25 September, 2013

Kehebatan Mahasiswa Kerana Budaya Ilmunya, Bukan Kerana Soraknya...

Saya kena akui bahawa budaya keilmuan di kalangan pelajar IPT kita masih di tahap yang rendah. Mohon dibezakan maksud saya 'budaya ilmu' dengan program pengajian yang diikuti oleh pelajar. Memang tanggungjawab pelajar ke kuliah atau makmal, itu juga mencari ilmu tetapi saya tidak ertikan itu sebagai satu budaya. 

Budaya ilmu pada saya ialah satu cara hidup atas keinginan sendiri yang meletakkan aktiviti keilmuan di tahap yang tertinggi. Dan ilmu pula itu diletakkan di atas nilai nilai yang kita pegang. Pada yang beragama  Islam, maka keilmuan diletakkan atas akidah dan nilai nilai Islam. Begitu jugalah pada pengikut agama dan kepercayaan lain.

Malam Sabtu lalu (14 September) saya hadir ke Syarahan Umum Syed Muhammad Naquib Al Attas. Inilah yang sering saya lakukan setiap malam minggu jika tidak bersama keluarga untuk makan malam dihujung minggu. Mendengar syarahan dari pemikir seperti beliau pasti akan membuka ufuk pemikiran kita dalam melihat atau memahami sesuatu fenomena dalam masyarakat. Soal mengapa masyarakat ada yang miskin dan ada yang kaya, mengapa rasuah menjadi-jadi, mengapa kapitalisme menguasai diri manusia, mengapa Islam dipandang serong oleh penguasa Barat dan sebagainya.

Kita tidak akan dapat kefahaman ini sekadar duduk dan membaca sahaja. Apatah lagi jika kita tidak mahu membaca. Jika kita tidak memahami fenomena maka jadilah kita seperti "pak turut setia" atas semua perkara. Akal yang dikurniakan oleh Allah swt dipersiakan begitu sahaja.

Ketika belajar di Universiti of London dan juga semasa lawatan kerja di Universiti Oxford, saya tidak akan ketinggalan cuba hadir dalam banyak acara syarahan umum. Memang mengasyikan bila melayan pemikiran sendiri yang cuba mencari pemahaman atas sesuatu perkara.

Malangnya di IPT kita, aktiviti sebegini sangat kurang dilaksanakan. Jika dilakukan pun kekerapannya sangat rendah. Malah dalam beberapa syarahan yang dianjurkan ia bersifat eksklusif (atas jemputan sahaja). Dan rata rata disasarkan pada ahli akademik sahaja. Pelajar samada tidak dilibatkan atau pelajar sendiri tidak berminat, nyata bukan sasaran sebagai audien dalam majlis ilmu seumpama ini.

Ini harus diubah. Pelajar adalah waris urusan keilmuan. Mereka harus dibudayakan dengan budaya ilmu. mereka mesti hidup dengan budaya ilmu. Pelajar harus diberikan penghormatan untuk hadir ke majlis majlis ilmu sebegini di universiti. 

Pelajar juga boleh menganjurkan majlis ilmu sebagai satu budaya. Malangnya dalam beberapa acara yang  majlis ilmu anjuran pelajar yang sempat saya ikuti, majlis tersebut lebih bersifat politik dan terlalu berpihak. Pelajar UKM memerlukan majlis ilmu yang disampaikan oleh sarjana dan ilmuan yang lebih mengutamakan ilmu dari soal soal lain. Bukan sekadar berpolitik, ceramah agama aras rendah yang penuh kelucuan yang diselang seli dengan unsur kelucahan. Pelajar UKM perlukan sarjana yang dapat mengupas fenomena masyarakat yang diasaskan kepada epistemologi, ontologi dan metodologi dalam mendekati sesuatu fenomena. Sebagai mahasiswa, mereka harus memahami mengapa fenomena ini wujud. Secara epistemologi dan juga ontologinya.

Ini yang belum ada. Termasuklah di UKM. Saya mengimpikan satu hari nanti akan ada syarahan umum (public Lecture) bulanan di UKM yang disampaikan oleh pemikir pemikir utama dunia. Dari dunia Timur dan dunia Barat. Tentunya juga dari para sarjana dan ilmuan tempatan yang berwibawa.

Pada masa yang sama juga pelajar UKM perlu menganjakkan minda mereka untuk belajar menikmati 'kelazatan' majlis ilmu lebih dari konsert murahan atau majlis majlis hiburan yang kurang mencabar intelektual mereka. Ingatlah, jika pelajar ingin dihormati sebagai mahasiswa, maka mereka harus mula belajar menghormati budaya ilmu terlebih dahulu...

24 September, 2013

Jika Universiti Harvard Ada "Shopping Week", Kolej Ibu Zain UKM Ada Tradisi "Malam Tender"

Shopping Week@Harvard University
Salah satu tradisi yang diamalkan di Universiti Harvard ialah para pelajar mereka akan diberikan peluang selama seminggu untuk aktiviti shopping kursus kursus yang ingin diikuti dalam semester berkenaan. Pelajar mengelarkannya sebagai "shopping week". Pada minggu tersebut, semua pelajar di universiti tersebut dibenarkan masuk ke mana mana kuliah, mendengar dan kemudiannya membuat keputusan samada untuk mendaftar (membeli) atau tidak kursus berkenaan.

Tradisi shopping week  dianjurkan supaya semua pelajar diberikan hak dan kebebasan sepenuhnya untuk belajar apa yang menjadi minat serta keinginan mereka. Tidak ada modul atau kursus yang ditentukan oleh pihak fakulti yang diistilahkan sebagai wajib untuk diikuti.

Malah pelajar di sana juga boleh memilih dengan profesor mana mereka ingin belajar, kursus apa yang ingin disertai dan diakhir pengajian mempunyai senarai kursus yang berbeza beza antara pelajar walaupun mengikuti program atau bidang pengijazahan yang sama.

Warga KIZ Sedang Berbincang Memilih Aktiviti 
Itu kisah di Universiti Harvard. Di UKM, semalam (23 September 2013) telah berlangsung apa yang dinamakan "Malam Tender" di Kolej Ibu Zain. Istilah Malam Tender dan formatnya telah dibangunkan oleh Majlis Felo KIZ.

Pada malam tender ini para pemimpin MEP akan membentangkan projek masing masing. Pelajar KIZ akan mendengar, bertanya soalan dan seterusnya membuat keputusan samada untuk menyertai atau tidak projek berkenaan.

Pelajar boleh memilih mana mana projek yang mereka minati. Tidak ada sekatan atau desakan supaya pelajar kolej wajib ikut mana mana aktiviti atau projek di KIZ tanpa kehendak mereka. Kebebasan sepenuhnya untuk pelajar memilih aktiviti yang diminati.

Suasana Sibuk dan Meriah di KIZ Hall
Setelah mendengar pembentangan oleh pimpinan MEP, setiap pelajar akan bergerak dari satu kaunter ke kaunter projek yang lain untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut berkaitan projek yang akan dijalankan. Akan ada beberapa AJK tertinggi projek (termasuk pengarah projek) akan berada di kaunter pendaftaran untuk memberikan penjelasan kepada semua persoalan pelajar.

