Pasti timbul pertanyaan mengapa di tahun satu dan dua ramai PNGK di bawah 2.00 sedangkan di tahun tiga dan tahun empat sangat rendah, masing masing hanya 25 dan 6 orang sahaja? Jawabnya kerana ramai yang telah diberhentikan pengajian di tahun dua kerana gagal berada di atas PNGK 2.00 selepas dua semester pengajian berturut turut sebelumnya.
Seseorang pelajar yang mencapai PNGK di bawah 2.00 akan diberikan peringatan akhir, dan jika mereka masih gagal meningkatkan PNGK di atas 2.00 di semester seterusnya, beliau akan ditamatkan pengajian di UKM. Apa jadi pada mereka? mengapa prestasi akademik mereka rendah? Jika mereka tidak cemerlang tentu mereka tidak layak melanjutkan pelajaran ke UKM dulu.
Oleh kerana telah terbiasa bersama pelajar sebagai pengetua di kolej, pensyarah di Fakulti Pendidikan, dulunya sebagai Timbalan Pengarah Pusat Perkembangan Pelajar dan juga sebagai Pengarah Pusat Pelajar Antarabangsa UKM, saya bertuah kerana dapat banyak pengalaman untuk mengetahui mengapa ada pelajar yang merosot prestasinya walaupun sebenarnya mereka bijak semasa di sekolah dulu.
- Saya tahu ada pelajar yang merosot prestasi akademiknya kerana masalah kesihatan. Saya pernah mengendalikan pelajar yang merosot akademik dengan masalah penyakit kanser, masalah saraf, masalah kelesuan otot yang kritikal dan sebagainya. Masalah kesihatan yang kronik memang menyebabkan seseorang pelajar hilang motivasi dan tumpuan untuk meneruskan pengajian. Kumpulan ini pada saya tiada apa yang dapat kita lakukan. Ujian yang mereka tanggung sudah cukup besar untuk mereka lalui. Apa yang penting ialah mereka terus berfikiran positif dan meredhai ketentuan Allah swt.
- Ada pelajar yang merudum prestasi akademik bila mereka tidak dapat meneruskan pengajian dalam bidang yang mereka cita citakan. Misalnya, ada pelajar yang ingin ikuti program perubatan, kejuruteraan atau undang undang tetapi tidak berjaya dan 'terpaksa' mendaftar dalam program yang lain. Kesannya mereka melihat kegagalan untuk mengikuti program yang diidamkan sebagai satu kegagalan yang besar. Oleh itu mereka menunjukkan sikap tidak berminat dan kurang motivasi mengikuti pengajian yang bukan idaman mereka. Kumpulan ini perlukan satu 'penjenamaan semula matlamat dan cita-cita' supaya mereka tahu bahawa walaupun mereka telah kuat berusaha, ketentuan adalah milik Allah swt. Ada hikmahnya ujian ini pada mereka dan menerima ketentuan itu adala satu penawar yang paling mujarab untuk menghadapi cabaran masa depan.
- Ada satu lagi kumpulan pelajar yang merudum prestasi akademiknya di sebabkan persekitaran yang gagal beliau adaptasikan. Misalnya ada yang terlalu 'dibawah ketiak mak ayah' tiba tiba keluar dari rumah, tinggal bersama sama rakan rakan di kolej. Mereka tidak mempunyai kemahiran sosial yang dapat digunakan untuk membuat adaptasi dalam persekitaran yang baru. Sikap mereka seperti 'hilang arah tuju', gelisah, tidak gembira, memliki perasaan bimbang dan keraguan dengan persekitaran baru. Oleh kerana mereka mengambil masa yang agak lama untuk berasimilasi dengan persekitaran baru, ramai antara mereka yang gagal menumpukan perhatian yang tinggi dalam pelajaran seawal mungkin. Kumpulan ini perlu dibantu dengan program 'modifikasi tingkahlaku' supaya mereka segera dapat menyesuaikan diri di kehidupan kampus.
- Satu lagi jenis pelajar rendah prestasi akademiknya yang sempat saya jumpa ialah kumpulan yang saya selalu kenalkan sebagai pelajar "caca-marba". Biasanya ciri ciri pelajar ini, mereka baik dalam akademik pada awalnya. Tetapi bila mula belajar di UKM, mereka hilang fokus. Belajar di kampus berbeza dengan sekolah. Jika di sekolah, apa yang ingin kita lakukan dibimbing oleh guru, di universiti anda yang tentukan apa yang ingin anda lakukan. Oleh kerana berfikiran cacamarba, pelajar dalam kumpulan ini akan sertai berbagai bagai aktiviti dan program bukan akademik. Mereka sangat suka anjurkan berbagai projek, lepas satu, timbul pula aktiviti yang lain. Ada pelajar dalam kumpulan ini yang menjadi ahli atau AJK dalam berbagai projek, persatuan dan kelab. Oleh kerana terlalu cacamarba, mereka hilang masa untuk belajar, letih untuk menelaah pelajaran dan tidak memberikan fokus untuk belajar.
