25 February, 2013

Mengapa Saya Tolak Pendidikan Percuma di Universiti?


Semalam (Ahad 24 Feb)) saya kebetulan sempat berbincang atas talian bersama beberapa pelajar  dalam FB. Isunya tentang pendidikan percuma. Terimakasih pada sdr Haziq Asyraf, Noor Atiqah Rozemi, Elya Dayana, Lim Hong Seng, Atiqah Yusop, Zullizam Izany Othman, Khairyl Areef dan beberapa orang lagi yang turut ikut sama berbincang isu ini. Seperti biasa, pelajar akan terbahagi kepada tiga kumpulan. Pada ketika satu pihak menentang, akan ada satu menyokong dan satu lagi pihak tak kisah. Ketiga tiganya kumpulan ini ada dalam perbincangan tersebut.

Yang menyokong pendidikan percuma- kelihatanya seperti di kalangan yang pro-pakatan pembangkang bermatian mengatakan negara kita boleh memberikan pendidikan percuma kepada mahasiswa. Mereka percaya sumber wang untuk digunakan ialah dari wang hasil khazanah negara -wang Petronas. Setiap tahun pendapatan Petronas dikatakan berjumlah hampir 90 billion dan 33 billion daripadanya akan diberikan kembali kepada negara sebagai royalti, cukai dan sebagainya. Sebahagian wang inilah yang dicadangkan untuk membiayai pendidikan percuma kepada semua pusat pengajian tinggi di negara ini melalui pemansuhan PTPTN dan tabung tabung pinjaman pembiayaan yang lain ( pinjaman kerajaan negeri, JPA, Kementerian etc)

Kumpulan yang menolak cadangan pendidikan percuma menegaskan hari ini pendidikan memangpun telah percuma bila kerajaan memutuskan pelajar yang mendapat kelas pertama secara automatik tidak perlu membayar apa juga bayaran pinjaman PTPTN. Yang perlu dilakukan oleh mahasiswa ialah belajar dan berusaha untuk mendapat kelas pertama.Yang tak kisah tak perlu saya ulas kerana mereka tak kisah samada percuma atau berbayar.

Pada saya isu ini menarik bukan kerana topiknya tetapi melihat bagaimana keupayaan mahasiawa kita berfikir dan memahami senario isu negara. Alhamdullillah, bila ada segelintir mahasiswa UKM mahu berbincang soal soal yang tidak ada dalam dewan dewan kuliah. Soal pendidikan percuma juga tidak ada dalam nota kuliah. Tentu juga tiada dalam soalan peperiksaan. Jadi tentulah bukan sesuatu yang semua pelajar lakukan. Hanya pada mahasiswa yang berjiwa besar dan ingin mencabar minda intelektual masing masing sahaja ingin menilai situasi ini. Bila sudah ada keinginan untuk berbincang, tentulah secara peribadi  merasa sangat bangga mempunyai anak anak muda sebegini di UKM.

Kedua, perbincangan ini saya tuliskan sebagai menghargai keupayaan mereka dalam mengekpresikan kebebasan berfikir, berani bersuara secara terbuka. Tetapi pada masa yang sama bangga  melihat keupayaan mereka dalam menggunakan bahasa yang sopan, sifat budi bahasa serta menghormati pandangan orang lain. Tahniah anak muda UKM yang saya sebutkan nama mereka di atas.

Saya juga punya pandangan tentang pendidikan percuma. Saya akan kemukakan pandangan saya di bawah. Mungkin ada yang tidak bersetuju. Itu biasa. Yang penting kita punya pandangan. Lebih merisaukan bila ada mahasiswa yang langsung tidak ada pandangan.

Kita telah mendengar isu ini dimainkan dalam pentas politik. Di peringkat mula pun bukan anak muda mahasiswa yang menuntut pendidikan percuma. Semuanya bermula dari gelojak mainan politik pakatan  pembangkang. Itu biasa dalam politik.Tujuannya juga sangat mudah kita fahami. Untuk mendapat sokongan anak muda di menara gading. Ini satu permainan 'politik harapan' yang jika berjaya diprovokasikan akan membuahkan sokongan pada pakatan pembangkang dan mereka berjaya. Ada parti politik menggunakan agama sebagai politik harapan, ada yang menggunakan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memacu pembangunan sebagai politik harapan. Itu biasa dilakukan.