Mengapa KIZ anjurkan Malam Tender? Ada tiga sebab utama. Pertama, pelajar berhak memilih aktiviti yang diminati setelah mendengar pembentangan daripada MEP. Di KIZ, majlis felo menghormati kematangan mahasiswa untuk mereka membuat keputusan sendiri tentang apakah yang terbaik untuk mereka.

Kedua, pemimpin MEP perlu bersaing secara sihat untuk menarik dan mendapatkan keahlian dalam projek mereka. Secara langsung setiap biro MEP perlu membuat persediaan rapi dalam membentangkan projek mereka dengan cara yang terbaik. Pembentangan yang menarik, impak projek yang tinggi serta gaya kepimpinan MEP banyak mempengaruhi keputusan pelajar untuk menyertai sesuatu projek di KIZ.

Pembentangan Projek Oleh Salah Seorang
Majlis Eksekutif Pelajar KIZ
Ketiga, malam tender memberikan peluang untuk semua pelajar (MEP, pelajar senior dan junior) meningkatkan beberapa kemahiran komunikasi dan interaksi sosial. Pelajar yang mempunyai tahap self esteem (keyakinan diri) yang sederhana rendah pasti akan terkejut kerana tiba tiba mereka melalui satu keadaan 'culture shock' bila melihat bagaimana riuhnya pelajar lain berebut rebut untuk menyertai projek. Mereka dicabar untuk bersaing.

Saya hadir semalam sepanjang acara ini berlangsung, saya dapat lihat ada beberapa pelajar yang terpinga pinga, nampak resah dan sedikit keliru.

Mereka mundar mandir di dalam KIZ Hall, seperti tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ada yang duduk menyendiri di tepi tepi depan dewan melihat pelajar lain sibuk mendaftarkan diri.

Inilah agenda utama malam tender. Untuk membuka minda serta psikologi pelajar yang memiliki tahap keyakinan diri yang rendah, pemalu serta kurang mahir berkomunikasi segera keluar dari kepompong yang membelenggu perasaan mereka. Mereka sekarang sudah bergelar mahasiswa.

Semua MEP Sedaya Upaya Menarik Perhatian Pelajar

Untuk Menyertai Projek
Mahasiswa perlu punyai kehebatan diri, tahu kekuatan diri, bijak berkomunikasi, berpengetahuan tinggi dalam bidangnya dan yang penting sekali mempunyai nilai nilai rendah diri yang mulia. Tradisi ini sudah lama dilaksanakan di KIZ. Dan akan diteruskan pada masa akan datang. Ini satu permulaan buat pelajar baru di KIZ.

Pada pelajar yang pasif dan pemalu, saya pasti apabila mereka balik ke bilik masing masing, mereka tentu membandingkan diri mereka dengan rakan rakan yang lain dan akan berfikir "bagaimana aku ingin hilangkan rasa kurang yakin diri dan pemalu, dan menjadi seperti mereka yang penuh keyakinan diri?

Jangan risau, akan ada beberapa lagi program di KIZ untuk anda segera keluar dari kepompong rendah diri ini. Di KIZ, majlis felo punya perancangan dan sentiasa memberikan keutamaan dalam isu ini.

Pada masa yang sama, tahniah pada semua MEP KIZ yang sudah mempunyai ajk masing masing. Semoga projek anda akan lebih cemerlang pada sesi ini.

15 September, 2013

PRK-UKM 2013: Antara MPP "Tong Kosong" dan MPP "Diam Diam Ubi"

Minggu lalu, ada beberapa message yang saya terima bertanyakan mengapa saya sudah tidak lagi menulis tentang politik kampus. Juga soal politik GMUKM atau ASPIRASI. Ada juga message yang bertanyakan apa pandangan saya tentang PRK UKM untuk 2013. Maaf, kerana saya tidak berniat untuk membalas setiap satu message tersebut, bimbang boleh disalahertikan atau digunakan oleh mana mana pihak secara tidak tepat.

Ini jawapan saya kepada beberapa persoalan yang dikemukakan pada saya;


