan badan sahaja yang tahu jawapannya.

Selain itu, berapa ramai pelajar (melayu khususnya) yang melakukan aktiviti LC secara bersungguh sungguh? Berapa pula yang cuba sedaya upaya melakukan penambahbaikan untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan atau kerja berpasukan mereka? Bagaimana dengan penguasaan bahasa Inggeris anda? Bagaimana pun dengan keupayaan melakukan 'public speaking' secara berkesan? Saya juga tidak mampu memberikan jawapan, anda sahaja yang tahu jawapannya.

Itu baru tentang perangai dan tabiat belajar untuk diri sendiri. Cuba tanya diri sendiri tentang budaya berkongsi ilmu. Berapa ramai rakan rakan yang anda telah 'ajar' ilmu yang anda kuasai kepada mereka. Apakah mereka berjaya mendapatkan ilmu yang anda berikan? atau anda lebih suka menyembunyikan ilmu supaya markah anda lebih baik daripada mereka? Tiada siapa yang tahu jawapannya kecuali anda.

Berapa pula perjumpaan anda secara bersendirian dengan pensyarah anda? bukan sekadar menyelinapkan tugasan yang 'separuh masak' di bawah pintu mereka tetapi membuat temujanji, bersedia dengan bahan dan maklumat, berjumpa dengan pensyarah dan berbincang dengan beliau? Jika ada, baguslah...

Adakah kita berpuashati dengan PNGK yang diperolehi? Sekadar 2.0, 2.5, 3.0 atau 3.5? Mengapa ada orang lain yang mendapat 3.8 atau 4.0? Apakah makanan mereka berbeza dengan kita? Apakah masa mereka 30 jam berbanding masa kita 24 jam sehari semalam? Jika kita tiada jawapan, nyata dan mengakulah sebenarnya budaya dan perangai malas sudah berakar di dalam diri kita. Lebih kronik sehingga kita sendiri sudah tidak dapat melihatnya lagi dan merasa marah dan tersinggung bila sifat malas dilabelkan pada kita.

Pada masa yang sama saya juga menghormati pelajar Melayu yang cemerlang, bukan sahaja dalam akademik tetapi juga sukan, seni dan kepimpinan. Semoga mereka semua terus cemerlang.

Saya sebutkan hal ini kerana inilah contoh perkara perkara asas yang dikatakan oleh Tun di dalam ucapannya. Katanya ramai orang melayu malas, sangat suka pada yang mudah mudah dan kurang motivasi untuk mengambil bahagian dengan hal hal yang sukar dan baru kepada mereka. Bila dapat AP kereta import dijualkannya, bila dapat kontrak kerajaan dialibabakan sewenangnya. Bila dapat pinjaman untuk berniaga dijolikan sehingga lumat. Mungkin tidak semua, tetapi kebanyakanya begitulah.

Maka tidak hairanlah, ekuiti Melayu sejak DEB diperkenalkan masih jauh dari sasaran. Sudah lebih 40 tahun DEB dilaksanakan, ekuiti Melayu dikatakan meningkat dari 1% kepada 19%. Itupun jika ditolak hasil usaha PNB melalui segala jenis pelaburan amanah (ASB dan sebagainya), ekuiti melayu tak sampaipun 10%. Setelah lebih 40 tahun melaksanakan DEB!

Kita mungkin kecewa dan marah pada ramai orang bila DEB gagal membangunkan orang Melayu. Dari pemimpin politik Melayu hinggalah pada JKKK kampung. Semuanya menjadi sasaran amarah kita.  Tetapi marah tak selesaikan apa juga masalah. Yang penting perubahan sikap, perangai dan budaya dalam diri kita sendiri. Buang yang buruk dan ambil yang baik...Saya mungkin sekadar boleh terus menerus menulis..memberikan pandangan serta berkongsi nasihat. Tetapi hakikatnya perubahan datang dari dalam diri sendiri. Buat pelajar UKM, berubahlah menjadi lebih baik...lebih berjaya...lebih cemerlang..

Harap nanti jangan sampai dikatakan orang..Luncai terjun dengan labu-labunya..biarkan...biarkan...


16 January, 2013

Listen..Listen..Listen, Let Me Speak!

Tersenyum saya menonton video klip ini. Rupa-rupa masih ada orang yang belum melihat mahasiswa sebagai suara masyarakat yang harus dihormati. Saya tidak mahu terikat dengan pertikaian 'tidak puashati politik' pelajar tersebut dengan moderatornya. Saya juga tidak mahu tahu samada pelajar berkenaan sudah 'termakan' jerat pembangkang atau tidak. Saya tidak berada di dewan itu dan tidak tahu menahu sejauh mana ceramah atau dialog telah diadakan. Lagipun itu semua bukan urusan saya.

