01 September, 2013

Pengurusan Pendaftaran Pelajar Baru Terbaik: Tahniah Warga Kerja HEPA...

Sejak menjadi pengetua kolej kediaman UKM dan terlibat secara langsung dalam menguruskan
pendaftaran pelajar baru saban tahun, saya harus akui dari pandangan mata saya tahun ini merupakan tahun di mana pengurusan pendaftaran pelajar baru yang paling cepat dan lancar.

Tahniah atas usaha dan inovasi Ybhg Timbalan Naib Canselor, Prof Dato Dr. Othman A.Karim dan Timbalan Pendaftar JPPEL, Tn Haji Musa Zainal Abidin dan seluruh jentera JPPEL. Juga tahniah kepada  seluruh warga HEPA UKM di peringhkat kolej yang bertungkus lumus menjayakan inovasi pendaftaran tahun ini.

Berbanding tahun tahun sebelumnya, kali ini hanya dua kaunter sahaja yang beroperasi secara penuh. Kaunter akademik, bagi mengaktifkan pendaftaran pelajar serta kaunter kolej bagi tujuan pengambilan kunci bilik. Dua kaunter lagi iaitu kaunter pusat kesihatan dan kaunter kewangan berfungsi sebagai kaunter sokongan, untuk mengumpulkan dokumen kesihatan dan slip pembanyaran yuran sahaja.

Tidak ada lagi seperti dulu berbagai kaunter seperti dari pusat sukan, kaunter pendaftaran persatuan, kaunter agihan t-shirt kolej, kaunter agihan beg, talileher dan skaf. Juga satu ketika dulu, ada juga kaunter mengisi borang PTPTN!

Pelajar baru tahun ini juga tidak lagi perlu mengisi pelbagai borang sebagai mana tahun tahun yang lalu. Hasilnya, pendaftaran berlangsung dengan sangat cepat, sehingga kurang dari satu minit! semuanya selesai.

Ini satu penambahbaikan pengurusan pendaftaran pelajar baru yang sememangnya diperlukan. Saya masih ingat secara jelas di zaman saya mendaftar dahulu, semua pelajar perlu mendaftar di PUSANIKA. Bayangkan dengan bilangan mencecah hampir 4,000 pelajar, kami bersesak sesak di PUSANIKA sejak awal pagi hinggalah membawa ke jam 5 petang.

Setelah beratur begitu panjang (berjam jam) dengan berbagai borang yang perlu di isi (sambil duduk menulis di atas lantai dan tangga PUSANIKA), kami perlu mencari keluarga yang entah di mana dalam lautan manusia. (Masa itu belum ada telefon tangan!).

Kemudian menaiki kereta dan akan bergerak ke kolej kolej yang dicatatkan dalam borang yang disahkan. Betapa sukarnya mencari kolej kediaman dalam keadaan hampir semua orang itulah kali pertama masuk ke kampus UKM. Jalan dalam kampus sesak teruk.

Hari ini semuanya menjadi begitu selesa dan tenang sekali. Siap disediakan jamuan untuk para ibu bapa. Selesai mendaftar (yang kurang seminit masa yang diambil di kaunter) para ibubapa akan bergerak ke bilik bilik penginapan dalam ruang kolej yang sama. Begitu selesa sekali.

Tetapi, saya tidak menganggap kita sudah berjaya sepenuhnya menguruskan pendaftaran pelajar baru dan tidak perlukan inovasi lagi pada masa depan. Banyak lagi cabaran cabaran baru yang menanti pengurusan HEPA untuk terus memikirkannya.

Sebagai contoh, dulu pihak HEPA mungkin hanya dihadapkan dengan kepelbagaian pelajar yang secara fizikalnya jelas kelihatan. HEPA ketika itu harus mengambil kira jantina dan kaum, agama dalam urusan pendaftaran supaya penginapan menepati keperluan pelajar. Selain itu mungkin turut menguruskan isu keperluan pelajar dari keluarga miskin yang memerlukan bantuan kewangan.

Hari ini sifat kepelbagaian pelajar UKM dan juga IPT lain sudah semakin rencam. Selain jantina, agama dan kaum, HEPA harus mengambil kira pelajar OKU (harus difahami bahawa wujud kepelbagaian bentuk OKU yang memerlukan keperluan yang berbeza).

HEPA hari ini juga menerima pelajar berbeza usia. Ada yang muda belia (awal 20an) dan ada yang berumur antara 40-50 tahun (kakitangan kerajaan, tentera dan sebagainya). Keperluan mereka juga jauh berbeza.

Malah hari ini HEPA juga perlu mengambilkira kumpulan pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran seperti autisme dan ADHD. Dulu, kumpulan ini tidak akan bermimpi untuk menuntut di IPT, tetapi hari ini berkat kemajuan pendidikan khas uyang dilaksanakan, telah memungkin kumpulan seperti ini menjejakkan kaki ke UKM.

Bagi menguruskan OKU dan kumpulan yang berkeperluan khas, HEPA perlu mempunyai kekuatan sumber manusia dan juga kepakaran. Inilah contoh cabaran-cabaran baru HEPA dan akan lebih ketara dalam masa depan.

Ini belum menyentuh menguruskan pelajar cemerlang (gifted) dan kumpulan khas (misalnya atlit negara). Mereka ini juga mempunyai keperluan keperluan yang tertentu dalam pengajian mereka.

Di UKM pengurusan HEPA jelas sensitif dengan hal hal sebegini. Misalnya kita telah menyediakan dua kolej sebagai kolej yang mesra OKU iaitu kolej Dato Onn dan kolej Aminuddin Baki. Dan sudah ada cadangan jumlah kolej mesra OKU di UKM akan ditambah dari masa ke semasa.

Kita juga memerlukan lebih ramai kaunselor dan pegawai HEPA yang mempunyai latarbelakang pengetahuan berkaitan ilmu 'kepelbagaian pelajar'. Di UKM kita bertuah kerana Fakulti Pendidikan mempunyai sebuah Pusat Kecemerlangan Kepelbagaian Pelajar yang boleh dirujuk untuk memberikan latihan kepada pembangunan para kakitangan HEPA.

Menarik dan gembira untuk kita mendengar visi TNC HEPA, bila beliau berkata "kita akan usahakan satu hari nanti apabila pelajar baru datang ke UKM untuk mendaftar, beliau hanya perlu ke kaunter kolej mengambil kuci bilik sahaja". Saya yakin impian ini akan menjadi kenyataan tidak lama lagi, mungkin jika diperhalusi prosedurnya tahun hadapan impian ini
sudah boleh dijayakan.

Tahniah buat warga kerja HEPA UKM....