  1. Benar, saya sudah tidak lagi berminat untuk menulis soal politik kampus UKM. Saya juga sudah tidak begitu teruja untuk meneliti soal kepolitikan kampus UKM sebagai sesuatu yang sangat penting untuk diberikan perhatian. Mengapa? 
  2. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini politik kampus sudah semakin jumud, sangat terpencil dan tidak melibatkan mahasiwa terbanyak, dan tidak lagi memberikan impak kepada pembangunan mahasiswa UKM. Betul, pihak yang menang sebagai MPP UKM masih sibuk melakukan beberapa aktiviti di Pusanika dan sekitar kampus UKM, bagaimanapun apa yang dilakukan oleh mereka tidak begitu mendapat respons yang tinggi daripada masyarakat pelajar.
  3. "Kesibukan" para MPP UKM mengaturkan program tidak boleh kita ertikan sebagai mereka sedang melakukan sesuatu yang benar benar memenuhi maksud politik kampus. Perlakuan perlakuan politik mereka seperti disuruh suruh oleh pihak luar kampus, sehinggakan apa yang dibahaskan oleh MPPUKM seperti tidak lagi memperlihatkan ketulenan pemikiran pemimpin mahasiswa UKM.( bacalah kenyataan kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan peringkat MPP UKM dalam blog blog kendalian mereka dan anda akan memahami maksud saya).
  4. Saya mungkin memahami maksud politik kampus dalam perspektif yang berbeza dengan pimpinan pelajar di MPPUKM serta kroni mereka. Pada saya, politik kampus adalah wadah pendidikan untuk membina pengalaman kepimpinan. Di arena inilah, UKM ingin melahirkan pemimpin pemimpin yang hebat untuk negara kita. Tetapi ada sesetengah pemimpin mahasiswa yang memahami politik kampus seperti antara hidup dan mati. Mereka bertelagah, kata mengata, menfitnah antara satu sama lain dan bermusuhan atas nama politik. Saya sangat tidak bersetuju dalam hal ini.
  5. PRK UKM pada pandangan saya harus digunakan sebaiknya untuk mana mana pemimpin mahasiswa belajar dan mengalami pengalaman menjadi pemimpin dan meneruskan bakat mereka bila telah bergraduan. Bukan menjadi pemimpin seperti "lembu yang dicucuk hidungnya" diarah arah oleh 'orang  politik'  yang cuba mengambil kesempatan atas semangat idealisme mahasiswa. Di pilihanraya kampus inilah pemimpin mahasiswa belajar apa itu tanggungjawab, apa itu pemikiran politik, apa itu maknanya mempunyai prinsip dan idealisme dalam perjuangan.
  6. Atas sebab itu, keinginan saya untuk berbincang berkaitan politik kampus UKM semakin pudar. Saya juga melihat apa yang sedang dilakukan oleh MPP-UKM dan para penyokong tegar mereka sangat bersifat bermusim. Sebulan begitu berkobar untuk menang PRK, tetapi 11 bulan yang seterusnya lesu. Saban tahun itulah yang berlaku.  Apabila semakin hampir dengan tarikh PRK UKM, semua mereka seperti 'berlakon', menunjukkan betapa begitu bersemangat mereka untuk menonjolkan kumpulan masing masing. Bila selesai PRK UKM, semuanya sunyi sepi. Akan kembali meriah pada tahun hadapan. Pada saya, sepatutnya semua  MPP-UKM adalah WAJIB untuk  menunjukkan 'report card' pencapaian masing masing, dan pelajar UKM  berhak  melihat apa pencapaian mereka. (Di Kolej Ibu Zain, semua MEP secara sukarela akan membentang laporan pencapaian mereka pada warga kolej Ibu Zain. pelajar kolej boleh bertanya dan memberikan pandangan mereka dalam majlis tersebut).
  7. Mengapa semua pelajar berhak menuntut untuk semua MPP UKM memaparkan pencapaian perkhidmatan masing masing? Kerana dua sebab, pertama sebab undi anda yang memenangkan mereka dalam PRK dan keduanya, UKM telah menggunakan puluhan ribu ringgit untuk menjayakan proses melaksanakan Pemilihan Pelajar UKM. Kos petugas, kos makanan, kos latihan, percetakan dan sebagainya. Jika MPPUKM gagal berkhidmat, maknanya duit yang dibelanjakan lebih baik digunakan untuk tujuan tujuan yang lain untuk kebajikan pelajar.
  8. Setelah lihat report card MPP UKM, cuba pula semua pelajar bandingkan dengan pencapaian MEP Kolej Kediaman anda, dan anda sendiri boleh buat kesimpulan siapa yang jauh lebih berjaya berkhidmat untuk pelajar, MPP UKM atau MEP Kolej Kediaman! Anda seorang mahasiswa dan anda sendiri boleh tentukannya.
  9. Meninjau aktiviti aktiviti 'kecil' yang dijalankan oleh MPPUKM, saya sedikit kesal. Seolahnya MPPUKM kekeringan idea dan tidak mempunyai idea idea yang lebih terkehadapan dalam menguruskan masyarakat mahasiawa UKM. Sebagai contoh, kita semua tahu ramai mahasiswa ingin mencari wang tambahan dalam meneruskan kehidupan mereka di kampus UKM. Apakah ada sebarang agenda untuk MPPUKM membuka ruang pelajar menambahkan duit poket mereka? Mengapa tidak dibangunkan one stop centre secara online untuk mahasiswa dapat peluang kerja part time di sekitar kajang dan Bangi. (Bagaimana pun tahniah atas usaha Felo dan MEP Kolej Ibu Zain yang sudah anjurkanya idea yang hampir sama melalui IZISH-CareerHUB), atau apakah ada usaha MPPUKM untuk membangunkan mini 'uptown' dalam UKM di mana pelajar yang berminat dengan usahawan boleh memulakan perniagaan kecil kecilan di dalam kampus UKM di sebelah malam. 
  10. Atau apakah ada usaha MPPUKM untuk membantu mahasiswa berkaitan isu 'employability' mahasiswa. Saya yakin tidak ada. Malangnya, seluruh tenaga dan jiwa MPPUKM digunakan untuk hal lain, iaitu  'bermain politik'. Si A mengata si B, si B pula akan mengata balas si A dan begitulah seterusnya. Mahasiswa terbanyak UKM yang rugi dengan keadaan ini. Tidak ada langsung agenda besar untuk memperkasakan mahasiswa UKM di peringkat MPPUKM...
  11. Sebab itulah, pelajar UKM harus bijak semasa mengundi dalam piliharaya. Pilihlah mereka yang boleh memberikan kebaikan kepada kehidupan anda di UKM. Pilihlah mereka yang berminat untuk bersama sama dengan pihak pengurusan UKM, yang akan bekerja untuk kebajikan pelajar. Dan tanyalah pada diri sendiri apa untungnya  mengundi mereka yang sering melihat pihak pengurusan UKM sebagai musuh. 
  12. Undilah mereka yang mempunyai kerangka kerja yang jelas, ada pelan tindakan yang munasabah yang boleh dicapai untuk kebaikan mahasiswa. Sokong dan undilah calon yang boleh menjawab dengan bernas kepada soalan "apakah yang anda sebagai calon MPP boleh sumbangkan dalam meningkatkan kualiti hidup kami, para mahasiswa UKM!"
  13. Sehingga waktu ini, saya masih melihat politik kampus UKM adalah sesuatu yang tidak mencapai maksud memberikan pendidikan kepimpinan kepada mahasiswa. Sebaliknya menjadi tempat 'politik dungu' bermaharaja lela. Bolehkah keadaan ini berubah? Pada saya boleh, dengan syarat mahasiswa UKM seluruhnya perlu lebih kritikal dan bijak menilai prestasi MPPUKM yang mereka undi dahulu. 
  14. Janganlah pilih calon MPPUKM yang diibaratkan seperti 'tong kosong' tetapi pilihlah MPPUKM yang bersifat 'diam diam ubi"...yang bekerja bersama pengurusan UKM dan berjaya mencapai tugasan mereka demi kebajikan mahasiswa dan bukannya untuk memenuhi 'nafsu ahli politik yang suka melihat kehidupan mahasiswa porak peranda". 
  15. Sebagai MAHASISWA UKM, andalah yang tentukan siapakah yang layak di kalangan anda sebagai pemimpin pelajar di UKM...

07 September, 2013

Hutan Pendidikan Alam UKM...Khazanah Berharga Yang Semakin Dilupakan..



Pelajar Baru Kolej Ibu Zain berinteraksi dengan alam di Hutan Pendidikan Alam UKM

Secara tradisinya Kolej Ibu Zain sentiasa mendekatkan pelajar barunya dengan alam. Jika tahun lepas pelajar baru KIZ di bawa ke FRIM Sungai Buluh. Tahun ini, mereka yang baru mendaftar di KIZ telah berpeluang menjelajah  ke Hutan Pendidikan Alam UKM.

Modul "Rainnforest Discovery Journey" oleh Felo Akademik Kolej Ibu Zain
Hari ini (Sabtu 7 September 2013) bermula jam 7 pagi, Kolej Ibu Zain menganjurkan Program Apresiasi Alam di Hutan Pendidikan alam UKM (HPA-UKM). Para pelajar telah di bawa masuk ke dalam Hutan Pendidikan Alam UKM bagi mula mengenali khazanah UKM.

Anda mungkin terkejut jika diberitahu sebenarnya ada pelajar UKM sehingga tamat pengajian mereka tidak tahu di mana letaknya Hutan Pendidikan Alam.

Kesemua  116 pelajar baru KIZ,  telah diperkenalkan dengan Felo Akademik Kolej Ibu Zain, Profesor Dato Dr Mohd Wahid Samsudin dan Dato' Shaharudin Mohd Ismail, Mantan Timbalan Ketua Pengarah Hutan Malaysia yang sekarang berkhidmat di LESTARI UKM.Dua modul khusus telah dijayakan oleh felo akademik KIZ iaitu Eksplorasi Hutan UKM dan juga modul mengenali Liken

Semua berjalan dengan begitu lancar dan memuaskan. Dan saya tidak berhasrat berbicara panjang tentang hal tersebut. Pelajar yang pergi ke HPA pagi ini pasti gembira mendapat pengalaman yang baru di UKM.