Tetapi saya 'terpukau' melihat gelagat moderator menjerit..listen..listen..listen.. sambil mengira dengan jari berapa jumlah perkataan 'listen' yang telah disebutnya. Juga terpana melihat gelagatnya menarik mikrofon menjauhi pelajar berkenaan. Apa yang sebenarnya yang cuba beliau lakukan?

Ini bukan persoalan politik. Jika Perdana Menteri DS Najib dengan begitu berani membuka langkah membenarkan HKR berlangsung, berani juga memansuhkan ISA dan bersedia pula meminda AUKU, tentunya atas semangat yang sama dan atas nama politik, si moderator yang kelihatannya seperti bersama parti  yang memerintah akan membenarkan pelajar berkenaan bercakap. Maka saya simpulkan perlakuannya bukan kerana politik. Sama sekali tidak.

Ini sebenarnya persoalan kemahiran individu si moderator, persoalan pengurusan emosi amarah dan keupayaan menguruskan konflik perorangan. Juga soal egoism yang agak berlebihan. Tidak lebih daripada itu. Saya tidak nampak apa yang cuba disebut oleh pelajar berkenaan sesuatu perkara yang baru, isu PTPTN satu Malaysia sudah mendengarnya malah Khairy dan Rafizi pun sudah mendebatkannya di TV Awani beberapa bulan lalu. Isu BERSIH juga bukan perkara baru, malah program HKR yang lebih terkini pun sudah selesai sepenuhnya.

Saya membayangkan kalaulah si moderator berkenaan benarkan pelajar tersebut bercakap untuk tiga empat minit lagi, semuanya sudah dilupakan sekarang. Cuba tinjau laman youtube, FB dan twitter pasca forum, orang bukannya bercakap isu PTPTN atau Bersih tetapi lebih tertawan dengan fenomena listen..listen..listen, let me speak. Juga kisah sampingan .."masalah binatang".

Saya bawakan isu ini sebagai refleksi diri. Juga sebagai satu tazkirah buat  rakan rakan yang menguruskan hal ehwal pelajar kerana ramai juga antara mereka yang menjadi pembaca tetap blog ini.

Tiga perkara yang ingin saya kongsikan;

Pertama, saya bersetuju dengan Tan Sri VC UKM tentang 'academic freedom'. Beliau konsisten sejak dulu menganjurkan warga UKM (pelajar dan kakitangan) supaya memahami konsep dan amalan 'academic freedom'. Beliau sering berkata "Berhujahlah dengan fakta yang diselidiki sendiri, jangan sekadar mendengar cakap cakap orang dan menjadi pak turut semata mata". Saya ingin membawa lebih dalam sedikit dengan memberikan makna tambahan bahawa 'academic freedom' juga memberikan maksud "hak dan tanggungjawab". Kita sebagai individu berhak bersuara tentang apa sahaja (tentunya dengan adab susila) dan pada masa yang sama harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang kita suarakan. Untuk bersuara tentunya mudah, tetapi untuk mengambil tanggungjawab kita harus bersedia dengan fakta dan bukti yang secukupnya. Maka dengan cara itu, amalan kebebasan bersuara atau kebebasan akademik akan benar benar memberi makna yang baik pada semua orang.

Kedua, pada setiap masa mahasiswa sentiasa berubah cara dan gaya pemikiran mereka. Dulu lain, sekarang lain. Menggunakan cara cara lama untuk menguruskan mahasiswa hari ini pasti tidak memberikan hasil yang diharapkan. Mengarahkan mahasiswa 'menutup mulut' semata mata kerana kita tidak suka mendengarnya, bukan lagi sesuatu yang diamalkan sekarang. Mungkin dulu sesuai, bukan hari ini.

Saya belajar di UKM pada era 1980an. Ketika itu lingkungan pengetahuan saya sekadar persekitaran dalam kolej. Sekali sekali kami keluar menjalankan khidmat masyarakat. Bekerja separuh masa juga sangat kurang, maklumlah Bandar Baru Bangi bukan seperti sekarang. Apa yang berlaku di kolej lain, hanya diketahui apabila bertemu rakan rakan setelah selesai berkuliah. Kisah IPT lain, dengar dengar sahaja.

