Menjadi felo masakini sebenarnya jauh lebih sukar dari masa saya menjadi felo kolej kediaman. Itu saya benar benar pasti. Jika dulu saya sekadar memastikan yang sakit dibawa ke hospital, yang ada di kolej patuh pada peraturan kolej dan jika ada yang tertinggal kunci, saya akan membuka pejabat kolej untuk memberikan kunci pendua.
Hari ini, semua urusan itu masih dilakukan, mungkin kadarnya jauh lebih sedikit bila pelajar sudah ada kenderaan sendiri. Juga dengan dasar penggunaan elektrik bayar sekali persemester, pelajar gunalah tanpa had peralatan elektrik (asalkan dalam senarai yang dibenarkan), maka penguatkuasaan yang menjadi fungsi lama felo semakin hilang sedikit demi sedikit.
Hari ini felo kolej dihadapkan dengan cabaran yang menuntut pembinaan idea dan bukan lagi tenaga fizikal. Felo kolej hari ini perlu memahami konsep dan praktis pembangunan pelajar, memahami isu kebolehpasaran dan tuntutan majikan. Felo kolej hari ini harus memahami psikologi remaja dan undang undang berkaiatan AUKU. Malah felo hari ini dihadapkan dengan cabaran pengurusan kolej yang mementingkan kecekapan dan kualiti.
Jelas bahawa felo sekarang jauh lebih banyak tanggungjawab berbanding felo dulu. saya sedar dan nampak bebanan ini. Pihak pengurusan UKM juga memahami bebanan yang ditanggung oleh felo.
Oleh itu menjadi felo hari ini bukan sesuatu yang mudah lagi. Perlu ilmu pengorganisasian aktiviti, perlu psikologi manusia serta menguasai ilmu berkaiaan pembangunan pelajar. Jika tidak mereka akan berhadapan dengan berbagai dilema bila berhadapan dengan berbagai kerenah pelajar.
Di Kolej Ibu Zain, sudah lama hal ini menjadi teras kepada pembangunan felo. Majlis felo KIZ giat meningkatkan pembangunan diri mereka sebelum mereka dapat membimbing para pelajar. Mereka mendedahkan diri untuk menjadi penceramah, ahli forum dan pembimbing dalam membangunkan pelajar KIZ.
Malah seringkali juga sesi perbincangan tidak formal diadakan untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan ilmu pembangunan pelajar.
Saya sangat berharap mereka benar benar faham dan gembira dengan apa yang sedang mereka lakukan dalam membangunkan pelajar di KIZ. Dengan cara ini juga, mereka juga pasti akan mendapat maklumbalas yang baik dari pelajar KIZ.
Malam tadi majlis felo KIZ anjurkan forum pembangunan pelajar di KIZ Hall sempena MMP 2013. Mereka ambil peluang untuk menerangkan tentang konsep dan praktis berkaitan pembangunan pelajar, membicarakan soal teras aktiviti yang dekat di hati dan minat para pelajar.
Mereka juga kisahkan tentang kejayaan program program yang lalu. Mereka memberikan bimbingan tentang apa yang patut pelajar baru fikirkan sebagai langkah pertama membangunkan diri bila melangkah masuk ke UKM.
Saya penuh yakin jika semua felo kolej kediaman UKM memiliki persediaan ilmu berkaitan pembangunan diri, memahami isu kebolehpasaran serta mempunyai pengalaman yang luas dalam beraktiviti dan bersedia untuk menjana idea idea baru program pelajar, mereka akan lebih bersedia menghadapi cabaran dan tuntutan tuntutan baru di kolej kediaman.
Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan Tahniah buat majlis felo KIZ...atas usaha murni anda di KIZ malam tadi...