Ada hal lain yang lebih menarik perhatian saya bila berada di Hutan Pendidikan Alam UKM.

Pelajar KIZ bersama Felo Akademik Prof Dato' Dr Mohd Wahid Samsudin
Pelajar baru bersama Dato Shaharudin Mohd Ismail, Felo Akademik KIZ
HPA adalah hutan yang berada dalam kampus UKM. Tidak ada universiti di dunia ini yang mempunyai hutan sebenar, sebagaimana yang ada di UKM. Malah hutan UKM memiliki faura dan fauna yang cukup kaya.

HPA adalah makmal pembelajaran 'hidup' tentang hutan dan seluruh isinya. Pada yang mengikuti program ini, meraka  mula mengenali berbagai nama pokok yang mungkin jarang kita dengar. Pokok durian tupai, pokok jelutung, kedap, pokok kembang semangkuk dan berbagai lagi.

Apa yang ingin saya sentuh di sini ialah betapa dalam kita sibuk dengan berbagai perkara lain, kita mungkin terlupa untuk menghargai begitu banyak khazanah dan ilmu yang ada di UKM. Dalam hal ini HPA misalnya, dilupakan begitu sahaja oleh kebanyakkan  warga UKM.

Pada setiap tahun, pihak kolej, fakulti, institut dan pusat pengajian menganjurkan berbagai latihan serta kursus 'outdoor' untuk kakaitangan dan para pelajar mereka di luar UKM. Ada yang ke Kem di luar UKM dan ada yang ke resort dan hotel.

Kursus MEP kolej misalnya memerlukan  sekitar 5-7 ribu ringgit . Jika UKM mempunyai 12 kolej maka kita di UKM sudah membelanjakan sekitar RM60k hingga RM84k setiap tahun untuk tujuan itu. Bayangkan di UKM terdapat puluhan latihan dan kursus 'outdoor' yang diadakan setiap tahun. Maka ratusan ribu ringgit telah kita belanjakan untuk menganjurkan semua latihan ini di luar UKM. Dan tidak dapat tidak, latihan pembangunan pelajar dan kakitangan memang penting untuk dianjurkan secara berkala.dan peruntukan ini perlu disediakan untuk meningkatkan kualiti kerja di UKM dan dalam kes pelajar, membangunkan jatidiri dan personaliti pelajar.

Jika semua atau sebahagian kursus dan latihan luar ini dilaksanakan di HPA UKM, dengan syarat disediakan pelbagai fasiliti dan kemudahan untuk berkursus. Bayangkanlah berapa banyak wang UKM dapat dijimatkan. Malah wang tersebut boleh digunakan semula untuk menaiktaraf kemudahan terbaik di HPA. Bayangkan jika HPA benar benar dibangunkan menjadikan resort hutan UKM, pastinya UKM akan muncul sebagai universiti pertama di negara ini atau mungkin di dunia yang mempunyai resort hutan sendiri! Sudah banyak universiti yang mempunyai hotel atau hospital mereka sendiri, tetapi belum kedengaran oleh saya adanya universiti yang memiliki resort hutan sendiri!.

Dengan memiliki kekayaan dan diversiti khazanah seperti tumbuhan, pokok, haiwan, UKM memiliki ast yang sangat berharga. Malahj jika dijayakan dengan hebat, semua kemudahan ini boleh disewakan  pada pihak syarikat/organisasi luar yang ingin menggunakannya.

Malangnya, itu hanyalah impian saya.  Lawatan saya bila mengikuti program pelajar KIZ pagi tadi benar benar mengecewakan. Sedih melihatkan jalan masuk ke HPA yang rosak teruk, najis lembu berselerakkan sepanjang jalan dan juga  persekitaran dalam kawasan HPA yang tidak terurus. Kemudahannya semakin tidak terjaga dan daif sekali. Aset berharga UKM ini seperti sudah tidak 'bernyawa lagi'. Kita semua (termasuk saya) kena mengakui bahawa kita sendirilah yang mematikan khazanah UKM ini. Apa pun, saya akan tetap gunakan HPA pada setiap tahun, kerana HPA adalah khazanah UKM. pelajar UKM harus didekatkan dengan khazanah UKM supaya mereka sayang dan cintai khazanah tersebut.

Melihatkan keadaan HPA, tiada apa yang  boleh saya katakan lagi...Biarlah gambar gambar di bawah yang berbicara...Semoga akan ada kekuatan untuk kita semua membangunkan semula Hutan Pendidikan Alam UKM...antara permata dan khazanah UKM yang sangat bernilai...

Kemudahan Perkhemahan yang sudah rosak sepenuhnya

Wakaf yang menjadi ruang perbincangan para peserta sudah runtuh

Dulunya ini adalah chalet untuk peserta yang ingin bermalam di dalam suasana hutan UKM,
sekarang sudah rosak sepenuhnya dan tidak boleh digunakan lagi.

Chalet yang rosak sepenuhnya.

Khemah yang tidak boleh digunakan lagi

Tempat duduk yang rosak...

Tapak perkhemahan yang sudah diabaikan...

Wakaf Wakaf istirehat yang mula runtuh...

Tandas...ada sesiapa yang ingin gunakan?

Pokok Tumbang Menghempap Bumbung Dewan Makan..Agak Merbahaya Pada Para Peserta...

Pokok Jelutong yang menjadi ikon HPA UKM telah mati sepenuhnya...













05 September, 2013

Felo Kolej Kediaman UKM: Bersediakah Menghadapi Tuntutan dan Cabaran Baru?


Menjadi felo masakini sebenarnya jauh lebih sukar dari masa saya menjadi felo kolej kediaman. Itu saya benar benar pasti. Jika dulu saya sekadar memastikan yang sakit dibawa ke hospital, yang ada di kolej patuh pada peraturan kolej dan jika ada yang tertinggal kunci, saya akan membuka pejabat kolej untuk memberikan kunci pendua.

Hari ini, semua urusan itu masih dilakukan, mungkin kadarnya jauh lebih sedikit bila pelajar sudah ada kenderaan sendiri. Juga dengan dasar penggunaan elektrik bayar sekali persemester, pelajar gunalah tanpa had peralatan elektrik (asalkan dalam senarai yang dibenarkan), maka penguatkuasaan yang menjadi fungsi lama felo semakin hilang sedikit demi sedikit.

Hari ini felo kolej dihadapkan dengan cabaran yang menuntut pembinaan idea dan bukan lagi tenaga fizikal. Felo kolej hari ini perlu memahami konsep dan praktis pembangunan pelajar, memahami isu kebolehpasaran dan tuntutan majikan. Felo kolej hari ini harus memahami psikologi remaja dan undang undang berkaiatan AUKU. Malah felo hari ini dihadapkan dengan cabaran pengurusan kolej yang mementingkan kecekapan dan kualiti.

Jelas bahawa felo sekarang jauh lebih banyak tanggungjawab berbanding felo dulu. saya sedar dan nampak bebanan ini. Pihak pengurusan UKM juga memahami bebanan yang ditanggung oleh felo.