Hari ini, apa yang  berlaku di IPT di utara, selatan, Sabah dan Sarawak di ketahui pada hari yang sama kejadian berlaku. Bukan sekadar dengar, malah boleh menonton dengan video sekaligus. malah apa yang berlaku diseluruh dunia pun boleh diketahui, semuanya dari atas katil pelajar bila wifi sampai ke bilik bilik penginapan pelajar. Maka sifat ketelusan, kebijaksanaa, persediaan serta sentiasa mendampingi mahasiswa mestilah menjadi 'darah daging' semua pegawai yang menguruskan soal kemahasiswaan. Semua pihak tidak boleh lagi main 'sembunyi-sembunyi' dengan mahasiswa. Apa yang perlu mereka tahu, harus dikongsi bersama.

Ketiga, semua pegawai hal ehwal pelajar harus mempunyai kekuatan dalaman di dalam menguruskan emosi masing masing. Mereka harus ikhlas, bersungguh sungguh dan komited dalam menguruskan hal ehwal kemahasiswaan. Saya yakin seseorang mahasiswa yang telah memperolehi maklumat yang lengkap, teratur dan sistematik dari pegawai pasti tidak akan melenting tidak tentu pangkal. Mereka sudah bijak membezakan yang baik dan yang buruk. Tetapi jika mereka tidak mendapat maklumat yang lengkap, telus dan jelas, pastilah mereka akan merasakan diri mereka tertipu dan diperbudakkan. Tetapi jika semua maklumat sudah dikongsikan, masih ada antara mereka yang melenting tidak tentu pangkalnya, abaikan sahaja perilaku mereka kerana mereka sebenarnya bukan ingin maklumat tetapi sekadar perhatian dan populariti politik.

"Listen...listen..listen, Let me speak" adalah satu kisah yang menarik, untuk semua yang bertanggungjawab menguruskan mahasiswa mengambil iktibarnya. Jika di sekolah, para pendidik menganjurkan pengajaran dua hala, maka di universiti juga apatah lagi. Pada saya secara peribadi, apa pun tingkah laku dan perilaku mahasiswa, yang nakal atau yang baik, mereka adalah anak anak bangsa yang harus dididik dengan ilmu yang bermanafaat. Mereka harus dididik membezakan yang betul dengan yang salah...biarpun masa yang perlu kita ambil sangat panjang..bersabarlah...

Sekali lagi, tiba-tiba  saya ingin menonton kembali "..listen listen..listen..Let Me Speak..." Harapnya kali ini senyuman saya tidak lagi selebar sewaktu kali pertama menontonnya.


08 January, 2013

Relevankah Lagi Felo Kolej Kediaman UKM?

Saya bertuah kerana semasa diberikan tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah PPP (Akademik Kolej 2007-2010), dapat bekerjasama secara terus dengan semua felo kolej kediaman UKM. Saya diberikan amanah oleh pihak pengurusan tertinggi UKM untuk memperkasakan kolej kediaman, dan institusi felo kolej kediaman sangat relevan pada saya untuk menjayakan misi ini. Saya sambut cabaran ini kerana sejak dahulu sangat yakin dan percaya institusi felo kolej kediaman sangat penting dalam pembangunan serta kesejahteraan kehidupan pelajar dalam kampus (saya pernah menjadi felo dan ketua felo di Kamsis Dato Onn selama lima tahun) sehingga hari ini keyakinan saya masih kukuh seperti dahulu. Pada saya, jika kita ingin membangunkan konsep 'collegiality' atau rasa bersama kekolejan/keserakanan, institusi felo adalah teras utamanya.

Saya masih ingat ketika di PPP, saya telah membina satu kumpulan yang dinamakan sebagai JURULATIH FELO (singkatannya JUFELO) yang ahlinya di kalangan felo felo kolej yang mempunyai pengalaman serta kebolehan di dalam hal pembangunan pelajar. Semua kolej mempunyai wakil wakil mereka di dalam pasukan ini. Pasukan ini merupakan 'pemandu' kepada institusi felo. Mereka berjaya anjurkan Syarahan Umum Pembangunan Pelajar, menganjurkan berbagai Bengkel Pembangunan Felo dan Pelajar dan melakukan Penerbitan dan Lawatan Kerja anjuran PPP.

Ketika itu saya juga mempunyai misi untuk menjadikan felo sebagai 'pembimbing pembangunan pelajar' di UKM. Maksudnya felo bukan sekadar hanya tahu memberikan nasihat atau arahan sahaja kepada pelajar tetapi berkeupayaan  menganjurkan aktiviti bersama sama pelajar. Konsep felo 'turun padang' hanya benar benar berjaya bila felo juga melaksanakan aktiviti bersama pelajar.

