15 September, 2013

PRK-UKM 2013: Antara MPP "Tong Kosong" dan MPP "Diam Diam Ubi"

Minggu lalu, ada beberapa message yang saya terima bertanyakan mengapa saya sudah tidak lagi menulis tentang politik kampus. Juga soal politik GMUKM atau ASPIRASI. Ada juga message yang bertanyakan apa pandangan saya tentang PRK UKM untuk 2013. Maaf, kerana saya tidak berniat untuk membalas setiap satu message tersebut, bimbang boleh disalahertikan atau digunakan oleh mana mana pihak secara tidak tepat.

Ini jawapan saya kepada beberapa persoalan yang dikemukakan pada saya;


  1. Benar, saya sudah tidak lagi berminat untuk menulis soal politik kampus UKM. Saya juga sudah tidak begitu teruja untuk meneliti soal kepolitikan kampus UKM sebagai sesuatu yang sangat penting untuk diberikan perhatian. Mengapa? 
  2. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini politik kampus sudah semakin jumud, sangat terpencil dan tidak melibatkan mahasiwa terbanyak, dan tidak lagi memberikan impak kepada pembangunan mahasiswa UKM. Betul, pihak yang menang sebagai MPP UKM masih sibuk melakukan beberapa aktiviti di Pusanika dan sekitar kampus UKM, bagaimanapun apa yang dilakukan oleh mereka tidak begitu mendapat respons yang tinggi daripada masyarakat pelajar.
  3. "Kesibukan" para MPP UKM mengaturkan program tidak boleh kita ertikan sebagai mereka sedang melakukan sesuatu yang benar benar memenuhi maksud politik kampus. Perlakuan perlakuan politik mereka seperti disuruh suruh oleh pihak luar kampus, sehinggakan apa yang dibahaskan oleh MPPUKM seperti tidak lagi memperlihatkan ketulenan pemikiran pemimpin mahasiswa UKM.( bacalah kenyataan kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan peringkat MPP UKM dalam blog blog kendalian mereka dan anda akan memahami maksud saya).
  4. Saya mungkin memahami maksud politik kampus dalam perspektif yang berbeza dengan pimpinan pelajar di MPPUKM serta kroni mereka. Pada saya, politik kampus adalah wadah pendidikan untuk membina pengalaman kepimpinan. Di arena inilah, UKM ingin melahirkan pemimpin pemimpin yang hebat untuk negara kita. Tetapi ada sesetengah pemimpin mahasiswa yang memahami politik kampus seperti antara hidup dan mati. Mereka bertelagah, kata mengata, menfitnah antara satu sama lain dan bermusuhan atas nama politik. Saya sangat tidak bersetuju dalam hal ini.
  5. PRK UKM pada pandangan saya harus digunakan sebaiknya untuk mana mana pemimpin mahasiswa belajar dan mengalami pengalaman menjadi pemimpin dan meneruskan bakat mereka bila telah bergraduan. Bukan menjadi pemimpin seperti "lembu yang dicucuk hidungnya" diarah arah oleh 'orang  politik'  yang cuba mengambil kesempatan atas semangat idealisme mahasiswa. Di pilihanraya kampus inilah pemimpin mahasiswa belajar apa itu tanggungjawab, apa itu pemikiran politik, apa itu maknanya mempunyai prinsip dan idealisme dalam perjuangan.
  6. Atas sebab itu, keinginan saya untuk berbincang berkaitan politik kampus UKM semakin pudar. Saya juga melihat apa yang sedang dilakukan oleh MPP-UKM dan para penyokong tegar mereka sangat bersifat bermusim. Sebulan begitu berkobar untuk menang PRK, tetapi 11 bulan yang seterusnya lesu. Saban tahun itulah yang berlaku.  Apabila semakin hampir dengan tarikh PRK UKM, semua mereka seperti 'berlakon', menunjukkan betapa begitu bersemangat mereka untuk menonjolkan kumpulan masing masing. Bila selesai PRK UKM, semuanya sunyi sepi. Akan kembali meriah pada tahun hadapan. Pada saya, sepatutnya semua  MPP-UKM adalah WAJIB untuk  menunjukkan 'report card' pencapaian masing masing, dan pelajar UKM  berhak  melihat apa pencapaian mereka. (Di Kolej Ibu Zain, semua MEP secara sukarela akan membentang laporan pencapaian mereka pada warga kolej Ibu Zain. pelajar kolej boleh bertanya dan memberikan pandangan mereka dalam majlis tersebut).