Oleh itu menjadi felo hari ini bukan sesuatu yang mudah lagi. Perlu ilmu pengorganisasian aktiviti, perlu psikologi manusia serta menguasai ilmu berkaiaan pembangunan pelajar. Jika tidak mereka akan berhadapan dengan berbagai dilema bila berhadapan dengan berbagai kerenah pelajar.


Di Kolej Ibu Zain, sudah lama hal ini menjadi teras kepada pembangunan felo. Majlis felo KIZ giat meningkatkan pembangunan diri mereka sebelum mereka dapat membimbing para pelajar. Mereka mendedahkan diri untuk menjadi penceramah, ahli forum dan pembimbing dalam membangunkan pelajar KIZ.

Malah seringkali juga sesi perbincangan tidak formal diadakan untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan ilmu pembangunan pelajar.

Saya sangat berharap mereka benar benar faham dan gembira dengan apa yang sedang mereka lakukan dalam membangunkan pelajar di KIZ. Dengan cara ini juga, mereka juga pasti akan mendapat maklumbalas yang baik dari pelajar KIZ.

Malam tadi majlis felo KIZ anjurkan forum pembangunan pelajar di KIZ Hall sempena MMP 2013. Mereka ambil peluang untuk menerangkan tentang konsep dan praktis berkaitan pembangunan pelajar, membicarakan soal teras aktiviti yang dekat di hati dan minat para pelajar.

Mereka juga kisahkan tentang kejayaan program program yang lalu. Mereka memberikan bimbingan tentang apa yang patut pelajar baru fikirkan sebagai langkah pertama membangunkan diri bila melangkah masuk ke UKM.

Saya penuh yakin jika semua felo kolej kediaman UKM memiliki persediaan ilmu berkaitan pembangunan diri, memahami isu kebolehpasaran serta mempunyai pengalaman yang luas dalam beraktiviti dan bersedia untuk menjana idea idea baru program pelajar, mereka akan lebih bersedia menghadapi cabaran dan tuntutan tuntutan baru di kolej kediaman.

Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan Tahniah buat majlis felo KIZ...atas usaha murni anda di KIZ malam tadi...

01 September, 2013

Pengurusan Pendaftaran Pelajar Baru Terbaik: Tahniah Warga Kerja HEPA...

Sejak menjadi pengetua kolej kediaman UKM dan terlibat secara langsung dalam menguruskan
pendaftaran pelajar baru saban tahun, saya harus akui dari pandangan mata saya tahun ini merupakan tahun di mana pengurusan pendaftaran pelajar baru yang paling cepat dan lancar.

Tahniah atas usaha dan inovasi Ybhg Timbalan Naib Canselor, Prof Dato Dr. Othman A.Karim dan Timbalan Pendaftar JPPEL, Tn Haji Musa Zainal Abidin dan seluruh jentera JPPEL. Juga tahniah kepada  seluruh warga HEPA UKM di peringhkat kolej yang bertungkus lumus menjayakan inovasi pendaftaran tahun ini.

Berbanding tahun tahun sebelumnya, kali ini hanya dua kaunter sahaja yang beroperasi secara penuh. Kaunter akademik, bagi mengaktifkan pendaftaran pelajar serta kaunter kolej bagi tujuan pengambilan kunci bilik. Dua kaunter lagi iaitu kaunter pusat kesihatan dan kaunter kewangan berfungsi sebagai kaunter sokongan, untuk mengumpulkan dokumen kesihatan dan slip pembanyaran yuran sahaja.

Tidak ada lagi seperti dulu berbagai kaunter seperti dari pusat sukan, kaunter pendaftaran persatuan, kaunter agihan t-shirt kolej, kaunter agihan beg, talileher dan skaf. Juga satu ketika dulu, ada juga kaunter mengisi borang PTPTN!

Pelajar baru tahun ini juga tidak lagi perlu mengisi pelbagai borang sebagai mana tahun tahun yang lalu. Hasilnya, pendaftaran berlangsung dengan sangat cepat, sehingga kurang dari satu minit! semuanya selesai.

Ini satu penambahbaikan pengurusan pendaftaran pelajar baru yang sememangnya diperlukan. Saya masih ingat secara jelas di zaman saya mendaftar dahulu, semua pelajar perlu mendaftar di PUSANIKA. Bayangkan dengan bilangan mencecah hampir 4,000 pelajar, kami bersesak sesak di PUSANIKA sejak awal pagi hinggalah membawa ke jam 5 petang.

Setelah beratur begitu panjang (berjam jam) dengan berbagai borang yang perlu di isi (sambil duduk menulis di atas lantai dan tangga PUSANIKA), kami perlu mencari keluarga yang entah di mana dalam lautan manusia. (Masa itu belum ada telefon tangan!).

Kemudian menaiki kereta dan akan bergerak ke kolej kolej yang dicatatkan dalam borang yang disahkan. Betapa sukarnya mencari kolej kediaman dalam keadaan hampir semua orang itulah kali pertama masuk ke kampus UKM. Jalan dalam kampus sesak teruk.

Hari ini semuanya menjadi begitu selesa dan tenang sekali. Siap disediakan jamuan untuk para ibu bapa. Selesai mendaftar (yang kurang seminit masa yang diambil di kaunter) para ibubapa akan bergerak ke bilik bilik penginapan dalam ruang kolej yang sama. Begitu selesa sekali.

Tetapi, saya tidak menganggap kita sudah berjaya sepenuhnya menguruskan pendaftaran pelajar baru dan tidak perlukan inovasi lagi pada masa depan. Banyak lagi cabaran cabaran baru yang menanti pengurusan HEPA untuk terus memikirkannya.

Sebagai contoh, dulu pihak HEPA mungkin hanya dihadapkan dengan kepelbagaian pelajar yang secara fizikalnya jelas kelihatan. HEPA ketika itu harus mengambil kira jantina dan kaum, agama dalam urusan pendaftaran supaya penginapan menepati keperluan pelajar. Selain itu mungkin turut menguruskan isu keperluan pelajar dari keluarga miskin yang memerlukan bantuan kewangan.

Hari ini sifat kepelbagaian pelajar UKM dan juga IPT lain sudah semakin rencam. Selain jantina, agama dan kaum, HEPA harus mengambil kira pelajar OKU (harus difahami bahawa wujud kepelbagaian bentuk OKU yang memerlukan keperluan yang berbeza).

HEPA hari ini juga menerima pelajar berbeza usia. Ada yang muda belia (awal 20an) dan ada yang berumur antara 40-50 tahun (kakitangan kerajaan, tentera dan sebagainya). Keperluan mereka juga jauh berbeza.

Malah hari ini HEPA juga perlu mengambilkira kumpulan pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran seperti autisme dan ADHD. Dulu, kumpulan ini tidak akan bermimpi untuk menuntut di IPT, tetapi hari ini berkat kemajuan pendidikan khas uyang dilaksanakan, telah memungkin kumpulan seperti ini menjejakkan kaki ke UKM.

