Seingat saya, ini kali keempat saya menulis tentang institusi felo UKM untuk blog Ilmu Mutu dan Budi. Mengapa? Kerana saya sentiasa yakin institusi ini sangat penting dalam menguruskan pembangunan dan kesejahteraan hampir 12,000 pelajar UKM di kolej kolej kediaman. Menariknya, setiap kali isu ini dinukilkan, 'hit' pembaca cukup tinggi. Malah 'isu felo' adalah antara yang tertinggi di kalangan semua post yang lain. Ini juga satu bukti bahawa ramai khususnya pelajar percaya institusi felo ini penting dan perlu diperkasakan supaya sentiasa relevan.
Semalam (Isnin 18 Februauri 2013) saya dimaklumkan telah diadakan satu mesyuarat felo felo kanan/wakil felo dan juga wakil MEP (nama baru JAKSA) di bangunan Canselori UKM. Saya ingin ucapkan tahniah dan berbangga kerana saranan supaya pasukan felo atas iniasitif sendiri menganjurkan perbincangan sesama mereka telah berjaya direalisasikan. Saya tidak tahu apa isi perbincangan tersebut, tentunya saya yakin semua ini diusahakan demi memperkasakan institusi felo dan pembangunan pelajar di kolej kediaman UKM.
Lama dulu seingat saya, telah ada usaha menganjurkan pertemuan sesama felo atas kapasiti 'majlis felo kolej kediaman UKM' dilakukan. Tetapi kemudian terhenti agak lama. Tetapi berlangsung kembali seketika. Dan berhenti pula kemudiannya. Fenomena "hidup segan, mati tak mahu" ini menghantui institusi felo dalam meningkatkan keupayaan kendiri mereka sebagai felo. Akhirnya, mereka lebih senang menunggu arahan atau menerima sahaja apa yang diputuskan oleh pihak lain (JPPEL, Majlis Pengetua etc) tanpa bersedia memberikan input tambahan atau cadangan balas. Itu kisah dulu.
Pada saya Felo Kolej bukan Warden Asrama (walaupun suara nakal pelajar ada juga mengunakan istilah 'warden' kepada institusi felo, bila ada segelintir felo yang 'tertidur'). Pada saya felo jauh lebih penting daripada itu. Felo adalah satu badan unik yang ditubuhkan oleh pihak UKM melalui HEPA untuk menjadi mentor, pembimbing, 'rakan contoh' dan peneraju kepada usaha membangunkan pelajar di kolej kediaman UKM.
Sebab itu, bila pelantikan felo dilakukan, kriteria utama ialah "apakah kekuatan seseorang calon dalam membantu pembangunan pelajar".Ada felo yang cemerlang penguasaan bahasa Inggeris/Arab/ Mandarin maka itu satu kekuatan, ada pula felo yang bagus kemahiran komunikasinya, ada felo cemerlang sukan, kesenian, kebudayaan. manakala sesetengah felo hebat dari segi keusahawanan, kelestarian, kepimpinan, ICT atau kerohanian.
Malang sekali jika seseorang felo yang dilantik, pelajar tidak tahu apakah kekuatan felo tersebut yang boleh disumbangkan untuk membangunkan pelajar di kolej. Lebih malang lagi jika felo itu sendiri pun tidak tahu apakah kekuatannya yang boleh disumbangkan pada pelajar!
Maka itu acara perbincangan sesama felo bagi memberikan cadangan, pandangan yang konstruktif sangat diperlukan oleh pihak universiti. Mungkin felo bukan pakar yang menyelidik pembangunan pelajar di UKM, jauh sekali menulis artikel atau laporan dalam jurnal, tetapi kita tidak nafikan bahawa hasil pemerhatian, interaksi, hubungan seharian dengan pelajar di kolej telah memberikan setiap felo peluang untuk cekap dan mahir dalam menilai apakah penyelesaian terbaik untuk membantu pembangunan pelajar.
Jika pelajar lemah bahasa Inggeris, seseorang felo yang boleh menguasai bahasa Inggeris tentu ada idea bagaimana membantu mereka, jika pelajar ada masalah sahsiah dan moral, felo yang ada kemahiran dalam bidang kerohanian atau kaunseling tentu tahu langkah-langkah membantu pelajar tersebut. Saya yakin jika setiap felo mengerakkan isihati dan 'passionate' mereka untuk membantu pelajar, banyak perkara dan isu dapat diselesaikan dengan baik.
Harapnya institusi felo hari ini bergerak ke hadapan dalam ruang pemikiran dan cara kerja yang baru. Pelajar UKM sekarang sedang berhadapan dengan pelbagai isu yang perlukan bantuan dan input dari semua pihak, dari pengurusan UKM, JPPEL, Kolej Kediaman, tenaga akademik di fakulti, tidak terkecuali institusi felo.
Isu kebolehpasaran paling mendesak, isu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, isu kualiti projek, bagaimana mencapai kemahiran insaniah melalui aktiviti berimpak tinggi, isu penjanaan kewangan aktiviti pelajar, isu sahsiah, isu kemahiran menguruskan masa dan kemasan diri, isu pengurusan kewangan, soal keselamatan dan kesihatan etc. Semua isu ini tak akan selesai sepenuhnya, kadangkan berjaya dibantu, kadangkala hanya masa yang menentukannya. Isu akan sentiasa wujud dan berterusan. Maka inilah perlunya institusi felo bersama pelajar di kolej kediaman.
Malah kita sebagai felo juga perlu menanggap isu-isu baru yang tidak ada masa kini. Misalnya UKM sebagai universiti penyelidikan membawa bersama implikasi akan lebih ramai 'warga warga baru' di kalangan pelajar siswazah di UKM. Pra siswazah akan berkurangan. Akan lebih ramai pelajar siswazah tinggal di kolej kolej kediaman pada masa depan. Apakah persediaan kita di kalangan felo dalam menguruskan situasi baru ini. Bagaimana dengan menguruskan pelajar antarabangsa di kolej kediaman masing masing? Bagaimana pula bentuk aktiviti yang sesuai dengan keperluan 'warga-warga baru' ini nanti.
Semoga pertemuan sesama felo akan membuahkan lebih banyak input-input segar untuk dikongsi dan diteliti oleh pihak kepengetuaan dan JPPEL. Ini adalah satu usaha untuk menjadikan institusi felo benar benar satu badan yang 'tinggi darjatnya' di mata warga UKM. Bukan sekadar 'warden asrama'...