- Ada juga pelajar yang merudum prestasi akademik, bukan kerana kecewa tidak dapat program yang diidamkan atau gagal adaptasi dengan persekitaran kampus atau juga kerana pemikiran 'cacamarba', tetapi mereka gagal dalam akademik kerana sentiasa dirundung masalah yang mereka cari sendiri. Pelajar yang "suka cari masalah ini' memang ada di kampus. Mereka berkawan dengan kumpulan remaja luar kampus yang tidak memikirkan masa depan dan berpeleseran, ada juga yang terjebak bercinta dengan suami orang yang akhirnya ditinggalkan begitu sahaja, ada pula yang dipermainkan oleh teman lelaki yang tidak bertanggungjawab, ada juga satu masa dulu saya pernah membantu pelajar yang terlibat dengan kumpulan ajaran tarekat yang tidak jelas ilmu agamanya. Alhamdullilah dengan bantuan beberapa rakan akademik UKM dalam bidang dakwah, beliau kembali sedar kesilapannya dan kembali memberikan fokus kepada akademik dan selesai pengajian selepas itu. Beliau pada satu peringkat hampir mengambil keputusan untuk berhenti belajar kerana taksub pada kumpulan ajaran tersebut, dan ibubapanya sampai beliau tamat pengajian tidak tahu tindakan 'bodoh' yang cuba beliau lakukan. Ada pula pelajar yang rendah prestasi akademik berpunca kerana terlibat dengan perniagaan MLM sehingga berhutang di sana sini. Mereka berhutang dengan rakan rakan, dengan pensyarah, saudara mara dan sebagainya. Pernah saya membantu menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah seorang pelajar yang terpaksa 'melarikan diri ke sana sini' kerana mengelak terserempak dengan pemberi hutang. Ada juga yang terjebak dengan aktiviti berpolitik luar kampus secara berlebihan sehingga meninggalkan kuliah, tidak menyiapkan tugasan akademik atau ke makmal. Kerana mengikut nafsu berpolitik, akhirnya kehidupan mereka menjadi tidak tenteram dan tidak dapat tumpukan kepada pembelajaran.
- Tetapi yang paling ramai dan menjadi sebab paling utama mengapa seseorang pelajar gagal mencapai prestasi akademik yang baik adalah MALAS. Dari sikap bermalasan yang sedikit kepada pelajar yang benar benar malas. Punca mengapa seseorang pelajar menjadi malas banyak. Tiga yang paling utama ialah tidak jelas cita cita hidup, kedua tidak mempunyai kemahiran belajar yang betul sehingga menimbulkan rasa bosan, kecewa dan hilang komitmen dan ketiganya tidak mahu keluar dari "persekitaran zon selesa". Misalnya pelajar malas belajar bahasa Inggeris kerana mereka tidak nampak keperluan yang kritikal bila bergraduan kelak, atau mereka tidak tahu apakah cara terbaik belajar untuk menguasai bahasa Inggeris dan ketiganya mereka lebih selasa bergaul dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing masing sehingga malas untuk belajar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Jika berasaskan data ini, pelajar UKM yang tidak mencapai PNGK 2.00 dua semester berturut turut pada semester lalu telah diberhentikan pengajian mereka, persoalanya apa nasib mereka seterusnya? Mengapakan peluang untuk belajar di UKM dulu tidak mereka gunakan sebaiknya, mereka sepatutnya tamatkan pengajian dengan prestasi akademik terbaik, kemudian masuk ke alam pekerjaan dengan kemahiran 'sofiskills' yang memuaskan, ambil peluang belajar bahasa Inggeris dan ambil peluang semasa di UKM untuk membuat jaringan dengan seramai mungkin bakal bakal majikan.
Pada pelajar yang sedang belajar di UKM, insaf dan perbetulkan fokus anda. Tanamkan niat dan azam "walau apa pun yang berlaku aku pasti menjadi kumpulan pelajar PNGK 3.67 dan ke atas apabila melangkah masuk di dewan konvokesyen nanti..
Siapa kata anda tak boleh lakukan...saya yakin anda boleh, kerana saya pernah melakukannya dulu...