Bagi menguruskan OKU dan kumpulan yang berkeperluan khas, HEPA perlu mempunyai kekuatan sumber manusia dan juga kepakaran. Inilah contoh cabaran-cabaran baru HEPA dan akan lebih ketara dalam masa depan.

Ini belum menyentuh menguruskan pelajar cemerlang (gifted) dan kumpulan khas (misalnya atlit negara). Mereka ini juga mempunyai keperluan keperluan yang tertentu dalam pengajian mereka.

Di UKM pengurusan HEPA jelas sensitif dengan hal hal sebegini. Misalnya kita telah menyediakan dua kolej sebagai kolej yang mesra OKU iaitu kolej Dato Onn dan kolej Aminuddin Baki. Dan sudah ada cadangan jumlah kolej mesra OKU di UKM akan ditambah dari masa ke semasa.

Kita juga memerlukan lebih ramai kaunselor dan pegawai HEPA yang mempunyai latarbelakang pengetahuan berkaitan ilmu 'kepelbagaian pelajar'. Di UKM kita bertuah kerana Fakulti Pendidikan mempunyai sebuah Pusat Kecemerlangan Kepelbagaian Pelajar yang boleh dirujuk untuk memberikan latihan kepada pembangunan para kakitangan HEPA.

Menarik dan gembira untuk kita mendengar visi TNC HEPA, bila beliau berkata "kita akan usahakan satu hari nanti apabila pelajar baru datang ke UKM untuk mendaftar, beliau hanya perlu ke kaunter kolej mengambil kuci bilik sahaja". Saya yakin impian ini akan menjadi kenyataan tidak lama lagi, mungkin jika diperhalusi prosedurnya tahun hadapan impian ini
sudah boleh dijayakan.

Tahniah buat warga kerja HEPA UKM....

31 August, 2013

Mitos Perpaduan Kaum....

Di dalam memahami isu hubungan kaum di Malaysia, kita seringkali menggunakan istilah perpaduan (unity). Kita jarang atau hampir tidak menggunakan istilah kesepaduan (cohesion).

Apa beza antara keduanya? Perpaduan membawa maksud menjadi satu, berpadu, bergabung atau bercampur sehingga kita tidak lagi mengenali bentuk asal. Bila warna kuning dan hijau bercampur atau berpadu, warna biru akan muncul. Kita tidak lagi dapat melihat warna asalnya tetapi kita tahu warna biru terhasil dari warna kuning dan hijau.

Kesepaduan pula bermaksud seiring, bersama, selari atau harmoni. Kesepaduan tidak bermaksud berpadu sehingga hilang bentuk asalnya. Bila kita mendengar muzik, keharmonian bunyi datang dari berbagai alat muzik yang dimainkan secara bersama, seiring dan saling melengkapi.

Tetapi jika kita dengar dengan teliti kita masih boleh membezakan bunyi bunyi yang dihasilkan samada dari gitar, gendang, drum, trompet, piano dan sebagainya. Sifat keharmonian muzik yang merdu itu datangnya dari sifat saling melengkapi antara satu sama lain dalam irama tersebut. maka identiti bunyi dari setiap alat muzik kekal berbeza, tetapi ia melengkap antara satu sama lain.

Bagaimana dengan bentuk hubungan etnik/kaum di Malaysia? Apakah kita inginkan bentuk yang berpadu menjadi satu atau bersepadu secara harmoni tanpa menghilangkan identiti asalnya?
Sehingga ini kita tidak ada jawapan yang tepat. Oleh itu kefahaman kita harus diperdalamkan.

Kita kena kembali kepada sejarah bagaimana bentuk hubungan etnik/kaum ini dimulakan. Apakah bentuk awal yang kemudiannya menjadi teras budaya dalam masyarakat sehingga diterima oleh semua.

Hubungan kaum kaum di Malaysia bermula secara berperingkat. Pertama, keberadaan orang Melayu di bumi semenanjung ini. Sejarah telah membuktikan orang melayu adalah orang asal, yang pertama dan yang paling awal menjadi penghuni bumi semenanjung. maka ini hakikat yang perlu diterima dan menjadi teras.

Bolehkah fakta ini diubah? Tidak boleh. Kita tidka boleh mengubahnya walaupun kita mahu mengubahnya. Sejarah telah begitu. Ibaratnya bolehkah kita atas alasan tidak suka nama kampung tempat di mana kita telah dilahirkan, mengubah fakta bahawa kita lahir di kampung lain. Mungkin kita boleh menukarkan di seribu dokumen tetapi sejarah tetap sejarah. Sejarah telah menyebabkan kita akan kekal begitu.

Orang Cina, India, Pakistan, Arab dan sebagainya datang ke Tanah Melayu, kemudiannya. Oleh kerana orang Melayu ketika itu sudah mempunyai sistem kerajaan, pemerintahan, undang undang serta sistem masyarakat maka mana mana kumpulan yang datang ketika itu dinamakan sebagai imigran.

Tetapi jika ketika itu belum ada kerajaan Melayu, belum ada undang undang atau sistem masyarakat, tentulah kehadiran kumpulan ini tidak lagi dikatakan sebagai imigran. Ini juga satu sejarah yang harus diterima, suka atau tidak ia akan tetap kekal begitu.

Maka kehadiran imigran dalam ruang masyarakat Melayu di semenanjung tentulah menimbulkan pertentangan nilai dan norma hidup. 
Sistem nilai, keagamaan, bahasa, cara hidup orang melayu, Cina dan India adalah berbeza. Pendidikan serta ruang perumahan menambahkan lagi jurang perbezaan ini. Pihak kolonial melakukan apa yang dipanggil 'pecah dan perintah' untuk menguruskan hal ini. Akibatnya orang Melayu tinggal di kampung asal mereka, Cina di bandar dan lombong manakala orang India di estet dan ladang milik kolonial.

Pecah dan perintah ini bukan sahaja dalam ekonomi tetapi juga dalam hal pendidikan dan penempatan. Pendidikan di tanah melayu menjadi sistem vernakular iaitu satu sistem pendidikan yang diasaskan kepada bahasa ibunda. Maka lahirlah sekolah Melayu, Arab, sekolah Inggeris, Sekolah Cina dan Tamil di seluruh Tanah Melayu.

Apa yang dipelajari di sekolah, itulah yang digunakan sehingga alam dewasa. Akhirnya kerana pendidikan, masyarakat Malaysia mula terbentuk sifat, identiti dan ruang yang berbeza beza. Sebelum merdeka, kepelbagaian ini tidak menimbulkan banyak masalah. Orang Melayu kekal di kampung, Cina di bandar dan India di estet.

Tetapi bermula sekitar 1950an membawa kepada  akhir 1970an, industrilisasi, perkilangan serta perkembangan ekonomi dunia telah membawa kepada penghijrahan orang melayu dan india ke bandar bandar, pusat berlakunya industrilisasi. Maka pertembungan nilai, perebutan peluang ekonomi, timbul rasa irihati dan tidak puashati mula berkembang, di mana hal yang seperti ini tidak berlaku sebelumnya. Kemuncaknya ialah 13 Mei 1969.

