Berkaitan LC atau kontrak pembelajaran di UKM, sejak dulu saya antara yang menyokong penuh pelaksanaan pembelajaran berasaskan 'student-centred' ini sebagai salah satu 'mode' baru untuk pembangunan pelajar di UKM. Pendidikan untuk pembangunan pelajar bermaksud pembelajaran yang dapat meningkatkan kemahiran diri, berorientasikan belajar melalui perlakuan dan perlu pelajar melakukan perulangan dan latihan sehingga benar benar mahir.
Misalnya, untuk pembangunan kemahiran komunikasi, pelajar perlu belajar apakah amalan terbaik dalam komunikasi, kemudian perlu melakukan sendiri dan kemudian melatih diri secara berulang ulang kali sehingga kecekapan komunikasi berada dalam diri masing masing. Tanpa latihan yang berulang ulang, seseorang sukar membina kemahiran diri.
Sebagai contoh, bolehkah dengan hanya sekali berlatih bercakap di depan khalayak (public speaking), seseorang pelajar sudah dianggap mempunyai kemahiran berkomunikasi? Tentulah tidak. Begitu juga, cukupkah dengan hanya sekali melakukan kerja secara 'team-work', kita sudah boleh menyatakan seseorang pelajar telah berkemahiran bekerja dalam satu pasukan. jawapannya tentulah tidak.
Dan begitulah juga dengan kemahiran lain seperti kemahiran membuat keputusan, kemahiran pembelajaran sepanjang hayat dan sebagainya. Kemahiran hanya diperolehi apabila pelajar melakukannya secara berulang kali. Semakin banyak latihan, maka akan lebih tinggi kemahiran yang diperolehi.
Atas prinsip inilah LC dulu telah dibentuk untuk dilaksanakan dalam aktiviti ko kurikulum kepada para pelajar. Melalui aktiviti yang berulang ulang yang di lakukan, diharapkan para pelajar akan dapat meningkatkan kemahiran dalam diri mereka secara berperingkat peringkat. Ada dua perkara penting yang harus diteliti di sini.
Pertama, bagaimana boleh kita katakan seseorang pelajar yang telah selesai mengikut aktiviti berjaya meningkatkan kemahiran softskills jika tiada penilaian dilakukan untuk menentukan sesuatu projek telah berjaya atau tidak. Amalan sekarang yang dinilai ialah diri pelajar, kejayaan projek masih tidak diberikan penilaian. Bolehkah seseorang pelajar dikatakan berjaya meningkatkan softskillsnya jika projeknya telah gagal atau tidak mencapai objektif yang ditetapkan?
Analoginya, jika dua peniaga melakukan perniagaan secara berasingan, seorang berjaya membuat keuntungan manakala seorang lagi gagal mendapat keuntungan, bolehkah kita kata kedua dua peniaga tersebut mempunyai kemahiran yang sama. Jawapnya tentulah tidak. Tentunya peniaga yang berjaya telah memperolehi peningkatan keupayaan yang jauh lebih banyak berbanding peniaga yang gagal. Begitulah jika dua kumpulan pelajar menyertai pertandingan debat, tentunya kumpulan yang menjadi juara akan menerima kemahiran/kesan yang lebih besar berbanding kumpulan yang tersingkir di pusingan lebih awal.
Maksudnya, adalah sangat penting kejayaan atau kegagalan sesuatu projek dijadikan kayu ukur di dalam memberikan penilaian berkaiatan kemahiran kepada para pelajar yang mengikuti LC.
Perkara kedua ialah fokus kepada hasil pembelajaran. Amalan sekarang seseorang pelajar yang mengikut sesuatu projek (mendapat pengiktirafan LC) akan memperolehi 1, 2 atau 3 kredit. Maksudnya kredit diberikan berasaskan jam national penglibatan pelajar. Misalnya jika pelajar anjurkan khidmat masyarakat, maka jam notional dikira berasaskan semua perkara (masa mesyuarat, pemasaran, perasmian dan sebagainya). Semua masa penglibatan ini akan dijumlahkan dan jika melebihi atau sama dengan 40 jam national maka nilai kreditnya ialah 1 kredit.
Oleh itu, jika seseorang pelajar terlibat dengan hanya 3 projek yang bernilai 3 kredit setiap satu per semester, jumlah kreditnya sudah 9 kredit. Maka tidak perlu lagi beliau aktif beraktiviti di semester seterusnya kerana kredit yang diperolehi sudah mencukupi 8 kredit. Jika seseorang pelajar aktif di semester 1, 2, dan 3, maka mulai semester 2 di tahun dua, beliau tidak perlu lagi beraktiviti. Menarik bukan!
Sebab itu saya punyai pandangan yang berbeza tentang hal ini. Sepatutnya kredit diberikan berasaskan kepada jumlah masa pencapaian hasil pembelajaran dan bukannya jumlah masa sesuatu projek. Misalnya bagi melengkapkan hasil pembelajaran kemahiran komunikasi, seseorang pelajar perlu melibatkan diri dengan beberapa aktiviti yang beliau nyatakan dalam kontrak pembelajarannya lebih awal untuk meningkatkan kemahiran komunikasi. Jadi untuk melengkapkan satu kredit, seseorang pelajar perlu melalui 40 jam notional kemahiran komunikasi. Mungkin 40 notional jam ini boleh diperolehi dengan melibatkan diri dengan 5 atau enam aktiviti.
Maka untuk melengkapkan semua 7 softskills dengan mencapai 8 kredit, seseorang pelajar mungkin perlu melibatkan lebih dari sepuluh projek. Misalnya bagi projek A, jam notional hasil pembelajaran komunikasi ialah 10 jam, projek B- 8 jam, projek C- 12 jam, projek D-10 jam. Jumlah semuanya ialah 40 jam bersamaan 1 kredit kemahiran komunikasi.
Melalui kaedah ini, pelajar akan berupaya melakukan latihan berulang ulang kali untuk meningkatkan kemahiran komunikasi masing masing. Hal yang sama juga untuk kemahiran kemahiran yang lain, sehinggalah selesai semua 8 kredit telah dicapai.
Pelaksanaan LC hanya akan benar benar berjaya jika keinginan untuk meningkatkan kemahiran datangnya dari pelajar sendiri. Proses latihan yang berulang ulang kali merupakan satu kaedah pembelajaran yang sangat efektif di dalam meningkatkan softskills..LC tidak akan berjaya jika tujuan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti sekadar untuk melengkapkan 8 kredit semata mata...