Konsep felo sebagai 'penasihat projek' bukan amalan saya ketika itu. Maka itu saya menjadi teliti semasa menyediakan kriteria pemilihan untuk pihak UKM membuat lantikan seseorang felo. Saya sangat teliti supaya hanya felo yang berpengalaman, berkewibawaan dan berkebolehan sahaja yang dicadangkan supaya dilantik. pada saya felo sebagai 'pembimbing' sebenarnya lebih dihormati oleh para pelajar dari felo yang hanya sebagai 'penasihat' program semata mata.

Mobility Outbound Felo dan Pelajar Kolej UKM di Universiti Oxford
Saya juga sempat menjayakan program mobility outbound semasa di PPP dulu. Menariknya program mobility outbound ini juga memberi laluan untuk ramai felo kolej kediaman terlibat sama. Ramai felo bersama sama pelajar kolej masing masing berpeluang ke Oxford University, Southamton University, NUS, Mahidol University, Brisbane, ANU di Canberra dan beberapa buah universiti lain di China, Korea, New Zealand dan Indonesia.

Sebanyak 26 program mobility outbound telah dijayakan oleh PPP dan HEPA ketika itu. Tulang belakangnya adalah pasukan felo yang bersama sama pelajar. Malah mereka bersama pelajar masing masing telah berjaya mengadakan pameran hasil mobility outbound mereka di Pusanika sebulan sekembalinya ke tanah air.

Saya yakin semua pelaksanaan ini bertujuan menjadikan felo sebagai badan 'pembimbing pelajar' yang terus relevan di UKM. Itu kisah dulu, saya fikir sekarang suasana sudah banyak berubah.

Sekarang, hampir kebanyakan urusan pelajar berkaitan kebajikan, program dan aktiviti, kesihatan, kauseling telah diuruskan secara teratur terus oleh unit unit di bawah JPPEL. Felo mungkin lagi tidak perlu tahu berapa pelajar miskin yang perlu bantuan kewangan kebajikan di kolej mereka kerana pelajar akan terus berurusan dengan unit kebajikan UKM. Begitu juga dengan urusan agihan zakat dan sebagainya. Felo di beberapa buah kolej juga semakin kurang 'bertugas' mendapatkan kunci pendua jika pelajar tertinggal kunci di dalam bilik kerana sudah banyak bilik pelajar kolej kediaman di UKM yang menggunakan sistem kunci 'bolt' yang mesti menggunakan kunci untuk membuka atau mengunci bilik.

Berbanding dulu, felo juga semakin kurang menghantar pelajar ke Hospital Kajang kerana selain kemudahan yang semakin baik oleh pusat kesihatan UKM, semakin banyak klinik di Bandar Baru Bangi. Semakin ramai pelajar yang mempunyai kereta dan  motosikal sendiri. Malah pasukan PBSM kolej kediaman juga sudah membuka bilik rawatan pada setiap malam untuk memberikan rawatan awal kepada pelajar yang memerlukan bantuan kesihatan. Felo semkin kurang dilibatkan dalam urusan kesihatan pelajar berbanding dulu.

Semua ini tidak ada ketika institusi felo diwujudkan lebih 30 tahun lalu. ketika itu hampir semua pelajar tiada kenderaan, maka felo adalah orangnya yang sering membawa pelajar ke hospital, satu satunya yang ada, adalah di Kajang. Sistem kunci tombol juga menyebabkan felo terpaksa berkali kali ke pejabat kolej pada setiap malam mengambil kunci untuk pelajar. Sekarang pun masih berlaku tetapi kadarnya sudah berkurang dengan banyak berbanding dulu.

Satu lagi peranan felo dulu ialah membimbing pelajar menganjurkan aktiviti. Hari ini, pelaksanaan LC menyebabkan seorang penyelia (kakitangan UKM) perlu di lantik membimbing pelajar. maka felo di kalangan pelajar pasca siswazah sudah tidak lagi menjadi pembimbing pelajar. Jika pun masih membimbing pelajar, itu atas minat dan keinginan felo sendiri. Semua projek LC akan mendapat bimbingan dan nasihat serta diberikan penilaian oleh penyelia projek masing masing.

