19 April, 2013

Pelajar UKM, Keluarlah dari Kepompong Lama...

Kisah Mahasiswa "Rumah Hantu" dan "Mahasiswa NKRA" di UKM  yang saya tulis di blog ini pada bulan lalu rupa-rupanya mendapat hit yang agak tinggi. Lebih 3,500 yang membacanya. Pasti ramai yang setuju dengan saya, dan pastinya ramai juga yang tidak bersetuju dengan pandangan saya. Sebagai pembaca, anda semua layak mempunyai pandangan masing masing. Saya sekali kali tidak menolak jika ada pelajar UKM ingin menganjurkan program "Rumah Hantu" atau program lain seperti pertandingan makan paling banyak dan sebagainya. Anjurkanlah, jika itu boleh menunjukkan minat dan keseronokan yang cuba dihidupkan oleh para pelajar dalam program mereka.

Tetapi saya juga mempunyai tanggungjawab dan pandangan sendiri bahawa dalam persekitaran masyarakat yang semakin mencabar dan persaingan kerja yang semakin sengit masakini, sepatutnya seluruh sumber tenaga, kejituan pemikiran dan peruntukan kewangan yang ada harus digunakan sepenuhnya untuk membangunkan dayasaing dan keterampilan mahasiswa UKM.

Masa yang ada untuk pelajar membangunkan diri di UKM sangat terhad, sumber tenaga yang menguruskan pelajar yang terbatas dan peruntukan kewangan yang sedikit menuntut semua pihak (samada pengurusan dan pelajar) supaya lebih bijak dan terfokus dalam menguruskan sumber-sumber yang terhad ini.

Oleh itu, penekanan kepada tujuan tujuan membangunkan mahasiswa UKM harus melangkaui dari hanya memenuhi tujuan tujuan keseronokan semata mata. Soal pembangunan pelajar (sahsiah, budaya ilmu dan kebolehpasaran) harus menjadi teras kepada apa juga aktiviti pelajar UKM.

Mungkin program pembangunan sahsiah, budaya ilmu atau kebolehpasaran tidaklah semeriah rumah hantu, atau pelajar yang hadir ke bengkel kerjaya tidak segirang ketika masuk ke 'rumah hantu'...tetapi pada saya, atas nama masadepan pelajar, kita harus lihat sesuatu program berdasarkan impaknya bukan soraknya.

Saya sebutkan hal ini kerana jika mahasiswa UKM tidak segera keluar dari 'kepompong lama' mereka dan merasakan hidup mereka akan sentiasa meriah, selesa dan seronok, saya bimbang mereka akan kecewa nanti. Apa nasib mereka, bila mereka hanya tersedar kelemahan diri bila sudah duduk di hadapan meja temuduga, berhadapan dengan bakal bakal majikan.

Saya juga bimbang bila mereka hanya mula keluh kesah mengenangkan "apakah yang telah saya bangunkan  kemahiran diri sepanjang 3-4 tahun di UKM". Soal penguasaan komunikasi (bahasa Inggeris), soal kemahiran kerja sepasukan, soal inovasi dan kreativiti dan juga soal pengetahuan mereka selain bidang pengajian. Ini belum lagi jika penemuduga berminat untuk mengetahui dan bertanyakan pengalaman internship, mobility outbound atau sesuatu yang unik dan inovatif telah dijayakan oleh pelajar sepanjang belajar di UKM.

Oleh itu, saya melihat adalah perlu untuk segera pemimpin pelajar UKM melakukan transformasi aktiviti pelajar di UKM supaya semua aktiviti ini menjurus kepada usaha pembangunan diri secara lebih profesional dan berterusan. dan untuk menjayakannya pelajar UKM perlu lebih kreatif mendapatkan geran aktiviti.

Pelajar harus bijak mengambil peluang ini untuk mentransformasikan aktiviti mereka. Mereka sepatutnya menganjurkan aktiviti supaya lebih ramai pelajar UKM diberikan pendidikan, kesedaran, kemahiran serta peluang memohon dana dana yang telah disediakan.

Kita tentunya ingin melihat dalam masa terdekat lebih ramai pelajar UKM  memperolehi geran geran aktiviti dari luar UKM untuk aktiviti mereka. Izinkan saya memberikan sedikit input tentang geran geran aktiviti khususnya untuk membangunkan keusahawanan siswa seperti yang disediakan oelh pihak KPT.
  1. SME Bank - Tabung Usahawan Siswazah (TUS) - Jumlah Dana RM 25 juta
  2. SME Bank - Young Entrepreneur FUND - Jumlah Dana RM 50 juta
  3. PUNB - Skim Prosper Usahawan Muda (PUMA)- Jumlah Dana RM 10 juta
  4. MDeC - Program MGS - Jumlah Dana RM 85 juta
  5. Angkasa - Dana Latihan Kosiswa- Jumlah Dana RM 1.2 billion
  6. JPM Unit Kerjasama Awan-Swasta - Dana Mikro Private-Public Patnership- Jumlah Dana RM 300 juta
  7. KBS - Prog Sukarelawan Belia 1Malaysia- dana 1M4U- Jumlah Dana 100 juta
  8. MOA- Program MyAgrosis- Jumlah dana RM10 juta
  9. BSN, Digi, Celcom, PNS, AIM, DPIMM, MOSTI, MTDC juga menyediakan dana di bawah program moU KPT.
Ini hanya sebahagian kecil dari pelbagai lagi geran lain yang ditawarkan untuk mahasiswa dari dalam dan luar negara. Syarikat multinasional juga menawarkan puluhan juta ringgit untuk menyokong pembangunan pelajar di peringkat universiti. Tinggal lagi, pelajar UKM kena berusaha untuk mencari peluang dan berani mencuba.

Oleh itu lebih banyak seminar, taklimat dan bengkel perlu dianjurkan supaya pelajar UKM tahu bagaimana merebut peluang ini dan program sebeginilah yang seharusnya menjadi antara teras aktiviti pelajar di UKM.

Sebagai contoh, di IZISH pada sesi 2012, pelajar IZISH dan felo IZISH berjaya memperolehi dana sebanyak RM 80,000 dari pihak KPT (RM50k untuk Ekspo Kerjaya dan RM30k untuk Konvensyen Kebangsaan Kampus Lestari).

Pada tahun 2013 pula, sebanyak lima permohonan pelajar IZISH telah diajukan kepada pelbagai pihak luar dengan nilai permohonan mencecah RM450,000. Jika dari lima permohonan ini, satu atau dua yang berjaya, pada saya itu sesiatu yang sudah boleh dibanggakan.

Malah, pengalaman pelajar melalui proses melakukan permohonan (memikir, menjana idea, melakukan sumbang saran, menyediakan proposal, membuat pembentangan dan melengkapkan permohonan) pada saya adalah satu proses pembelajaran pembangunan diri yang cukup bermakna...

Bayangkalah jika semua persatuan, kelab dan urusetia di UKM yang berjumlah hampir 200 membuat dua cadangan aktiviti mencari dana, UKM pastinya sudah mempunyai 400 cadangan aktiviti geran luar UKM untuk dijayakan oleh pelajarnya.

Dan jika dilakukan secara bersungguh sungguh dengan taklimat dan bengkel penyediaan cadangan, katakalah 10% berjaya, bermakna 40 aktiviti pelajar UKM mempunyai jaringan dengan pihak kerajaan, swasta, kedutaan, GLC dan agensi luar negara termasuk UNDP dan UNESCO.

Saya yakin pelajar UKM boleh lakukannya, kerana di IZISH kami telah pun buktikan bahawa pelajar boleh melakukannya...