 Ramai anak muda yang melihat perjuangan mendapatkan pendidikan percuma sebagai satu yang 'real', mudah dilakukan dan tidak ada  implikasi jangka panjang. Saya juga kalau boleh hendakkan pendidikan percuma. Siapa yang tak mahu. Kalau saya ada tiga anak yang akan masuk universiti tidak lama lagi, bayangkan berapa banyak wang saya dapat dijimatkan. Jika anak saya melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran, ratusan ribu ringgit wang saya dapat dijimatkan. Tentu sahaja kalau  saya mahu mencapai matlamat jangka pendek dan atas sifat ketamakkan peribadi, saya akan menyokong sepenuhnya pendidikan percuma.

Tetapi kita tidak harus tamak dan hanya pentingkan diri sendiri. Kita harus lebih insaf akan keperluan dan keupayaan masyarakat negara kita dalam tempoh sepuluh, dua puluh atau lima puluh tahun akan datang. Kita juga harus memastikan masyarakat kita terus bersatu, berpadu dan seboleh bolehnya jurang antara masyarakat diminimakan, kalaupun tidak dapat dihapuskan smasa sekali.Jika setiap warga punyai harapan sedemikian, itulah yang terbaik untu generasi masa depan.

Kita semua mungkin sudah menonton perdebatan antara Khairy dan Rafizi tentang isu pendidikan percuma. Maaf cakap pada saya, mereka kedua duanya gagal memberikan pandangan yang kita perlukan. Betul mereka telah berikan angka-angka ringgit dan sen untuk mengukuhkan hujah mereka. Khairy kata wang Petronas tidak cukup untuk biayai pendidikan percuma, Rafizi bermatian berkata, "wang peronas cukup untuk biayai pendidikan percuma". Pada saya ini bukan soal cukup atau tidak cukup, tetapi ini soal sustainable. Apakah wang Petronas boleh digunakan sepanjang zaman untuk terus membiayai pendidikan percuma. Apakah wang dari Petronas boleh biayai pendidikan percuma berpuluh tahun dari sekarang.

 Kita semua tahu simpanan minyak Petronas ada hadnya. Mungkin lima belas ke dua puluh tahun dari sekarang simpanan minyak di perut bumi Malaysia akan mulai kering. Sebab itu Petronas sekarang semakin aktif mencari telaga telaga baru di luar negara. Mereka juga semakin aktif membuat penyelidikan tenaga terbaharu sebagai alternatif pada minyak. Kita semua tahu bahawa menggunakan hasil minyak untuk membiayai pendidikan pencuma tidak akan lestari sifatnya. Ada masanya semua ini akan tiada lagi.

Pasti sampai satu masa, anak cucu kita  tidak mampu lagi dibiayai pendidikan percumanya bila Petronas sudah tiada lagi sumbernya seperti sekarang. Pada ketika itu apakah masyarakat tidak akan berdebat lagi soal pendidikan percuma, ketika negara terpaksa membatalkan pendidikan percuma kerana ketiadaan sumber? Saya pasti pendebatannya kan jauh lebih hebat dari cadangan memberikan pendidikan percuma sekarang.Siapapun tidak akan setuju bila pendidikan percuma tiba-tiba sudah tidak lagi percuma semata mata lagi kerana sumber minyak sudah tiada? Ketika sudah menjadi budaya pendidikan percuma tiba tiba lagi tidak percuma.

Mungkin akan ada yang berkata, biarlah kerajaan ketika itu memkirkan bagaimana untuk meneruskan pendidikan percuma walaupun sumber Petronas sudah tiada, itu bukan lagi zaman kita. Jika itulah prinsipnya, kita bolehlah menghalalkan penebangan balak tanpa had, atau kita izinkan untuk mana mana syarikat menarah bukit dan membina sebanyaknya rumah di lereng bukit, kita beri laluan yang sepenuhnya apa juga yang akan mendatang pulangan ekonomijangkapendek tanpa perlu fikirkan tentang isu alam sekitar dagenerasi masa depan kerana biarlah pemimpin negara masa depan fikirkan bagaimana mereka harus selesaikan isu tersebut. Itu sikap yang tidak betul dan sangat tidak bertanggunjawab.

Keduanya, apakah kesannya bila pendidikan percuma disediakan. nampaknya suci tetapi hakikatnya tidak. Paling nyata ialah kualiti pendidikannya tidak boleh diangkat ke paras yang tertiinggi. Kita kaji dan lihat negara negara yang sudah memberikan pendidikan percuma. Lihat Sri Lanka, lihat Cuba, negara yang berada dalam kumpulan negara membangun dan kadar GDP yang rendah dan sederhana (seperti Malaysia).

