Tersenyum saya menonton video klip ini. Rupa-rupa masih ada orang yang belum melihat mahasiswa sebagai suara masyarakat yang harus dihormati. Saya tidak mahu terikat dengan pertikaian 'tidak puashati politik' pelajar tersebut dengan moderatornya. Saya juga tidak mahu tahu samada pelajar berkenaan sudah 'termakan' jerat pembangkang atau tidak. Saya tidak berada di dewan itu dan tidak tahu menahu sejauh mana ceramah atau dialog telah diadakan. Lagipun itu semua bukan urusan saya.
Tetapi saya 'terpukau' melihat gelagat moderator menjerit..listen..listen..listen.. sambil mengira dengan jari berapa jumlah perkataan 'listen' yang telah disebutnya. Juga terpana melihat gelagatnya menarik mikrofon menjauhi pelajar berkenaan. Apa yang sebenarnya yang cuba beliau lakukan?
Ini bukan persoalan politik. Jika Perdana Menteri DS Najib dengan begitu berani membuka langkah membenarkan HKR berlangsung, berani juga memansuhkan ISA dan bersedia pula meminda AUKU, tentunya atas semangat yang sama dan atas nama politik, si moderator yang kelihatannya seperti bersama parti yang memerintah akan membenarkan pelajar berkenaan bercakap. Maka saya simpulkan perlakuannya bukan kerana politik. Sama sekali tidak.
Ini sebenarnya persoalan kemahiran individu si moderator, persoalan pengurusan emosi amarah dan keupayaan menguruskan konflik perorangan. Juga soal egoism yang agak berlebihan. Tidak lebih daripada itu. Saya tidak nampak apa yang cuba disebut oleh pelajar berkenaan sesuatu perkara yang baru, isu PTPTN satu Malaysia sudah mendengarnya malah Khairy dan Rafizi pun sudah mendebatkannya di TV Awani beberapa bulan lalu. Isu BERSIH juga bukan perkara baru, malah program HKR yang lebih terkini pun sudah selesai sepenuhnya.
Saya membayangkan kalaulah si moderator berkenaan benarkan pelajar tersebut bercakap untuk tiga empat minit lagi, semuanya sudah dilupakan sekarang. Cuba tinjau laman youtube, FB dan twitter pasca forum, orang bukannya bercakap isu PTPTN atau Bersih tetapi lebih tertawan dengan fenomena listen..listen..listen, let me speak. Juga kisah sampingan .."masalah binatang".
Saya bawakan isu ini sebagai refleksi diri. Juga sebagai satu tazkirah buat rakan rakan yang menguruskan hal ehwal pelajar kerana ramai juga antara mereka yang menjadi pembaca tetap blog ini.
Tiga perkara yang ingin saya kongsikan;
Pertama, saya bersetuju dengan Tan Sri VC UKM tentang 'academic freedom'. Beliau konsisten sejak dulu menganjurkan warga UKM (pelajar dan kakitangan) supaya memahami konsep dan amalan 'academic freedom'. Beliau sering berkata "Berhujahlah dengan fakta yang diselidiki sendiri, jangan sekadar mendengar cakap cakap orang dan menjadi pak turut semata mata". Saya ingin membawa lebih dalam sedikit dengan memberikan makna tambahan bahawa 'academic freedom' juga memberikan maksud "hak dan tanggungjawab". Kita sebagai individu berhak bersuara tentang apa sahaja (tentunya dengan adab susila) dan pada masa yang sama harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang kita suarakan. Untuk bersuara tentunya mudah, tetapi untuk mengambil tanggungjawab kita harus bersedia dengan fakta dan bukti yang secukupnya. Maka dengan cara itu, amalan kebebasan bersuara atau kebebasan akademik akan benar benar memberi makna yang baik pada semua orang.
Kedua, pada setiap masa mahasiswa sentiasa berubah cara dan gaya pemikiran mereka. Dulu lain, sekarang lain. Menggunakan cara cara lama untuk menguruskan mahasiswa hari ini pasti tidak memberikan hasil yang diharapkan. Mengarahkan mahasiswa 'menutup mulut' semata mata kerana kita tidak suka mendengarnya, bukan lagi sesuatu yang diamalkan sekarang. Mungkin dulu sesuai, bukan hari ini.
Saya belajar di UKM pada era 1980an. Ketika itu lingkungan pengetahuan saya sekadar persekitaran dalam kolej. Sekali sekali kami keluar menjalankan khidmat masyarakat. Bekerja separuh masa juga sangat kurang, maklumlah Bandar Baru Bangi bukan seperti sekarang. Apa yang berlaku di kolej lain, hanya diketahui apabila bertemu rakan rakan setelah selesai berkuliah. Kisah IPT lain, dengar dengar sahaja.
Hari ini, apa yang berlaku di IPT di utara, selatan, Sabah dan Sarawak di ketahui pada hari yang sama kejadian berlaku. Bukan sekadar dengar, malah boleh menonton dengan video sekaligus. malah apa yang berlaku diseluruh dunia pun boleh diketahui, semuanya dari atas katil pelajar bila wifi sampai ke bilik bilik penginapan pelajar. Maka sifat ketelusan, kebijaksanaa, persediaan serta sentiasa mendampingi mahasiswa mestilah menjadi 'darah daging' semua pegawai yang menguruskan soal kemahasiswaan. Semua pihak tidak boleh lagi main 'sembunyi-sembunyi' dengan mahasiswa. Apa yang perlu mereka tahu, harus dikongsi bersama.
Ketiga, semua pegawai hal ehwal pelajar harus mempunyai kekuatan dalaman di dalam menguruskan emosi masing masing. Mereka harus ikhlas, bersungguh sungguh dan komited dalam menguruskan hal ehwal kemahasiswaan. Saya yakin seseorang mahasiswa yang telah memperolehi maklumat yang lengkap, teratur dan sistematik dari pegawai pasti tidak akan melenting tidak tentu pangkal. Mereka sudah bijak membezakan yang baik dan yang buruk. Tetapi jika mereka tidak mendapat maklumat yang lengkap, telus dan jelas, pastilah mereka akan merasakan diri mereka tertipu dan diperbudakkan. Tetapi jika semua maklumat sudah dikongsikan, masih ada antara mereka yang melenting tidak tentu pangkalnya, abaikan sahaja perilaku mereka kerana mereka sebenarnya bukan ingin maklumat tetapi sekadar perhatian dan populariti politik.
"Listen...listen..listen, Let me speak" adalah satu kisah yang menarik, untuk semua yang bertanggungjawab menguruskan mahasiswa mengambil iktibarnya. Jika di sekolah, para pendidik menganjurkan pengajaran dua hala, maka di universiti juga apatah lagi. Pada saya secara peribadi, apa pun tingkah laku dan perilaku mahasiswa, yang nakal atau yang baik, mereka adalah anak anak bangsa yang harus dididik dengan ilmu yang bermanafaat. Mereka harus dididik membezakan yang betul dengan yang salah...biarpun masa yang perlu kita ambil sangat panjang..bersabarlah...
Sekali lagi, tiba-tiba saya ingin menonton kembali "..listen listen..listen..Let Me Speak..." Harapnya kali ini senyuman saya tidak lagi selebar sewaktu kali pertama menontonnya.