Shopping Week@Harvard University |
Tradisi shopping week dianjurkan supaya semua pelajar diberikan hak dan kebebasan sepenuhnya untuk belajar apa yang menjadi minat serta keinginan mereka. Tidak ada modul atau kursus yang ditentukan oleh pihak fakulti yang diistilahkan sebagai wajib untuk diikuti.
Malah pelajar di sana juga boleh memilih dengan profesor mana mereka ingin belajar, kursus apa yang ingin disertai dan diakhir pengajian mempunyai senarai kursus yang berbeza beza antara pelajar walaupun mengikuti program atau bidang pengijazahan yang sama.
Warga KIZ Sedang Berbincang Memilih Aktiviti |
Pada malam tender ini para pemimpin MEP akan membentangkan projek masing masing. Pelajar KIZ akan mendengar, bertanya soalan dan seterusnya membuat keputusan samada untuk menyertai atau tidak projek berkenaan.
Pelajar boleh memilih mana mana projek yang mereka minati. Tidak ada sekatan atau desakan supaya pelajar kolej wajib ikut mana mana aktiviti atau projek di KIZ tanpa kehendak mereka. Kebebasan sepenuhnya untuk pelajar memilih aktiviti yang diminati.
Suasana Sibuk dan Meriah di KIZ Hall |
Mengapa KIZ anjurkan Malam Tender? Ada tiga sebab utama. Pertama, pelajar berhak memilih aktiviti yang diminati setelah mendengar pembentangan daripada MEP. Di KIZ, majlis felo menghormati kematangan mahasiswa untuk mereka membuat keputusan sendiri tentang apakah yang terbaik untuk mereka.
Kedua, pemimpin MEP perlu bersaing secara sihat untuk menarik dan mendapatkan keahlian dalam projek mereka. Secara langsung setiap biro MEP perlu membuat persediaan rapi dalam membentangkan projek mereka dengan cara yang terbaik. Pembentangan yang menarik, impak projek yang tinggi serta gaya kepimpinan MEP banyak mempengaruhi keputusan pelajar untuk menyertai sesuatu projek di KIZ.
Pembentangan Projek Oleh Salah Seorang Majlis Eksekutif Pelajar KIZ |
Saya hadir semalam sepanjang acara ini berlangsung, saya dapat lihat ada beberapa pelajar yang terpinga pinga, nampak resah dan sedikit keliru.
Mereka mundar mandir di dalam KIZ Hall, seperti tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ada yang duduk menyendiri di tepi tepi depan dewan melihat pelajar lain sibuk mendaftarkan diri.
Inilah agenda utama malam tender. Untuk membuka minda serta psikologi pelajar yang memiliki tahap keyakinan diri yang rendah, pemalu serta kurang mahir berkomunikasi segera keluar dari kepompong yang membelenggu perasaan mereka. Mereka sekarang sudah bergelar mahasiswa.
Semua MEP Sedaya Upaya Menarik Perhatian Pelajar Untuk Menyertai Projek |
Pada pelajar yang pasif dan pemalu, saya pasti apabila mereka balik ke bilik masing masing, mereka tentu membandingkan diri mereka dengan rakan rakan yang lain dan akan berfikir "bagaimana aku ingin hilangkan rasa kurang yakin diri dan pemalu, dan menjadi seperti mereka yang penuh keyakinan diri?
Jangan risau, akan ada beberapa lagi program di KIZ untuk anda segera keluar dari kepompong rendah diri ini. Di KIZ, majlis felo punya perancangan dan sentiasa memberikan keutamaan dalam isu ini.
Pada masa yang sama, tahniah pada semua MEP KIZ yang sudah mempunyai ajk masing masing. Semoga projek anda akan lebih cemerlang pada sesi ini.