Suasana yang telah berubah ini jika tidak difahami akan menyebabkan felo menjadi  'tidak relevan' lagi di UKM. Jika semua pelajar sudah boleh uruskan diri sendiri, jika sistem keselamatan kolej diperkemaskan dengan penggunaan kunci 'bolt' dan penyelia LC yang dilantik akan membimbing pelajar, apa lagi perlunya felo di kolej kediaman?

Semua tahu bahawa setiap felo dibayar saguhati RM300 sebulan dan disediakan penginapan 'fully furnished' oleh pihak UKM. Jika para felo tidak melakukan refleksi dan mengukuhkan 'kerelevanan' mereka, saya fikir akan sampai masanya nanti institusi ini akan dikecilkan saiznya, kalaupun tidak dimansuhkan terus. Saya harap perkara tersebut tidak berlaku. tetapi dengan 170 orang felo yang dibayar RM 300 sebulan (jumlahnya mencecah RM51,000 sebulan atau RM612,000 setahun!) tentunya isu relevan felo pada masa akan datang pasti akan sentiasa diteliti.

Jika transformasi felo berjaya dilakukan, pelajar mendapat impak terbaik daripada peranan felo (misalnya mempunyai strategi di peringkat institusi felo dalam menguruskan isu kebolehpasaran, bahasa Inggeris, pembangunan akademik, keusahawanan, penguatkuasaan peraturan, kepimpinan dan 'celik politik' dan sebagainya), tentunya institusi ini akan terus dipertahankan.

Tetapi jika felo sendiri tidak tahu dengan jelas apa sumbangan mereka kepada kolej untuk masa depan (selain menguruskan kunci, menasihati aktiviti rutin pelajar, membantu pendaftaran pelajar masuk kolej), tentunya ini akan menjadikan institusi felo semakin tidak relevan lagi.

Apa pun, saya juga sedar dan punyai pengalaman bersama rakan rakan felo yang cekap dan jelas wawasan mereka tentang pembangunan pelajar, mereka juga boleh memberikan idea dan inovasi dalam memajukan pelajar, bersedia 'turun padang' bersama pelajar setiap masa dan tidak berkira untuk membantu pelajar .

Sehingga ada di kalangan felo ini yang sukarela menggunakan wang poket sendiri untuk menjayakan aktiviti bersama pelajar. Mereka ini saya sangat hargai dan hormati, mereka inilah sebenarnya saya anggap 'pejuang' kepada pembangunan pelajar di UKM..tetapi sayang...jumlahnya boleh dikira dengan jari..


06 January, 2013

LC...Apa Yang Saya Selalu Bayangkan.

Berkaitan LC atau kontrak pembelajaran di UKM, sejak dulu saya antara yang menyokong penuh pelaksanaan pembelajaran berasaskan 'student-centred' ini sebagai salah satu 'mode' baru untuk pembangunan pelajar di UKM. Pendidikan untuk pembangunan pelajar bermaksud pembelajaran yang dapat meningkatkan kemahiran diri, berorientasikan belajar melalui perlakuan dan perlu pelajar melakukan perulangan dan latihan sehingga benar benar mahir.

Misalnya, untuk pembangunan kemahiran komunikasi, pelajar perlu belajar apakah amalan terbaik dalam komunikasi, kemudian perlu melakukan sendiri dan kemudian melatih diri secara berulang ulang kali sehingga kecekapan komunikasi berada dalam diri masing masing. Tanpa latihan yang berulang ulang, seseorang sukar membina kemahiran diri.

Sebagai contoh, bolehkah dengan hanya sekali berlatih bercakap di depan khalayak (public speaking), seseorang pelajar sudah dianggap mempunyai kemahiran berkomunikasi? Tentulah tidak. Begitu juga, cukupkah dengan hanya sekali melakukan kerja secara 'team-work', kita sudah boleh menyatakan seseorang pelajar telah berkemahiran bekerja dalam satu pasukan. jawapannya tentulah tidak.

Dan begitulah juga dengan kemahiran lain seperti kemahiran membuat keputusan, kemahiran pembelajaran sepanjang hayat dan sebagainya. Kemahiran hanya diperolehi apabila pelajar melakukannya secara berulang kali. Semakin banyak latihan, maka akan lebih tinggi kemahiran yang diperolehi.

Atas prinsip inilah LC dulu telah dibentuk untuk dilaksanakan dalam aktiviti ko kurikulum kepada para pelajar. Melalui aktiviti yang berulang ulang yang di lakukan, diharapkan para pelajar akan dapat meningkatkan kemahiran dalam diri mereka secara berperingkat peringkat. Ada dua perkara penting yang harus diteliti di sini.