Bagaimana kita ingin menguruskan hubungan kaum di negara ini? Adakah kita bersetuju berpadu dalam menguruskan kepelbagaian ini? Apakah kita ingin menjadi satu, meninggalkan bentuk asal identiti kita untuk bersatu, berpadu dan bergabung dengan kaum kaum yang lain?

Melihat kepada cara berfikir dan bertindak di kalangan semua kaum di Malaysia, jawapnya tentulah tidak. Jika pun semua kita bersetuju bergabung, kita lebih cenderung untuk bersetuju jika gabungan itu harus mengikut cara kaum kita, bukan cara kaum kaum yang lain. Akhirnya kita 'berbohong' pada diri sendiri bahawa kita sebenarnya ingin berpadu.

Apa yang sebenarnya kita sebagai seluruh rakyat Malaysia inginkan ialah bersepadu. Kita ingin terus kekal dengan cara hidup asal kita tetapi pada masa yang sama kita bersedia untuk menjadi pelengkap kepada kehidupan bersama kaum kaum yang lain.

Kita inginkan kehidupan yang ada kepelbagaiannnya ini diharmonikan. Kita ingin bahasa Melayu, bahasa Mandarin, Tamil dan sebagainya kekal sebagaimana asalnya. Malah kita pasti ingin untuk melihat anak Melayu bertutur fasih dalam bahasa Mandrin atau Tamil. Kita juga pasti ingin melihat anak anak kaum Cina dan India fasih dalam bahasa Melayu.

Oleh kerana kita telah salah membuat tafsiran dengan membawa obor untuk berpadu, maka sampai bilapun kita tidak akan dapat mencapai objektifnya kecuali kita bersedia untuk berkahwin campur (kahwin dengan pasangan dari kaum bukan sama dengan kita).

Maka akan lahirlah anak anak yang benar benar hasil perpaduan. Selain bentuk ini, kita harus menerima hakikat bahawa usaha membina kesepaduan lebih berkesan dari sekadar slogan untuk perpaduan semata mata.

Apakah asas dalam membina kesepaduan?

Pertamanya, tentulah bermula dengan pemahaman dan penghayatan sejarah. Keduanya, kesediaan menerima kontrak sosial sebagai asas untuk bersepadu. Ketiga, menghormati undang undang dan perlembagaannya.

Seterusnya yang ke empat, membawa kepada kesaksamaan dan keadilan sosial untuk semua. Semua kaum tidak boleh dipinggirkan. Adil tidak bermaksud sama. Keadilan bermaksud meletakkan hak pada tempatnya. Jika si miskin layak lebih banyak bantuan dari si kaya, itu adalah meletakkan hak pada tempatnya.

Sekolah harus segera memahami maksud kesepaduan, Seterusnya melakukan perlaksanaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Anak anak mula dibina konsep menghormati budaya hidup kaum lain, menghormati agama dan bahasa kaum yang lain.

Begitu juga para pelajar harus diberikan peluang untuk mula meneliti konsep toleransi, muhibbah, meraikan serta mengiktiraf kaum lain secara telus dan konsisten. Lebih banyak interaksi dianjurkan antara anak anak dari kaum yang berbeza. 


29 August, 2013

Bila Pasukan Felo dan Staf Kolej Ibu Zain Mula Berinovasi...

Sejak saya dilantik sebagai pengetua Kolej Ibu Zain, salah satu isu yang tidak pernah selesai ialah masalah gangguan monyet di kawasan kolej kediaman. Hampir kebanyakkan kolej kediaman lain juga mengalami isu ini.

Malah isu ini semakin ketara bila pembangunan institut, jabatan dan unit baru yang semakin giat berlangsung di UKM, menyebabkan kawasan hutan UKM menjadi semakin kecil. Kehidupam monyet menjadi semakin tersepit terutamanya mendapatkan makanan mereka.

Akibatnya tong sampah menjadi sasaran monyet monyet ini. dalam keadaan terdesak kerana lapar, mereka akan masuk ke bilik pelajar yang tidak menutup tingkap atau pintu blok kediaman. Tentulah mereka ini tidak bersalah, kerana mereka sekadar menurut naluri. Bila lapar mencari makanan.

Oleh itu warga UKM perlu menyesuaikan kehidupan mereka dengan kehadiran monyet monyet ini. Kolej Ibu Zain khususnya merupakan kawasan tumpuan utama kumpulan monyet kerana berada paling hampir dengan persekitaran hutan UKM dan kolej ini juga berada di atas Bukit Warisan di dalam kampus UKM.

Persekitaran ini menuntut warga kolej Ibu Zain  lebih prihatin dan sensitif dengan kehadiran monyet monyet ini dan di KIZ beberapa langkah menguruskan isu ini telah dilakukan.

Pertama, pihak pengurusan KIZ menyediakan taklimat dan wacana oleh pakar primat UKM dari FST untuk para pelajar kolej memahami secara ringkas tingkalaku monyet.

Kedua menganjurkan "Food Waste Phase Out", satu aktiviti pengurusan sisa makanan secara betul untuk megelakkan gangguan monyet.

Terbaru pihak felo dan staf kolej Ibu Zain telah berkerjasama melakukan inovasi dengan membina tong sampah kalis monyet. Sejak dibina seminggu lalu, sehingga hari ini tong ini berjaya menghindar monyet menyelongkar tong sampah berkenaan.

Pihak kolej Ibu zain akan terus berusaha menganjurkan aktiviti berkaitan membina kesejahteraan dalam kampus dan kolej. Terima kasih pasukan felo dan staf KIZ...hebat juga rupanya bila pasukan felo dan kakitangan KIZ berinovasi...


21 August, 2013

Felo Kolej Kediaman, Mari Berubah Sebelum Diubah....


