Di UKM, juga di semua IPTA lain, pelajar diperkenalkan dengan dua model aktiviti untuk pembangunan diri. Pertama, model pembangunan diri bermodul dan dilaksanakan secara berterusan dan keduanya, model program pembangunan diri yang tidak bermodul dan bersifat one-off. Hasil kajian yang dilakukan oleh saya dan beberapa rakan rakan akademik lain yang dilantik oleh pihak KPT menunjukkan kedua dua model ini menawarkan kesan yang tidak sama, dan tentunya juga ada kekuatan dan kelemahan masing masing.
Di dalam membangunkan pelajar, dan jika kita bersungguh sungguh untuk melihat kesannya, cara terbaik ialah menggunakan model aktiviti pembangunan pelajar yang berterusan. Aktiviti model ini diwakili oleh badan PALAPES, SUKSIS, BSMM DAN SISPA atau menjadi ahli sukan atau ahli kebudayaan yang aktif pada pelbagai peringkat (dari kelab hinggalah mewakili UKM atau negara). Begitu juga menjadi ahli debat Perucapan Umum.
Manakala program berbentuk one-off, tidak berfokus walaupun mempunyai kekuatan, masih mempunyai beberapa kelemahan yang ketara. Misalnya sifatnya tidak ada konsep pemeringkatan perkembangan, dilakukan secara ad-hoc, terlalu berpusatkan pelajar, walaupun menyeronokkan tetapi impak pembangunan diri tidak dapat menandingi keberkesanan program yang bermodelkan aktiviti yang mempunyai modul secara berterusan.
Oleh itu saya cenderung untuk melihat bagaimana sebagai pelajar, anda boleh mengabungkan kedua-dua kerangka ini menjadi satu bentuk aktiviti yang bermodul, bersifat berterusan dan ada pemeringkatan perkembangannya tetapi pada masa yang sama anda sendiri yang bebas merangka modulnya, merangka aktivitinya dan menentukan objektif dan pencapaian untuk pembangunan diri masing masing.
Malah dalam konteks UKM, anda lebih beruntung kerana pihak pengurusan universiti melalui PAP telah memperkenalkan Kontrak Pembelajaran (LC). LC belum wujud adi IPTA yang lain buat masa ini.
Malangnya, apabila pelajar tidak memahami konsep LC yang benar benar boleh membangunkan diri mereka, mereka cenderung melakukan berbagai jenis program bersifat touch & go, tidak berfokus, "cacamarba" dan tidak memberikan kesan terbaik kepada pembangunan diri mereka. Sebagai contoh, untuk melengkapkan 8 kredit, ada sesetengah pelajar yang adakan lawatan (2 kredit), seterusnya menjadi ajk hari keluarga kolej (2 kredit), menjadi ajk kebudayaan kolej (2 kredit) dan menjadi ajk jualan sempena minggu usahawan (2 kredit).
Walaupun jumlahnya menjadi 8 kredit, bezanya sangat besar berbanding 8 kredit yang dicapai oleh ahli PALAPES, SUKSIS, SISPA atau BSMM. Malah juga sangat jauh bezanya pembangunan diri pelajar kumpulan ini jika dibandingkan dengan lapan kredit yang dicapai oleh ahli debat, atlet UKM, atau pelajar yang menjadi kumpulan penari di Pusat Kebudayaan UKM.
Jika kita tinjau, lebih 90% pelajar berada di dalam kelompok "cacamarba" ini. Hanya segelintir kecil sahaja yang mengikuti program pembangunan diri yang berfokus seperti PALAPES, SUKSIS, SISPA dan BSMM. Begitu juga sangat kecil bilanganya yang menjadi ahli sukan UKM, ahli aktif pusat kebudayaan UKM, apatah lagi yang terlibat dalam Perucapan UMUM UKM.
