Swettenham, F. (1895) The Malay Sketches dan terjemahannya bertajuk "Perihal Orang Melayu (1965). Beliau menyatakan bahawa "Orang Melayu sifatnya bersopan santun, penuh beradab serta peramah. Tetapi orang melayu tidak mudah mempercayai orang asing, malah mereka bijak menyembunyikan keraguan mereka dengan tingkahlaku yang ramah. Orang Melayu juga bijak berbicara, bahasa mereka disulami dengan jenaka dan amat gemar berperibahasa. Orang Melayu juga cerdik “ menerima pelajaran. Jika ditambah dengan usaha dan keazaman yang tinggi, orang melayu mampu menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang telah mereka pelajari".
"Dari sudut kebersihan diri, kebanyakkan orang melayu zaman itu mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan suka berhias serta berpakaian kemas. Orang melayu juga mempunyai sikap dimana mereka tidak boleh bertolak ansur jika difitnah, malah mereka sanggup bertumpahan darah demi menentang fitnah tersebut. Orang melayu juga sangat memuliakan tetamu, ianya seakan satu kewajipan bagi masyarakat orang melayu.
Sifat Buruk orang Melayu: Dalam membicarakan perihal orang Melayu, Swettenham tidak mengambil sikap dengan hanya menceritakan apa yang baik, sebaliknya beliau turut menyingkap beberapa sifat buruk masyarakat melayu pada zaman itu dari kacamatanya. Antara tabiat atau sifat buruk orang melayu pada zaman itu yang beliau temui adalah:
- Orang Melayu suka meminjam wang, tetapi sukar dan liat untuk membayar balik
- Orang Melayu suka mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga dan mengumpat.
- Orang Melayu suka mempercayai hal yang karut marut
- Orang Melayu suka berjudi, bersabung ayam dan perkara yang seumpamanya
- Orang Melayu tidak mudah menerima sebarang perubahan
- Orang Melayu adakalanya malas, malah perkara yang rutin juga dilalaikan.
- Orang Melayu tidak menghargai masa
- Rumah Orang Melayu pada zaman itu dilihat tidak teratur, malah ada yang kotor
- Orang Melayu zaman itu suka berdendam, dan jika dendam itu tidak dapat dibalas pada orang yang sepatutnya, sesiapa sahaja yang kebetulan berada berhampiran akan menjadi mangsa, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda.
- Orang Melayu suka mengamok
- Walaupun orang Melayu suka berbudi, mereka sebenarnya mengharapkan balasan.
- Orang Melayu juga suka berpuak-puak
- Orang Melayu amat menitik beratkan soal darjat serta keturunan, terutama dalam soal perkahwinan.
** Kita mungkin bersetuju dengan pandangan beliau, atau kita boleh sahaja mengabaikannya!
Buku kedua yang saya sempat teliti bertajuk "Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri" karya Zaa'ba (1958). Antara lain beliau menyebut dua perkara utama tentang orang Melayu mempunyai sikap hina diri yang cukup tinggi (yakni tidak ada keyakinan diri atau inferiority complex) dan keduanya orang Melayu mempunyai sifat malas yang serius ibarat "kutu di atas kepala" yang suka mengharapkan rezeki dari orang lain termasuklah sangat bergantung pada harta pusaka.
Pada Zaaba, sikap malas inilah menjadi titik mula kegagalan bangsa Melayu, katanya lagi " disebabkan sifat suka bergantung pada orang lain, maka orang Melayu menjadi malas, tidak mahu berusaha, tidak mahu berikhtiar dan tidak mahu berjuang dengan suku kaum lain yang datang dari luar alam Melayu untuk bermastautin di Tanah Melayu (mukasurat xi - pengenalan). Orang Melayu juga digambarkan oleh Zaaba sebagai terlalu bergantung pada orang lain untuk kesejahteraan akhirat, selain malas mengerjakan ibadat, orang Melayu juga mempunyai budaya dan suka meminta orang lain mendoakan untuk mereka.
