27 April, 2013

Orang Melayu...

Sasterawan idola saya ialah Usman Awang, sejak dahulu hinggalah ke hari ini. Mengapa? Paling utama beliau seorang yang berterus terang dalam berkarya, ikhlas dan tidak 'mengampu'. Kedua, walaupun bahasa beliau bahasa puitis tetapi bahasa beliau adalah bahasa rakyat, bukan bahasa istana...

Salah satu puisi Usman Awang yang menjadi kegemaran saya tentulah yang bertajuk "MELAYU"...begini bunyinya.

MELAYU
Melayu itu orang yang bijak
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu berani jika benar
Kecut takut kerana salah

Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati anak
Jangan mati adat

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu

Minangkabau memang Melayu
Keturunan Acheh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistan semua Melayu
Mamak dan Malberi serap ke Melayu
Malah Mualaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang memegang timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera dihutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad ke dua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya pada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka