Pejabat Majlis Eksekutif Pelajar IZISH |
- Mungkin ramai pelajar UKM yang belum menyedari bahawa mulai semester 2 ini, Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) kolej kediaman telah ditukarkan namanya kepada Majlis Eksekutif Pelajar (MEP). Ya, sekarang nama barunya ialah Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Kediaman UKM. Kita ada 12 kolej maka secara langsung akan ada 12 MEP kolej kediaman. Mengapa namanya ditukar? Apa rasionalnya JAKSA menjadi MEP? dan apakah hasrat pengurusan HEPA UKM dengan perubahan nama baru ini?
- Sejak kolej kediaman UKM ditubuhkan, nama yang telah digunakan dan kekal sekian lama ialah Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) Kolej kediaman. JAKSA mempunyai peranan menjaga kebajikan pelajar di kolej kolej kediaman. Sesuai dengan namanya yang berstatus 'kebajikan', maka semua exco JAKSA diagihkan untuk menguruskan hal ehwal sukan, kerohanian, kesihatan, keselamatan, makanan, kesenian, perpaduan kaum dan pendidikan. Tugas exco JAKSA ini meliputi perkara perkara asas yang secara terfokus memastikan kebajikan pelajar kolej terpelihara.
- Itu dulu, hari ini hampir semua urusan kebajikan telah diuruskan secara terus di bawah JPPEL. Kita sudah punya pusat kewangan pelajar, pusat zakat, pusat kesihatan yang jauh lebih baik, pusat sukan yang lebih besar, program akademik di fakulti, pusat kebudayaan yang jauh berkualiti, bahagian keselamatan yang lebih besar dengan sistem keselamatan yang sentiasa dipertingkatkan, cafetaria yang dipantau terus oleh pihak bendahari dan pusat kesihatan. Malah berbagai lagi 'soal kebajikan pelajar telah dinaiktarafkan' berbanding dulu. Mungkin belum sempurna, tetapi yang nyata kita jauh lebih baik dari dulu. Kita juga sudah punyai khidmat kaunseling, ISC, PAP, JPPEL yang telah membangunkan sistem online sepenuhnya . Dulu ini semua tidak pun dibayangkan oleh pelajar.
- Kesannya pelajar hari ini boleh berurusan secara terus dengan unit unit JPPEL, fakulti dan pusat pusat perkhidmatan tanpa perlu mengaharapkan masalah mereka disalurkan atau dijaga oleh JAKSA seperti satu masa dulu. Dulu exco JAKSAlah yang akan ke hulu hilir mencari kenderaan untuk membawa pelajar yang sakit di tengah malam ke Hospital Kajang kerana pusat kesihatan UKM hanya dibuka pada waktu pejabat sahaja. Tidak ada konsep 'on call' di Pusat Kesihatan UKM seperti sekarang.
- Bila semua pelajar UKM sudah boleh berurusan terus dengan semua unit yang menjaga kebajikan mereka, apa perlunya JAKSA lagi. JAKSA semakin lama pasti akan semakin kurang relevan untuk terus menjaga kebajikan pelajar seperti dahulu. Hari ini saya sudah tidak mendengar lagi exco JAKSA ke hulu ke hilir mencari kenderaan untuk hantar pelajar sakit lagi. Felo pun tidak lagi menghantar pelajar ke hospital seperti dahulu. Hari ini sudah ramai pelajar yang berkenderaan sendiri, atau berkongsi dengan rakan rakan, malah jika sakit pun tidak perlu lagi ke Hospital Kajang kerana di Bandar Baru Bangi juga sudah banyak klinik dan pusat pakar perubatan.
- Maka, institusi JAKSA perlu mencari definisi baru dalam memastikan kesinambungannya. Demi memastikannya terus relevan untuk pelajar pada masa mendatang. Maka konsep JAKSA harus berubah, bukan berubah sedikit tetapi berubah secara menyeluruh kepada wajah serta tanggungjawab yang lebih baru dan segar, selari dengan perkembangan semasa warga kampus.
- Paling penting, hari ini maksud kebajikan pelajar bukan lagi sekadar soal menjaga sakit atau deman pelajar. Maksud baru menjaga kebajikan pelajar merujuk kepada menguruskan 'kebolehpasaran' para pelajar UKM.
- JAKSA hari ini bertanggungjawab berkaitan pembangunan bahasa Inggeris, bahasa Melayu atau bahasa ketiga supaya dikuasai oleh pelajar kolej masing masing. Hari ini JAKSA harus mendidik pelajar kolej tentang pengurusan masa yang berkesan, pengurusan kemasan diri, pengurusan kewangan yang betul, pengurusan kesihatan (masa tidur yang cukup, masa belajar, masa riadah, makanan yang diambil etc). Hari ini Jaksa bertanggungjawab mendedahkan pelajar kepada kemahiran keusahawanan, memahami politik matang yang harmoni, menguasai kemahiran komunikasi dan sebagainya. Inilah bentuk JAKSA yang baru dan sedang dituntut oleh para pelajar.
- Bagi mencapai tujuan tersebut, JAKSA harus menganjurkan aktiviti yang bersifat berpusatkan kebolehpasaran, berpusatkan pembangunan kemahiran insaniah, berpusatkan kemahiran berbahasa Melayu/Inggeris/Arab/Madarin etc.
- JAKSA harus berubah mindanya kepada menganjurkan aktiviti yang mempunyai kerangka seperti sebuah syarikat. Sebuah syarikat tentulah mempunyai cara kerja yang berbeza. Syarikat mementingkan outcomes dalam urusannya. Maka persoalan keberkesanan kos, strategi pemasaran, penjenamaan, jaringan dengan pihak industri menjadi sangat penting untuk dikuasai oleh semua ahli JAKSA.
- Maka itu sebagai langkah yang utama, nama JAKSA harus diberikan jenama baru iaitu Majlis Eksekutif Pelajar. MEP ini akan diketuai oleh seorang Ketua Eksekutif. Di bawahnya akan ada eksekutif pentadbiran (nama lamanya setiausaha JAKSA), eksekutif kewangan (bendahari JAKSA) dan pengurus pengurus bahagian (exco JAKSA).
- Kebetulan, IZISH telah menjadi kolej yang pertama dan perintis menggunakan istilah MEP sejak ditubuhkan pada tahun 1996. Maka sudah hampir 16 tahun MEP wujud di IZISH. Peranan MEP IZISH ibarat sebuah syarikat yang menguruskan projek projek secara berterusan. Maka sebagai contoh MEP IZISH menguruskan projek KOLEJ LESTARI, FESTKIB, CAREER EXPO, HAK ASASI MANUSIA, IDEA CHALLENGE dan banyak lagi. Dua matlamat utama yang menjadi dasar setiap projek MEP IZISH ialah outcomes yang mesti dicapai ialah secara jelas memenuhi tujuan softskills dan keduanya berorientasikan penjanaan kewangan sendiri.
- Perubahan nama JAKSA kepada MEP tidak akan memberikan apa-apa makna jika 'mindset' tidak berubah. Dua perkara yang perlu diingat ialah konsep kebajikan telah berubah bila MEP dilaksanakan mengantikan JAKSA. Kedua, bentuk aktiviti harus berubah selari dengan konsep MEP itu sendiri. Tentunya juga masih banyak pemikiran baru diperlukan untuk memantapkan konsep MEP ini.
- Semoga usaha ini menjadi satu anjakan paradigma baru yang besar dalam memperkasakan kepimpinan pelajar di kolej kediaman UKM.