Sebilangan kecilnya terlibat dalam kepimpinan pelajar di MPP, MEP KOLEJ, persatuan anak negeri, dan persatuan pelajar fakulti. Jika UKM mempunyai hampir 12, 000 pelajar pra siswazah, sekitar 1,200 sahaja yang tergolong dalam kumpulan ini. Selebihnya 90% tidak mempunyai portfolio aktiviti untuk tujuan pembangunan diri masing masing.
Oleh itu sangat penting semua aktiviti pelajar di UKM perlu dimodulkan. Paling utama pelajar sendiri yang mereka-bentuk modul aktiviti untuk pembangunan diri mereka. Yang penting juga, setiap modul mestilah menunjukkan tahap tahap pencapaian softskill dan hardskills yang perlu dicapai. Misalnya jika mereka memilih aktiviti sukan bolasepak, maka mereka mesti bangunkan kemahiran komunikasi atau kerja sepasukan (softskills) dan juga kemahiran mengelecek, teknik menendang bola dan sebagainya (hardskills).
Contoh aktiviti yang boleh dimodulkan oleh pelajar mengikut minat dan keupayaan masing masing;
Pembangunan Diri Melalui Program Usahawan
a. Tahap Satu (2 kredit) - HPP: Kemahiran komunikasi dan Pencarian Maklumat (Tahap satu adalah Pendedahan kepada hidup dan pemikiran keusahawan- menghadiri kursus, ceramah, lawatan kerja, dialog bersama usahawan berjaya, bengkel pemikiran usahawan)
b. Tahap Dua (2 Kredit) - HPP Kepimpinan, Komunikasi, Kerja Berpasukan, Membuat Keputusan, Kreativiti dan Inovasi (Tahap dua adalah 'hands-on' menjadi usahawan kecil)- mula membuka perniagaan kecilan di tapak pesta konvo, hari keluarga kolej, karnival usahawan, atau membuka perniagaan online. Boleh dilakukan secara berkumpulan untuk membina sistem sokongan. Mula hadir program usahawan secara serius. IZISH mengalakkan ramai pelajar yterlibat dalam aktiviti peringkat ini di kolej.
c. Tahap Tiga (2 kredit)- HPP Kepimpinan, Komunikasi, Kerja Berpasukan, Membuat Keputusan, Kreativiti dan Inovasi (Tahap tiga ialah Mulakan dengan adakan tapak/kedai kecil/laman web sebuah perniagaan yang berpotensi. Mula mendapat bimbingan CESMED dan pihak agensi kerajaan yang berkaitan. Mula mengikut bengkel dan seminar perniagaan secara serius. IZISH sudah mempunyai IZISH Corner, EZY Kiosk bagi menjayakan peringkat ini.
d. Tahap Empat (2 kredit) - HPP Kepimpinan, Pengurusan maklumat, Komunikasi, Kerja Berpasukan, Membuat Keputusan, Kreativiti dan Inovasi (Tahap Empat ialah pelajar Mula wujudkan sebuah syarikat Sdn Bhd atau enterprise. Ada produk dan perkhidmatan yang mempunyai potensi untuk diniagakan di dalam dan luar kampus. Sudah ada keperluan untuk berurusan dengan pihak TEKUN, Prosper dan agensi kerajaan yang menyediakan dana untuk mahasiswa berniaga. Mula belajar tentang marketing secara serius, pengurusan kewangan, pembungkusan dan jaringan perniagaan.
Modul modul seperti juga boleh dilakukan untuk program khidmat masyarakat, kesukarelawanan, kepimpinan, inovasi dan sebagainya. Apa yang penting pelajar sendiri yang membangunkan profil modul masing masing untuk melengkapkan 8 kredit LC.
Malah sangat penting diakhirnya setiap pelajar memliki satu pengiktirafan sebagai bukti pencapaiannya. Palapes akan ada Leftenan Muda, SUKSIS akan ada Inspektor, program usahawan akan ada Lesen Perniagaan Sdn Bhd, sukarelawan akan ada sijil dan menjadi ahli aktif NGO yang menjalankan program sukarelawan dan begitulah yang lain juga.