Pertama, bagaimana boleh kita katakan seseorang pelajar yang telah selesai mengikut aktiviti  berjaya meningkatkan kemahiran softskills jika tiada penilaian dilakukan untuk menentukan sesuatu projek telah berjaya atau tidak. Amalan sekarang yang dinilai ialah diri pelajar, kejayaan projek masih tidak diberikan penilaian. Bolehkah seseorang pelajar dikatakan berjaya meningkatkan softskillsnya jika projeknya telah gagal atau tidak mencapai objektif yang ditetapkan?

Analoginya, jika dua peniaga melakukan perniagaan secara berasingan, seorang berjaya membuat keuntungan manakala seorang lagi gagal mendapat keuntungan, bolehkah kita kata kedua dua peniaga tersebut mempunyai kemahiran yang sama. Jawapnya tentulah tidak. Tentunya peniaga yang berjaya telah memperolehi peningkatan keupayaan yang jauh lebih banyak berbanding peniaga yang gagal. Begitulah jika dua kumpulan pelajar menyertai pertandingan debat, tentunya kumpulan yang menjadi juara akan menerima kemahiran/kesan yang lebih besar berbanding kumpulan yang tersingkir di pusingan lebih awal.

Maksudnya, adalah sangat penting kejayaan atau kegagalan sesuatu projek dijadikan kayu ukur di dalam memberikan penilaian berkaiatan kemahiran kepada para pelajar yang mengikuti LC.

Perkara kedua ialah fokus kepada hasil pembelajaran. Amalan sekarang seseorang pelajar yang mengikut sesuatu projek  (mendapat pengiktirafan LC) akan memperolehi 1, 2 atau 3 kredit. Maksudnya  kredit diberikan berasaskan jam national penglibatan pelajar. Misalnya jika pelajar anjurkan khidmat masyarakat, maka jam notional dikira berasaskan semua perkara (masa mesyuarat, pemasaran, perasmian dan sebagainya). Semua masa penglibatan ini akan dijumlahkan dan jika melebihi atau sama dengan 40 jam national maka nilai kreditnya ialah 1 kredit.

Oleh itu, jika seseorang pelajar terlibat dengan hanya 3 projek yang bernilai 3 kredit setiap satu per semester, jumlah kreditnya sudah 9 kredit. Maka tidak perlu lagi beliau aktif beraktiviti di semester seterusnya kerana kredit yang diperolehi sudah mencukupi 8 kredit. Jika seseorang pelajar aktif di semester 1, 2, dan 3, maka mulai  semester 2 di tahun dua, beliau tidak perlu lagi beraktiviti. Menarik bukan!

Sebab itu saya punyai pandangan yang berbeza tentang hal ini. Sepatutnya kredit diberikan berasaskan kepada jumlah masa pencapaian hasil pembelajaran dan bukannya jumlah masa sesuatu projek. Misalnya bagi melengkapkan hasil pembelajaran kemahiran komunikasi, seseorang pelajar perlu melibatkan diri dengan beberapa aktiviti yang beliau nyatakan dalam kontrak pembelajarannya lebih awal untuk meningkatkan kemahiran komunikasi. Jadi untuk melengkapkan satu kredit, seseorang pelajar perlu melalui 40 jam notional kemahiran komunikasi. Mungkin 40 notional jam ini boleh diperolehi dengan melibatkan diri dengan 5 atau enam aktiviti.

Maka untuk melengkapkan semua 7 softskills dengan mencapai 8 kredit, seseorang pelajar mungkin perlu melibatkan lebih dari sepuluh projek.  Misalnya bagi projek A, jam notional hasil pembelajaran komunikasi ialah 10 jam, projek B- 8 jam, projek C- 12 jam, projek D-10 jam. Jumlah semuanya ialah 40 jam bersamaan 1 kredit kemahiran komunikasi.

Melalui kaedah ini, pelajar akan berupaya melakukan latihan berulang ulang kali untuk meningkatkan kemahiran komunikasi masing masing. Hal yang sama juga untuk kemahiran kemahiran yang lain, sehinggalah selesai semua 8 kredit telah dicapai.

Pelaksanaan LC hanya akan benar benar berjaya jika keinginan untuk meningkatkan kemahiran datangnya dari pelajar sendiri. Proses latihan yang berulang ulang kali merupakan satu kaedah pembelajaran yang sangat efektif di dalam meningkatkan softskills..LC tidak akan berjaya jika tujuan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti sekadar untuk melengkapkan 8 kredit semata mata...