Jangan lihat German sahaja kerana mereka hanya menyediakan pendidikan percuma (bukan untuk semua bidang pengajian) bila sudah ada infra pendidikan yang jauh lebih hebat. Pendapatan negara German juga sudah sangat jauh ke hadapan. Pendidikan percuma di German juga tidak menggunakan hasil sumber alam tetapi dari pendapatan yang lebih sustainable, industri berteknologi tinggi, perkilangan, pelaburan antarabangsa serta penjanaan penyelidikan di IPT sendiri. Kita belum di kelas itu. Masih jauh lagi. maka kita kena lihat Sri Lanka sebagai contoh terdekat.

 Apakah pelajar universiti di Sri Lanka yang mendapat pendidikan percuma disediakan prasarana universiti yang hebat dan bertaraf dunia. Apakah dewan kuliah, perpustakaan, tenaga akademik, peralatan makmal dan sebagainya sangat tinggi tahap teknologi dan bersifat menerajui pendidikan tinggi? Saya sudah ke sana dan saya tahu ia tidak memberansangkan. Ramai rakan rakan akademi saya yang juga ke sana juga berpandangan yang sama.

Pendidikan percuma tidak bermaksud pendidikan itu secara sendirinya akan berkualiti. Mengapa? Bila kita memberikan pendidikan percuma, kualiti pendidikan akan secara sendirinya terpaksa dikurangkan kerana peruntukan yang ada telah diagihkan untuk digunakan bagi membiayai pendidikan percuma. Tentu tidak mampu untuk negara membiayai pendidikan percuma dan pada masa yang sama membiayai pendidikan berkualiti tinggi.

Kita faham dan tahu konsep "kos Melepas" dalam ekonomi. Analogi mudahnya, kalau dua keluarga masing masing berpendapatan RM3,000 sebulan, mampukan keluarga yang punyai ramai anak menyediakan laptop, telefon dan segala macam kemudahan bagi setiap anaknya berbanding keluarga yang punyai satu atau dua anak? Yang ramai anak tentulah amalkan kena berkongsi, yang sedikit anak pula boleh sahaja untuk menggunakan sepenuhnya searang diri. Samalah juga dengan pendidikan percuma, kerana kos yang tinggi, penyediaan segala kemudahan di IPTA yang amalkan pendidikan percuma harus dikongi dengan ramai orang pelajar.

Apa keasn sampingan yang akan berlaku bila pendidikan percuma disediakan? Pendidikan tinggi swasta akan tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Akan wujud banyak IPTS swasta yang bersedia menjadikan pendidikan tinggi  berkualiti sebagai perniagaan mereka. Maka apa yang berlaku, seperti sejarah sekolah Melayu dan sekolah Inggeris pada awal abad ke 20 di negara ini, anak anak orang kaya dan atasan akan belajar di universiti swasta. Alasanya, kerana inginkan pendidikan yang berkualiti.

Anak anak orang miskin, terutamanya anak anak Melayu akan belajar di universiti awam yang percuma. Tentunya dengan peruntukan yang semakin terhad (sebahagian besarnya untuk sediakan pendidikan percuma), IPTA tidak mampu menyediakan pendidikan tinggi yang hebat, berkualiti dan berteknologi tinggi sebagaimana IPTS. Lihat sahaja di peringkat sekolah rendah dan sekolah menegah kerajaan yang percuma dan bandingkan kualiti pengajaran, fasiliti, sistem dan persekitaran dengan sekolah antarabangsa atau sekolah persendirian yang mengenakan bayaran tinggi.

Ada sistem keselamatan yang canggih, ada kolam renang, ada kelas seni, ada lawatan ke luar negara dan sebagainya. mampukan sekolah kerajaan yang percuma sediakan semua ini di semua lebih 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia? pada akhirnya, lihat produk kedua dua aliran sekolah ini. Sangat berbeza sekali. jadi jangan kita terkejut bila ramai anak Pak Menteri dan anak anak orang kaya menghantar anak anak mereka ke sekolah antarabngsa dan swasta. Bukan salah mereka, kerana mereka inginkan pendidikan yang terbaik untuk anak anak mereka. Kita juga akan begitu jika kita punyai kewangan yang baik. Apa salahnya, bukan?

Maka pendidikan percuma akan membentuk dua kumpulan masyarakat yang terpisah jauh antara satu sama lain. Yang miskin di IPT awan berpendidikan percuma, yang kaya diberikan pendidikan berkualiti di IPTS yang mengenakan yuran pengajian yang tinggi. Jika kita membenarkan pendidikan percuma kita sebenarnya membina sebuah masyarakat yang jurang kehidupan mereka akan semakin menjauh antara satu sama lain. Percayalah...