  1. Semalam (19 Ogos 2013), pihak Majlis Pengetua dan JPPEL telah berjaya anjurkan Bengkel Pemantapan Felo Kolej Kediaman bagi tahun 2013 di Danau UKM. 
  2. Bengkel ini diadakan setiap tahun, kadangkala di dalam kampus UKM, jika ada peruntukan kewangan pernah juga dianjurkan di luar kampus UKM.
  3. Sejak dulu, di mata pihak pengurusan UKM, institusi felo perlu dipertahankan. Malah kepercayaan bahawa institusi ini penting di dalam menguruskan hal ehwal pelajar tidak pernah luntur dan dinafikan. 
  4. Di negara luar, institusi felo juga ada di dalam persekitaran kampus. Di Universiti Oxford misalnya, institusi felo menggunakan istilah "Don". Para Don merupakan ahli akademik muda yang mempunyai reputasi akademik yang baik dan sering menjadi rujukan para pelajar. 
  5. Sebagai Don mereka selalu mengadakan perbincangan, diskusi, dialog serta ceramah akademik secara berkala pada pelajar di kolej masing masing. Institusi Don sangat dihormati oleh para penghuni kolej kerana nilai nilai serta pengetahuan akademik yang dimiliki oleh para Don yang dilantik oleh pihak College Master/Principal/Guardian di kolej kolej.
  6. Di Malaysia istilah felo digunakan sebagai 'pembimbing' kepada para pelajar di kolej kolej kediaman. Seperti 'Don', peranan felo sebenarnya penting dalam menjadi rujukan membina budaya ilmu di kolej kolej kediaman. Pada awalnya, idea mewujudkan institusi felo adalah lantikan pengurusan universiti di kalangan ahli akademik. 
  7. Sehingga tahun 2001, felo juga dibantu oleh pasukan tutor penghuni yang dilantik di kalangan pelajar sarjana dan PhD. Hari ini kriteria ini sudah tiada lagi. Instituysi Felo sekarang telah bercampur campur, ada felo dari kakitangan akademik, kakitangan sokongan dan juga dari kalangan pelajar siswazah. Kepelbagaian ini sedikit sebanyak telah melenyapkan tujuan asal kewujudan felo bagi meningkatkan budaya intelektual dan budaya ilmu di kolej kediaman.
  8. Hari ini, perana felo dijelmakan dalam bentuk yang sangat berbeza. Sekarang setiap felo diberikan amanah menjaga kebajikan pelajar. Menghantar pelajar sakit ke hospital, mengambil kunci pendua di pejabat apabila pelajar tertinggal kunci bilik, membuat spot check, mengeluarkan amaran serta 'saman' pada pelajar yang melakukan kesalahan di kolej. pada saya, peranan felo jauh tersimpang dari maksud asalnya.
  9. Malah di UKM selepas 2008, institusi felo juga diberikan tanggungjawab baru, sebagai pembimbing aktiviti pelajar di kolej sebagai cara untuk meningkatkan pembangunan softskills para pelajar UKM.
  10. Persoalannya, sejauh mana institusi felo ini akan bertahan dalam persekitaran kampus yang semakin kuat berubah? 
    • Perlaksanaan LC versi 2013-2014, pasti akan menjauhkan aktiviti pelajar dari pandangan mata felo, lebih lebih lagi akan semakin banyak aktiviti dianjurkan di fakulti. Perlaksanan LC akan menggunakan khidmat penyelia (sekurangnya kurangnya memiliki kelulusan sarjana dan keutamaannya dari kalangan ahli akademik dan penilai LC dari lantikan pihak fakulti sepenuhnya).
    • Sistem aduan dalaman secara online sedang dipertingkatkan keberkesanannya. Dalam masa terdekat, para pelajar di kolej kediaman akan boleh terus membuat aduan kerosakan kepada penyedia perkhidmatan (UPP, JPP, JPPEL etc) tanpa perlu melalui felo felo lagi.
    • Atas faktor kos, universiti akan lebih teliti membuat pemilihan dalam melantik felo bergantung kepada  kelayakan, bakat, pencapaian serta kelebihan kritikal yang ada pada felo. Misalnya, felo yang ada kemampuan meningkat penguasaan bahasa pelajar tentulaha akan diberikan keutamaan. Begitu juga felo yang memiliki kemahiran yang tinggi dalam sukan, seni, kepimpinan, usahawan, pidato dan inovasi pasti akan menjadi pilihan pengurusan UKM. Oleh itu jumlah felo pasti akan dikurangkan, dan hanya yang benar benar layak akan dilantik.
  11. Jika begitulah halnya, bagaimana institusi ini akan terus dipertahankan. Apakah ada jalan untuk memperkasa institusi ini untuk terus bertahan dalam satu jangka masa yang lebih panjang di UKM?
  12. Saya berkenyakinan institusi felo ini masih relevan, samada LC ada atau tiada. Begitu juga samada sistem aduan dalam atas talian ada atau tiada. Samada kos kewangan mendesak atau tidak. Pada saya,  empat tindakan jangkapendek harus dilakukan SEGERA bagi meningkatkan kerelevanan institusi felo ini di UKM.
    • Pertama, institusi felo harus diterjemahkan sebagai satu badan penggerak 'budaya ilmu' di kolej kolej kediaman UKM. Para felo bersama pelajar kolej harus mengambil tindakan luar kotak menganjurkan program program intelektual yang berprofil tinggi bagi mengantikan aktiviti-aktiviti 'pasar malam' di dalam kolej kediaman. Betul, pasti yang akan tersenyum dengan pandangan ini, kononnya "siapalah yang berminat dengan majlis ilmu". "Lebih baik anjurkan pasar malam dan rumah hantu kerana ia pasti mendapat sambutan pelajar". Inilah cabarannya. Institusi felo harus berani untuk memulakan budaya ilmu berprofil tinggi di dalam kampus. bagi memastikan kelangsungannya, pasukan felo mesti menjadi  pasukan yang menggerakkan aktiviti keilmuaan, sehinggalah aktiviti ilmiah berjaya menjadi satu budaya di kalangan para pelajar UKM.
    • Kedua, kebolehpasaran mahasiswa merupakan kemuncak kepada mengapa pelajar datang belajar di UKM dan ingin keluar universiti dengan berjaya. Oleh itu, bila institusi felo berjaya memberikan tumpuan kepada meningkatkan kebolehpasaran pelajar di kolej masing masing, mereka pasti dilihat relevan di kolej masing masing.
    • Ketiga, pasukan felo merupakan 'peransang' untuk pelajar mengadakan lebih banyak dengan jaringan pihak luar, samada komuniti mahupun industri. Semakin banyak jaringan yang berjaya dilakukan oleh pasukan felo, maka akan semakin banyak peluang terbuka untuk para pelajar di kolej kolej mereka.
    • Keempat, pasukan felo harus meneliti, memahami serta menterjemah pelan Tranformasi UKM dan melihat secara mendalam bagaimana institusi felo boleh memberikan sumbangan yang siknifikan. Bagaimanan institusi felo boleh menyumbang untuk menjayakan pengantarabangsaan bahasa melayu, soal penghasilan graduan yang berminda global serta sistem penyampaian yang berkesan.
  13. Jika rakan rakan felo yang sedang berkhidmat di kolej kolej kediaman sekarang merasakan cabaran ini sukar dan berat, saya setuju. MMenag berat dan perlukan latihan untuk menguasainya. Malah pada saya, ini bukanlah salah para felo. Untuk meningkatkan keupayaan felo, lebih banyak latihan, kursus, bengkel dan seminar yang perlu didedahkan pada para felo. Pihak HEPA melalui JPPEL tentunya sudah ada perancangan untuk menjayakan hasrat mewujudkan pasukan felo terbaik di UKM. 
  14. Semoga institusi 'keramat' ini akan terus berada di UKM. Saya panggil keramat kerana institusi felo yang dianggotai sekitar 150 orang sahaja, bertanggungjawab kepada hampir 13,000 pelajar yang tinggal di semua kolej kolej kediaman UKM. Pasukan felo juga merupakan pasukan yang paling di hadapan dalam pengurusan HEPA, kerana merekalah kumpulan yang paling hampir dengan pelajar. Mereka makan, minum, tidur dan hidup bersam sama pelajar di kolej kolej. Mereka tahu asam garam kehidupan pelajar, mereka juga tahu suka duka pelajar di kolej. Mereka selalu mendengar pujian, cemuhan, rungutan dan kritikan pelajar pada pihak pengurusan UKM. Mereka mendengar dan mereka merasainya. Oleh itu, pada saya institusi ini ada kekuatannya, dan ada keramatnya....