  7. Mengapa semua pelajar berhak menuntut untuk semua MPP UKM memaparkan pencapaian perkhidmatan masing masing? Kerana dua sebab, pertama sebab undi anda yang memenangkan mereka dalam PRK dan keduanya, UKM telah menggunakan puluhan ribu ringgit untuk menjayakan proses melaksanakan Pemilihan Pelajar UKM. Kos petugas, kos makanan, kos latihan, percetakan dan sebagainya. Jika MPPUKM gagal berkhidmat, maknanya duit yang dibelanjakan lebih baik digunakan untuk tujuan tujuan yang lain untuk kebajikan pelajar.
  8. Setelah lihat report card MPP UKM, cuba pula semua pelajar bandingkan dengan pencapaian MEP Kolej Kediaman anda, dan anda sendiri boleh buat kesimpulan siapa yang jauh lebih berjaya berkhidmat untuk pelajar, MPP UKM atau MEP Kolej Kediaman! Anda seorang mahasiswa dan anda sendiri boleh tentukannya.
  9. Meninjau aktiviti aktiviti 'kecil' yang dijalankan oleh MPPUKM, saya sedikit kesal. Seolahnya MPPUKM kekeringan idea dan tidak mempunyai idea idea yang lebih terkehadapan dalam menguruskan masyarakat mahasiawa UKM. Sebagai contoh, kita semua tahu ramai mahasiswa ingin mencari wang tambahan dalam meneruskan kehidupan mereka di kampus UKM. Apakah ada sebarang agenda untuk MPPUKM membuka ruang pelajar menambahkan duit poket mereka? Mengapa tidak dibangunkan one stop centre secara online untuk mahasiswa dapat peluang kerja part time di sekitar kajang dan Bangi. (Bagaimana pun tahniah atas usaha Felo dan MEP Kolej Ibu Zain yang sudah anjurkanya idea yang hampir sama melalui IZISH-CareerHUB), atau apakah ada usaha MPPUKM untuk membangunkan mini 'uptown' dalam UKM di mana pelajar yang berminat dengan usahawan boleh memulakan perniagaan kecil kecilan di dalam kampus UKM di sebelah malam. 
  10. Atau apakah ada usaha MPPUKM untuk membantu mahasiswa berkaitan isu 'employability' mahasiswa. Saya yakin tidak ada. Malangnya, seluruh tenaga dan jiwa MPPUKM digunakan untuk hal lain, iaitu  'bermain politik'. Si A mengata si B, si B pula akan mengata balas si A dan begitulah seterusnya. Mahasiswa terbanyak UKM yang rugi dengan keadaan ini. Tidak ada langsung agenda besar untuk memperkasakan mahasiswa UKM di peringkat MPPUKM...
  11. Sebab itulah, pelajar UKM harus bijak semasa mengundi dalam piliharaya. Pilihlah mereka yang boleh memberikan kebaikan kepada kehidupan anda di UKM. Pilihlah mereka yang berminat untuk bersama sama dengan pihak pengurusan UKM, yang akan bekerja untuk kebajikan pelajar. Dan tanyalah pada diri sendiri apa untungnya  mengundi mereka yang sering melihat pihak pengurusan UKM sebagai musuh. 
  12. Undilah mereka yang mempunyai kerangka kerja yang jelas, ada pelan tindakan yang munasabah yang boleh dicapai untuk kebaikan mahasiswa. Sokong dan undilah calon yang boleh menjawab dengan bernas kepada soalan "apakah yang anda sebagai calon MPP boleh sumbangkan dalam meningkatkan kualiti hidup kami, para mahasiswa UKM!"
  13. Sehingga waktu ini, saya masih melihat politik kampus UKM adalah sesuatu yang tidak mencapai maksud memberikan pendidikan kepimpinan kepada mahasiswa. Sebaliknya menjadi tempat 'politik dungu' bermaharaja lela. Bolehkah keadaan ini berubah? Pada saya boleh, dengan syarat mahasiswa UKM seluruhnya perlu lebih kritikal dan bijak menilai prestasi MPPUKM yang mereka undi dahulu. 
  14. Janganlah pilih calon MPPUKM yang diibaratkan seperti 'tong kosong' tetapi pilihlah MPPUKM yang bersifat 'diam diam ubi"...yang bekerja bersama pengurusan UKM dan berjaya mencapai tugasan mereka demi kebajikan mahasiswa dan bukannya untuk memenuhi 'nafsu ahli politik yang suka melihat kehidupan mahasiswa porak peranda". 
  15. Sebagai MAHASISWA UKM, andalah yang tentukan siapakah yang layak di kalangan anda sebagai pemimpin pelajar di UKM...