Sebab itu saya berpendirian kita tidak perlu menyediakan pendidikan percuma. Pertama, kerana pendidikan  percuma yang mengharapkan sumber hasil minyak sifatnya tidak sustainable atau berjangka panjang, Keduanya, pendidikan percuma menggalakan pertumbuhan pendidikan tinggi swasta yang akhirnya pasti akan membina sebuah masyarakat yang jurang budaya, pemikiran , kekayaan dan sebagainya begitu ketara sekali. Saya lebih cenderung berpendirian kita memerlukan satu dasar pendidikan tinggi yang sentiasa minina kos pengajiannya.

Pendidikan tinggi perlukan perlindungan supaya tidak dijadikan perniagaan yang keterlaluan sifatnya. Kos minima ada satu dasar yang lebih pragmatik dan sustainable untuk jangka panjang. Tentunya dari masa ke semasa kos pengajian akan tetap meningkat. Itu tidak dapat dielakan. Tetapi kadar peningkatanya harus dipastikan pada tahap yang paling minima dan munasabah. Manakala pada masa yang sama perlu diperkukukuhkan juga satu dasar affimative (sokongan) kepada kumpulan isu rumah yang miskin (misalnya pendatan RM3,000 ke bawah) untuk anak anak mereka mendapat peluang pendidikan tinggi dengan kos yang lebih rendah dari kos minima kalaupun tidakpun secar percuma. Kita perlu objektif dalam memahami isu ini.

Pendidikan percuma boleh dilaksanakan untuk membantu kumpulan yang memerlukannya secara kritikal. Bukan untuk semua orang. Apa logiknya memberikan pendidikan percuma pada isirumah yang berpendapatan RM50,000 ke atas sebulan? Atau RM 100,000 sebulan? Atas dasar hak? Pendidikan percuma bukan hak asasi. Hak asasi terhadap pendidikan merujuk kepada  "tiada halangan bagi mana mana individu untuk akses kepada pendidikan dan dalam konteks negara ini tiada sekatan  untuk sesiapa mendapat peluang pendidikan yang berkualiti. Makanya, memberikan pendidikan percuma pada si kaya dengan menggunakan wang rakyat adalah sesuatu yang tidak produktif sifatnya. Tetapi memberikan bantuan pendidikan termasuk pendidikan percuma pada si miskin sangat besar maknanya. Apa yang penting ialah menyediakan pendidikan yang minima kosnya dan yang miskin dibantu sepenuhnya...supaya kita boleh terus sustain untuk jangka panjang.

Saya telah berikan pandangan peribadi saya, saya kemukakan cadanganbalas saya dan saya  nyatakan apakah rasionalnya . Pasti ada yang setuju, tidak kurang juga tentu ada yang tidak bersetuju. Dalam memberikan pandangan saya tidak menyebelahi mana pihak, ke kanan tidak ke kiripun tidak.Yang penting kita harus bersifat objektif dalam membuat penilaian. Yang penting ialah natijahnya kepada masyarakat kita, bukan untuk jangka pendek tetapi lebih penting untuk jangka panjang.

Impiannya biarlah perjuangan untuk menghasilkan pendidikan berkualiti diutamakan. Pada masa yang sama setiap warga tidak dinafikan hak untuk mendapat pendidikan yang berkualiti. Yang miskin mesti di bantu. Saya berpendirian sementara hasil minyak Petronas masih ada untuk satu tempoh yang tidak terlalu lama, negara harus menggunakan sumber ini untuk menyediakan sebanyak mungkin prasarana kepada masyarakat. Gunakanlah wang petronas untuk membina lebih banyak jalanraya, lebih banyak sekolah yang berkualiti dibandar dan luar bandar, bina tadika, masjid, institusi teknikal, jalur lebar, kemudahan air bersih, tenaga elektrik pusat pendidikan tinggi dan sebagainya. Ini penting untuk masyarakat, jauh lebih penting dari isu pendidikan percuma yang tidak spesifik sifatnya.

Pendidikan sampai bila bila pun bukan untuk dijualbeli, tetapi mengharapkan pendidikan yang percuma sepenuhnya dalam kondisi masyarakat masakini bukanlah juga sesuatu yang sempurna sifatnya. Biarlah kita ambil jalan yang lebih sederhana tetapi sudah pasti arahnya...