Ketika saya mula menjadi pengetua IZISH dahulu, gerakan ASPIRASI Mahasiswa belum wujud lagi. GMUKM pun belum wujud. Yang ada ketika itu ialah kumpulan TSB dan MAMPU. ASPIRASI hanya wujud pertengahan 2003. Kisahnya bermula bila beberapa pelajar di kalangan kepimpinan kolej UKM yang diketuai oleh kepimpinan MEP IZISH ketika itu kurang senang dengan gaya kepimpinan yang dibawa oleh MAMPU dan TSB. MAMPU dilihat terlalu taksub dan keras dalam menganjurkan perjuangan 'Islam acuan MAMPU" dan TSB pula dilihat sangat kuat 'sentimen politik berteraskan bangsa Melayu".
Ketua Eksekutif IZISH 2003, saudara Shafiq Akram (sekarang pegawai kanan Kementerian Kesihatan) dan Timbalan Ketua Eksekutif MEP IZISH Sdr Zafry Yunos (kini usahawan) bersama rakan rakan yang lain telah memulakan satu pemikiran baru untuk membina satu bentuk perjuangan mahasiawa UKM yang berteraskan aspirasi UKM dan menjadikan kebajikan mahasiswa UKM sebagai teras perjuangan mereka. Bersama mereka, ramai kepimpinan pelajar JAKSA kolej kolej yang lain bersetuju membina satu wadah baru perjuangan mahasiswa. Mereka sudah muak dengan budaya politik 'kata mengata' antara TSB dan MAMPU.
Akhirnya pada 2003, mereka bertanding di PRK UKM. wadah mereka yang berteraskan membela kebajikan pelajar UKM dan membawa kesederhanaan dalam cara berpolitik telah mendapat sambutan pelajar UKM. Mereka berjaya menguasai PMUKM dan saudara Zafry Yunus telah dilantik sebagai Presiden PMUKM Aspirasi yang pertama pada tahun 2003.
Pemimpin pelajar IZISH telah memulakan satu episod baru dalam politik kampus UKM. Mereka bersama kepimpinan JAKSA kolej lain berjaya menyakinkan pelajar UKM bahawa dengan kesederhanaan, prestasi akademik yang baik, sahsiah, sentiasa menjaga dan menaikkan nama baik UKM dan bersikap menerima pelajar Cina dan India untuk bersama dalam PMUKM, mereka akan mendapat kepercayaan pelajar.
Sebelumnya 2003, kumpulan MAMPU yang memegang PMUKM tidak memberikan laluan untuk pelajar bukan Islam memegang jawatan jawatan penting seperti bendahari dan exco exco kanan PMUKM. Mereka menetapkan hanya jawatan Naib Presiden PMUKM yang memegang portfolio yang tidak begitu berpengaruh sahaja untuk pelajar Cina. Pelajar India sememang tidak ada dalam kamus PMUKM ketika itu. Sekarang pun saya lihat masih sama.
Mungkin sejarah ini tidak diketahui oleh ramai pelajar di UKM. Malah selepas 2003 pun, kepimpinan pelajar IZISH terus menjadi pemimpin PMUKM era Aspirasi. Sdr Hakim Hashom (sekarang pegawai kanan PDRM) adalah Ketua Eksekutif MEP IZISH yang bertanding dan memegang jawatan di PMUKM pada sesi 2004, malah ramai lagi yang antaranya tidak dapat saya ingat semuanya. Malah IZISH menjadi penyumbang utama ketika itu mencalonkan pelajar Tiong Hua untuk bertanding di PRK UKM. Pelajar India IZISH juga pencetus kepada wujudnya kumpulan anti ragging di UKM. Pernah beberapa kali saya dipanggil oleh mereka untuk melindungi mereka kerana bimbang diganggu oleh kumpulan pelajar India yang pro-ragging yang datang ke kolej. Itu kisah 2004. Hari ini kumpulan anti ragging pun sudah berubah sifatnya menjadi perkumpulan politik di kalangan pelajar India UKM.
Kesan pengaruh Aspirasi yang semakin kuat di UKM, MAMPU juga telah mengubah corak perjuangan mereka dengan menubuhkan GMUKM pada 2005 kerana mereka sedar mahasiswa UKM tidak bersedia dengan politik 'pecah belah' mengunakan agama dan membina ketaksuban. Mereka juga semakin mengurangkan elemen menggunakan agama dalam gerakan mereka. Malah jika kita lihat manifesto GMUKM PRK 2012, mereka tidak menggunakan perkataan Islam dan perjuangan Islam sebagaimana ketika MAMPU dulu. Mereka juga sedar, perjuangan agama yang sempit akan merugikan politik mereka.
Saya bawakan isu ini agar pelajar di IZISH sedar bahawa abang abang dan kakak kakak mereka dulu, para alumni IZISH telah pun mempunyai satu wawasan untuk membawa keluar mahasiswa UKM dari kepompong politik sempit yang taksub politik menggunakan agama dan kebangsaan kepada politik berteraskan akademik, intergriti, mengutamakan kebajikan mahasiswa dan menaikkan nama baik UKM.
Politik mereka ketika itu tidak 'hanya mengikut telunjuk' orang lain, termasuklah telunjuk orang luar UKM. Mereka belajar merancang, membina identiti dan memperjuangkan apa yang mereka tahu baik untuk kebajikan mahasiswa UKM. Mereka mengambil sikap berbincang dengan pihak pengurusan UKM.
Malangnya cita-cita mereka tidak bertahan lama. Era politik 'bangkrap' semasa PRK UKM 2007 yang kembali menggunakan agama dan politik menggunakan kaum menghancurkan usaha mereka. Politik mahasiswa kini semakin hilang identitinya. Suara mahasiswa sekarang hanya kuat di luar kampus tetapi tidak di dalam kampus. Malah semakin ramai pelajar yang menggunakan platform gerakan politik mahasiswa untuk membina populariti di luar kampus. Mereka tidak kisahpun kalau nama UKM buruk dan kotor. Pada mereka asal mereka popular. Mereka akan puas dan gembira.
Sejarah tetap sejarah. samada kita setuju atau pun tidak. Sejarah politik kampus UKM menukilkan IZISH satu masa dulu adalah "Penjana Aspirasi Mahasiswa UKM...."