14 April, 2013

Pelajar UKM...LISTEN...LISTEN...LISTEN...

Data pengesanan graduan UKM pada tahun 2010-2011 menunjukkan hanya sekitar 65% sahaja graduan berjaya memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas konvokesyen. Masih ada sekitar 35% yang tidak memperolehi pekerjaan. Ada antara mereka mengambil keputusan terus 'memburu pekerjaan' dengan menghantar resume ke berpuluh puluh syarikat dan berdoa agar rezeki mereka dimurahkan.

Ada juga yang mengambil keputusan untuk menjadi surirumah sepenuh masa setelah 'penat' menghadiri temuduga tetapi masih menerima surat 'dukacita' daripada para majikan. Semakin ramai juga graduan UKM yang tidak mendapat pekerjaan mengambil keputusan bekerja sendiri secara sementara, dengan harapan akan  mendapat pekerjaan yang lebih baik dalam masa terdekat. 

Ada antara mereka yang saya kenal, telah mula berniaga di pasar pasar malam. Ada juga yang bekerja sebagai agen insurans, tak kurang juga sebagai peniaga skim MLM. Malah semakin ramai yang pulang ke kampung dan tidak melakukan apa apa pekerjaan.

Pada masa yang sama, 65% yang telah bekerja juga mempunyai pelbagai cerita dan cabaran. Ada yang sangat berjaya. Puncanya kerana mereka punyai kekuatan personaliti dan profesionalisme yang tinggi. Mereka berupaya berkomunikasi dengan baik (bertutur, mendengar, menulis laporan dan membuat pembentangan) dengan baik dan berkesan. Tentunya dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Ada yang telah dinaikkan ke jawatan kanan dalam tempoh kurang dua tahun bekerja kerana kebolehan mereka.

Sebahagiannya, telah berjaya kerana membina jaringan kerjaya yang baik. Mereka telah berjaya berpindah dari satu syarikat ke syarikat yang lain kerana mendapat tawaran lebih baik. Seorang bekas pelajar saya sudah berpindah tiga kali tempat kerjaya dengan syarikat yang berbeza kerana mendapat tawaran yang lebih baik dalam setahun. Kenaikan pendapatannya sekarang lebih 200% berbanding dari mula dia bekerja di syarikat yang pertama. Sekarang beliau di Johor Baharu kerana diberikan tanggungjawab sebagai pengurus wilayah untuk menguruskan salah sebuah anak syarikat di bandar Medini, Nusajaya. Beliau bergraduan tiga tahun yang lalu dan pendapatannya sekarang sudah mencecah RM9,000 sebulan. Semasa saya berjumpa beliau beberapa bulan yang lalu di JB, terserempak di LEGOLAND, saya sempat berseloroh pada beliau sudah sampai masanya untuk beliau mendirikan rumahtangga!

Tetapi tak semuanya begitu. Ada juga pelajar yang saya kenal, kerana bekerja secara kontrak, telah ditamatkan selepas setahun bekerja dengan sebuah syarikat. Alasan yang diberikan, beliau tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan. Tugas beliau sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat kejuruteraan menuntut beliau untuk menemui dengan ramai 'client' yang hampir semuanya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Oleh kerana beliau kurang menggunakan bahasa Inggeris dalam hidup seharian, pentuturannya agak kekok dan kurang lancar. Ini merencatkan komunikasinya, lebih lebih lagi bila ingin menyakinkan client tentang produk syarikatnya. Akhirnya beliau diberhentikan dan sekarang khabarnya akan menyambung pelajaran di sebuah IPTA di utara tanah air.

Ada juga pelajar yang saya kenal, berhenti sendiri dari bekerja dengan sebuah syarikat pembuatan makanan dalam tin kerana tidak mampu untuk berada di dalam satu budaya yang asing baginya. Pelajar ini pada zaman belajar di UKM, sudah terbiasa bekerja dengan kawan kawan sebangsa dengannya. Bertutur, makan, berkongsi pandangan dan sebagainya sesama rakan rakan yang sama budayanya. Bila mula bekerja di syarikat yang mempunyai ramai pekerja dari kaum lain, beliau menjadi kekok dan akhirnya berhenti. Beliau baru bekerja 8 bulan dan sudah tidak dapat meneruskan lagi kerjaya di syarikat tersebut. Bila saya tanya, tidak adakah orang yang sebangsa dengan beliau di syarikat tersebut, katanya ada tetapi di jabatan yang lain. Di jabatannya, hanya beliau seorang sahaja. Apa yang jelas pada saya, walaupun beliau dulu yang saya kenal adalah berpotensi dan boleh bekerja dengan ramai orang, rupa rupanya masih tidak ada kemahiran berkerja dalam persekitaran kerja yang memerlukan kemahiran interbudaya.

Saya juga mengenali beberapa pelajar UKM yang kerana sudah bertahun tidak memperolehi sebarang pekerjaan tetap, akhirnya mengambil keputusan menjual air sirap, tebu atau katira di tepi jalan dan di pasar pasar malam. Saya hormati usaha mereka mencari rezeki yang halal, tetapi tanpa sifat dan kemahiran yang saya sebut di atas, mereka juga akan menemui kegagalan, kerana persaingan hebat sekali, walaupun sekadar menjual air di  pasar pasar malam...

Alam hidup di kampus adalah alam pembelajaran. Alam untuk mengetahu apa yang baik dan apa yang buruk. Alam untuk cuba menjadi insan yang lebih baik dan jika telah melakukan 'kesilapan', segera belajar dari kesilapan tersebut. Alam kampus juga untuk anda belajar memantapkan pembangunan diri. Pensyarah adalah pembimbing anda. Itu adalah sebahagian amanah dan tugas sebagai seorang ahli akademik UKM. Malanglah kalau ada di anatara pensyarah yang tidak menyedari amanah ini. Pelajar harus segera belajar melengkapkan diri dengan kemahiran untuk menghadapi cabaran di alam pekerjaan. Kemahiran komunikasi, kemahiran bekerja sepasukan dalam kumpulan budaya yang sama dan interbudaya, kemahiran membuat keputusan, kemahiran daya saing, inovasi, kreatif, berani mengambil risiko dan berbagai lagi perlu dipelajari. 

Maka ingin saya katakan pada semua pelajar UKM,.... LISTEN...LISTEN...LISTEN.... "sebagai pelajar anda tidak ada pilihan lain untuk berjaya dalam hidup, selain segera tingkatkan kemahiran 'softskills' anda, segera tingkatkan PNGK akademik anda dan segera bina jaringan kerjaya anda...hanya setelah itu, kita bertawakal dan serahkanlah pada Allah swt untuk menentukan untung nasib dan rezeki hidup kita....InsyaAllah... Man jadda, wajadda"