22 January, 2013

Bila Tun Dr. Mahathir Berbicara...

Menonton Bicara Minda Tun Dr. Mahathir bertajuk "Masa Depan Melayu dan Islam selepas PRU13" di Dewan Karangkraf melalui siaran Astro AWANI sepatutnya memberikan kita satu 'pencerahan minda'. Seperti biasa, sejak dahulu beliau akan memulakan ucapannya dengan  sejarah bangsa dan sejarah negara, khususnya berkaitan orang Melayu. Beliau tak akan terlepas  untuk menggunakan sejarah bangsa sebagai pembuka bicara.

Saya tak berhajat mengulas tentang politik semasa untuk kali ini, biarlah saya mengulas tentang hal lain, yang pada saya lebih penting dan lebih perlu diselesaikan oleh orang Melayu. Lebih lebih lagi pelajar Melayu.

Ada dua perkara yang menjadi buah bicara Tun Mahathir dalam rancangan tersebut, Pertama, tentang sikap, budaya serta perangai orang Melayu. Kedua, tentang survival orang melayu dan kemenangan Islam. Saya setuju dengan apa yang Tun ucapkan tentang sikap, budaya dan perangai orang Melayu. Saya ingin tambah, juga tentang tabiat buruk di kalangan orang Melayu. Orang Melayu (bukan semua tetapi kebanyakannya) pada pandangan Tun adalah orang yang malas. Saya rasa ramai yang tak setuju. Tetapi elok juga kita bermuhasabah... tiada salahnya.

Ambil sajalah pelajar melayu di UKM sebagai contoh. Jika anda seorang pelajar Melayu, cuba tanya pada diri sendiri apakah anda telah belajar bersungguh sungguh atau belajar ala kadar sahaja? Atau hanya benar benar menelaah pelajaran pada minggu minggu terakhir sebelum peperiksaan. Cuba tengok nota dan cara anda mengambil catatan di kuliah? Kemas dan lengkapkah? Bermutukah nota anda? Adakah  input tambahan nota telah dilakukan? Berapa pula buku tambahan yang digunakan untuk melengkapkan nota nota kuliah tersebut? Saya tak berani menjawab, tentu tuan badan sahaja yang tahu jawapannya.

Selain itu, berapa ramai pelajar (melayu khususnya) yang melakukan aktiviti LC secara bersungguh sungguh? Berapa pula yang cuba sedaya upaya melakukan penambahbaikan untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan atau kerja berpasukan mereka? Bagaimana dengan penguasaan bahasa Inggeris anda? Bagaimana pun dengan keupayaan melakukan 'public speaking' secara berkesan? Saya juga tidak mampu memberikan jawapan, anda sahaja yang tahu jawapannya.

Itu baru tentang perangai dan tabiat belajar untuk diri sendiri. Cuba tanya diri sendiri tentang budaya berkongsi ilmu. Berapa ramai rakan rakan yang anda telah 'ajar' ilmu yang anda kuasai kepada mereka. Apakah mereka berjaya mendapatkan ilmu yang anda berikan? atau anda lebih suka menyembunyikan ilmu supaya markah anda lebih baik daripada mereka? Tiada siapa yang tahu jawapannya kecuali anda.

Berapa pula perjumpaan anda secara bersendirian dengan pensyarah anda? bukan sekadar menyelinapkan tugasan yang 'separuh masak' di bawah pintu mereka tetapi membuat temujanji, bersedia dengan bahan dan maklumat, berjumpa dengan pensyarah dan berbincang dengan beliau? Jika ada, baguslah...

Adakah kita berpuashati dengan PNGK yang diperolehi? Sekadar 2.0, 2.5, 3.0 atau 3.5? Mengapa ada orang lain yang mendapat 3.8 atau 4.0? Apakah makanan mereka berbeza dengan kita? Apakah masa mereka 30 jam berbanding masa kita 24 jam sehari semalam? Jika kita tiada jawapan, nyata dan mengakulah sebenarnya budaya dan perangai malas sudah berakar di dalam diri kita. Lebih kronik sehingga kita sendiri sudah tidak dapat melihatnya lagi dan merasa marah dan tersinggung bila sifat malas dilabelkan pada kita.

Pada masa yang sama saya juga menghormati pelajar Melayu yang cemerlang, bukan sahaja dalam akademik tetapi juga sukan, seni dan kepimpinan. Semoga mereka semua terus cemerlang.

Saya sebutkan hal ini kerana inilah contoh perkara perkara asas yang dikatakan oleh Tun di dalam ucapannya. Katanya ramai orang melayu malas, sangat suka pada yang mudah mudah dan kurang motivasi untuk mengambil bahagian dengan hal hal yang sukar dan baru kepada mereka. Bila dapat AP kereta import dijualkannya, bila dapat kontrak kerajaan dialibabakan sewenangnya. Bila dapat pinjaman untuk berniaga dijolikan sehingga lumat. Mungkin tidak semua, tetapi kebanyakanya begitulah.

Maka tidak hairanlah, ekuiti Melayu sejak DEB diperkenalkan masih jauh dari sasaran. Sudah lebih 40 tahun DEB dilaksanakan, ekuiti Melayu dikatakan meningkat dari 1% kepada 19%. Itupun jika ditolak hasil usaha PNB melalui segala jenis pelaburan amanah (ASB dan sebagainya), ekuiti melayu tak sampaipun 10%. Setelah lebih 40 tahun melaksanakan DEB!

Kita mungkin kecewa dan marah pada ramai orang bila DEB gagal membangunkan orang Melayu. Dari pemimpin politik Melayu hinggalah pada JKKK kampung. Semuanya menjadi sasaran amarah kita.  Tetapi marah tak selesaikan apa juga masalah. Yang penting perubahan sikap, perangai dan budaya dalam diri kita sendiri. Buang yang buruk dan ambil yang baik...Saya mungkin sekadar boleh terus menerus menulis..memberikan pandangan serta berkongsi nasihat. Tetapi hakikatnya perubahan datang dari dalam diri sendiri. Buat pelajar UKM, berubahlah menjadi lebih baik...lebih berjaya...lebih cemerlang..

Harap nanti jangan sampai dikatakan orang..Luncai terjun dengan labu-labunya..biarkan...biarkan...