** Kita mungkin bersetuju dengan pandangan beliau, atau kita boleh sahaja mengabaikannya!
Buku ketiga yang sempat saya baca ialah The Malay Dilemma ditulis oleh negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad (1973). Buku ini ditulis hasil dari penelitiannya tentang sikap orang Melayu era sebelum merdeka hinggalah sekitar tahun 1970an. Antara lain beliau menulis di mukasurat 92 yang berbunyi
" Sebahagian sebab keputusan yang lemah di kalangan pelajar melayu ini adalah kerana kemiskinan yang sangat ketara serta latarbelakang desa mereka. Kesan buruk kemiskinan tidak benar benar difahami oleh kebanyakan orang Melayu. Selalunya ibubapa yang miskin dan tidak berpelajaran, tidak begitu bersedia untuk menjaga anak anak mereka yang bersekolah. Mereka kurang faham nilai pendidikan, bersikap tidak peduli dan tidak mempunyai keyakinan akan keupayaan anak anak mereka. Ibubapa Melayu selalunya gagal memenuhi keperluan keperluan asas anak-anak yang bersekolah. Jika kanak-kanak itu seorang yang benar benar bijak, mungkin beliau boleh mengatasi semua kelemahan ini, tetapi bagi seorang kanak kanak yang biasa. tanpa keperluan keperluan asas ini, kesannya terhadap pelajaran amatlah buruk. Ibubapa Melayu yang kurang mengetahui dan kurang berminat, tidak akan memberikan galakan moral yang cukup untuk anak anak mereka yang bersekolah"
** Kita mungkin bersetuju dengan pandangan beliau, atau kita boleh sahaja mengabaikannya!
Ada beberapa lagi buku lain yang sempat saya teliti, antaranya oleh J.M. Gullick (1969). Malay Society in The late Nineteenth Century, juga buku tulisan Prof Anthony Milner (2012), berjudul The Malays dan buku oleh Prof Syed Hussein Al Attas yang bertajuk "Mitos Peribumi Malas"(1973). Saya juga pernah menulis di Mingguan Malaysia tidak lama dulu tentang nasib orang Melayu kontemporari di Malaysia.
Semakin saya meneliti tulisan para pemikir sarjana barat dan sarjana tempatan tentang persoalan orang Melayu dan budayanya, semakin saya sampai kepada kesimpulan kepada persoalan "Orang Melayu...apa bezanya dulu dan sekarang? Kesimpulan saya ialah ... tidak ada banyak bezanya orang Melayu dulu dan sekarang. Teras kepada pembentukan sikap, amalan budaya dan pandangan hidup orang Melayu tidak banyak berubah, dari sudut politik, ekonomi mahupun sosialnya, semuanya masih seperti dulu. Walaupun sudah ramai cerdik pandai Melayu dan sudah ramai jutawan Melayu, tetapi secara relatifnya orang melayu masih ketinggalan.
Betul orang Melayu telah merdeka, tetapi sejak dahulu hingga sekarang, pemimpin orang Melayu terus menerus berpecah belah. Betul, sudah ada orang Melayu yang kaya raya, tetapi sehingga sekarang kuasa ekonomi bukan milik mereka, Betul bahawa alam sosial orang Melayu sudah ada yang tinggi santunnya, tetapi rata rata orang Melayu masih berteraskan nilai nilai nipis cara hidup Islam yang sebenar. Betul juga bahawa orang Melayu sudah ada yang bijaksana tetapi kerangka ilmu pengetahuan mereka adalah pinjaman dari pemikiran ilmu kolonial.
Oleh itu, saya melihat memang tidak banyak bezanya orang Melayu dulu dan sekarang, sejak bermulanya wacana Frank Swettenham bila beliau mula menulis di dalam The Malay Sketch pada tahun 1895 hinggalah kepada wacana di dalam buku yang saya baru beli petang tadi di Kinokuniya yang bertajuk " Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of The Malay Problem (2013) karya Sulaiman AB. Dulu dan sekarang, orang Melayu masih sama, tidak banyak yang berubah. Masih terlalu banyak yang perlu diperjuangkan oleh orang melayu....demi kelangsungan bangsanya.